Sabtu, 4 Jun 2011

:: cina islam | 2011 ::

:: cina islam | 2011 ::


Hadi: Saya gembira dengan kabinet pilihan raya ini

Posted: 04 Jun 2011 06:23 AM PDT

3 Rejab 1432H. [MOD] -

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan barisan kepimpinan baru termasuk sayap-sayap parti yang dipilih dalam muktamar PAS kali ini adalah kabinet pilihan raya.

NONEKatanya, barisan kepimpinan ini dianggotai barisan pemimpin yang dipilih yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk ulama, profesional dan pemimpin masyarakat.

"Saya bergembira dan ahli-ahli bergembira (dengan keputusan ini). Muktamar semakin hari semakin meriah. Ini menunjukkan kematangan ahli-ahli kita.

"Ahli-ahli memilih saf di hadapan untuk pilihan raya. Dengan sebab itu kabinet saya kali ini adalah kabinet pilihan raya," katanya.

Katanya, barisan yang terbaru khususnya bagi jawatan timbalan dan naib yang dianggotai daripada bukan Ulama, adalah bukan satu perkara yang baru.

Jelasnya, dalam kepimpinan baru ini dianggotai lapan tokoh yang dikategorikan sebagai ulama, dua pemimpin bertaraf doktor dan beberapa pemimpin profesional dan pemimpin masyarakat.

"Kita memimpin secara kolektif bukan secara individu," katanya.

Pelbagai latar

NONEAbdul Hadi mengulas barisan kepimpinan baru yang dianggotai dari pelbagai latar belakang bagi mengemudi parti dalam berdepan dengan pilihan raya umum akan datang.

Dalam pemilihan PAS Mohamad Sabu dipilih sebagai timbalan presiden baru meraih 420 undi dengan mengalahkan dua calon ulama - iaitu penyandangnya Nasharudin Mat Isa.

Nasharudin yang juga ahli parlimen Bachok mendapat 224 Undi manakala Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memperolehi 399 Undi.

Manakala bagi jawatan naib presiden pula ia dua ahli parlimen penyandangnya di jawatan itu - Salahuddin Ayub (Kubang Kerian) dan Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena).

Salahudin meraih 753 undi manakala Mahfuz pula mendapat 616 undi sementara exco kanan kerajaan Kelantan Datuk Husam Musa mendapat 660 Undi.

Ibarat tukar perabot rumah

Bercakap dalam sidang media di muktamar PAS di Gombak hari ini, Abdul Hadi menafikan barisan kepimpinan baru parti itu dipengaruhi mana-mana individu, termasuk ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kita tidak terikat dengan individu tertentu. Kita kerja bersama-sama.... Bukan pemimpin yang membuat perubahan, perwakilan yang membuat perubahan.

"Strategi kita berubah, tetapi dasar, matlamat dan acuan kita tidak berubah," katanya yang juga ahli parlimen Marang.

Menjawab soalan, Abdul Hadi berkata PAS tidak bersikap diktator dalam urusan pemilihan kepimpinan parti sebaliknya PAS mengamalkan "demokrasi tulen" antaranya dalam kempen yang bersih tanpa budaya fitnah.

"Ini satu perkembangan yang baik dan matang dari perwakilan. Perubahan dalam pucuk pimpinan (parti) perkara biasa. Bila kita hadapi musim baru, maka ada perabot rumah yang kita alih.

"Bila kita alih perabut rumah, orang bunyi bising, orang kata kita bergaduh. Kita tidak bergaduh, kita usung perabot sahaja," katanya.

Ditanya sama ada bukan ulama boleh menjadi presiden parti, Abdul Hadi berkata perlembagaan parti tidak menghalangnya berbuat demikian.

"PAS adalah parti terbuka, tidak eksklusif untuk satu-satu kelompok (sahaja)," celah naib presiden PAS Datuk Mahfuz Omar yang turut hadir dalam sidang media itu.

Malaysiakini/-

Ulasan :

InsyaAllah kabinet pilihanraya PAS ini akan memastikan satu gelombang baru dalam politik tanah air dengan satu rentak dan nada bagi membantu Pakatan Rakyat merelisasikan hasrat ke Putrajaya dan menabalkan BN sebagai pembangkang selepas PRU ke 13.

PAS ucap tahniah kepada YDP Agung

Posted: 04 Jun 2011 01:45 AM PDT

2 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 4 Jun: PAS mengucapkan tahniah kepada Yang Dipertuan Agung, Tuanku Mizan Zainal Abidin sempena hari keputeraan baginda melalui satu usul tergempar yang dibentangkan oleh Timbalan Presidennya yang baru terpilih, Haji Mohamad Sabu.

Doa untuk baginda pula dibacakan oleh Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din dengan diaminkan oleh semua para perwakilan dan pemerhati.

Hari ini, 4 Jun 2011 adalah sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Mohamad Sabu ketika membentangkan usul ucapan tahniah dan junjung kasih itu berkata, Baginda adalah ketua agama Islam dan pelindung kepada Islam.

Tahniah kepada kepimpinan baru PAS.

Posted: 04 Jun 2011 01:25 AM PDT


1 Rejab 1432H. [MOD] -Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Hj. Abdul Hadi Awang didampingi oleh Timbalan Presiden yang baru dinobatkan, Hj. Mohd Sabu serta 3 Naib Presiden, YB. Dato' Husam Musa, YB. Salahuddin Ayub dan YB. Dato' mahfoz Omar.

Senarai penuh AJK PAS Pusat 2011-2013

Posted: 03 Jun 2011 08:24 PM PDT

2 Rejab 1432H. [MOD] -

Berikut adalah senarai penuh AJK PAS Pusat sesi 2011-2013 seperti yang diumumkan sebentar tadi.

PENGERUSI TETAP

Tuan Haji Ustaz Abu Kasim

TIMBALAN PENGERUSI TETAP

Tuan Haji Hussin Ismail

PRESIDEN

1. Abdul Hadi Awang, YB Dato' Seri Tuan Guru Haji

TIMBALAN PRESIDEN

1. Mohamad Sabu, Hj

NAIB PRESIDEN

1. Husam Musa , YB Dato'

3. Mahfuz Omar, YB Dato'

6. Salahuddin Ayub, YB

AHLI JAWATANKUASA KERJA

1. Abdul Ghani Abdul Rahman, Ustaz
2. Abdul Ghani Shamsuddin, Ustaz
3. Abdul Wahid Endut, YB Hj
4. Abu Bakar Chik, Dato' Ustaz
5. Amiruddin Hamzah, YB Ir.
6. Azizan Abdul Razak, YB Dato' Seri Ustaz
7. Dzulkefly Ahmad, YB Dr
8. Hanipa Maidin, Hj
9. Hassan Mohamad Ali, YB Dato' Dr.
10. Kamarudin Jaffar, YB Dato'
11. Khalid Abd Samad, YB Hj.
12. Mahfodz Mohamed, Dato' Dr.
13. Mazlan Aliman, - 804 undi
14. Mohd Amar Abdullah, YB Dato' Ustaz
15. Mohd Hatta Md Ramli, YB Dr.
16. Mujahid Yusof Rawa, YB Dr.
17. Nuridah Salleh, Ustazah
18. Siti Mariah Mahmud, YB Dr.

Tahniah kepada semua pemenang...

Pendaftaran PKR: ROS puas hati, saman ditarik

Posted: 03 Jun 2011 07:59 PM PDT

2 Rejab 1432H. [MOD] -

PKR menyambut baik keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang berpuas hati dengan penjelasan yang dikemukakan parti itu dalam surat tunjuk sebab berkaitan dengan ancaman pembatalan pendaftarannya minggu lalu.

NONESetiusaha Agung PKR, Saifuddin Nasution dalam kenyataan medianya memaklumkan, pihak ROS tidak akan meneruskan tindakan tersebut.

Berikutan keputusan itu katanya, PKR juga membatalkan hasrat menyaman ROS memandangkan perkara ini telah dapat diselesaikan dengan baik.

Sebelum ini, PKR memfailkan tindakan undang-undang terhadap ROS bagi mencabar keputusan ROS untuk membatalkan pendaftaran parti itu.

PKR menfailkan permohonan itu berikutan notis bertarikh 9 Mei lalu yang dikeluarkan ROS bawah Seksyen 13(1) dan (2) Akta Pertubuhan 1966, untuk membatalkan pendaftaran parti itu.

Ini berikutan terdapat kes kononnya PKR memecat ahlinya yang bernama A Rajagopal tanpa dibicarakan oleh lembaga displin parti terlebih dahulu walhal perkara itu tidak berlaku dalam parti itu kerana Fasal 32.2.1 perlembagaan parti tidak wujud dalam perlembagaan PKR.

PKR mendakwa keputusan ROS bagi membatalkan pendaftaran parti itu dibuat berdasarkan niat jahat (malafide) dan bertujuan semata-mata untuk menghalang parti itu daripada mengambil bahagian pada pilihan raya umum akan datang.

Malayskaini/-

Mohamad Sabu, Salahudin, Husam, Mahfuz menang

Posted: 03 Jun 2011 07:38 PM PDT

2 Rejab 1432H. [MOD] -

Mohamad Sabu menang untuk jawatan Timbalan Presiden menewaskan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Nasharudin Mat Isa.

Mohamad mendapat 420 undi berbanding Tuan Ibrahim 399 dan Nasha 224 daripada jumlah keseluruhan 1045 undi.

Manakala untuk jawatan Naib Presiden pula dimenangi Salahudin Ayub, Datuk Husam Musa dan Datuk Mahfuz Omar.

Penyebaran klip Video porno, kemanakah tahap moral belia yang diharapkan ?

Posted: 03 Jun 2011 05:05 PM PDT

2 Rejab 1432H. [MOD]

KENYATAAN MEDIA
ADUN Titi Serong Perak.

Saya sangat terkejut dengan penyebaran terbaru klip video lucah yang tersebar kelmarin dalam satu blog. Sebetulnya saya tidak berminat kepada untuk menonton klip tersebut namun sakadar mencuba menelusuriinya ternyata ia ujud dalam bentuk rakaman cctv hitam putih 4 dimensi rakaman.

Itupun selepas saya mendapat maklumat awal mengenai kerja tidak bermoral itu dalam beberapa laman web termasuk malaysiakini yang memaklum klip terbaru itu mula disebarkan kelmarin

Penyebaran video klip tersebut berlaku dalam keadaan pimpinan dan penyokong PAS serta Pakatan Rakyat sedang melangsungkan Muktamar Agung PAS kali ke 57 dan juga rakyat Malaysia seluruhnya bersiap untuk menyambut hari keputraan DYMM Yang DiPertuan Agong.

Bagi saya tindakan tersebut sangat tidak bermoral dan melanggar peraturan serta undang-undang dan tatasusila keagamaan dan moral masyarakat malaysia. Saya tidak tahu dimana letaknya hati budi dan kehormatan pihak yang masih menyebarkan klip video ini dalam keadaan banyak pihak menentang keras penyebarannya yang jelas adalah fitnah dan tidak ada pihak manapun yang boleh mengesah dan menghukum siapakah pelakon dalam klip itu.

Beberapa hari lepas Muktamar Dewan Ulamak PAS meluluskan usul mengecam video tersebut dan dalam forum yang dianjurkan oleh Syarikat Karangkraf Ketua Pemuda PAS dan UMNO sepakat menolak segala bentuk fitnah yang berlaku dalam negara kita.

Saya tiak dapat bayangkan dimanakah tahap moral masyarakat yang dihasratkan dalam kerajaan 1Malaysia bila perkara ini terus dibiarkan tanpa ada langkah untuk menghentikannya.

Terlebih malang penyebaran video ini di promosikan oleh sebuah blog yang jelas pro UMNO malah pemiliknya mencabar sesiapa untuk membawanya kemuka pengadilan.

Sebenarnya dalam kes ini siapakah pelaku dalam video adalah perkara terakhir bagi saya yang menjadi objek penilaian. Namun pihak yang membuat, menayang dan menyebarkannya berulang kali sebetulnya telah diambil tindakan lebih awal sekiranya benar pihak kerajaan 1Malaysia ingin membenteras kes ini.

Dimanakah pihak keselamatan dan agensi penguatkuasa negara bila sampai pada satu tahap saya melihat penyebaran video ini telah mendedahkan masyarakat khususnya golongan belia kepada pendidikan menonton ponografi yang "dihalalkan" oleh UMNO dan BN.

Apakah ini belia yang dikumpulkan di Putrajaya minggu lepas oleh Najib?

Kerana itu walaupun sudah terlambat, saya masih mengharapkan satu tindakan yang sewajarnya dilakukan untuk mengelakkan penyebaran bahan porno ini terus berlaku secara berulang kali bagi mengelakan masyarakat negara kita khususnya golongan belia terdedahkan kepada budaya yang tidak sihat itu.

Adalah sangat malang sambutan Hari Belia pada tahun ini dalam keadaan golongan ini didedahkan dengan budaya porno yang jauh bertentangan dengan falsafah pendidikan negara, undang-undang dan paling penting bertentangan dengan agama dan moral.

Kalau jelas ini adalah kerja BN dan UMNO demi untuk mengekalkan kuasa yang mereka miliki , maka saya berkata sesungguhnya inilah kemuncak kepada usaha mereka sebelum mereka dinobatkan sebagai pembangkang selepas PRU ke 13 nanti.

Kenyataan media.
DRS. KHALIL IDHAM LIM
TAMAN MELEWAR, GOMBAK, 4 Jun 2011

Siapa Timbalan Presiden PAS?

Posted: 03 Jun 2011 05:02 PM PDT


2 Rejab 1432H. [MOD] -DARI kiri Tuan Ibrahim, Nasharuddin dan Mat Sabu memasuki kertas undi untuk memilih Naib Presiden PAS di Taman Melewar, semalam. Keputusan mengenai siapakan yang akan dinobatkan sebagai Timbalan Presiden, 3 Nainb Presiden dan 18 AJK PAS Pusat akan diumumkan jam 10 pagi ini.

Siapa pemenang, tunggu jam 10 pagi ini.

Posted: 03 Jun 2011 04:35 PM PDT

2 Rejab 1432H. [MOD] -

Pengarah pilihan raya PAS Pusat yang juga Pengerusi JK Pemilihan PAS 2011, Dato" Abdul Halim Abdul Rahman mengumumkan, proses pengundian diadakan kelmarin bermula jam 4 petang dan berakhir pada jam 6.15 petang .

pas muktamar voting 030611Seramai 1,077 orang pengundi yang layak itu memilih seorang timbalan presiden, tiga orang naib presiden serta 18 orang jawatankuasa pusat.

Jumlah pemilih itu adalah terdiri dari AJK Syura Ulama, AJK PAS Pusat, Dewan-dewan peringkat pusat dan pengundi yang mewakili seluruh PAS Kawasan seluruh negara.

Jawatan presiden, pengerusi tetap, timbalan pengerusi tetap serta pemeriksa kira-kira telah dimenangi tanpa bertanding ketika senarai calon berkenaan diumumkan pada 26 Mei lalu.

Keputusan bagi pemilihan hari ini akan hanya diumumkan pada jam 10 pagi esok.

Semua pihak sedang menunggu saat pengumuman bersejarah itu dalam keadaan banyak andaian dan spekulasi yang telah diperkatakan mengenai siapakah pemenangnya sehingga saat ini.

Membangun Negara Berkebajikan

Posted: 03 Jun 2011 08:32 AM PDT

2 Rejab 1432H. [MOD] -
Datuk Seri Abdul Hadi Awang

UCAPAN DASAR

PRESIDEN PARTI ISLAM SE-MALAYSIA (PAS)

Muktamar Tahunan PAS ke - 57

MEMBANGUN NEGARA BERKEBAJIKAN

MUKADDIMAH

الحمد لله حمدا الحامدين , وحمدا الشاكرين ,وحمدا يوافي نعمه ويكافي مزيده , يا ربنا لك الحمد كما ينبغي لجلال وجهك وعظيم سلطانك . أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له , له الملك وله الحمد وهو على كل شيء قدير . وأشهد أن محمدا عبده ورسوله , البدر الدجى والسراج المنير . اللهم وصل وسلم وبارك على محمد أشرف الأنبياء والمرسلين , وعلى آله وصحبه أجمعين , ومن سار على نهجه إلى يوم الدين.

1. Yang Dihormati Pengerusi Tetap, YAB Tuan Guru Dato' Mursyidul 'Am, Sohibul Fadhilah Dato' Timbalan Mursyidul 'Am, Ashab al-Fadhilah Ahli Majlis Syura Ulamak, Yang Berhormat Timbalan Presiden, Naib-Naib Presiden, Ketua-Ketua Dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat, Dato' Setiausaha Agung dan seluruh Ahli Jawatankuasa Harian, Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Pesuruhjaya-Pesuruhjaya PAS Negeri dan Wilayah Persekutuan, Ahli Jawatankuasa Kerja Dewan-Dewan, Ketua dan Ahli Jawatakuasa Dewan Himpunan Penyokong PAS, pimpinan dan rakan-rakan dari Pakatan Rakyat, NGO, seluruh para perwakilan dan pemerhati, muslimin dan muslimat yang dikasihi sekalian.

2. Saya ucapkan ahlan wa sahlan wa marhaban bi kum, selamat datang dan selamat bermuktamar, kepada semua para perwakilan dan tetamu yang memeriahkan Muktamar Tahunan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) pada tahun ini di bangunan yang sudah bertukar wajah menjadi mercu baru dalam sejarah PAS. Marilah dengan penuh yakin kita memohon kepada Allah SWT akan keberkatan dan fadilat, serta pahala yang berlipat ganda daripada kelebihan ribat fi sabilillah, kerana keyakinan terhadap dasar dan matlamat perjuangan kita.

3. Kita memulakan perjuangan ini di atas landasan yang benar dengan sejarah tersendiri. PAS ditubuhkan oleh kumpulan Islam yang bertali arus di sepanjang zaman, melibatkan para ulamak, para ilmuwan dalam segala bidang dan rakyat, bagi melangsungkan perjuangan Islam yang tidak tamat dengan wafatnya Rasulullah SAW.

4. Inilah yang kita sentiasa pertegaskan, bahawa PAS bukannya sebuah parti politik semata-mata, tetapi kita adalah sebuah gerakan Islam yang bercirikan tarbiyah dan dakwah, yang mempunyai perkiraan dengan ibadah dan amanah dari Allah SWT.

5. Kita percaya bahawa penglibatan kita dengan PAS adalah bagi mengisi hidup kita dengan amal yang soleh, penuh kebajikan yang berpanjangan dan mengharapkan keampunan Allah dan pertolongan-Nya, kerana menyahut seruan Allah SWT dan meneruskan perjuangan Rasulullah SAW dan al-salaf al-soleh, yang dinyatakan oleh firman Allah :





Maksudnya:

Wahai orang-orang yang beriman, sukakah kamu, Aku tunjukkan kepada kamu suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? (Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa kamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui. Nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam jannah yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam jannah 'Adn. Itulah kemenangan yang besar. Dan (ada lagi) kurnia yang lain yang kamu sukai, (iaitu) pertolongan daripada Allah dan kemenangan yang dekat (di dunia). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman.


PENEGASAN PERANAN PAS

Para hadirin dan hadirat sekalian,

6. Setiap ahli PAS mestilah berpegang teguh dengan Islam, beriman, melaksanakan kebajikan secara berterusan, dan kita berpolitik pula mestilah mengikut panduan Al-Quran, kerana itulah perintah dalam Al-Quran yang menjadi pedoman kita semua. Kita tetapkan dalam undang-undang tubuh PAS, bahawa yang memandu kita ialah Al-Quran, Al-Sunnah, Ijmak para ulamak dan Qiyas yang nyata. Bagi menjamin kewibawaan PAS dengan Islam yang bersumberkan perkara tersebut, maka diwujudkan Majlis Syura Ulamak bagi mengawal perjalanan PAS, supaya sentiasa di atas landasannya dengan istiqamah.

7. Peranan kita ialah membawa mesej Islam secara praktikal kepada seluruh manusia, berdakwah dan berpolitik bagi menterjemahkan keadilan syariat Allah kepada seluruh alam dan manusia tanpa mengira bangsa, agama dan asal usul mereka, dengan berwawasan dunia hingga akhirat. Inilah yang dinyatakan oleh firman Allah SWT :

وما أرسلناك إلا رحمة للعالمين .

Dan tidaklah kami utuskan mu melainkan menjadi rahmat kepada seluruh alam



8. Di sepanjang perjalanan beberapa dekad dan generasi, kita adalah parti yang paling berpengalaman, kita berpengalaman menjadi pembangkang hanya dengan satu kerusi, menjadi kerajaan diperingkat negeri, menyertai kerajaan pusat dan kosong tanpa kerusi, kita pernah bersendirian, pernah menyertai kerajaan campuran dan kita juga melaksanakan tahaluf siyasi.

9. Tahaluf Siyasi yang diamalkan oleh PAS ini, telah menjadi sebahagian daripada Feqah Politik Islam yang wajib dipelajari oleh pimpinan PAS dan diperkenalkannya kepada masyarakat supaya mereka memahami perbezaan kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat, dengan kerjasama wala' antara UMNO dalam BN, yang mengorbankan prinsip dan menghilangkan jati diri Islam daripada bangsa Melayu yang beragama Islam, seterusnya menghanyutkan Islam yang sebenar.

10. Kita menjadi parti yang hidup berkembang dalam semua pengalaman tersebut. Di sepanjang masa jentera kita bergerak dan tetap istiqamah di atas landasan Islam. Kita tidak akan mengubah matlamat perjuangan kita walau apa pun gelombang, ribut dan badai yang memukul bahtera kita, dan ternyata bahtera kita masih kukuh dan selamat hingga ke hari ini.

11. Yakinlah, bahawa kitalah kumpulan yang memenuhi ciri umat di kalangan umat yang besar, parti atau kumpulan di kalangan umat Islam yang ramai, yang dinyatakan oleh Allah :



Dan hendaklah ada di kalangan kamu (umat Islam seluruhnya) satu golongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang mungkar, merekalah orang-orang yang mendapat kemenangan.

12. Inilah ciri kumpulan Islam, iaitu (1) berdakwah mengajak kepada kebajikan, (2) menyuruh kepada yang baik dan (3) mencegah kemungkaran. Kita melaksanakan semua tuntutan ini sehingga mencapai kemuncaknya menegakkan negara yang berkuasa memerintah, menurut kaedah ilmu Islam yang berkembang di sepanjang zaman, menerusi prinsip maqasid syariah dan siyasah syar'iyyah nya.

13. PAS memilih pendekatan demokrasi kerana bertindak secara muwajahah silmiyyah, sama ada menang menjadi kerajaan, atau pembangkang atau melahirkan bantahan secara terbuka di mana sahaja ruang yang ada. Bagi melaksanakan pendekatan ini, maka uslub yang menarik adalah penting bagi tujuan mengembalikan umat Islam khususnya masyarakat Melayu yang digulakan dengan semangat perkauman sempit dan tidak berpijak kepada dasar Islam yang sebenar.

Para Hadirin dan hadirat sekalian,

TEMA MUKTAMAR

14. Muktamar ini berlangsung di ambang pilihanraya umum ketiga belas yang akan diadakan pada bila-bila masa. Medan pilihanraya itu nanti akan menjadi medan juang yang sangat sengit kepada kita. Maka di atas komitmen ini, tibalah masanya pula kita memperkukuhkan konsep dan objektif kebajikan secara menyeluruh dalam urustadbir yang kita bawa sebagai asas komitmen kita, untuk mentadbir negara masyarakat majmuk ini secara bersama dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat.

15. Mauduk yang begitu besar ini, menuntut kita untuk membawa tema MEMBANGUN NEGARA BERKEBAJIKAN, sebagai tema muktamar pada tahun ini. Ini bertepatan dengan perjuangan PAS yang berkonsepkan amal kebajikan, di mana seluruh kegiatan kita selama ini adalah kebajikan, apabila Allah SWT memberi kemenangan dengan pertolongannya maka wajib diisi dengan kebajikan.

16. Tema ini berpaksikan kepada pegangan kita, bahawa Islam yang difahami oleh kita adalah sempurna yang merangkumi seluruh cara hidup manusia, roh dan jasad, individu, keluarga dan masyarakat, hubungan dengan Allah, diri manusia dan makhluk yang lain. Islam yang terkandung di dalamnya seluruh cara hidup manusia dalam aspek politik, ekonomi, pendidikan, kemasyarakatan dan sebagainya.

17. Walaupun mungkin adanya perbezaan dasar dan konsep dengan rakan-rakan yang lain, tetapi banyak titik persamaan dalam pelaksanaan dan objektifnya dalam aspek pentadbiran dan penglibatannya ke dalam masyarakat majmuk. Walau pun berbeza dalam perkara halal dan haram, tetapi kita tentunya bersama dalam menegakkan adil untuk semua dan menentang kemungkaran, kezaliman dan penyelewengan seperti rasuah dan sebagainya. Inilah kerjasama yang menuntut kita untuk bersama dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat bagi membawa agenda perubahan ini.

18. Ucapan dasar ini adalah menggariskan dasar umum serta falsafahnya yang berpihak dan menepati Islam. Maka pemahaman konsep kebajikan dan objektifnya adalah sangat penting kepada kita semua, supaya apa yang kita rancangkan sebagai agenda parti sepanjang sesi ini dapat dilaksanakan, yang akan terus menerus diperincikan oleh seluruh jentera parti di berbagai peringkat dari masa ke semasa.

KONSEP KEBAJIKAN MENYELURUH

19. Dalam kita mengungkap konsep kebajikan menyeluruh ini, maka kepimpinan yang menerajui negara berkebajikan adalah di kalangan yang berilmu dan bertakwa. Maka Islam menegaskan bahawa berpolitik adalah tugas para nabi dan pengikutnya yang setia. Rasulullah SAW bersabda :

كَانَتْ بَنُو إِسْرَائِيلَ تَسُوسُهُمْ الْأَنْبِيَاءُ كُلَّمَا هَلَكَ نَبِيٌّ خَلَفَهُ نَبِيٌّ وَإِنَّهُ لَا نَبِيَّ بَعْدِي وَسَيَكُونُ خُلَفَاءُ فَيَكْثُرُونَ قَالُوا فَمَا تَأْمُرُنَا قَالَ فُوا بِبَيْعَةِ الْأَوَّلِ فَالْأَوَّلِ أَعْطُوهُمْ حَقَّهُمْ فَإِنَّ اللَّهَ سَائِلُهُمْ عَمَّا اسْتَرْعَاهُمْ صحيح البخاري - (ج 11 / ص 271(

Kaum Bani Israel di zaman dahulu, yang menjadi pemimpin siyasah (politik) mereka ialah para nabi. Setiap nabi yang diwafatkan diganti nabi selepasnya. Sesungguhnya tidak ada lagi nabi selepasku, namun akan ada para Khulafa (Pemimpin) yang mengganti tugas ku, akan lahir jumlah yang ramai. Para sahabat bertanya : "Apakah perintah kepada kami ?" Sabda Rasulullah : "Bersetia dengan berbai'ah kepada yang paling dahulu, seterusnya yang berikut. Berikan kepada mereka hak yang wajib ditunaikan. Maka sesungguhnya Allah akan menyoal mereka daripada tugas yang diberikan kepada mereka.

20. Islam telah mengikat kepimpinan negara dengan dasar dan konsep yang berlandaskan iman. Firman Allah :

Maksudnya :

Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (nya), dan Ulil Amri (pemimpin) di antara kamu. Kemudian jika kamu bertelingkah pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.

21. Inilah rupa bentuk kepimpinan yang layak dan boleh menunaikan amanah, iaitu pemimpin yang digelar ulul amri, dengan menjadikan politik adalah amal yang soleh, bukannya peluang diri dan kelompoknya. Bukan kepimpinan yang hanya beragama di masjid pada hari jumaat, ditikar sembahyang dan di masa haji dan umrah, di waktu musabaqah Al- Quran dan Maulid al-Rasul. Ada pun selepas itu agama tidak boleh dicampur dalam urusan politik dan pentadbiran negara, sehingga mereka sendiri boleh pula memilih pemimpin yang rasuah, serta mendapat sokongan rakyat dengan rasuah dan menipu, seterusnya boleh melakukan apa sahaja yang bertentangan dengan Islam.

22. Kita bukan berteori, kerana kini kepimpinan PAS telah mengambil kedudukan mentadbir pemerintahan di peringkat negeri-negeri. Kepimpinan bebas rasuah, telus, berhemat, adil untuk semua telah menjadi testimoni kemampuan kepimpinan PAS yang dapat dilihat di negeri Kelantan selama lebih dua dekad, kini di Kedah, dan pernah di Terengganu dan Perak suatu masa yang lalu.

23. Manakala politik yang berkonsepkan Islam pula mengakui wujudnya masyarakat majmuk berbilang agama, dan memelihara hak beragama kepada penganut berbagai agama yang dilindungi pemerintahan yang mengamalkan prinsip semak-imbang dalam pemerintahan.

Firman Allah :

Sekiranya Allah tidak menolak (kezaliman) sebagian manusia dengan sebagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (Agama) Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.



24. Prinsip bahawa 'keganasan sebahagian manusia di tolak dengan sebahagian manusia yang lain' adalah merupakan intipati semak-imbang yang ditegaskan oleh Islam, adalah untuk melindungi kesejahteraan di muka bumi termasuklah kesejahteraan ekonomi, jiwa, keselamatan dan aman dari kerosakan. Ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 251 :

Maksudnya :

Seandainya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, pasti rosaklah bumi ini. Tetapi Allah mempunyai kurnia (yang dicurahkan) atas semesta alam.



25. Kerajaan pula adalah pemegang amanah terhadap sumber negara daripada rakyat, wajib dikendalikan dengan adil terhadap masyarakat dengan bahagian yang besar dan haram harta itu berkisar di kalangan orang kaya tertentu bersama pemimpin negara. Firman Allah SWT :

Maksudnya :

Apa saja harta fai-i (yang diambil oleh negara) yang diberikan Allah kepada RasulNya yang berasal daripada penduduk sesebuah negeri. Maka adalah untuk Allah, untuk Rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu jangan beredar di antara orang-orang kaya saja di antara kamu. Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras hukumannya.

26. Konsep tersebut diterjemahkan kepada negara berkebajikan dengan makna yang luas, merangkumi segala aspek, kerana Islam meletakkan semuanya dalam amal kebajikan yang dikira pada hari akhirat, bukan hanya berbudi dan berjasa di dunia sahaja.


OBJEKTIF NEGARA BERKEBAJIKAN

27. Dalam negara berkebajikan, kerajaan mengambil tanggungjawab dalam perkara yang menjadi rukun hidup, keperluan asasi kemudahan asas, makanan, pakaian, tempat tinggal, kesihatan, pendidikan dan lain-lain. PAS wajib menghapuskan budaya mendapat hasil secara membebankan rakyat yang menjadi amalan kerajaan UMNO/BN, sehingga mengambil kesempatan mendapat hasil melalui rukun hidup rakyat. Rakyat yang berniaga pula terpaksa berdepan dengan kerajaan yang berniaga. Kerajaan yang berniaga menerusi GLC pula, mengagihkan keuntungan kepada pemegang saham kroni tertentu, manakala kerugian perniagaan pula ditanggung oleh kerajaan, yang akhirnya dibebankan kepada rakyat menerusi sistem cukai yang menekan mata pencarian hidup rakyat jelata. Akhirnya GLC ini akan hilang daya saingnya kerana sentiasa menerima bantuan dari kerajaan.

28. Islam menjadikan kerajaan tidak membebankan rakyat dengan cukai yang tinggi atau cukai paksaan. Contohnya dengan mewajibkan bayaran zakat kepada orang Islam, dan cukai kepada bukan Islam dengan kadar kemampuan dan galakan yang meningkatkan produktiviti pendapatan mereka. Kerajaan juga tidak boleh menyekat kekayaan yang halal, tidak menipu, tidak menindas dan tidak rasuah.

29. PAS percaya bahawa perolehan pendapatan negara bukannya dengan cara membebankan rakyat dengan kaedah menaikkan cukai atau menyebabkan kenaikan harga barangan keperluan. PAS yakin bahawa keadilan sosial yang berteraskan kebajikan kepada rakyat dan amalan yang adil membawa berkat yang mengembangkan hasil negara.

30. Maka PAS telah melaksanakan sebahagian daripada konsep negara berkebajikan di negeri yang diperintahnya, mengikut kemampuan dan bidang kuasa yang ada di Kelantan dan Kedah, pernah di Terengganu dan Perak dan memperkenalkan di negeri PAS menyertai kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor dan Pulau Pinang.

31. PAS bersama Pakatan Rakyat telah memperkenalkan konsep negara berkebajikan melalui Buku Jingga yang dilancarkan. Sebenarnya sebahagian daripada Buku Jingga pernah dilaksanakan di negeri yang kita perintah, seperti pembatalan tol, pembatalan cukai yang membebankan rakyat dan memudahkan perkhidmatan asas yang menyentuh rukun hidup rakyat.

32. Kita telah membuktikan kemampuan memerintah selama dua puluh tahun di Kelantan dan di negeri lain, dengan kadar hasil yang tidak boleh difikir mampu oleh mereka yang berfahaman kebendaan. Apatah lagi kini kita tentunya lebih yakin berkemampuan kerana hasil dan sumber negara tidak bocor dengan rasuah, membazir dan mewah.

33. Negara berkebajikan yang ingin kita capai ialah bukan hanya hebat pencapaian ekonominya semata-mata, kerana kita juga tidak mahu melahirkan masyarakat yang hanya melihat pembangunan material yang bertaburan di sana-sini tetapi jiwa mereka kosong sehingga melahirkan berbagai penyakit kemanusiaan dalam masyarakat kita ini.

34. Negara yang kita mahu ialah yang juga menumpukan kepada kesejahteraan spiritual dan akhlak serta pembangunan rohani, yang dihubungkan dengan pegangan agama yang mampu untuk memandu kehidupan rakyat di bawah jagaan kita. Indeks kesejahteraan yang ingin kita capai juga perlu mengambil kira persekitaran masyarakat beragama berbagai kaum dan fahaman yang wujud dalam negara kita ini, apatah lagi ianya mungkin berbeza dengan pentafsiran kesejahteraan di negara-negara lain. Kita inginkan kerukunan sebuah keluarga, yang mampu untuk berdepan dengan krisis moral dan akhlak yang semakin berleluasa di zaman yang serba moden ini.

35. Negara berkebajikan juga melaksanakan undang-undang yang mendidik rakyat, bukannya menakutkan rakyat dengan wajib menjatuhkan hukuman. Apa yang lebih parah lagi, BN telah menjadikan undang-undang sebagai satu cara untuk merompak harta rakyat, contohnya di atas nama saman ekor yang sama sekali tidak mendidik rakyat.

36. Kaedah perundangan Islam menjadikan orang yang dituduh belum bersalah dengan wajib melindungi dan membelanya. Sesorang hakim mencari jalan bagaimana membebaskan orang yang dituduh, bukan mencari jalan untuk menjatuhkan hukuman. Islam menggalakkan orang yang bersalah bertaubat dan memebuat penyelesaian di luar mahkamah kerana balasan bukan sahaja di dunia, bahkan ada lagi balasan dalam kubur dan selepasnya, kalau terlepas di dunia tanpa taubat. Islam membuktikan wujudnya keamanan dengan kehebatan undang-undang yang adil, bukan menakutkan rakyat dengan undang-undang yang zalim.

37. Islam menggalakkan wujudnya masyarakat berkebajikan dengan sifat persaudaraan kemanusiaan dan kejiranan untuk melakukan kerja kebajikan, sehingga mendahului kerajaan untuk berlumba-berlumba mendapat pahala. UMNO/BN telah melemah dan mematikan sifat tersebut, amalan wakaf bagi mendirikan masjid, sekolah rakyat, rumah kebajikan dan sebagainya, semata-mata bagi melaksanakan peluang rasuah politik terhadap rakyat.

38. Bagi melaksanakan tujuan tema ini, maka PAS ingin melaksanakan langkah yang menjadi intipati utama iaitu membetulkan fahaman salah, membetulkan salah urus-tadbir ekonomi, dan seterusnya memimpin rakyat melakukan perubahan ke arah kebaikan. Semuanya ini tidak akan mampu kita capai tanpa mempunyai organisasi dan petugas parti yang mantap, perancangan yang bersifat semasa dan ke hadapan, pemantauan dan penambahbaikan dari masa ke semasa.

AGENDA MEMBETULKAN FAHAMAN SALAH

Para hadirin dan hadirat sekalian,

39. PAS telah berjaya mengurangkan suara ajaran sesat yang mempengaruhi orang Melayu Islam, bahawa politik tidak ada hubungan dengan agama Islam. Ajaran sesat ini telah melahirkan pemimpin Melayu yang tidak ada perhitungan agama dalam amalan politik mentadbir negara, seterusnya berlaku khianat dalam memimpin rakyat dan mengurus sumber negara yang melimpah ruah.

40. Walaupun kini ramai di kalangan orang Melayu Islam telah menerima politik sebahagian dari agama, tetapi tindakan politik mutakhir ini telah dibejati oleh amalan-amalan yang tidak mengikut batas agama dan syariat. Kemurnian politik telah dicemari oleh tindakan jijik menerusi rasuah politik wang, fitnah, sikap perkauman sempit, pembohongan, dan segala macam perkara kotor yang memalukan anak-anak yang menjadi penonton di sekeliling kita. Politik seperti ini perlu dimurnikan, dan sudah tentunya UMNO/BN akan gagal untuk membersihkan politik yang dikotorkan oleh tangan mereka sendiri.

41. Pemimpin Melayu Islam yang membebalkan majoriti rakyat beragama Islam dan tidak boleh menjadi model Islam yang sebenar kepada rakyat bukan Islam, kerana dijangkiti keruntuhan moral dan zalim, rasuah dan menyalahgunakan kuasa, sehingga tidak menunaikan amanah besar yang diwajibkan oleh Islam kepada penganutnya. Firman Allah SWT :

Maksudnya :

Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menunaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila melaksanakan hukum di antara manusia supaya kamu berlaku adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.



42. Dalam pentas politik negara kita ini, UMNO adalah merupakan parti majoriti Melayu dan Bumiputera yang telah diberi amanah pemerintahan sejak keluarnya penjajah asing, tetapi telah dibarahi penyakit warisan penjajah yang memisahkan amanah ini daripada perhitungan agama. Akibatnya amanah yang besar ini dijadikan peluang kebendaan yang menyuburkan perbuatan rasuah dan khianat. Akhirnya, harta negara menjadi milikan peribadi pemimpin mereka, meninggalkan rakyat berhempas pulas untuk melangsungkan kehidupan di dunia ini.

43. Inilah yang terus menerus berlaku apabila urus tadbir dan tata-kelola pengurusan sumber dan khazanah kekayaan negara tidak mengambil dan merujuk kepada falsafah dan jauh sekali menghayati tuntutan Islam. Cita-cita murni untuk membina sebuah negara yang sejahtera dan aman telah digagalkan oleh sebuah pemerintahan yang terus memimpin secara tidak bertanggungjawab.

44. Umat Melayu Islam sebagai teras politik dalam negara kita ini, semakin hari semakin lemah jati diri kerana lemah kefahaman Islamnya, apabila tidak menjadikan Islam agama yang memerintah dan tidak mampu menunjukkan model Islam kepada masyarakat majmuk. Maka PAS wajib menyelamat negara dan penganut Islam yang hilang punca dan membetulkan fahaman yang salah ini.

45. Di masa yang sama, UMNO sekadar mengekalkan kuasa mereka dan bukannya memartabatkan Melayu dengan Islam, kerana Melayu UMNO tetap menyokong BN walaupun di kawasan PAS bertanding menentang calon MCA dan MIC, sebaliknya sudah ramai bukan Melayu dan bukan Islam yang komited mengundi calon PAS yang menentang calon MCA dan MIC dari Barisan Nasional. Hakikatnya, UMNO telah menjadikan penyokong Melayu Islam buta dan pekak dengan politik wang, media dan hiburan yang melalai dan membodohkan mereka.

46. Allah SWT telah membuktikan bahawa semua bangsa yang kuat berpegang dengan Islam menjadi bangsa yang memimpin dunia, walau pun bangsa itu dilahirkan di bumi yang kering tanpa hasil. Manakala umat Islam dari mana-mana bangsa pun sekiranya meninggalkan Islam walau pun ramai jumlah dan kaya raya, menjadi perosak, zalim dan lemah, seterusnya tidak layak memimpin dan akhirnya hancur musnah, walau pun menjadi kuasa besar dunia.

47. Maka menjadi tanggungjawab besar kita untuk terus menerus memperkenalkan ajaran Islam secara ilmu kepada seluruh rakyat dengan mengembalikan umat Islam yang jahil kepada Islam, supaya membebaskan diri daripada khurafat politik UMNO bahawa mereka sahaja boleh memerintah.

48. PAS wajib menyelamatkan negara dan rakyat daripada belenggu kejahilan dan kezaliman politik dengan peringatan Allah SWT :

Maksudnya :

Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah kami akan melimpahkan kepada mereka barakah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, Maka kami siksa mereka disebabkan perbuatannya. Maka apakah penduduk negeri-negeri itu merasa aman atau selamat dari kedatangan seksaan kami kepada mereka di malam hari di waktu mereka sedang tidur ?. Atau apakah penduduk negeri-negeri itu merasa aman dari kedatangan seksaan kami kepada mereka di waktu dhuha (pagi yang terang) ketika mereka sedang bermain ?. Maka apakah mereka merasa aman dari azab Allah (yang tidak terduga-duga)? Tiada yang merasa aman dan azab Allah kecuali orang-orang yang merugi.



49. Ingatlah bahawa bencana azab boleh berlaku melalui tangan manusia sendiri yang memerintah dengan zalim dan fasiq atau bencana alam semula jadi. Cukuplah dengan permulaan amaran melalui kenaikan harga barang keperluan, kemiskinan dan pengangguran, jenayah dan maksiat, berbagai penyakit dan alam sekitar yang rosak. Semua gejala negatif ini merupakan bala yang memakan diri dan membawa kemusnahan.


Para hadirin dan hadirat sekalian,

AGENDA MEMBETULKAN SALAH URUS EKONOMI

50. Dalam berdepan dengan krisis dan kemelut ekonomi ini, PAS kembali menegaskan bahawa menguruskan khazanah kekayaan negara mesti berpaksikan matlamat untuk memakmurkan seluruh penghuni muka bumi ini sesuai dengan peranannya selaku Khalifah Allah SWT. Tanggungjawab ini merupakan suatu amanah yang mesti ditunaikan bukan hanya untuk memenuhi tuntutan rakyat yang mengangkat sesebuah kerajaan bahkan pada kemuncaknya supaya kepimpinan negara bertanggungjawab kepada Allah.

51. PAS menegaskan bahawa berdasarkan prinsip ini, maka sesebuah kerajaan mestilah menyerlahkan dan mengoperasikan penghayatan ini, bukan hanya pada tahap memperkenalkan polisi-polisi semata-mata bahkan lebih penting adalah dalam sistem penyampaian. Ini adalah untuk memastikan pengagihan kesejahteraan ekonomi ini sampai kepada rakyat di bawah yang memerlukan tanpa mengira latarbelakang politik, kaum dan agama seseorang itu.

52. Apa yang kita saksikan hari ini adalah segala-galanya yang bercanggahan dengan kaedah pengurusan dalam Islam yang meletakkan panduan keutamaan atau – Fiqh Al-Awlawiyyat – iaitulah mendahulukan yang lebih penting dari yang penting – "Taqdim ahammu Minal Muhim".

53. Prinsip urus tadbir ekonomi ini akan dapat menjauhkan negara dalam perbelanjaan yang 'salah' dari segi keutamaan. Manakah yang lebih utama, samada membina Menara Warisan RM5 bilion atau melaburkan dalam keperluan perkhidmatan asas – seperti pendidikan, utiliti seperti air, tenaga, kesihatan dan pengangkutan ?.

54. BN tidak memahami ke semua perhitungan ini kerana tidak mengambil kerangka dan asas pemikiran seperti dianjurkan oleh Islam. Sebaliknya urus-tadbirnya hanya untuk kepentingan kelompok tertentu yang ada hubungan dengan elit politik kerajaan UMNO/BN.

55. Inilah hakikat disebalik pelbagai cerita buruk dan skandal kegagalan projek mega – samada RM12.5 bilion kerugian dalam PKFZ dan RM1 bilion kos tambahan dalam projek Empangan Bakun, projek Istana Negara yang akhirnya dikatakan akan melonjak menjadi RM1 bilion!. Khazanah rakyat akan terus menghangus sekiranya UMNO/BN terus memerintah, ditambah lagi apabila wujudnya projek mengampu yang dilaksanakan dengan menggunakan wang rakyat.

56. Negara kita di suatu masa diiktiraf oleh Bank Dunia sebagai antara yang terkaya di segi sumber negara per kapita rakyat, hari mendapati negara ini hilang daya-saing dan dibebankan dengan hutang awam yang tinggi. Gejala jurang kekayaan antara kaya-miskin semakin melebar, pertumbuhan wilayah semakin tidak seimbang, inflasi meningkat, harga barang keperluan melambung naik sehingga membebankan rakyat, kos sara hidup asas rakyat meningkat dan pendapatan rakyat terperangkap dalam julat 'pendapatan sederhana'. Terkini Malaysia berdepan dengan pertumbuhan yang semakin lembap iaitu 4.6% dalam suku pertama berbanding 10.1% dalam suku pertama tahun 2010.

57. PAS bersama rakan Pakatan Rakyat menerbit dokumen penyelesaian alternatif kepada kemelut ekonomi negara sebagaimana yang diperincikan dalam Buku Jingga. Janji 100 hari yang kita ungkapkan bersama dengan Pakatan Rakyat bukannya suatu omongan, tetapi ikrar kita kepada rakyat sekiranya pemerintahan Putrajaya berjaya berubah ke tangan kita.

58. Pendekatan agenda membetulkan urustadbir ekonomi yang PAS bawa adalah menekankan bahawa sesuatu "Perubahan Ekonomi" hanya akan dapat direalisasikan oleh sesebuah kerajaan yang juga melaksanakan 'Reformasi Politik'. Ini juga selari dengan penegasan Islam yang menekankan bahawa urusan ekonomi mesti ada sangkut – pautnya dengan politik bahkan prinsip moral dan akhlak, ada perhitungan dosa-pahala dan bimbingan syariatnya.

59. Kami yakin sekiranya PAS dan Pakatan Rakyat diberi mandat untuk mentadbir negara ini, kami akan uruskan demokrasi agar ianya berfungsi dengan betul, seterusnya mengembalikan keyakinan, kewibawaan dan integriti kepada institusi-institusi kritikal dalam Negara, sekaligus mewujudkan ketelusan dan pertanggungjawaban dalam pentadbiran yang baik, maka kegiatan ekonomi dan pelaburan akan dapat dirancakkan dalam satu eko-sistem yang menggalakkan.

60. Ini akan serentak mewujudkan persaingan sihat dan menggalakkan pemacuan daya-saing melalui peningkatan produktiviti dan inovasi. Produktiviti pula mesti dipacu oleh peningkatan tahap pendidikan dan kebebasan berkarya, dan ini bermula dengan mengiktiraf martabat para pendidiknya.

61. Begitu juga tentang penstrukturan semula Felda Plantation bagi tujuan memajukan peneroka supaya menjadi pemilik-pengusaha yang punya daya-saing yang tinggi dan memastikan hak milik mereka dibela, melaksanakan program khusus terhadap golongan petani, nelayan, buruh di berbagai sektor perkhidmatan dan pembuatan, kakitangan kerajaan, yang semuanya menjadi nadi kepada denyutan ekonomi negara. Kita sekali-kali tidak akan membiarkan kerajaan memperhambakan rakyat dalam memacu pembangunan negara ini.


Para hadirin dan hadirat sekalian,

AGENDA MEMIMPIN RAKYAT MELAKSANAKAN ISLAH

62. PAS akan bersama dengan rakan dalam Pakatan Rakyat untuk menggerakkan agenda perubahan sebagaimana yang dipersetujui dalam dokumen Polisi Bersama Pakatan Rakyat, yang sudah diperbahas dan diterima oleh PAS. Ianya melibatkan suatu paradigma baru pendemokrasian, suatu islah menyeluruh dalam sistem pemerintahan dan urustadbir negara. Perubahan ini tidak memberi sebarang makna sekiranya tidak melibatkan reformasi spiritual dan kesejahteraan fikiran rakyat.

63. Kita sama-sama sedar bahawa demokrasi sedia ada dalam negara kita sudah tempang, akibat dari kerakusan UMNO/BN yang ingin mengekalkan kuasa mereka sampai bila-bila. Pun begitu, sehingga kini kita tetap mendahulukan pendekatan damai secara demokrasi, sehingga PAS bersabar menunggu walaupun dijatuhkan secara yang tidak bermoral, beretika dan melanggar asas-asas perlembagaan.

64. Rakyat hanya berpeluang mengundi dengan sistem lama yang terlalu lemah dengan minda yang tertutup, peluang yang sempit dan cara yang tidak telus. Rakyat tidak boleh menjadi hakim yang adil mengikut makna demokrasi yang sebenar. Demokrasi bukan sahaja hanya memangkah kertas undi. Amalan demokrasi menuntut rakyat berpeluang mendapat maklumat daripada semua parti dan calon yang bertanding melalui media yang terbuka.

65. Apa yang berlaku ialah, rakyat dizalimi dengan hanya disogokkan dengan maklumat dan hujah satu pihak sahaja, apabila BN yang memerintah menggunakan jentera penerangan milik kerajaan, masuk ke dalam tiap-tiap buah rumah di sepanjang masa dan di masa pilihan raya, sedangkan parti-parti dan calon-calon yang lain diberi peluang yang sangat terbatas, disertakan dengan undang-undang dan ugutan. Mereka tidak boleh menjawab tuduhan dan fitnah yang dilemparkan.

66. Rakyat terus di bendung mindanya dengan media cari makan semata-mata, bukannya makan untuk hidup dan berbakti dengan ikhlas. Allah SWT pernah mengutuk amalan membodohkan rakyat yang pernah dilakukan oleh Firaun. Firman Allah :

Maksudnya :

Dan Fir'aun berseru kepada kaumnya (seraya) berkata: "Hai kaumku, bukankah kerajaan Mesir Ini kepunyaanku dan (bukankah) sungai-sungai Ini mengalir di bawahku; Maka apakah kamu tidak melihat(nya). Bukankah aku lebih baik daripada orang yang hina ini dan yang hampir tidak dapat menjelaskan (perkataannya)?. Mengapa tidak dipakaikan kepadanya gelang dari emas atau malaikat datang bersama-sama dia untuk mengiringinya?. Maka Fir'aun mempengaruhi kaumnya sehingga menjadi bodoh, lalu mereka patuh kepadanya. Kerana sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasik.



67. Sesiapa sahaja yang menjadi kerajaan atau pemimpin tidak boleh bertahan dengan zalim dan menipu, kerana akhirnya akan jatuh secara hina di dunia dan paling hina di hari akhirat. Akibat ini pernah berlaku dalam sejarah lama dan moden. Maka banyak pemimpin negara yang matang demokrasi berundur dengan cara terhormat atau meletak jawatan atau bersedia dengan terbuka menerima keputusan rakyat secara bebas.

68. Islam memerintah umatnya supaya berani menentang kezaliman dan meletakkannya jihad paling afdal. Sabda Rasulullah SAW :

أفضل الجهاد كلمة عدلٍ عند سلطانٍ جائرٍ( رواه أبو داود، والترمذي).

Jihad paling afdal ialah menyatakan yang adil kepada pemerintah yang zalim

69. PAS akan meneruskan kempen dan membawa suara rakyat yang mahukan pendemokrasian menyeluruh dilakukan dalam sistem pilihan raya melalui langkah-langkah yang akan disusun oleh jentera parti, termasuklah menggerakkan ahli turun menyuarakan bantahan secara terbuka bersama dengan NGO yang ingin melihat suatu sistem yang lebih adil dan telus dalam negara kita ini.

70. PAS juga memperjuangkan kebebasan bersuara dan kebebasan media secara adil dan bertanggungjawab, akan terus memperhebatkan tekanan ke arah pembubaran akta yang menekan media seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, dan seumpamanya.

71. PAS juga komited memperjuangkan pemansuhan akta – akta yang zalim dan disalahgunakan seperti ISA, dan melakukan islah menyeluruh dalam mengembalikan kewibawaan institusi penting dalam negara seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pejabat Peguam Negara serta PDRM. Islah ini bukan sahaja menuntut perubahan sistem, tetapi memerlukan pengislahan minda dan spiritual seluruh pegawai atau manusia yang menggerakkan sistem itu sendiri.

72. Muafakat bersama PAS ini juga berikrar untuk membetulkan konsep federalisme songsang yang diamalkan oleh UMNO/BN pada waktu ini, terutamanya memantapkan semangat persekutuan serta hubungan yang adil di antara Persekutuan dengan negeri-negeri, terutama Sabah dan Sarawak.


Para hadirin dan hadirat sekalian,

PILIHANRAYA UMUM KE-13

73. Sepanjang setahun sesi yang baru sahaja berakhir, kita berdepan dengan empat pilihan raya kecil yang ditandingi oleh PAS iaitu di Galas, Tenang, Merlimau dan Kerdau, di mana yang terakhirnya kita sama-sama bekerja dengan PAS Sarawak dalam menghadapi Pilihan raya Umum ke-10 DUN Sarawak pada bulan April yang lalu. Tahniah dan syabas kepada seluruh jentera pilihan raya kita.

74. Walaupun pilihan raya kecil dan DUN Sarawak ini tidak sepenuhnya berpihak kepada kita, tetapi kita berjaya melebarkan pengaruh parti secara umum dan berjaya menubuhkan cawangan-cawangan PAS secara khususnya. Ketahuilah bahawa kejayaan kita bukan hanya menang pilihan raya, tetapi kejayaan juga berlaku dengan mendapat hanya seorang walaupun tidak menjadi ukuran kemenangan pilihan raya dan walaupun hilang wang deposit, kerana kita berpandukan sabda Rasulullah SAW :

فوالله لأن يهدي الله بك رجلاً واحداً خيرٌ لك من حمر النعم (متفقٌ عليه(

Maka demi sesungguhnya, dengan kejayaan mu hanya seorang sahaja berjaya diajak kepada petunjuk Allah, lebih mahal pahalanya daripada kenderaan yang paling mahal harganya.

75. Sekarang ini kita berdepan dengan hiruk-pikuk paluan gendang menandakan pilihan raya umum ke 13 semakin hari semakin hampir. Walau bila pun tarikhnya, saya dengan ini mengarahkan seluruh jentera PAS untuk bersiap sedia sebaik sahaja muktamar kita selesai untuk menghadapi pilihan raya umum, dengan membuka bilik gerakan dan aktivitinya dengan penuh taktikal, seterusnya menyiapkan gerakerja secara berstrategi yang akan diperincikan oleh Jabatan Pilihan raya PAS Pusat nanti. Manakala ILPAS juga perlulah melalui fasa keduanya dalam menjadi nadi utama latihan kepada semua petugas parti di pelbagai peringkat.

76. Dalam masa yang sama, semua Dewan dan aktiviti PAS Kawasan hendaklah sekurang-kurangya melaksanakan 70% tumpuan program ke arah mendekati pengundi yang masih menunggu PAS bertemu dengan mereka dan golongan atas pagar yang masih belum membuat keputusan dalam pilihan raya yang akan datang nanti.

77. Manakala jentera di peringkat UPU pula wajar mengalami perubahan drastik di atas peranan mereka yang semakin penting, terutamannya kerana merekalah yang setiap hari berada paling hampir dengan pengundi di unit yang paling kecil dalam sistem pilihan raya kita ini. Mereka wajar mengenali kesemua pengundi di lingkungan mereka seumpama mereka mengenali saudara-mara mereka sendiri.

78. Kesemua jentera parti ini perlulah mendekati dan mengajak pengundi dengan penuh kesabaran untuk menyokong kita dengan bahasa yang penuh kemesraan dan hikmah. Santunilah pengundi yang ada di depan kita secara peribadi supaya akhirnya mesej kita kepada mereka dapat disampaikan dan diterima oleh semua, kerana pendekatan ceramah terbuka kadangkala hanya berlegar di kalangan ahli kita sahaja.

79. Pada hari ini juga, marilah sama-sama kita berikrar untuk mempertahankan negeri Kelantan dan Kedah, Selangor dan Pulau Pinang yang telah kita tadbir secara bersama ini dengan sepenuh kudrat yang kita ada, biarlah keringat kita membasahi bumi tempat berpijak, biarlah tenaga kita bergelora dengan semangat yang tinggi, kita akan mempertahankan kemenangan yang telah kita kecapi selama ini dengan izin Allah SWT.


Para hadirin dan hadirat sekalian,

CABARAN TERHADAP ULAMAK

80. Kalangan ulamak adalah pemimpin masyarakat paling berpengaruh dalam masyarakat Islam. Walaupun begitu masih ramai yang tidak berpijak dengan Feqah Politik Islam, kerana ada yang menyokong UMNO/BN kerana tidak mampu menterjemah kefahaman Islam dengan ilmunya dalam memahami politik semasa, akibat dari dilahirkan daripada sisitem pendidikan Islam yang lemah, tanpa memahami sejarah dan senario kelahiran mazhab dan kumpulan yang bercanggah dengan aqidah dan syariat Islam yang sudah berada dalam lipatan sejarah.

81. Golongan ini juga akhirnya gagal memahami ideologi dan teori moden yang bercanggah dengan Islam sehingga terperangkap di dalamnya, menjadikan mereka berilmu, tetapi tidak feqah (faham) lantas gagal menunjukkan jalan kepada mereka, sebagaimana yang disifatkan oleh Rasulullah SAW :

مَنْ يُرِدْ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ .(مالك , البخاري . مسلم , ابن ماجه)

Sesiapa yang Allah menghendaki kebaikan kepadanya maka Allah jadikan dia faqeh (faham) dalam perkara agama

82. Ada juga kalangan ulamak di luar sana yang tidak memahami kewajipan berjamaah dan menyertai jamaah yang memenuhi ciri-ciri parti yang menegakkan ajaran Allah yang meneruskan pusaka para Rasul yang berdakwah dan berpolitik. Mereka ini melupai pesanan Rasulullah SAW kepada Huzaifah bin Al Yaman RA, dalam memelihara diri dari mengikuti golongan yang menyahut ke neraka. Antara lainnya Rasulullah SAW menegaskan :

Kamu hendaklah menyertai kumpulan umat Islam dan pemimpin mereka". Aku berkata : "Sekiranya tidak ada kumpulan Islam dan pemimpinnya ?". Sabda Rasulullah S.A.W : "Asingkan dirimu daripada kumpulan sesat itu, walau pun kamu terpaksa menggigit pangkal pokok atau mati dalam keadaan itu"

83. Oleh yang demikian, maka anggota Dewan Ulamak mestilah berdepan dengan para ulamak yang berdiam diri melihat kemungkaran di hadapan mata, pada hal sekurang-kurangnya mampu mencegah dengan lisan dan tulisan, tetapi sanggup termasuk dalam golongan yang dinyatakan oleh Allah SWT :

Maksudnya :

Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah kami turunkan berupa keterangan-keterangan (yang jelas) dan petunjuk, setelah kami menerangkannya kepada manusia dalam Al Kitab, mereka itu dilaknati Allah dan dilaknati (pula) oleh semua (mahluk) yang dapat melaknati.



84. Seterusnya untuk berdepan dengan cabaran ini, maka Dewan Ulamak perlu mengumpulkan seberapa banyak ahli supaya berjamaah bersama PAS, kerana merekalah yang lebih wajib menunaikan tugas ini. Langkah Dewan Ulamak mewujudkan saf ulamak muda adalah sangat penting bagi memelihara dan melangsungkan perjuangan Islam yang berterusan, dan mereka adalah pemimpin rakyat yang paling berpengaruh.

85. Ahli-ahli Dewan Ulamak yang berterusan bersama dengan masyarakat siang dan malam melalui kuliah pengajian ini, hendaklah memahami uslub pengajian yang menyedarkan rakyat dengan kefahaman politik Islam dan pendekatan yang menarik, bukan hanya mengajar menyampaikan ilmu tanpa kesedaran terhadap bahaya pemikiran yang mereka hadapi. Inilah peranan para ulamak yang dinyatakan oleh Allah SWT :

Maksudnya :

Mengapa tidak ada yang keluar dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk bertafaqquh (memahami) tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya.

86. Peranan Dewan Ulamak juga perlu diperluas, dengan melangkaui program kuliah yang menjadi kebiasaan kepada mendepani isu-isu yang memerlukan ulasan kalangan ulamak terutamanya yang menyentuh suasana semasa yang semakin hari semakin kompleks. Selain dari itu, seluruh ahli Dewan Ulamak juga perlulah terus menerus mempersiapkan diri mereka dengan ilmu pengurusan dan pentadbiran serta komunikasi kontemporari supaya kehadiran mereka dalam masyarakat dan kerajaan yang kita pimpin itu dapat memberi seribu macam natijah yang baik.


Para hadirin dan hadirat sekalian,

CABARAN TERHADAP PEMUDA

87. Generasi muda adalah harapan umat menjadi pewaris kesinambungan perjuangan dan tenaga terpenting, mereka juga menjadi sasaran musuh. UMNO/BN lebih suka kalau generasi ini dalam kedaan leka, jahil, miskin dan menganggur, supaya mudah menjadi penyokong mereka, sekurang-kurangnya sekadar menjadi tukang sorak walau pun kampung tergadai.

88. Perubahan secara demokrasi terkini boleh berlaku dengan perubahan undi penentu, sebahagian pengundi baru adalah daripada kalangan muda. Golongan ini mempunyai jumlah besar dan menjadi undi penentu dalam pilihanraya akan datang. Maka Dewan Pemuda hendaklah memainkan peranan mereka mendekati golongan ini, dengan berbagai-bagai kegiatan yang dapat mendekatkan diri dan menyelamatkan mereka daripada arus politik kemusnahan yang dibawa oleh UMNO/BN, dengan sengaja membiarkan golongan muda menjadi sasaran hiburan yang melekakan, menjadi penganggur dan terbiar bahkan menjadi golongan miskin dan menganggur dengan tujuan semata-mata mudah menjadi mangsa politik wang.

89. Peranan pemuda hendaklah dengan cara menjinakkan bukan meliarkan, dengan bahasa menarik dan mudah difaham, cara yang menghidup dan meriah, sesuai dengan sifat golongan muda yang cergas, sihat dan bersemangat, supaya sifat itu dimanfaatkan untuk menyelamatkan masa depan mereka dengan menyelamatkan negara melalui perubahan islah.

90. Penubuhan Akademi Kepimpinan Pemuda yang sudah melangkaui enam tahun juga perlulah diperluaskan peranannya, dengan melalui fasa yang seterusnya untuk berkhidmat memberikan latihan berguna kepada golongan pemuda yang masih bertebaran di luar sana.


CABARAN TERHADAP MUSLIMAT

91. Kaum wanita adalah pendidik keluarga secara langsung, mereka melahirkan umat berwibawa daripada keluarga yang soleh. Kita menghadapi zaman serangan pemikiran masuk ke dalam rumah dan keluarga laksana banjir yang sukar disekat. Sudah tiba masanya muslimat menyertai jihad fardu ain yang disebut dalam kitab feqah, kerana bahaya serangan pemikiran adalah lebih besar kesannya kepada masyarakat.

92. Golongan wanita lebih mudah menjadi mangsa media yang datang dan masuk ke rumah mempengaruhi keluarga, mereka adalah benteng di rumah dan tenaga penting di luar rumah bersama masyarakat. Selama ini pun Dewan Muslimat diseluruh negara telah turun ke rumah pengundi sasaran, dengan penuh menghadapi cabaran yang tidak pernah dihadapi oleh muslimin.

93. Undi wanita tidak ada perbezaan dengan lelaki mengikut perhitungan demokrasi, banyak kawasan menunjukkan jumlah mereka lebih besar dan boleh menjadi undi terbesar menentukan kemenangan pilihanraya, selain dari mereka juga mempunyai kalangan pengundi baru. Memang muslimat telah masuk medan dengan aktif. Kajian dan muhasabah hendaklah sentiasa dilakukan terhadap jentera muslimat, bagi menghadapi cabaran melakukan perubahan menyelamatkan negara dengan garis panduan dan aktiviti yang lebih berkesan.

94. Muslimat memerlukan tenaga yang ramai dan kemampuan menjadi jentera parti. PAS telah memberi ruang yang luas kepada muslimat sehingga ke peringkat menjadi calon, menyertai kerajaan dan menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan pembangkang di peringkat negeri dan pusat, sejak PAS ditubuhkan.

95. Muslimat hendaklah dibina kekuatan dalaman dengan jati diri jamaah Islam yang mampu memelihara keluarga dan terlibat dalam masyarakat dengan jadual yang saksama. Para suami dan bapa perlu menyedari hakikat ini dan bersama membantu dan memberi ruang yang wajar, saksama dan istiqamah.

96. Muslimat juga mestilah mampu turun padang menyantuni 'golongan kurang bernasib-baik' dari keluarga bermasalah, armalah, wanita-wanita, remaja dan anak-anak terbiar. Muslimat mestilah memberikan 'khidmat kebajikan': kesedaran keluarga bahagia agar 'golongan kurang bernasib-baik' ini mendapat penjagaan dan perlindungan sewajarnya daripada seluruh ahli keluarga, penguasa, suami, penjaga dan masyarakat.

97. Muslimat juga wajar menubuhkan pertubuhan kebajikan seperti Asrama Perlindungan bagi 'golongan kurang bernasib-baik' dengan menyediakan pendidikan dan pengajian agama disamping pelajaran akademik, Pusat Setempat sebagai tempat pengaduan, pusat rujukan dan khidmat nasihat bagi sebarang masalah dan Pusat Vokasional Wanita bagi memberi kemahiran dan tunjuk-ajar sebagai jalan bagi membuka peluang kerjaya untuk meneruskan kehidupan dan mata pencarian.


Para hadirin dan hadirat sekalian,

DEWAN HIMPUNAN PENYOKONG PAS

98. Dengan terbukanya tembok pemisahan dengan masyarakat bukan Islam, terbukti sokongan mereka dalam beberapa kali pilihanraya, sudah ada sumbangan kerja mereka, peti undi dan calon yang menang dengan peranan mereka. Kita telah membuat keputusan untuk melibatkan mereka dengan cara yang labih berkesan, kumpulan ini sangat penting menjadi penyumbang kemenangan PAS.

99. Kita hendaklah menyedari kedudukan masyarakat majmuk yang menjadi sebahagian daripada mesej politik Islam. Kita wajib menyampaikan mesej tanpa paksaan dalam agama dan Islam adil untuk semua, sehingga mereka memberi kepercayaan kepada kita untuk memandu ke arah perubahan, dan melihat Islam secara amali, dengan cara yang sebenar, seterusnya membetulkan imej Islam yang dicalar oleh perangai UMNO dan penganut Islam yang tidak beramal dengan ajaran Islam.

100. Feqah politik Islam telah memberi tempat kepada bukan Islam yang bersama dalam negara dengan setia, bukan sekadar menjadi rakyat biasa bahkan menjadi sebahagian daripada kabinet dan jentera kerajaan bagi membuktikan keadilan Islam melalui hujah secara praktikal. Penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS juga membuktikan bahawa perjuangan yang dibawa oleh PAS adalah jauh lebih relevan dalam masyarakat yang berbilang kaum ini, dibanding dengan BN.

101. Saya amat berharap Dewan Himpunan akan main peranan yang lebih penting dalam penyampaian hasrat dan tujuan parti dan juga menyakinkan masyarakat bukan Islam bahawa PAS adalah parti yang sentiasa menyuarakan apa yang diharapkan oleh rakyat dan mampu menunaikannya.



PERANAN LAJNAH

102. Setiap Lajnah dalam PAS berperanan melaksanakan agenda parti yang berteras, berjiwa dan bermatlamat Islam. Melaksanakan apa yang dapat dilaksanakan tanpa tangguh dan menjadi jentera menuju ke arah memperkenalkan Islam kepada masyarakat mengikut bidang masing-masing, serta melengkapkan parti walau pun tidak menjadi kerajaan dan mengisi kemenangan apabila tiba masanya menjadi kerajaan.

103. Peranan tenaga kalangan pakar dalam berbagai bidang dalam PAS sentiasa bersama perjuangan kita sejak penubuhan PAS, menunjukkan kita tidak sekali-kali memisahkan kalangan ulamak dengan mereka. Inilah sejarah PAS bersama sejarah Islam di zaman keemasan dan mempunyai ketahanan di zaman penjajahan dan kezaliman.

104. Ada Lajnah yang lebih bersifat dalaman seperti Lajnah Tarbiyyah, bagi meningkatkan ketahanan ahli menghadapi cabaran, meningkatkan daya juang dan ilmu yang diamalkan sehingga PAS menjadi parti contoh terbaik. Lajnah Tarbiyah juga perlulah merangka modul-modul baru yang boleh mendidik ahli dalam uslub mendekati masyarakat berbagai agama dan kaum di luar sana.

105. Ada Lajnah yang bersifat terbuka bagi melaksanakan agenda PAS ke dalam masyarakat bagi memasyarakatkan PAS seperti Lajnah Penerangan, Kebajikan, Guaman, Pekerja, Kebudayaan, Tanah dan Peneroka dan lain-lain, sehinggalah ke peringkat antara bangsa. Semua Lajnah hendaklah mengambil segala kepakaran yang ada di kalangan ahli PAS yang ramai jumlahnya sekarang. Mereka laksana batu bata yang perlu disusun dengan rapi dan diikat dengan teguh. Firman Allah :

Maksudnya :

Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berjuang dijalanNya dalam saf yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh (daripada bata yang disusun dengan rapi dan diikat dengan teguh)



106. Saya juga mahu Lajnah-lajnah dalam PAS, melalui aktivis parti untuk turun ke gelanggang, memahami budaya setempat, perihatin terhadap masalah rakyat, menjadi penggerak sebenar di medan, dan seterusnya menyelesaikan konflik dan masalah yang membarah dalam masyarakat. Sekiranya kita mahukan perubahan ke arah politik yang lebih bermaklumat, maka semua di antara kita adalah bertanggungjawab untuk bertindak sebagai agen perubahan yang menyampaikan maklumat ke dalam masyarakat.

107. Demi mencapai tujuan ini, maka setiap Lajnah di peringkat Pusat hinggalah ke peringkat negeri dan kawasan perlulah menetapkan matlamat yang ingin dicapai, melaksanakan perancangan strategik dan memantau pencapaian dari masa ke semasa. Semua ini direncanakan di awal sesi, dibentang kepada semua jawatankuasa untuk penyelarasan gerakerja supaya kita tidak hanya mewujudkan program ad-hoc yang bertujuan untuk mengisi laporan tahunan apabila hampir tiba mesyuarat agung masing-masing.


Para hadirin dan hadirat sekalian,

PERANAN PAS DI PERINGKAT ANTARABANGSA

108. Suasana geo-politik dunia dan konflik antarabangsa kini berada di persada perubahan yang amat drastik. Pelbagai isu antarabangsa telah mewarnai sepanjang setahun yang lalu. Arus perubahan yang sedang berlaku sekarang ini adalah amat unik dan sedang memberi kesan yang hebat kepada percaturan politik di seluruh dunia termasuk juga di Malaysia.

109. Di Asia Barat, tanpa di sangka-sangka oleh kebanyakan pihak, ratusan ribuan rakyat terutamanya dari kalangan golongan muda telah keluar ke jalan-jalanraya bagi menuntut hak kebebasan dan demokrasi mereka yang dinafikan sejak sekian lama, sehingga rakyat telah berjaya menggulingkan rejim 'kuku besi' yang menekan mereka sejak berdekad lamanya. Ahli-ahli politik serta parti-parti politik pembangkang telah diharamkan dari bergerak aktif dan semua media massa di kawal ketat dengan tidak dibenarkan sebarang bentuk kritikan terhadapi rejim ini. Kekejaman berpuluh-puluh tahun rejim ini sampai kepada kemuncaknya apabila mereka telah bertindak membunuh serta memenjara ribuan para ulamak, cendekiawan serta wartawan.

110. Persoalannya, apakah kebangkitan rakyat yang sedang berlaku di Asia Barat ini akan menjadi pengajaran kepada mana-mana rejim yang zalim dengan menafikan hak serta kebebasan rakyat termasuk juga di negara kita Malaysia?

111. Dalam hal ini kita ingin memperingatkan kepada kerajaan Barisan Nasional, bahawa apabila pemerintah mencabul amalan demokrasi, menyeleweng kewangan negara dan bersifat zalim terhadap rakyat, maka kebangkitan rakyat sebegini tentunya tidak dapat dibendung lagi. Episod di Asia Barat ini membuktikan ketegangan di antara rakyat dan pemerintah itu adalah berpunca daripada sikap pemerintah itu sendiri.

112. PAS juga akan terus istiqamah untuk menyuarakan ketidakadilan dan penentangan terhadap kezaliman ini di pentas antarabangsa – samada menerusi memorandum dan dialog, demonstrasi, forum antarabangsa seperti Muktamar Al-Quds, Persidangan Antarabangsa Parti Politik Asia (ICAPP), Persidangan Ahli Parlimen Islam dan sebagainya. PAS juga akan terus menerus menyumbang kepada dunia yang lebih adil dan aman.

113. Di rantau ini, PAS tetap berperanan membela umat Islam di Selatan Filipina dan Selatan Thailand yang terus bergolak. Kita akan terus mengambil 'pendekatan kemanusiaan' dan 'pendekatan diplomatik' bagi mencari jalan penyelesaian terbaik di kedua-dua wilayah bergolak ini. Inilah yang pernah dibuktikan oleh PAS, apabila kepimpinan PAS telah turut sama terlibat tanpa jemu dan menyuarakan pandangan serta nasihat kepada kepimpinan yang bertelagah, sehingga akhirnya cahaya perdamaian berjaya di meterai di wilayah Acheh sehingga sekarang.

114. Namum PAS ingin sekali lagi menegaskan bahawa agenda antarabangsa utama kita adalah pembebasan Masjid al-Aqsa dan bumi Palestin yang menjadi kiblat pertama bagi seluruh umat Islam. Kita juga ingin menegaskan, sekiranya keamanan dunia mahu di capai, Amerika Syarikat serta sekutu mereka hendaklah segera keluar dari menjajah bumi umat Islam seperti di Afghanistan dan Iraq. Perdamaian dunia juga hanya akan dapat dicapaii apabila kekejaman Zionis Israel terhadap rakyat Palestin dihentikan dan hak serta tuntutan bumi dan negara Palestin ditunaikan segera.



MUHASABAH

115. Marilah sama-sama kita bermuhasabah, dari peringkat tertinggi hingga ke jentera di medan, kerana tentunya banyak sekali kelemahan perancangan dan kelembapan pengurusan organisasi yang memerlukan tindakan baru dari kita semua. PAS dan ahlinya juga hendaklah menilai kejayaan dan pencapaian, tidak hanya berpandukan keputusan pilihanraya, walaupun pilihanraya adalah sebahagian daripada agenda yang penting. Rasulullah SAW meminta pejuang Islam mendahulukan cara damai, kerana perhitungan fadilat yang besar daripada setiap individu yang berjaya mendapat hidayah dengan hujah, dan ketahanan berjuang sehingga akhir hayat.

116. Allah menjanjikan dua kemenangan kepada mereka yang berjihad menegakkan agama Allah. Kemenangan akhirat yang kekal dan kemenangan di dunia berjaya menegakkan agama Allah. Kita tidak perlu merasa gundah dengan usikan mereka yang menonton di luar gelanggang perjuangan kita, samada dari kalangan musuh atau pemerhati yang tidak faham.

117. Inilah rahsia ketahanan perjuangan PAS yang tidak lemah disepanjang sejarahnya, tidak seperti kumpulan lain yang sudah hilang dalam lipatan sejarah atau makin lemah, apabila mengalami kekalahan di medan atau kehilangan tokohnya. Maka hakikat perjuangan ini tetap tidak akan padam, kerana fajar kemenangan akan sampai juga akhirnya.


Para hadirin dan hadirat sekalian,

AMANAH KEPIMPINAN

118. Muktamar ini dilangsungkan bersama pemilihan kepimpanan tertinggi parti, maka seluruh perwakilan hendaklah meletakkan perkara kepimpinan di atas tanggungjawab amanah yang besar dalam ajaran Islam, yang menjadi dasar dan matlamat perjuangan kita.

119. Maka hendaklah berpandukan kepada amanah yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW :



يَا عَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ سَمُرَةَ لَا تَسْأَلْ الْإِمَارَةَ فَإِنَّكَ إِنْ أُوتِيتَهَا عَنْ مَسْأَلَةٍ وُكِلْتَ إِلَيْهَا وَإِنْ أُوتِيتَهَا مِنْ غَيْرِ مَسْأَلَةٍ أُعِنْتَ عَلَيْهَا

صحيح البخاري - (ج 20 / ص 302)

Wahai Abdul Rahman bin Samurah !, jangan sekali-kali meminta jawatan menjadi ketua (pemimpin) . Maka sesungguhnya jika sekiranya kamu diberi jawatan dengan memintanya nescaya dibiarkan memikulnya (tanpa pertolongan Allah), sekiranya diberi jawatan itu tanpa memintanya nescaya kamu diberi pertolongan melaksanakannya

إِنَّا وَاللَّهِ لَا نُوَلِّي عَلَى هَذَا الْعَمَلِ أَحَدًا سَأَلَهُ وَلَا أَحَدًا حَرَصَ عَلَيْهِ

صحيح مسلم - (ج 9 / ص 344)

Sesungguhnya kami, demi Allah tidak melantik memegang jawatan dalam melaksanakan tugas ini kepada seseorang apabila dia memintanya dan tidak juga kepada seseorang terlalu ingin menjawatnya

120. Pemilihan dalam Islam mempunyai nilai moral keluhuran dan kemuliaan yang tersendiri, bukan sahaja kelayakan pemimpin yang berteraskan Islam dari aspek iman, akhlak, ilmu, pengalaman dan pengaruh, kemampuan melaksanakan amanah, komited dengan gerakerja, termasuklah cara penonjolan yang berakhlak. Ingatlah bahawa kita memimpin bukan untuk menjadi popular, atau supaya digelar orang sebagai pahlawan, tetapi adalah untuk melaksanakan amanah Allah SWT, kerana amanah khilafah ini tidak akan surut hinggalah ke hari kiamat.

121. Inilah pendekatan yang dihayati oleh PAS di sepanjang jalan, sehingga kita mampu menghadapi ranjau dan gelombang perjuangan yang suci ini. Maka tunaikan amanah ini dengan cara dan sifat Islam yang kita junjung selama ini, supaya PAS terus menjadi bahtera penyelamat di dunia dan akhirat.


RUMUSAN UNTUK TINDAKAN BERSAMA

Berlatar belakangkan seluruh perkembangan politik tanah air dalam kita berdepan dengan cabaran pilihanraya umum ke 13 yang akan tiba nanti, maka faktor kejayaan berikut adalah amat penting untuk dihayati dan dilaksanakan segera oleh semua peringkat pimpinan, aktivis dan pendokong parti. Maka izinkan saya untuk membuat seruan berikut :

(i) Marilah kita sama-sama memahami tujuan perjuangan dan beristiqamah bersama PAS, memperkasakan organisasi, kerana PAS akan tetap dengan matlamat perjuangan yang digariskan dalam perlembagaannya, kerana itulah tuntutan tujuan ibadah, amanah dan khilafah yang menjadi tujuan kehidupan kita sebagai hamba Allah SWT.

(ii) Marilah kita memahami maksud tema muktamar Membangun Negara Berkebajikan, kerana ianya akan menjadi kunci kepada tindakan kita sepanjang tahun ini. Agenda besar kita yang telah dibentangkan dalam ucapan dasar ini perlu dibincang dan dipercambahkan fikrahnya, perancangan dan tindakannya, supaya tema ini mampu menjadi pemangkin dalam kita melakukan agenda perubahan yang kita rancangkan.

(iii) Marilah kita memperkukuhkan dan merapatkan saf serta mengeratkan" Ukhuwwah filLah" di kalangan ahli jamaah dalam memenuhi tuntutan Allah SWT, sebagai syarat kemenangan sekali gus mempersiapkan dan mempertingkatkan keupayaan dan kelancaran seluruh jentera pilihanraya parti di semua peringkat - JPP Pusat, JPN, JPRK, MTD dan UPU.



(iv) Marilah kita memahami tuntutan" Tahaaluf Siyasi" sebagai pendekatan pemuafakatan politik yang paling bijak dan wajar di kalangan parti-parti komponen Pakatan Rakyat sekaligus memenuhi tuntutan melancarkan gandingan jentera pilihanraya bersama Pakatan Rakyat di semua peringkat pusat, negeri, kawasan dan cawangan, bagi mendepani cabaran menumbangkan kerajaan UMNO/BN.



(v) Marilah kita memperluaskan muafakat melaksanakan perubahan dalam negara kita ini, bersama-sama dengan seluruh badan-badan NGO dari pelbagai latarbelakang aktiviti, serta seluruh rakyat yang prihatin supaya negara dapat dibebaskan dari amalan buruk dan demokrasi berat sebelah yang diamalkan sekarang ini.



(vi) Marilah kita memantapkan jentera penerangan parti bagi mengungguli penerangan kerana sesungguhnya Islam yang diperjuangkan PAS adalah membawa mesej "Rahmat Untuk Sekalian Alam". Jentera penerangan kita juga perlulah menyebar-luaskan agenda perubahan seperti yang termaktub dalam "Dasar Bersama", "Buku Jingga", dan yang telah disebut dalam ucapan dasar ini.



(vii) Marilah kita memurni dan membersihkan Siyasah atau Politik sebagai satu bidang dan juzu' penting dalam kehidupan umat Islam khasnya, dan rakyat seluruh rakyat amnya, dengan membersihkan bidang politik dari perilaku dan gejala politik jijik, fitnah dan perkauman sempit yang diamalkan UMNO/BN di waktu ini. PAS mesti mengambil peranan utama dalam menjayakan usaha murni ini untuk menamatkan fahaman dan amalan politik "Matlamat Menghalalkan Cara" seolah-olah politik adalah bebas dari ketentuan dan bimbingan syariat Allah SWT.



(viii) Marilah kita memperkukuhkan prinsip "Semak-Imbang" yang dituntut di dalam Al-Quran sebagai teras utama tata-kelola pengurusan serta pemerintahan sesebuah kerajaan yang dibimbingi nilai-nilai Islam dan nilai-nilai demokratik bagi menjayakan "Pengurusan Terbaik" untuk mencapai cita-cita tema muktamar "Membangun Negara Berkebajikan".


PENUTUP

Akhirnya, di kesempatan ini saya bagi pihak kepimpinan PAS ingin mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada Panitia Induk Muktamar, PAS Wilayah Persekutuan dan Selangor sebagai tuan rumah, penyumbang dan semua petugas yang terlibat, serta semua pihak yang menjayakan Muktamar Tahunan ke-57 ini. Tidak lupa juga kepada pihak Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) yang menyediakan kemudahan tempat kita bermuktamar pada hari ini.



Mudah-mudahan segala amal ini mendapat ganjaran pahala di sisi Allah SWT. Marilah kita menghayati akan firman Allah SWT :



Katakanlah: ""Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu



Seterusnya, saya RASMIKAN Muktamar PAS ke-57 ini dengan menyebut



بسم الله الرحمن الرحيم



dan sabda Rasulullah SAW :



سيروا على بركة الله

Tiada ulasan:

Nuffnang