Direct Free Kick |
UCAPAN WAKIL PAS SELANGOR DI MUKTAMAR PAS KE 57 Posted: 03 Jun 2011 01:45 AM PDT Tuan Pengerusi Tetap, para pimpinan dan para perwakilan yang dirahmati Allah, PAS Selangor mengucapkan tahniah kepada YB Dato' Seri Presiden di atas satu ucapan dasar yang tepat pada masanya. Tema ucapan dasar 'Membangunkan Negara Berkebajikan' telah memberi harapan baru kepada jutaan rakyat Malaysia yang sedang berhadapan dengan satu kerajaan yang hampir tidak peduli kepada kebajikan rakyat. Rakyat sedang bergelut dengan peningkatan kos sara hidup dan menunggu untuk diselamatkan dari mimpi ngeri yang sedang membelenggu mereka. PAS Selangor juga mengucapkan tahniah kerana YB Dato' Seri Presiden yang telah mendedahkan dunia kepada konsep negara berkebajikan dari perspektif Islam. Selama ini jika kita berbicara tentang negara berkebajikan, ramai yang akan memberi tekanan kepada aspek-aspek material semata-mata. PAS Selangor mempunyai pengalaman selama lebih 3 tahun menjadi sebahagian dari kerajaan yang merupakan sebuah negeri berkebajikan. PAS Selangor telah sentiasa berusaha untuk memastikan Islam mendapat tempat di dalam kerajaan tersebut. Ia telah menjadi pusat-pusat ilmu yang telah membuka pintunya kepada para penceramah bukan sahaja dari Pantai Barat tetapi dari Pantai Timur. Walau bagaimanapun laluan bagi PAS Selangor adalah tidak mudah. Tuan Pengerusi Tetap, para pimpinan dan para perwakilan yang dirahmati Allah, Tetapi ada kalanya pula kami dikatakan sebagai keras kepala dan tidak pandai berkawan. Selangor adalah berbeza dari Kelantan atau Kedah. PAS tidak menguasai kerusi yang banyak seperti di Kelantan atau di Kedah. Peratus orang Melayu Islam juga tidaklah setinggi di Kelantan atau di Kedah. Di banyak kawasan, orang Melayu Islam adalah minoriti. Maka sudah tentu ini memerlukan pendekatan yang berbeza. Mungkin ada ketikanya akan berlaku perbezaan pendapat di dalam pakatan kami di Selangor. Kami tegas di dalam usaha untuk tidak berganjak dari prinsip-prinsip asas perjuangan. Kalau hendak berkawan dengan PAS, kenalah menghormati prinsip-prinsip perjuangan PAS sepertimana kami menghormati prinsip-prinsip perjuangan rakan-rakan yang lain. Tuan Pengerusi Tetap, para pimpinan dan para perwakilan yang dirahmati Allah, Nilai-nilai universal di dalam Islam ini telah diserlahkan melalui program-program pimpinan PAS Selangor di dalam kerajaan pada pelbagai peringkat, di samping akhlak dan keterampilan pimpinan PAS Selangor di dalam atau di luar kerajaan. Berbaik sangkalah dengan PAS Selangor. Kadang kala kami amat cemburu dengan pimpinan DAP Selangor yang sentiasa mendapat sokongan dan perhatian dari pimpinan DAP Pusat. Janganlah menganggap kami sebagai 'budak nakal'. Tuan Pengerusi Tetap, para pimpinan dan para perwakilan yang dirahmati Allah, Lebih-lebih lagi sebagai kerajaan, kami berhadapan dengan pelbagai dilema. Permasalahan kawalan arak, larangan judi, industri hiburan dan penganjuran konsert tidaklah semudah di negeri-negeri yang lain. Di dalam aspek ini PAS Selangor memerlukan bantuan dan bimbingan. Perlu ada satu garispanduan yang jelas. Malah kekeliruan ini telah berlaku dan telah dieksploit oleh musuh-musuh kita. Inilah cabaran sebagai kerajaan di dalam negeri yang mempunyai penduduk yang berbilang kaum dan berbilang agama. Inilah cabaran apabila berkongsi kuasa. Ianya bukan seperti mentadbir negeri yang hampir 100 peratus orang Melayu Islam. Ia bukan seperti mentadbir negeri di mana PAS itu parti yang dominan. Tetapi kita semua akan menghadapinya juga jika kita berjaya menawan Putrajaya. PAS Selangor bukan mendesak agar dikeluarkan fatwa-fatwa baru tetapi perlu ada garispanduan yang terang dan jelas bagi apa saja isu. Kita tidak mahu ada di antara kita yang bertindak semata-mata kerana kepentingan politik dan membelakang hukum syarak. Tetapi kita tidak mahu juga gagal meraih keuntungan politik semata-mata kerana kecetekan ilmu kita. Tuan Pengerusi Tetap, para pimpinan dan para perwakilan yang dirahmati Allah, Untuk mendapatkan keyakinan rakyat kita mestilah menunjukkan bahawa PAS dan Pakatan Rakyat lebih berupaya dari Barisan Nasional. PAS dan Pakatan Rakyat mestilah menunjukkan bahawa ia mempunyai pimpinan dan tenaga kerja yang menguasai kepakaran-kepakaran yang relevan untuk menguruskan sebuah negara. Tidak memadai memainkan retorika-retorika kosong. Tidak memadai hanya dengan mendedahkan kesilapan dan kesalahan UMNO dan Barisan Nasional sahaja. Tetapi perlu ada penyelesaian-penyelesaian yang tangible. Bukan sekadar gula-gula, pemancing undi atau penyelesaian jangka pendek. Alhamdulillah kita telah ada buku jingga yang merupakan tawaran komprehensif kita. |
You are subscribed to email updates from Direct Free Kick To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan