Isnin, 9 Mei 2011

:: cina islam | 2011 ::

:: cina islam | 2011 ::


Anak Kartika Sari Ditemui Mati Lemas Di Sungai Perak

Posted: 09 May 2011 02:00 AM PDT

6 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

SUNGAI SIPUT: Mayat anak sulung bekas model sambilan Kartika Sari Dewi yang dilapor hilang dua hari lepas, ditemui terapung di Sungai Perak di sini awal Isnin.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput Supt Azman Salim berkata mayat Muhammad Azfar Mohamad Afandi, 9, ditemui pasukan mencari dan menyelamat pada pukul 1 pagi tadi, kira kira satu kilometer dari tempat mangsa dipercayai terjatuh.

Mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Sungai Siput untuk bedah siasat dan dijangka dituntut keluarganya tengahari ini untuk dikebumikan di Kampung Jawang, Karai dekat sini, katanya ketika dihubungi.

Azman berkata kanak-kanak itu disedari hilang oleh keluarganya pada pukul 12 tengah hari Jumaat lepas, ketika tinggal di inap desa milik keluarga mereka di sini yang terletak berhampiran sungai tersebut.

Gerakan mencari dengan bantuan pasukan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Rela dan penduduk kampung dilakukan sejurus menerima laporan kehilangannya, kata beliau.- BERNAMA

Menanti Umno terjerat perangkap sendiri

Posted: 09 May 2011 01:50 AM PDT

6 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

Agak ramai bersetuju dengan rumusan awal saya bahawa PAS merupakan parti paling kritikal dalam pilihan raya umum akan datang. Kecenderungan pengundi Melayu menjadi perbahasan menarik, manakala mood masyarakat Tionghua yang berterusan menolak BN seperti sukar hendak dilentur lagi. Rata-rata membayangkan pengundi India, walaupun masih tidak dapat menerima MIC, tetapi mungkin "ada yang berpatah balik".

"Bukan saja DAP yang untung besar dengan mengekalkan prestasi Mac 2008, malah mungkin dapat melonjak lagi," seorang pembaca dari Ipoh memberi respons kepada tulisan saya. "Dan jika tiada usaha luar biasa dilakukan untuk mengubah persepsi masyarakat Melayu di luar bandar, terutama di kawasan bukan kubu tradisi PAS, saya juga percaya Umno boleh mempertahankan undi dan kuasa mereka," tambahnya.

Namun, seperti kata Perdana Menteri, Najib Razak, "selagi semboyan belum dibunyikan, persiapan (menghadapi pilihan raya) boleh ditingkatkan." Ya, biar segenting mana sekalipun kedudukan PAS, berdepan dengan pelbagai tipu helah dan gugatan mencabar, khususnya berkaitan senarai pendaftaran pemilih yang mudah dimanipulasi, segalanya masih boleh dipengaruhi dan diperbetulkan.

Namun, untuk menggagalkan usaha terancang BN itu, ia memerlukan kerja kuat, berkemahiran dan mempunyai dana mencukupi. Proses pendaftaran pemilih dalam sistem First-Past-The-Post (FPTP) memang terdedah kepada "kerja jahat" elit penguasa. Oleh itu, masih ada desakan agar reformasi pilihan raya dapat dilaksanakan segera, antara lain memperkenalkan elemen sistem pengundian Proportional Representation (PR).

Mungkin proses persempadanan semula kawasan pilihan raya, ala gerrymandering, tidak dapat dipraktikkan lagi disebabkan BN tidak mempunyai majoriti dua pertiga di Parlimen, namun masih banyak ruang boleh diekspolitasi. Kadang-kadang ia sukar dihidu dan hanya dapat dikesan selepas pilihan raya, mengakibatkan pembangkang sekadar gigit jari.

Harakah telah mendedahkan komplot di antara Umno-BN, Jabatan Pendaftaran Negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya dirancang rapi bagi memindahkan pengundi ke kawasan strategik, menurut kepentingan parti itu, terutama di Selangor. Ini belum dikira taktik jahat memberikan kad pengenalan kepada warga asing, membolehkan mereka mengundi BN dalam PRU13.

Keghairahan (sebenarnya keserakahan) Najib, yang juga Pengerusi Umno Selangor, untuk merampas kuasa di negeri termaju itu tidak boleh disembunyikan lagi. Tidak salah untuknya menawan kembali Selangor dan juga negeri-negeri lain yang dikuasai Pakatan Rakyat tetapi biarlah "bertarung secara anak jantan".

Ia mengingatkan kita tentang taktik kotor Najib menumbangkan kerajaan pilihan rakyat di Perak (waktu itu Pengerusi Umno Negeri) pada 2009. Rekod menunjukkan, hampir semua negeri yang pernah jatuh ke tangan pembangkang, diambil alih BN (sebelumnya Perikatan) secara "keji" misalnya dalam kes Kelantan (1978), Terengganu (1961, 2004) dan Sabah (1994). Target berikutnya adalah Selangor. Operasinya berbeza di antara sebuah negeri dengan negeri yang lain.

Melihat "permainan" Umno-BN terkini, mereka seolah-olah tidak mahu membuang masa lagi untuk meraih kepercayaan pengundi Cina yang dirasakan semakin menjarak, sebaliknya tertumpu untuk mengaut sebanyak mungkin sokongan masyarakat Melayu. Pengundi Melayu perlu dipindahkan ke kawasan yang mana BN kalah dengan majoriti kecil (lebih membabitkan kerusi PAS dan KeADILan) dengan membiarkan kawasan di sebelahnya yang mungkin sedia dimenangi DAP mendapat majoriti lebih besar.

Pokoknya, dalam sistem FPTP, menang dengan majoriti satu undi atau 10,000 undi tidak membawa apa-apa perbezaan. Oleh itu, Umno merancang untuk menyerakkan undi Melayu ke kawasan yang begitu diperlukannya, dengan andaian orang Melayu adalah asset buat mereka. Dalam proses gerrymandering selepas PRU1999, andaian Dr Mahathir Mohamad, pengundi Cina akan memberikan kelebihan kepada BN.

Akhirnya, strategi menyerakkan pengundi Cina itu, walaupun berjaya pada 2004, sehingga membentuk banyak kerusi campuran, telah "membunuh" BN pada 2008.

Pelawaan Najib agar PAS bekerjasama dengan Umno, dan meninggalkan Pakatan Rakyat (terutama DAP) juga dilihat mahu mengikat simpati umat Islam. Umno cuba mempamerkan watak "merendah diri", sekali gus mempersepsikan PAS sebagai parti "penuh kesombongan" yang menolak tawaran perpaduan. Meskipun dari segi jumlah penguasaan kerusi Parlimen, PAS berada di tangga terendah berbanding DAP dan KeADILan, namun ia tetap berada pada posisi paling penting dalam percaturan politik Melayu.

Strategis Umno cukup sedar hal ini. Justeru, perancangan secara halus difokuskan untuk melemahkan potensi PAS yang cukup membahayakan kedudukan Umno itu. Sekali pandang, seolah-olah Umno menghalakan sasarannya kepada KeADILan, tetapi bagi saya, yang lebih digeruninya adalah PAS.

Dalam pilihan raya umum 1999, PAS pernah mencipta kejutan apabila majoriti pengundi Melayu memihak kepadanya, terutama di negeri-negeri Malay belt, pengaruh PAS cukup dominan. Dan sekiranya pimpinan PAS berupaya menampilkan sosok parti itu yang meyakinkan orang Melayu, selain membetulkan persepsi salah mereka, dan dalam masa sama mengekalkan sokongan pengundi bukan Melayu, tidak mustahil penguasaan BN di Putrajaya dapat ditamatkan.

Mengandaikan undi Melayu adalah "simpanan tetap" BN hanya mengundah padah buat Najib, apatah lagi dalam suasana kematangan berpolitik semua kaum makin meningkat. Bagaimanapun ia lebih banyak bergantung kepada ketekunan PAS untuk melakukan usaha luar biasa menawan hati dan membetulkan persepsi masyarakat Melayu dalam tempoh sesingkat ini.

Harakahdaily/-
Oleh : Ahmad Lutfi Othman

Tolak Umno Yang Tidak Sensitif Terhadap Islam

Posted: 09 May 2011 01:45 AM PDT

6 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

Parit Buntar, 9 Mei : Ketua Penerangan Pas Perak. Yb Drs Khalil Idham Lim berkata Umno Barisan Nasional tidak ada sensitiviti terhadap Islam walaupun rakyat Malaysia terus diberitahu media kerajaan bahawa Umno lah yang komited terhadap Islam di Malaysia.

Perdana Menteri dipetik sebagai berkata Kerajaan Persekutuan yang ditadbir BN amat berpegang kepada peruntukan Perlembagaan yang menetapkan Islam adalah agama rasmi apabila beliau memberi respon terhadap isu wujudnya kelompok yang mempersoalkan Islam sebagai agama rasmi persekutuan seperti yang termaktub.

"Saya kira isu ini sengaja direka umno BN bagi mencetus sentimen agama bagi kemarahan muslim negara sebagai talian hayat umno menjelang PRU 13 nanti," katanya ketika ditemui di sini.

"Pakatan Rakyat telah meterai persefahaman mengenai kedudukan Islam di Malaysia sebagai agama rasmi persekutuan, dan komited dengan perlaksaan Islam seperti yang telah diterjemahkan di Selangor dan Kelantan," ujarnya.

Tambahnya, Umno BN telah meletakkan Islam seolah-olah remeh dan layak dipersenda apabila mereka (Umno BN) langsung tidak ambil endah terhadap sumpah mubahalah oleh saiful dan dato eskay terhadap dua tuduhan kononnya ia dilakukan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya yang juga Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, walaupun sumpah itu sendiri telah mencetuskan kekeliruan dalam amalan sebenardalam Islam kerana sumpah sebegitu hanya boleh dibuat oleh orang yang dituduh, bukannya si menuduh.

"Ini amalan songsang yang diredhai dan dibiar oleh Umno BN, PM membiarkan sahaja apabila diminta memberi respon dan ia boleh menambahkan kekeliaruan umat Islam di Malaysia khususnya," jelasnya.

YB khalil yang juga Adun Titi Serong menjelaskan mereka (umno) cuba menggunakan taktik talian hayat isu yang sengaja diada-adakan bahkan Ketua Paderi Kristian Malaysia dipetik sebagai berkata, Tan Sri Datuk Murphy Nicholas Pakiam menafikan laporan media umno dan menyifatkan ianya sebagai satu laporan tidak berasas sama sekali dan tidak beretika.

"Sudah sampai masa umat Islam perlu buka mata terhadap isu-isu ini, jadikan PRU 13 sebagai platfom untuk mengubah Malaysia ke arah yang lebih selamat, ubah sekarang selamatkan Malaysia," katanya.

Oleh : Hafizi Pauzi

AS prejudis dengan orang Islam?

Posted: 09 May 2011 01:30 AM PDT

6 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

WASHINGTON - Kematian pemimpin kumpulan militan Al-Qaeda, Osama Laden menjadikan negara Barat terutamanya Amerika Syarikat (AS) semakin prejudis terhadap orang Islam.

Kejadian terbaru yang melibatkan tiga orang imam yang dilarang menaiki pesawat dengan alasan kononnya untuk menjaga keselamatan penumpang lain, kelmarin.

Al-Amin Abdul-Latif, Masudur Rahman dan Mohamed Zaghloul diarahkan untuk kembali semula ke lapangan terbang LaGuardia, New York selepas tidak dibenarkan untuk meneruskan perjalanan tanpa diberikan alasan kukuh oleh petugas syarikat American Airlines.

Juruterbang pesawat menyatakan kepada salah seorang imam bahawa tindakan itu diambil kerana sesetengah penumpang mungkin tidak selesa dengan kehadiran mereka.

Wakil Majlis Hubungan Islam-Amerika, Ibrahim Hooper berkata, sememangnya mereka sedih dengan alasan itu tetapi ketiga-tiga imam itu memahami AS semakin mengetatkan kawalan keselamatan selepas kematian Osama Laden tetapi dalam masa yang sama ia mungkin menyinggung perasaan orang Islam.

Sinar Harian/-

Kenapa pandang kat perut saya - Anwar

Posted: 09 May 2011 01:25 AM PDT

6 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU, 9 Mei: "Ehhh kenapa semua pandang kat perut saya," kata Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika memulakan ceramahnya di Kuala Ibai dekat sini baru-baru ini dalam siri jelajah seluruh negara beliau.

Ia disambut gelak ketawa para hadhirin di majlis itu. Dari isu yang serius iaitu tuduhan menjadi pelaku dalam video seks menjadi santai.

Inilah caranya Anwar, yang menghadapi pelbagai tuduhan tidak baik dari musuh politiknya dalam apa yang digelar sebagai 'gutter politic' atau politik longkang yang sangat hina itu.

Sejak dari awal isu video seks datang, Anwar menegaskan beliau bukanlah lelaki yang menjadi pelaku dalam video seks itu.

"Muka macam saya tetapi perut bukan saya," kata Anwar dalam satu sidang media sebaik sahaja video itu mula didedahkan kepada wartawan di Carcosa Sri Negara oleh Trio Umno.

Sebelum inipun, inilah caranya Anwar menghadapi isu ini. Beliau menjadikan tuduhan yang serius ini dengan rileks tetapi penuh kepedihan untuk pihak yang menuduh beliau.

"Muka macam saya, tetapi bila lihat perut bukan saya. Ada yang suruh saya tunjukkan, Salahudin (Ayub, Naib Presiden PAS) minta saya buka baju, tunjuk tetapi Ustaz (Datuk Seri Tuan Guru Abdul) Hadi Awang kata tak payah," kata Anwar dalam majlis itu.

Dalam keceriaan menghadapi tuduhan itu, Anwar mengaku beliau tertekan dengan tuduhan yang dihadapkan kepada beliau itu.

"Saya ada perasaan, ada anak-anak, ada Azizah (Datuk Seri Wan Azizah, isteri beliau)," kata Anwar di Kuala Terengganu itu.

Bagi Anwar, politik mengaibkan orang dengan fitnah ini adalah sesuatu yang beliau tidak akan biarkan dan akan lawan.

Anwar membawa cerita dalam sejarah kerajaan Melayu sebelum ini yang antara lain sangat menitip beratkan agar pihak pemerintah atau raja-rajanya tidak sesekali mengaibkan rakyatnya.

"Jangan sesekali aibkan rakyat kamu. Kalau kamu aibkan juga, mala petaka atas kamu. Tetapi nampaknya Umno melanggar perinsip pertama muafakat antara kerajaan dengan rakyat ini.

"Lihatlah dalam pilihan raya akan datang, rakyat akan tumbangkan kamu," kata Anwar dengan disambut sorakan gemuruh para penyokongnya yang mendengar ucapan beliau malam itu.

Bagi Anwar, tindakan pihak musuh politiknya sangat tidak sesuai dengan keperluan negara sebenarnya.

Yang diperlukan negara sekarang adalah pengurusan ekonomi yang baik agar manafaatnya dirasai oleh rakyat tetapi media Umno sibuk memainkan isu video seks dan mendakwa beliau pelakunya.

Bagi beliau, negara terus menghadapi masalah apabila pemimpinnya sibuk mengkayakan kroni dan anak beranak masing-masing.

"Tun Dr Mahathir, umur dah 85 tahun masih sibuk lagi, anak dia Mokhzani, antara orang Melayu paling kaya di Malaysia. Najib, baru tiga tahun jadi PM, adik dia, Nazir, antara Melayu paling kaya di negara ini.

"Bagaimana mereka ini dapat kumpul harta sebanyak itu?" soal Anwar.

Sehubungan itu, beliau mahu Pakatan Rakyat perlu menang khasnya PAS di Terengganu dalam pilihan raya umum akan datang untuk membuat perubahan.

"PAS kena menang di Terengganu sebab kita nak ubah bukan untuk membalas dendam. Saya jamin, kita tidak akan telanjangkan dia sebagaimana saya kena. Saya hanya nak buktikan kepada rakyat, kita boleh buat," kata Anwar dengan disambut tepukan gemuruh para hadirin.

Antara perubahan yang dijanjikan Anwar adalah royalti minyak 10 peratus untuk rakyat Terengganu, penurunan segera harga minyak runcit, penurunan kadar tarif elektrik dengan mengkaji semula perjanjian dengan Pembekal Tenaga Bebas (IPP) dan sebagainya.

Harakahdaily

Mahasiswa koyak, pijak Utusan tanda bantah

Posted: 09 May 2011 01:20 AM PDT

6 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 9 Mei: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) hari ini membuat satu laporan polis berhubung laporan muka depan akhbar Utusan Malaysia bertajuk 'Kristian Agama Rasmi?'

Laporan itu dibuat presidennya, Ahmad Syazwan Hassan di balai polis Pantai dekat sini kira-kira jam 11.30 dengan diiringi 20 wakil pertubuhan pelajar lain termasuk bukan Islam yang berkumpul di luar pekarangan balai polis tersebut.

Menurut Ahmad Syazwan, kenyataan akhbar Utusan yang dikeluarkan pada 7 Mei 2011 boleh mejejaskan perpaduan kaum di negara ini kerana bersifat provokasi yang menyentuh sentimen agama di negara ini.

Menurut beliau lagi Utusan Malaysia dilihat tidak bijak dan kredibitinya dipertikai apabila mengambil sumber hanya daripada blog yang bersifat pandangan peribadi penulis.

Beliau juga mahu tindakan yang tegas diambil terhadap pihak Utusan mengenai kenyataan tersebut.

Selain itu, beliau juga menggesa pihak Utusan meminta maaf dan bertanggungjawab terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Syarikat media milik Umno itu.

"Tindakan ini adalah untuk memberi pengajaran terhadap mana-mana media yang juga mencetuskan sentimen agama yang boleh menjejaskan perpaduan di negara ini", katanya

Sementara itu, menurut Presiden Majlis Pewakilan Mahasiswa Universiti Malaya, Mohd Syahid Zaini berkata tindakan Utusan itu cuba mengaut keuntungan politik tanpa mengira kesannya kepada rakyat di negara ini.

Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UM, Mohd. Safwan Anang pula mahu mahasiswa menolak budaya fitnah dan provokasi dilemparkan akhbar tersebut.

Pandangan sama turut disokong Presiden Persatuan Mahasiswa Islam UPM, Mohd Hazim Mohd Noh.

"Kami bersikap tegas terhadap mana-mana media yang cuba mencetuskan sentimen perkauman ini, saya berharap segala unsur fitnah dan khabar yang tidak benar dari sumber yang betul hendaklah diselidik terlebih dahulu agar sebarang kenyataan yang dikeluarkan tidak menjejaskan keharmonian yang sedia ada di negara kita," katanya.

Sehubungan itu, mereka turut mendesak agar tindakan tegas diambil kepada pihak akhbar tersebut.

Sebagai tanda bantahan, mereka turut membaca akhbar utusan secara terbalik sebelum mengoyak dan memijak akhbar terbabit.

Harakahdaily/-
Oleh : Afiq Hizami, Pelatih UKM

Malaysia Daulah Kristian? Reaksi Menteri Yang Berjiwa Kerdil

Posted: 09 May 2011 01:00 AM PDT

6 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

KOMENTAR : Memang jelas jarak firasat dan kepemimpinan Tok Guru Nik Aziz Nik Mat dengan sekurang-kurangnya tiga menteri Umno yang nyata kontang idea mengenai soal kenegaraan dan juga bagaimana membaja keharmonian di Malaysia.

Apabila diminta komen beliau berhubung kegemparan yang dilakukan oleh Utusan Malaysia pada Sabtu 7 Mei lalu, dengan tenang pemimpin dan ahli agama itu menguis soalan dengan mengatakan "tidak mungkin beliau boleh mempercayai laporan Utusan Malaysia".

Pendirian Nik Aziz memang berasas. Ini kerana komponen utama Barisan Nasional, MCA sendiri kini menggerakkan kempen untuk memboikot akhbar millik Umno itu.

Perihal Utusan tidak menghormati nilai dan sensitiviti kaum lain dalam melaksanakan apa yang didakwanya sebagai "memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam" memang sudah diketahui umum.

Dalam kes ini, pendirian Utusan itu seolah-olah diperakukan oleh tiga menteri Umno –Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Hussein dan Menteri Komunikasi, Multimedia dan kebudayaan, Rais Yatim, dan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir Baharom.

Ketiga-tiganya bingkas menggertak sesiapa sahaja yang cuba membangkitkan sentimen agama dan mengancam kehormonian dan keselamatan Negara akan dikenakan tindakan tegas.

Bagi ketiga-tiganya memberi keabsahan kepada tindak tanduk Utusan itu adalah satu peranan yang perlu diluahkan secara terbuka.

Malah Jamil Khir yang diberi tanggungjawab mengurus halehwal agama Islam lantang mendesak DAP yang dikaitkan oleh laporan Utusan itu sebagai penganjur konspirasi hendak menjadikan Malaysia Negara Kristian dan mahu perdana menteri juga beragama Kristian menyatakan pendirian mereka.

Tidak ada usaha untuk menyiasat sumber berita berkenaan. Soal Utusan tidak berbuat demikian dan memutuskan kaedah penulisan penulis blog adalah sahih memanglah satu pelanggaran etika kewartawanan.

Sedihnya, menteri-menteri Umno yang beragama Islam seolah-olah terus percaya akan kesahihan berita berbahaya itu dan lantas menjerkah sesiapa sahaja yang bertindak mengikut laporan Utusan itu akan dikenakan tindakan tegas.

Usahlah congakan laba politik semata-mata dijadikam sandaran pengurusan Negara.

Kasihanilah rakyat jelata yang mahu hidup dalam Negara yang rukun dan damai. Apakah mungkin menteri-menteri berkenaan bersikap demikian kerana mereka sebenarnya adalah wakil "kerajaan Umno-BN yang lemah" seperti kata mantan Presiden Umno, Dr Mahathir Mohamad?

Sebab itulah agaknya mereka terkocoh-kocoh membuat sergahan tindakan tegas akan diambil untuk memberi gambaran kepemimpinan yang tegas demi menutup kelemahan ketara selama ini?

Beginilah masalahnya jika pemimpin yang tiada kebijaksanaan dan firasat yang tinggi. Malah diukur dari latar belakang pendidikan ketiga-tiga menteri berkenaan, ia pasti menyuntik keresahan dan kebimbangan rakyat betapa soal keselamatan dan susila komunikasi di kalangan kaum, agama dan juga rakyat boleh dikocakkan oleh menteri yang bersikap semberono ini.

Nik Aziz, misalnya, memberi jawapan yang tuntas mengapa laporan Utusan itu harus dikesampingkan. Latihan ilmu mustahalatul hadis – atau kesahihan rantaian laporan dan sumber hadis – yang adil dan saintifik membimbingnya untuk dengan yakin mengenepikan laporan yang tidak sahih dan sering menjadi punca atau sumbernya berbaur pelbagai kepentingan.

Itu natijah didikan agama. Hishamuddin, Jamil dan Rais wajib faham konsep asas – setiap sumber berita itu harus disemak dan disahkan terlebih dahulu – seperti yang diajarkan Allah dalam al Quran:

"Wahai orang-orangyang beriman, jika seseorang yang fasik datang kepada kalian membawa satu berita, maka telitilah kebenarannya, agar kalian tidak mencelakakan sesuatu kaum kerana kebodohan (kecerobohan), yang akhirnya kalian menyesali perbuatan kalian itu" (Al Hujurat ayat 6).

Memang isu yang dilaporkan itu perkara besar. Ia boleh menggerhanakan hubungan di antara kaum dan agama di Malaysia. Sebab itu, sikap berhati-hati perlulah menyaluti setiap tindakan daripada pihak berkuasa. Memang hari ini ketiga-tiga mereka orang yang berkuasa dalam Negara ini.

Namun mereka perlu belajar daripada negarawan seperti Nik Aziz supaya lebih berhikmah dan sentiasa memelihara kepentingan agama.

Bersikap bengis dan kasar seperti yang ditunjukkan oleh ketiga-tiga menteri Umno itu cuma akan melontarkan gambaran yang agak kurang bersusila di benak dan perasaan mereka yang bukan Islam.

Pemimpin harus memimpin dan bukan memaksa rakyat untuk memilih mufarakah atau meninggalkan Jemaah Negara Malaysia. Jika beginilah sikap pemimpin,nampaknya masih jauh lagi konsep 1Malaysia bakal jadi kenyataan.

Namun ditinjau di sudut lain, pasti akan timbul pertanyaan, mengapa ketiga-tiga menteri Umno bersikap bengis sedemikian. Adakah mereka benar-benar yakin konspirasi Kristian ini sahih? Jika ia, apa dan di mana buktinya? Rakyat bukan sekadar ingin tahu, malah mereka wajib tahu kerana implikasi kepada kerukunan hidup di Malaysia amat besar.

Usahlah keserakahan sikap menyokong tindakan beberapa kerat ekstrimis yang mengarak kepala lembu yang menjadi simbol suci dalam agama Hindu dua tahun lalu berulang. Ia kini boleh disimpulkan sebagai cerminan sikap dangkal ilmu dan mutu kepemimpinan yang rendah.

Jika diyakini Islam itu adil dan martabatnya tinggi maka sikap dan perangai pemimpin-pemimpin Islam juga mestilah luhur dan mulia. Dengan menggertak dan menghunus senjata, ia tidak selalu menanamkan kegerunan pada pihak lain. Ia hanya jadi bahan senda gurau dan kebencian rakyat. Belajarlah menjadi dewasa dan bertanggungjawab.

Tv Selangor/-

Osama Sempat Rakam Amaran Terakhir Kepada Amerika

Posted: 09 May 2011 12:45 AM PDT

6 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

DUBAI: Osama bin Laden sempat merakamkan amaran terakhir sebelum dia dibunuh oleh komando Amerika Syarikat (AS) dengan menyatakan tidak akan ada keamanan di AS selagi Palestin terus bergolak.

Kerajaan dulu tak cekap: Khalid

Posted: 09 May 2011 12:30 AM PDT

6 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

SELAYANG – Pelaksanaan projek penempatan semula penduduk Bukit Botak oleh pihak Kerajaan Negeri sebelum ini dilihat tidak menyelesaikan masalah keseluruhan penduduk asal tinggal di situ.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, biarpun kos projek terbabit sebelum ini adalah rendah, tetapi pelaksanaannya tidak teratur dan mengambilkira keselesaan penempatan yang akan diduduki.

"Sedangkan rumah kita beli bukan untuk tinggal hanya untuk lima atau 10 tahun, tetapi ia digunakan lebih dari dua generasi. Tetapi sebelum ini kerana takutkan kos tinggi, ia dibuat secara tidak betul.

"Sekarang kita lihat banyak hendak kurangkan kos. Namun akibatnya tidak sampat tujuh ke lapan tahun, pelbagai masalah seperti paip dan bumbung pecah, dinding retak dan sebagainya berlaku," katanya.

Abdul Khalid berkata demikian semasa berucap merasmikan majlis lawatannya bersama penduduk ke rumah contoh Projek Bukit Botak, di sini, semalam.

Hadir sama dalam lawatan berkenaan ialah Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri, Othman Omar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi dan Exco Kerajaan Negeri, Iskandar Abdul Samad.

Mengulas berhubung masalah pembinaan rumah kurang berkualiti di negeri ini, katanya pihaknya akan berbincang dengan Exco berkaitan supaya projek dijalankan lebih berkualiti dan menguntungkan pembeli seperti di Bukit Botak.

Dalam pada itu, Abdul Khalid berkata, banyak usaha telah cuba diambil bagi menyelesaikan isu Bukit Botak sebelum ini menemui jalan buntu sehinggakan penduduk terlibat merasakan ia tidak dapat diselesaikan.

"Tempoh 20 tahun bukan sesuatu yang singkat. Wajar kita merasa kecewa dengan kegagalan masa lalu yang menunjukkan ada kelemahan dalam proses membuat keputusan untuk kebaikan rakyat.

"Saya percaya rakyat khususnya penduduk Bukit Botak ini wajib diberikan maklumat sebenar supaya mereka tahu apa masalah sebenar yang memberi kesan kepada mereka," katanya.

Projek penempatan semula ini terbahagi kepada enam fasa ini melibatkan 2,300 keluarga pemilik di kawasan seluas 201 hektar, dimulakan sejak 21 September 2010 dan bakal siap pada 20 Jun 2012.

Sinar Harian/-

'Jalan rakyat' tak payah bayar tol

Posted: 09 May 2011 12:20 AM PDT

6 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

BUTTERWORTH, 9 Mei: Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang memperkenalkan 'jalan rakyat' khusus kepada penduduk sekitar Butterworth bagi mengelakkan membayar kadar tol 50 sen sehala di Tol Sungai Nyiur mulai semalam.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng ketika merasmikan jalan sepanjang 1 kilometer dari Jalan Bagan 29 ke Jalan Siram menyifatkan satu lagi kejayaan Kerajaan Pakatan Rakyat untuk menunaikan janji pilihan raya membantu rakyat bukan membebankan mereka sebagaimana yang menjadi amalam Kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Pulau Pinang sekali lagi mencatit sejarah apabila berjaya memperkenalkan 'jalan rakyat' bagi kemudahan penduduk di sekitar Butterworth yang hendak ke Seberang Jaya mahupun ke lokasi lain tanpa membayar sesen pun tol," terangnya diiringi tepukan hadirin.

Tindakan Kerajaan BN yang membenarkan sebuah syarikat mengutip tol di jalan sedia ada dari Seberang Jaya ke Butterworth tiga tahun lalu dilihat membebankan rakyat apabila pengguna jalanraya Butterworth-Kulim terpaksa membayar RM1 pergi balik.

Pembinaan jalan rakyat itu juga, sambungnya yang juga Ahli Parlimen Bagan, boleh dijadikan pengajaran kepada pemerintahan yang zalim supaya membuang jauh tindakan menindas rakyat dengan bebanan kewangan.

Bahkan, katanya pembinaan tersebut juga merupakan satu contoh kebajikan yang Kerajaan Pakatan Rakyat berikan terhadap sokongan mereka pada pilihanraya umum lepas.

"Kita buat secara tander terbuka di mana kosnya RM5.7 juta dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri semata-mata untuk melihat rakyat gembira. Melalui tender terbuka itu sebuah kontaraktor melayu yang tiada kabel dengan mana-mana pemimpin Pakatan Rakyat berjaya melaksanakan tugas dengan baik," jelasnya.

Dulu ujarnya, penduduk Taman Bagan tidak boleh keluar sebab jalanya adalah jalan mati melainkan menghala semula ke Butterworth tetapi setelah mendapati pembangunan pesat berlaku di situ, maka jalan rakyat dilaksanakan.

Kata Lim lagi, kerajaan negeri yang berjiwa rakyat bukan sahaja memberikan kesenangan dan kemudahan pada rakyat keseluruhanya malahan boleh menghidupkan semula jalan yang sudah mati.

"Untuk memberikan kesenangan kepada semua Kerajaan Pakatan Rakyat sanggup menghidupkan jalan yang dah mati. Mana ada kerajaan yang sanggup buat macam tu," katanya.

Harakahdaily/-
Oleh : Mohd Sabri Said

5 soalan untuk UUM

Posted: 09 May 2011 12:00 AM PDT

6 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

ALOR SETAR, 9 Mei: Tindakan Umno mempermainkan isu rebat cukai tanah untuk Universiti Utara Melaysia (UUM) terbukti mempunyai agenda politik apabila isu cukai tanah lain-lain institut pengajian tinggi awam (IPTA) tidak dibangkitkan.

Laman Kedahlanie telah membangkit lima isu untuk dijawab oleh para pemimpin Umno dan orang ramai ekoran usaha keras Umno untuk memburukkan kerajaan negeri Kedah ini.

Soalan-soalan yang dikemukakan itu adalah:

1. Cukai tanah UUM cuma RM0.20 semeter persegi, cukai tanah UiTM Merbok RM0.55 semeter persegi. Kenapa BN Kedah tak desak kerajaan negeri bagi rebat kepada UiTM Merbok sama? Dua-dua tu IPTA jugak kan?

2. Cukai tanah Universiti Malaysia Perlis (UNIMEPs) RM0.50 semeter persegi. Menteri yang jaga IPTA hentam Kedah sebab tak bagi rebat kepada UUM, mengapa menteri tu tak hentam Perlis yang diperintah BN kerana tidak bagi rebat kepada UNIMEPs?

3. Kerajaan Pusat bagi RM300 juta setahun belanja urus UUM termasuk cukai tanah. UUM kata tak cukup duit, kemana agaknya UUM habiskan peruntukan cukai tanah yang diberi Pusat itu?

4. BN kata Kedah tak prihatin dekat UUM sebagai institusi pendidikan. Baiklah BN yang prihatin.. mengapa setiap pelajar nak masuk belajar UUM
kena yuran? Mengapa tak bagi percuma semuanya?

5. UUM yang mengaku tiada duit (uzur), tahun lepas umum syarikat miliknya untung RM80 juta. UUM dakwa bukan bussines oriented guna premis dan tanah yang cukainya berstatus IPTA (semeter persegi RM0.20) hingga buat untuk besar tapi susah nak bayar cukai ikut kadar sebenar. Agak-agak perangai macam ni namanya bertanggungjawab ke tak?

Harakahdaily/-

Utusan bermain api

Posted: 08 May 2011 11:30 PM PDT

6 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, Gempar seluruh negara apabila akhbar Utusan Malaysia beberapa hari yang lalu seperti menyalakan api ketegangan antara agama ketika mencetus persoalan agama rasmi negara dengan spekulasi kononnya ada pihak tertentu yang berjuang untuk menjadikan kristian sebagai agama rasmi di negara ini.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan (gambar) berkata, suatu fakta yang diketahui umum bahawa Perlembagaan negara telah memeteri Islam sebagai agama rasmi negara ini sementara ummat Islam pula masih menjadi golongan majoriti biarpun Malaysia adalah sebuah negara majmuk.

Justeru itu, katanya Islam tidak sewajarnya tergugat dan ummat Islam tidak selayaknya membenarkan Islam digugat.

Jelasnya, PAS sebagai sebuah wadah perjuangan Islam di dalam negara ini pastinya tidak lebih rendah usahanya untuk memperjuang, mempertahan dan menegakkan Islam berbanding Umno dan Barisan Nasional.

Katanya, kegigihan serta kesungguhan PAS berjuang serta berkorban demi melihat Islam tegak dan berdaulat di dalam negara ini nyata tidak boleh dipertikai merentasi rekod dan sejarah perjuangannya.

"Sungguhpun PAS menyertai 'kerjasama politik' bersama parti-parti rakan kompenan Pakatan Rakyat (PKR dan DAP), namun PAS tidak pernah mengendurkan pedatinya untuk terus memacu perjuangan Islam, jauh sekali untuk berubah arah meninggalkan prinsip perjuangan yang didokong selama ini," tegasnya.

Malah, tambahnya pacuan semakin kencang ke arah menguasai negeri bahkan negara agar bebas dari cengkaman pengaruh dan kuasa Umno juga Barisan Nasional yang menjadi punca Islam dilihat lemah serta terdedah kepada ancaman setelah lebih 50 tahun mereka memerintah, mengurus dan mentadbir negara.

Beliau berkata, andainya Islam hari ini dilihat terancam dan penganutnya pula lemah pegangan agama adalah menjadi tanggungjawab semua melewati peranan dan tugas yang sayugianya dilaksanakan.

Katanya lagi, sementara kerajaan selaku pemegang amanah rakyat untuk menjaga agama, negara dan warganya mestilah mengambil tanggungjawab dengan penuh keinsafan melepasi jangkauan sempadan kepentingan politik dan parti.

"Saya melihat spekulasi yang ditimbulkan oleh Utusan Malaysia kononnya terdapat pihak tertentu yang berusaha untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara ini adalah berpunca dari kelemahan dan kegagalan Umno sebagai parti utama dalam Barisan Nasional menunaikan amanah yang digalaskan kepada mereka selaku pemerintah," ujarnya.

Menurutnya lagi, lebih 50 tahun rakyat memberi kepercayaan dan mandat kepada Umno mewakili Barisan Nasional untuk memimpin dan mentadbir negara khasnya untuk melindungi agama Islam dan kesejahteraan rakyat.

Beliau menambah, malang sungguh, malang seribu kali malang apabila Islam bukan sahaja tidak semakin kuat dan utuh tetapi dikesan umum bahawa ia semakin susut dan merosot.

"Jika Umno berjaya dan mampu menjaga agama Islam ini dengan baik dan menjadikan ianya semakin hari semakin kuat dan hebat, saya percaya dan yakin spekulasi untuk menjadikan kristian sebagai agama rasmi negara ini tidak akan timbul," ujarnya.

Bahkan, katanya dalam masa yang sama, penganut-penganut agama selain Islam akan terasa aman dan selesa untuk mengamal serta menganut agama mereka.

Tambahnya, spekulasi yang dicetuskan oleh Utusan Malaysia ini bukan sahaja menampakkan kelemahan dan kegagalan ketara Umno dan Barisan Nasional selaku pemerintah, ia juga berpotensi menyalakan api ketegangan antara agama.

"Pastinya situasi ini akan menggugat keamanan negara dan rakyat yang sepatutnya memperolehi hak hidup aman dan sejahtera," katanya.

Menurutnya, spekulasi itu sangat tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, selain dari potensi menggugat keamanan, spekulasi sedemikian juga dilihat umum sebagai usaha meraih perhatian politik murahan sekaligus percubaan nekad untuk menyembunyikan kelemahan dan ketidakupayaan mereka menjaga agama suci ini.

Harakahdaily/-

Letupan gas gegar kondo

Posted: 08 May 2011 09:30 PM PDT

06 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

Seorang penghuni warga Britain baru pindah cedera

KUALA LUMPUR: Satu letupan kuat dipercayai berpunca daripada letupan gas berlaku di tingkat 17 sebuah kondominium di Jalan Ampang di sini, malam tadi, sehingga menggegarkan beberapa bangunan di sekitar ibu negara.

Kejadian jam 7.40 malam itu mengakibatkan tingkap kaca beberapa bangunan kondominium berhampiran serta sebuah hotel yang terletak kira-kira 250 meter dari tempat kejadian pecah dan kacanya bertaburan di atas jalan.

Letupan itu turut menyebabkan penghuni unit di tingkat 17 berkenaan yang dikenali sebagai Paul Christopher Lovell, 61, seorang rakyat British cedera namun dilaporkan tidak serius.

Saksi, Daniela Samarero, 42, yang tinggal di tingkat 12 kondominium sama berkata, ketika kejadian beliau dan suaminya sedang menonton televisyen di ruang tamu sebelum dikejutkan dengan letupan kuat.

"Letupan itu yang menyebabkan semua kaca tingkap rumah kami pecah bertaburan. Malah, batu marmar pada bahagian dinding turut pecah.

"Saya dan suami terus bergegas mengambil dua kucing peliharaan kami dan lari turun mengikut tangga kecemasan untuk menyelamatkan diri," katanya yang bertugas di Kedutaan Belanda dan tinggal di kondominium itu sejak Ogos tahun lalu.

Katanya, sejurus letupan itu, beliau dan penghuni di blok B bahagian selatan kondominium itu kelam kabut menyelamatkan diri kerana bimbang kejadian lebih buruk berlaku.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail, berkata empat jentera bersama 38 anggota berjaya mengawal api dalam masa 45 minit.

"Selepas sejam, api dapat dipadamkan dengan sepenuhnya dan siasatan awal mendapati letupan dan kebakaran berpunca dari gas memasak yang memenuhi segenap ruang rumah dari saluran gas di unit itu," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Katanya, Unit Forensik belum dapat memastikan punca sebenar, sama ada kebocoran gas berpunca akibat kecuaian tuan rumah atau kerosakan pada saluran gas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah mengesahkan mengesahkan Levell baru berpindah ke kondominium itu, Jumaat lalu.

Levell kini dirawat di Hospital Prince Court.

Berita Harian/-

Datang gempa bumi baru nak berubah?

Posted: 08 May 2011 09:00 PM PDT

06 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM, 9 Mei: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang berbicara tentang perubahan sempat bertamsil; jika tanah tidak berubah dengan cangkul, ia akan berubah dengan banjir atau jika tidak mahu juga, ia akan berubah gempa bumi.

"Adakah rakyat mahu menunggu datangnya gempa bumi, baru hendak berubah?" soalnya ketika berucap merasmikan Hari Pekerja peringkat PAS Pusat di Dataran Bazarena Stadium Shah Alam, semalam.

Tambahnya, rakyat mesti ingat, jika tidak mahu berubah ikut cara biasa, bila berlaku gempa bumi, ia akan telan semua sekali termasuk Putrajaya.

Sehubungan itu, beliau terus meyakinkan rakyat tentang usaha mengurangkan bebanan hidup dan menambahkan kebajikan mereka boleh dilaksanakan dengan syarat hasil negara tidak bocor.

Beliau berkata, negara ini mempunyai sumber kekayaan yang mencukupi untuk membiayai kebajikan semua rakyat asalkan amalan rasuah dihapuskan sepenuhnya.

Turut berucap adalah Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahmud, Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani, Exco Kerajaan Selangor, Dr Halimah Ali dan Pengerusi Lajnah Pekerja PAS Pusat, Anuar Tahir.

Dalam pada itu, Ustaz Abdul Hadi berkata, semua janji yang terdapat di dalam Buku Jingga bukan janji kosong kerana sebahagiannya sudah dibuat di Kelantan dan Terengganu ketika PAS memerintah termasuk di Selangor, Pulau Pinang dan Kedah.

Meskipun, program dalam buku jingga itu memerlukan berpuluh bilion ringgit namun negara mempunyai sumber lain yang boleh menampung dalam usaha menunaikan kebajikan rakyat.

"Sebagai contoh, PAS telah menghapuskan tol, cukai pintu dan lesen peniaga-peniaga kecil ketika memerintah Terengganu kerana ketika itu negeri mempunyai sumber royalti minyak.

"Kemudian kerana khianat BN menafikan royalti minyak kepada rakyat Terengganu, namun kerajaan negeri di bawah PAS ketika itu tetap laksanakan program kebajikan rakyat.

"Kerajaan menaikkan cukai orang kaya, cukai barangan di masa sama, tiada cukai terhadap orang miskin, ini boleh dilaksanakan dengan mudah," tegasnya lagi.

Namun kini, jelasnya, BN tidak naikkan cukai orang kaya dan korporat kerana sebahagian besar golongan itu banyak membantu BN di dalam usaha mengekal kuasa politik mereka.

"Boleh buat sebenarnya namun rakyat diperbodohkan, boleh buat senang sahaja, tunaikan amanah," tambahnya di hadapan hadirin dan ribuan pengunjung lalu lalang di seputar program.

Seusai majlis perasmian, beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berjalan bertemu dengan sebahagian daripada lebih 700 peniaga berbagai jenis jualan di setiap hari minggu.

Semua golongan anggota masyarakat kelihatan teruja dengan kesudian Presiden PAS menemui mereka dan menyantuni semua kalangan rakyat termasuk orang cacat dan kanak-kanak.

Dalam ucapannya juga, Ustaz Abdul Hadi menyatakan kaedah Islam jika memerintah negara lain tidak memunggah hasil sesebuah negara itu dibawa ke pusat selagi tidak selesai masalah di daerah dan negara itu.

"Inilah catatan sejarah yang menyebutkan ketika Islam memerintah Parsi, Rom dan Utara Afrika, kerajaan menyelesaikan masalah rakyat negeri terlebih dahulu.

"Tindakan ini menyebabkan orang bukan Islam masuk Islam dan lebih rela berada di bawah kerajaan Islam kerana semua rukun hidup dipercumakan," jelasnya.

Menurutnya, ia boleh dilaksanakan kerana Thailand boleh lakukan dengan tiada bayaran cukai jalan untuk kenderaan dan tol di jalan raya kerana mereka mempunyai sumber-sumber lain.

Tambahnya, di Britain sekarang ini setiap bayi yang baharu lahir diberikan wang susu mereka dan orang tua diberikan wang sara hidup termasuk mereka yang mengganggur.

Dengan syarat tiada rasuah dan kendalikan sumber negara dengan betul, pasti ia boleh selesaikan banyak masalah rakyat dalam negara ini, jelasnya.

Beliau juga menyatakan perasaan sedihnya kerana rakyat negara ini ditipu sejak sekian lama tetapi tidak berani melakukan perubahan dengan menukarkan kerajaan dengan pemimpin lebih baik.

"Di negara lain jika pemerintah buat silap, rakyat berani buat perubahan namun di negara kita buatlah kesilapan beratus kali pun, rakyat tetap tidak berani buat perubahan.

"Pemikiran sebahagian rakyat jadi beku seperti berada dalam peti ais namun begitu Allah tetap akan lakukan perubahan juga akhirnya," jelasnya.

Ismail Hashim

Pas tetap perjuang Islam

Posted: 08 May 2011 08:45 PM PDT

06 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM – Pas terus melaungkan ketegasan bahawa Islam tetap menjadi agama rasmi Persekutuan sekiranya Pakatan Rakyat (PR) berjaya merampas tampuk pemerintahan kerajaan pusat pada pilihan raya umum akan datang.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar) berkata, Pas bersama dua lagi parti komponen PR, iaitu PKR dan DAP, meletakkan asas yang sama seperti dipersetujui dalam Konvensyen Pakatan Rakyat sebelum ini untuk terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, perkara ini adalah satu ikrar yang telah terpahat dalam dasar PR dan telah dipersetujui dalam Konvensyen Pakatan Rakyat Shah Alam 2009.

"Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini.

"Oleh yang demikian hirup pikuk yang di lemparkan oleh media tertentu bertujuan untuk membakar semangat rakyat terutamanya di kalangan orang Melayu beragama Islam, bahawa Malaysia akan menuju ke arah negara Kristian adalah suatu pemberitaan yang sangat tidak beramanah," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Katanya, kegagalan mempertahankan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara ini didakwa berpunca dari kealpaan dan kelemahan kepimpinan UMNO.

"Merekalah yang sebenarnya gagal memperkasa Islam sebagai agama Persekutuan sehingga gagal menyediakan kefahaman Islam yang sebenar kepada rakyat.

"Melayu menghadapi kecelaruan sahsiah dan bencana akidah yang tidak mampu untuk menguatkan orang Melayu beragama Islam dalam negara kita ini," katanya.

Jumaat lalu, beberapa blogger mendedahkan terdapat satu perjumpaan paderi seluruh negara di Pulau Pinang, didakwa dianjurkan oleh Ahli Parlimen Jelutong dari DAP, Jeff Ooi, dikatakan berikrar menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara.

Ooi menafikan beliau menganjur perjumpaan itu atau terdapat ikrar seperti yang didakwa itu.

Sinar Harian/-

TASKA haram, pengasuh asing jejas 3,000 bayi, kanak-kanak

Posted: 08 May 2011 08:30 PM PDT

06 Jamadilakir 1432H. [MOD] -

IPOH: Lebih 3,000 bayi dan kanak-kanak di Perak terdedah kepada risiko keselamatan atau lebih malang kehilangan nyawa kerana dijaga pengusaha dan pengasuh taska haram.

Berdasarkan maklumat diperoleh Berita Harian, hanya separuh daripada lebih 400 pengusaha taska dan pengasuh kanak-kanak di negeri itu berdaftar dengan Persatuan Taska Perak (PTP), manakala selebihnya secara haram.

Lebih mengejutkan, ada di kalangan pengusaha haram itu beroperasi tanpa menggunakan khidmat penjaga bertauliah, selain premis diduduki tidak mendapat sijil kelayakan menduduki (CF) daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Dari segi bilangan taska pula, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak mengakui terdapat 265 taska di negeri itu sehingga Disember tahun lalu, namun hanya 83 premis berdaftar, manakala 182 lagi sudah tamat tempoh perakuan.

Timbalan Pengarah I JKM negeri, Mohamad Nasir Suratman, berkata kajian pihaknya mendapati berlaku peningkatan jumlah taska tidak berdaftar disebabkan kekangan masa untuk mendapatkan tempoh kelulusan perakuan penubuhan, kurang maklumat membuat permohonan pendaftaran dan masalah keluasan premis digunakan.

"Tiga agensi utama iaitu pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Kesihatan akan bertanggungjawab melakukan pemeriksaan sesebuah premis itu sebelum JKM boleh memberi kelulusan lesen taska.

"Jika mana-mana di antara agensi itu tidak memperakui kerana gagal mematuhi syarat yang ditetapkan, taska itu tidak boleh beroperasi.
"Dalam tempoh tiga tahun ini juga, JKM turut mendapati trend taska tidak berdaftar semakin meningkat dengan jumlah 109 taska pada 2008 kepada 182 pada tahun lalu," katanya kepada Berita Harian.

Sementara itu, Presiden PTP, Ding Moi King mengakui pihaknya mendapati kebanyakan pengusaha di Perak tidak berdaftar dengan persatuan dan JKM.

"Ada di kalangan mereka mengambil khidmat warga asing sebagai pengasuh," katanya.

Berita Harian/-

Hari ibu kenapa tidak boleh disambut oleh orang Islam?

Posted: 08 May 2011 08:30 PM PDT

06 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

Hari Ahad ini (setiap Ahad minggu kedua bulan Mei) semua yang bergelar ibu termasuk ibu tunggal diraikan dalam sambutan Hari Ibu. Maka pada kesempatan ini saya mengucapkan selamat menyambut Hari Ibu kepada semua ibu termasuk isteri saya yang masing-masing ada anak yang sedang membesar. Jasa ibu dalam membesarkan anak ini sungguh tidak ternilai dengan wang ringgit.

Tanpa didikan ibu, anak-anak tidak akan menjadi manusia walaupun rupanya manusia. Kesabaran ibu mendidik anak walaupun dalam keadaan tertekan, berjaya juga membawa mereka ke universiti. Namun jasa ibu itu tidak diminta untuk dibalas oleh anak.

Saya sendiri dibesarkan oleh ibu yang amat penyayang. Walaupun dia buta huruf, tidak boleh membaca dan menulis, namun dia diberi keistimewaan boleh membaca al-Quran dengan baik malah boleh mengajar anak kampung bacaan al-Quran dengan baik. Maka berkat didikannya kini saya jadi seperti hari ini. Terima kasih ibu, semoga rohmu damai di alam barzakh.

Sememangnya ibu diberi amanah yang berat, namun mereka tetap terima dengan sabar. Firman Allah:

Maksudnya: "dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; kerana ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)." (Surah Luqman : 14)

Persoalannya, adakah anak-anak hari ini menyedari perintah Allah ini? Adakah anak-anak hari sedar penderitaan ibu yang mengandungnya dalam rahim ibu? Adakah mereka tahu bahawa ibu amat sayang kepadanya hingga sanggup memberi susu ibu sendiri selama dua tahun?

Menyedari keadaan ini, saya menyeru kepada semua manusia khususnya yang beragama Islam, anda tentunya ada ibu walaupun sudah meninggal dunia, berbuat baiklah kepada ibu. Dalam hal ini kita kena ingat, kalau ibu sudah tiada, berbuat baiklah kepada orang yang pernah dikasih ibu. Menghubungkan silaturrahim adalah pahala yang amat besar di sisi Allah.

Selain itu Allah mahu anak-anak yang bersyukur kepada Allah kerana dengan kurnianya anda berjaya dibesarkan oleh ibu bapa tanpa cacat celanya. Oleh sebab itu, syukur jugalah kepada kedua-dua ibu bapa anda terutama ibu yang banyak terlibat secara langsung dalam membesarkan anda. Dalam hal ini Allah terus mengingatkan anak-anak dalam firmannya:

Maksudnya: "dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya Engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata, dan hendaklah Engkau berbuat baik kepada ibu bapa. jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaan-Mu, maka janganlah Engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah Engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun)." (Surah al-Isra' : 23)

Tuhan perintahkan manusia dalam ayat di atas pastinya merujuk kepada anak supaya menyembah Tuhan iaitu Allah, dan pada masa yang sama berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa. Berbuat baik tentunya dalam tempoh membesar dan setelah berkeluarga.
Tetapi Allah pesan lagi dengan sedikit penekanan, apabila sampai kepada kamu suatu tahap yang kedua-dua ibu dan bapa sudah tua, atau salah satu daripada keduanya, maka janganlah berkata kepada kedua-duanya "uppin". Mungkin dalam konteks orang Melayu, "Uh" "Ah" dan seumpamanya.

Allah ingatkan manusia kerana Allah tahu, akan ada manusia yang bersikap suka menengkin ibu apatah lagi sewaktu tua. Jadi, ingatan ini amat berguna buat anak-anak seperti saya, walaupun ibu sudah tiada. Oleh sebab itu, buatlah yang terbaik untuk ibu. Ingatlah kalau hari ini kita derhaka kepada ibu, esok anak anda pula akan menjejaki sikap anda. Lalu dia juga akan menderhakai akan anda.

Waktu anda sudah berumah tangga,Sewaktu anda sudah ada rumah sendiri dan ada anak isteri, sama ada anda kaya atau miskin, jangan sombung terhadap ibu. Sebaliknya Allah perintahkan agar anak-anak anda merendahkan sayap, menurunkan ego untuk bertemu mereka. Firman Allah:

Maksudnya: "dan hendaklah Engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, Dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.

" (Surah al-Isra' : 24)
Merendahkan sayap boleh dibahagikan kepada dua iaitu, menjengok dan bertanya khabar tentang kesihatan ibu, dan kedua berdoa selalu. Sesungguhnya berdoa tidak perlukan modal untuk pulang ziarah. Tetapi bolehkah amalan itu dijadikan budaya? Di sinilah kelalaian umat Islam masa kini.

Oleh sebab itu jika anda sudah ada anak, didiklah mereka dengan betul sesuai dengan kehendak Allah dan Rasul. Dalam hal ini Rasulullah ada berpesan dalam sabdanya:
كل مولود يولد على الفطرة فأبواه يهودانه وينصرانه ويمجسانه

Maksudnya: "Setiap seorang dilahirkan dalam keadaan fitrah (bersih) maka kedua-dua ibu bapanyalah yang mengyahudikannya atau menasranikannya atau memajusikannya." (Riwayat Bukhari)

Maknanya, ibu dan bapalah yang seharusnya mendidik anak menjadi cemerlang. Ibulah yang bertanggungjawab membentuk peribadinya. Tetapi kalau salah didik maka jadilah anak itu sama ada berpengaruh kepada yahudi, nasrani atau majusi.

Dalam hadis tersebut Rasulullah mencontohkan kepada tiga golongan tersebut bagi menunjukkan bahawa didikan ibu mesti berasaskan agama. Jadi, kalau didikan tidak kepada agama Islam sudah pasti akan terarah kepada agama lain.

Tugas mendidik anak dalam konteks ini ialah ibu kerana ibu lebih banyak masa dengan anak. Oleh sebab itu, ibu tidak boleh memberi alasan sebuk atau tidak pandai dalam mendidik agama kepada anaknya. Ingatlah kalau ibu gagal mendidik anak ke arah itu, nanti anak tersebut akan menjadi penderhaka terhadap ibunya sendiri.

Tindakan anak soleh

Di sini saya menyenaraikan tindakan wajar yang patut dilakukan oleh anak terhadap ibu mereka.

1. Mentaati perintah ibu
Sebagai anak anda wajib mentaati perintah ibu berdasarkan ayat di atas. Malah Rasulullah ada bersabda dalam hadis yang masyhor:
الجنة تحت اقدام الامهات

Maksudnya: Syurga di bawah tapak kaki ibu.
Maknanya untuk menikmati syurga anak perlu mengikut langkah dan rentak ibu. Apa yang dikata dan apa yang disuruh perlu diikut. Namun ketaatan itu hendaklah pada perkara yang tidak menderhakai Allah. Sabda Rasulullah:

لا طاعة لمخلوق فى معصية الخالق

Maksudnya: Tiada ketaatan kepada perkara yang menjurus kepada maksiat terhadap Allah.
Maknanya jika ibu menyuruh anak mencuri barang orang atau menyuruh anaknya menyebarkan fitnah, maka perkara itu tidak boleh ditaati. Tetapi perlu diingat, larangan ini tidak bermaksud anak boleh menentang ibu. Malah anak tidak boleh memusuhi ibu. Sebaliknya anak perlu memberi alasan yang islami mengapa dia tidak boleh mentaati perintah ibu itu.

Ingatlah ibu tetap ibu walaupun mereka terdiri daripada orang yang pernah derhaka kepada Allah. Walaupun anak tidak boleh mentaati ibu dalam perkara maksiat, tidak bermakna si anak boleh mengisytiharkan perang terhadap ibu. Jadi, perkara baik yang disuruh tetap wajib ditaati, hanya perkara yang bercanggah dengan Islam sahaja yang patut diabaikan.

2. Berdoa untuk ibu
Berdasarkan ayat 24 Surah al-Isra' di atas, si anak wajar mendoakan ibunya semasa hidupnya apatah lagi selepas dia mati. Sabda Rasulullah:
اذا مات ابن الادم انقطع عمله الا ثلاث، صدقة جارية،
علم ينتفع به، وولد صالح يدعوله

Maksudnya: "Apabila mati anak Adam terputus amalannya melainkan tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang mendoakannya."

Namun tiga perkara di atas banyak bergantung kepada usaha ibu semasa hidupnya. Kalau ibu banyak buat sedekah yang berupa wakaf, tentu faedahnya berkekalan, kalau ibu ada mendidik anaknya dan anak orang lain dengan ilmu yang berfaedah atau dia menghasilkan buku yang boleh dimanfaatkan orang lain, tentulah manfaatnya berpanjangan. Begitu juga kalau anaknya soleh, pasti dia mendoakan ibunya baik waktu hidup mahu waktu matinya.

3. Tidak menyakitkan hati ibu
Anak tidak boleh menyakitkan hati ibu walau dalam keadaan apa sekalipun. Walaupun anak tidak suka kepada tindakan ibu, tidak bolehlah bertindak menyakitkan hatinya. Carilah jalan yang boleh membuatkan ibu sentiasa gembira. Ingatlah sabda Rasulullah yang antara lain bermaksud: "Keredaan Allah s.w.t. ada dalam keredaan ibu bapa, dan murka Allah ada dalam kemurkaan ibu bapa."

4. Tidak menyusahkan ibu
Anak juga tidak wajar menyusahkan ibu dalam apa tindakan. Kadang-kadang anak tidak sedar bahawa tindakannya boleh menyebabkan ibu menjadi susah hati. Permintaan yang bukan-bukan juga boleh menyebabkan ibu rasa susah untuk mendapatkannya. Kalau ibu orang yang berada, bolehlah dia mengadakannya, namun hati ibu tetap tidak senang. Apatah lagi kalau ibu orang yang miskin.

Berdasarkan senarai ini saya dapati pengorbanan ibu yang begitu besar, jarang dihargai. Anak-anak sering mengabaikan ibu, apatah lagi sesudah tua. Oleh sebab itu amat wajarlah hari ini disambut sebagai Hari Ibu. Setidak-tidaknya anak yang terlalai seketika dapat dikejutkan semula. Walaupun dalam Islam, mentaati, menghormati dan mengasihi ibu perlu dibuat setiap hari, tetapi realitinya tidak begitu. Oleh sebab itu mulai hari ini kasihilah ibu dan kekalkanlah dalam keadaan itu sehingga ke akhir hayat.

Ingatlah pesanan Rasulullah, tiga keadaan umat manusia yang mereka tidak akan masuk syurga iaitu orang yang membuat dosa kepada ibu bapa, orang yang tiada cemburukan anak atau isterinya bertemu dengan orang laki-laki (yang bukan mahram), dan orang perempuan yang (berpakaian) menyerupai laki-laki. Wallahu aklam.

Ahmad Baei Jaafar

Arab Saudi Nafi Air zam-zam Tercemar

Posted: 08 May 2011 08:00 PM PDT

6 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -



JEDDAH: Arab Saudi menafikan laporan stesen penyiaran BBC mendakwa telaga zamzam di Makkah tercemar dan peminumnya boleh mendapat kanser.

Presiden Pusat Kajian Geologi Arab Saudi, Zuhair Nawab, berkata semua langkah perlu diambil bagi memastikan telaga dan air zamzam itu sentiasa selamat.

"Agensi ini bertanggungjawab memantau kualiti air yang penting bukan saja kepada Arab Saudi, malah kepada umat Islam sedunia.

"Pemantauan dilakukan setiap hari dengan mengambil tiga sampel untuk diuji dan setakat ini tiada pencemaran dikesan," katanya, semalam.

Sebelum ini, BBC mendakwa ujian terhadap contoh dari pili zamzam di Makkah serta air yang dijual dalam botol menunjukkan kandungan nitrat tinggi, bakteria berbahaya dan kandungan arsenik tiga kali lebih tinggi berbanding yang dibenarkan.

Kata Zuhair, proses membotolkan air zamzam dibuat secara moden.

"Bahan cemar mungkin ditemui ketika ia diedar semula dalam botol lebih kecil oleh individu tertentu," katanya. 

AN

Serbu KM: Umno bertindak ala samseng

Posted: 08 May 2011 07:45 PM PDT

06 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

BUTTERWORTH, 9 Mei: Tindakan ala samseng yang dipamerkan oleh pemuda Umno Pulau Pinang sepertimana yang dizahirkan selepas majlis perasmian Projek Pembinaan Jalan Penghubung di Jalan Bagan 29 - Jalan Siram oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng memperlihatkan wajah sebenar pimpinan mereka yang ingin wujudkan.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Mohd Salleh Man (gambar), ketika mengulas insiden yang mencemarkan imej Umno Pulau Pinang itu, menyatakan apa yang dipertontonkan oleh Pemuda Umno yang diterajui oleh ketuanya, Shaik Hussein Mydin, mencalarkan wajah Umno sendiri.

Dalam insiden semalam, selepas majlis perasmian bertempat di pasar awam Taman Bagan, sekumpulan pemuda Umno telah menyerbu Lim Guan Eng ketika bersama dif kehormat untuk menyatakan kekesalan mereka mengenai isu 'Kristian agama rasmi negara' sepertimana yang disiarkan oleh akhbar arus perdana milik Umno.

"Apakah ini barisan pemimpin yang mahu diwujudkan oleh Umno tanpa menghormati seorang ketua kerajaan negeri yang dipilih oleh majoriti rakyat sebagai pemerintah.

"Jika tindakan tidak bermoral dan ala samseng ini jelas dipertontonkan di khalayak ramai, apakah kita yakin mereka ini dapat membela nasib rakyat dan golongan muda sekiranya ini akhlak yang ada," kata Salleh yang juga Adun Permatang Pasir.

Beliau berkata, Umno sepatutnya berasa malu di atas tindakan ala samseng yang ditunjukkan oleh pemuda mereka.

Soalnya, bagaimana pula sekiranya kejadian ini dilakukan oleh kumpulan lain terhadap pimpinan mereka pula.

"Apakah mereka rela ianya berlaku sedemikian. Begitu jugalah dengan tindakan mereka pada hari ini. Sepatutnya gunakan saluran yang betul. Jangan tunjukkan betapa rendahnya akhlak yang ada pada pimpinan mereka apabila bertindak demikian, " ujarnya lagi.

Dalam insiden tersebut juga juak-juak Umno telah membentangkan kain rentang, namun dengan kepantasan pihak polis, insiden yang memalukan itu dapat dihalang daripada terus menjadi satu provokasi yang memalukan.

Selain dari Mohd Salleh turut hadir pada majlis tersebut ialah Exco Kerajaan Negeri, Phee Boon Poh, Lim Hock Seng dan kepimpinan PAS dan PKR.

Harakahdaily/-
Oleh : Muhayat Jasmin

2 Lelaki ditembak Mati Depan Masjid

Posted: 08 May 2011 07:45 PM PDT

6 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -



YALA: Pemberontak di selatan Thailand membunuh dua penduduk Buddha dalam kejadian di depan sebuah masjid di Pattani, kata polis semalam.

Serangan maut itu berlaku sehari selepas dua bom diletupkan militan membunuh sekurang-kurangnya tujuh anggota keselamatan di wilayah itu.

Ia dianggap hari paling buruk dalam tempoh beberapa bulan di selatan Thailand.

Keganasan di Yala, Narathiwat dan Pattani semakin meningkat tahun ini, termasuk melalui insiden bom di tepi jalan dan cubaan membunuh seorang gabenor.

Militan juga berjaya menyerbu sebuah berek tentera dan melarikan sejumlah senjata. Pelbagai pihak mendakwa, kekejaman tentera Thailand ke atas penduduk setempat mencetuskan penentangan di wilayah didiami majoriti penganut Islam itu. 

Reuters

Pukau Guna Tisu

Posted: 08 May 2011 07:30 PM PDT

6 Jamadilawal 1432H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Dengan hanya menggunakan tisu, satu kumpulan pakar pukau dianggotai tiga lelaki berjubah dipercayai warga Indonesia dan seorang wanita warga tempatan berusia 30-an dikesan aktif memukau mangsa sebelum melarikan barangan berharga.

Kumpulan yang dilaporkan sudah bergiat aktif sejak empat bulan lalu dikesan mensasarkan mangsa wanita yang berseorangan di tempat tumpuan ramai seperti pusat beli-belah. 

Gambar hiasan

Malah, lagak alim dengan berpakaian berjubah dikatakan menjadi satu kelebihan kepada kumpulan terbabit untuk memudahkan mereka menghampiri mangsa sebelum menunjukkan 'tisu hikmat' berkenaan sekali gus memukau mangsa. 

Dalam kejadian terbaru di sebuah pusat membeli-belah di Wangsa Maju, kelmarin, seorang wanita berusia 56 tahun kerugian lebih RM5,000 selepas barang kemas dan wang tunai lebih RM700 dilarikan kumpulan itu.

Sebaik tersedar 15 minit kemudian, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju, di sini.

City Enggan Tekan Butang Panik

Posted: 08 May 2011 07:15 PM PDT

6 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -



LIVERPOOL: Pengurus Manchester City, Roberto Mancini meminta pemainnya bermati-matian dalam merebut tempat ke saingan Liga Juara-Juara Eropah, musim depan selepas harapan mereka terencat berikutan kekalahan 2-1 kepada Everton. 

Skuad Mancini menunjukkan beberapa petanda hilang keupayaan apabila melepaskan pendahuluan babak pertama di Goodison Park kelmarin untuk memberikan Tottenham peluang merapatkan jurang menjelang kunjungan penting mereka ke Eastland, pertengahan minggu ini.

Apapun, pengurus City itu enggan menekan butang panik dan percaya finalis Piala FA itu akan melangsaikan tugas mereka.

"Saya rasa pelik tewas kepada Everton. Kami menguasai permainan babak pertama dan memiliki empat atau lima peluang," kata Mancini. 

"Inilah bola sepak. Jika anda hilang tumpuan atau memberi ruang, ia sukar." 

Liverpool boleh memberi tekanan kepada City jika menang ke atas Fulham tetapi penentuan nasib skuad Mancini kini di dalam tangan sendiri. 

AFP 

Pesawat AS Usir 2 Imam

Posted: 08 May 2011 07:00 PM PDT

Jamadilakhir 1432H. [MOD] -


Gambar hiasan

NASHVILLE (Tennessee): Dua pemimpin Islam tempatan mendakwa mereka diarah keluar dari pesawat komersial di Memphis kelmarin apabila juruterbang enggan berlepas selagi mereka berada di dalamnya.

Pensyarah jemputan bahasa dan kesusasteraan Arab di Universiti Memphis, Masudur Rahman, berkata pada awalnya dia bersama seorang imam dibenarkan menaiki pesawat Delta Connection dari Memphis ke Charlotte, Carolina Utara.

Bagaimanapun, sejurus kemudian mereka diminta meninggalkan pesawat berkenaan.

Jurucakap Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan, John Allen, mengesahkan kejadian itu tetapi mendakwa, agensi berkenaan tidak ada kena-mengena dengan insiden itu.

Jurucakap syarikat Delta Airlines berkata, pesawat itu dikendalikan syarikat Atlantic Southeast Airlines yang berpangkalan di Atlanta.

Menurut Masudur Rahman, dia mengenakan pakaian tradisional India, manakala rakannya, Mohamed Zaghloul, berpakaian Arab lengkap dengan serban.

Mohamed Zaghloul adalah aktivis Persatuan Islam Greater Memphis.

Kata Masudur Rahman, pada peringkat awal, pesawat itu bergerak perlahan-lahan meninggalkan terminal.

Bagaimanapun, tidak lama kemudian, katanya, juruterbang mengumumkan mereka terpaksa berpatah balik ke terminal.

"Sejurus selepas itu, saya dan Mohamed Zaghloul diarah kru kabin supaya pergi ke pintu berlepas semula dan dimaklumkan juruterbang enggan menerima kami, kononnya kerana ada penumpang tidak selesa," katanya.

Menurut Masudur Rahman, kakitangan syarikat penerbangan itu berbincang dengan juruterbang terbabit selama lebih setengah jam tetapi gagal memujuk menukar fikiran.

Masudur Rahman dan Mohamed Zaghloul kemudian mengalah dan menempah tiket untuk penerbangan selanjutnya. 

AN

10 Ajaran Sesat Masih Aktif

Posted: 08 May 2011 06:40 PM PDT

6 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -



PUTRAJAYA: Sepuluh kumpulan ajaran sesat yang dipercayai masih bergerak aktif di seluruh negara perlu dihapuskan segera kerana dikesan mengamalkan pelbagai amalan yang bercanggah ajaran Islam dan Ahli Sunnah Wal-Jamaah.

Amalan itu termasuk mengajar ilmu tasawuf dan tarekat bercorak kebatinan; memperkenalkan aliran pemikiran lama dan baru; mengamalkan wirid bercorak kebatinan dalam persilatan, amalan khurafat dan perbomohan.

Kumpulan berkenaan adalah Syiah; al-Arqam atau Syarikat Rufaqa' Corporation Sdn Bhd (Rufaqa) atau Global Ikhwan Sdn Bhd; Islam Jamaah; Ajaran Azhar Wahab (Pengasas Al-Mansor Holding Sdn Bhd), Tarekat Naqsyabandiah Khalidiah; Pemuda Kahfi, Tarekat Naqsyabandiah Khalidiah Sheikh Nazim; Qadiani/Ahmadiah; Tarekat Naqsyabandiah Kadirun Yahya dan ajaran Aurad Islamiah. Kumpulan itu adalah sebahagian daripada 95 pergerakan yang difatwakan menyeleweng daripada ajaran Islam dan pegangan Al-Sunnah Wal-Jamaah sama ada oleh Muzakarah Jawatankuasa Majli Fatwa Kebangsaan atau Jawatankuasa Fatwa peringkat negeri di seluruh negara dalam tempoh 20 tahun lalu.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Othman Mustafa, berkata semua kumpulan itu perlu dihapuskan secepat mungkin oleh pihak berkuasa agama negeri di seluruh negara.

"Kita memandang serius terhadap perkara ini kerana ia membabitkan soal akidah umat Islam serta boleh menjejaskan keamanan di negara ini.

"Jadi, sepuluh kumpulan ini akan diberi keutamaan untuk dihapuskan bagi mengelakkan ia terus tersebar dalam negara," katanya.

Othman berkata Jakim dan pihak berkuasa agama negeri juga sedang memantau cubaan sesetengah pihak yang cuba menyebarkan pelbagai ideologi baru seperti pluralisme dan fahaman berbentuk ekstremis dengan memperalatkan golongan pelajar dan tenaga pengajar institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Katanya, fahaman seumpama itu bukan saja merosakkan akidah umat Islam, tetapi turut mengundang pelbagai masalah lain seperti rusuhan agama dan perang saudara.

"Namun, kita terpaksa menghadapi beberapa masalah dalam menangani masalah ini seperti ketidakseragaman undang-undang syariah di peringkat negeri dan salah faham umat Islam terhadap isu akidah termasuk ilmu tarekat dan tasawuf.

"Keadaan itu memaksa kita meminta Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jawatankuasa Fatwa Negeri melakukan kajian, sekali gus menyelaras keputusan berhubungan fatwa pengharaman sesuatu kumpulan ajaran sesat," katanya.

Beliau berkata, Jakim turut menubuhkan unit penyelidikan untuk memantau dan mengenalpasti mereka yang cuba menyebarkan ajaran sesat dan tarikat yang menyeleweng menerusi blog, laman web sosial seperti Facebook dan twitter.

"Kita mengakui kumpulan ajaran sesat hari ini sentiasa memanipulasi teknologi baru untuk mengembangkan fahaman dan merekrut ahli baru," katanya.

Ibu Mertua Osama Mati Mengejut

Posted: 08 May 2011 06:20 PM PDT

6 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -


DUBAI: Ibu mentua Osama bin Laden mati akibat serangan sakit jantung selepas menerima berita pemimpin al-Qaeda itu mati dibunuh tentera Amerika Syarikat.

Sebuah akhbar berbahasa Arab yang diterbitkan di Lodon, Asharq Al-Awsat melaporkan, Nabih al-Ghanem, ibu isteri pertama Osama, Najwa, dibawa ke hospital di Latakia, utara Syria selepas diserang sakit jantung.

Menurut akhbar berkenaan, wanita berusia 70-an tahun itu pengsan selepas Presiden Barack Obama mengumumkan pembunuhan Osama dalam serangan di Pakistan 2 Mei lalu.

Osama berkahwin dengan Najwa, sepupunya kelahiran Syria ketika beliau berusia 17 tahun dan mereka mempunyai 11 anak. Najwa meninggalkan Afghanistan beberapa hari sebelum serangan 11 September 2001 terhadap Amerika Syarikat dan kini menetap di Syria.

Januari tahun lalu, akhbar itu melaporkan, seorang anak pemimpin al-Qaeda itu dibenarkan meninggalkan Iran untuk menjaga ibunya di Syria.

OSAMA (kanan) ketika muda bersama jurulatih judo dari Taiwan, Jimmy Wu

Sebahagian kedudukan anggota keluarga Osama tidak diketahui sejak serangan 11 September lapor akhbar berkenaan. Menurut akhbar itu lagi, Osama mengahwini isteri keduanya pada 1983 dan mereka mempunyai tiga anak sebelum bercerai.

Beberapa orang tinggal bersamanya di Abbottabad, Pakistan. Mereka termasuk tiga isterinya dan kira-kira 12 anak mereka, menurut pihak berkuasa Pakistan.

Sekurang-kuranghnya lima orang terbunuh dalam serangan tentera Amerika itu. Mereka ialah Osama, yang mayatnya dibawa oleh komando AS berkenaan, seorang anaknya, dua pengawal peribadi yang dikenali sebagai Ahmed Kuwaiti, dan seorang wanita, kata sumber keselamatan Pakistan.

Yang terselamat, tiga wanita dan anak mereka, kini ditahan oleh tentera Pakistan.

Ketika disoal siasat, isteri termudanya, Amal Ahmed Abdulfattah, 29, warga Yaman memberitahu, Osama menetap di vila berkenaan sejak lima tahun lalu. 

AFP

Tiada ulasan:

Nuffnang