Fasal 5(1) Keanggotaan Perbadanan telah dikurangkan dan ditambah. Penambahan dibuat dengan memasukkan Timbalan Pengerusi yang mana dalam RUU PPKB 2010 yang asal jawatan ini tidak ada. Di dalam Huraian kepada pindaan RUU ini, Kementerian merasionalkan penambahan jawatan Timbalan Pengerusi itu yang dikatakan akan dilantik daripada kalangan pemilik dan pewaris tanah Kg. Bharu tetapi peliknya di dalam Fasal 5(2) hanya menyebut bahawa Pengerusi dan Timbalan Pengerusi hendaklah seorang Melayu mengikut Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan. Kenapa dalam Fasal 5(2) ini tidak disebut perlantikan mestilah di kalangan pemilik dan pewaris tanah Kg. Bharu? Adakah ada helah di sebalik perlantikan ini?
Fasal 5(1) (f) di dalam RUU PPKB 2010 yang asal memperuntukkan tidak lebih daripada dua (2) orang pemilik tanah Kg. Bharu tetapi telah dipotong dan digantikan dengan Fasal 5(1)(g) iaitu tidak lebih daripada lima (5) orang wakil Badan Bukan Kerajaan (NGO) . Kenapa pertukaran ini dibuat? Apa faedahnya dan kebaikannya melantik lima (5) orang wakil daripada Badan Bukan Kerajaan? Adakah ini juga disebabkan lobi-melobi daripada Badan-badan Bukan Kerajaan yang diketahui mempunyai kepentingan-kepentingan tertentu atau yang gilakan jawatan di dalam Perbadanan? Apakah signifikannya perlantikan mereka ini ?
3. Mekanisma Pembangunan :
Mengikut RUU PPKB 2010 yang asal ada disebutkan penggunaan Akta Pengambilan Tanah 1960 di Fasal 15(2)(h) tetapi dalam pindaan yang dicadangkan, peruntukan itu telah dipotong. Perlu diambil ingatan bahawa dengan pemotongan Fasal 15(2)(h) tersebut ia tidak memberikan apa-apa makna kerana Akta Pengambilan Tanah 1960 masih boleh digunakan. Akta Pengambilan Tanah 1960 adalah Akta Parlimen yang umum dan ia boleh digunakan pada bila-bila masa walaupun tiada sebarang peruntukan mengenainya dimasukkan di dalam sesuatu undang-undang kerana Akta Pengambilan Tanah 1960 ini memberikan kuasa pengambilan tanah yang luas samada diperuntukkan secara spesifik ataupun tidak. Jika benar Akta Pengambilan Tanah 1960 tidak mahu dan tidak akan digunakan kenapa tidak dimasukkan terus peruntukan yang spesifik bahawa Akta Pengambilan Tanah 1960 tidak akan digunakan dalam pembangunan Kg. Bharu? Jika begitu keadaannya, bagaimanakah pula bentuk rancangan pembangunan yang hendak dijalankan? Apakah ia akan melibatkan pemindahan penduduk sepanjang tempoh pembangunan tersebut ? Jika perlu dipindahkan, ke mana dan adakah sebarang pampasan atau gantirugi yang akan diberikan? Persoalan-persoalan ini masih kabur kepada sebilangan besar penduduk Kg Bharu dan perkara ini perlu diberikan penjelasan yang cukup oleh pihak Kementerian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan