Jumaat, 13 Mei 2011

Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim


Majlis Pelancaran Projek Perintis Pemulihan Bandar Oleh YB Penasihat Ekonomi

Posted: 13 May 2011 02:17 AM PDT

Sukacita dimaklumkan bahawa YB Penasihat Ekonomi Negeri Selangor ingin menjemput pihak media ke program berikut:-

MAJLIS PELANCARAN PROJEK PERINTIS PEMULIHAN BANDAR OLEH YB PENASIHAT EKONOMI

Tarikh      : 14 Mei 2011 (Sabtu)
Masa      : 2.00 petang – 5.00 petang
Tempat    : Blok C, Pangsapuri Taman Maju Jaya, Jalan PJS 2/29A, PJS 2, Petaling Jaya

Pada majlis tersebut, YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan membuat lawatan kerja ke Pangsapuri Taman Maju Jaya bagi melancarkan projek perintis Program Pemulihan Dalam Bandar. Program tersebut merupakan usahasama Kerajaan Negeri bersama pihak-pihak swasta, Kerajaan Tempatan iaitu MBPJ, dan juga penduduk tempatan.

Majlis akan dihadiri oleh Y. Bhg. Dato’ Hj Mohamad Roslan b Sakiman, Datuk Bandar MBPJ, Y.B Puan Haniza bt. Mohamed Talha, ADUN Taman Medan, wakil-wakil pihak swasta dan juga penduduk-penduduk pangsapuri.

Kenyataan media akan diedarkan sebaik sebelum majlis bermula.

Sekian, terima kasih.

PEJABAT PENASIHAT EKONOMI NEGERI SELANGOR

“Henti Aibkan Anwar”- Nik Aziz

Posted: 13 May 2011 01:43 AM PDT

Dari Harakah

Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, meminta mana-mana pihak yang merancang memburukkan maruah Datuk Seri Anwar Ibrahim agar segera menghentikan tindakan itu bagi menghormati perasaan keluarga Ketua Pembangkang itu.

Menurutnya, beliau memahami perasaan ahli keluarga Anwar termasuk isterinya, Datin Seri Wan Azizah yang begitu tersiksa dengan apa yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab terhadap suaminya sejak sekian lama.

“Sudah lebih 10 tahun maruah Anwar dilanyak, dihentak, dilenyek begitu tanpa ada rasa belas kasihan, isteri mana yang tidak menderita dengan apa yang berlaku,"ujarnya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Azizah dalam sebuah akhbar harian semalam bahawa beliau begitu terseksa dengan fitnah itu.

Sehubungan itu, Tuan Guru Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan itu memohon pihak perancang yang merakam dan mendedahkan video seks yang dikaitkan dengan Anwar itu dihentikan segera.

Menurutnya, sebagai umat Islam mereka harus sedar tindakan memfitnah dan mengaibkan orang satu dosa yang besar.

Tegasnya, balasan buruk akibat tindakan itu akan diberikan Allah kepada orang yang memfitnah sejak di dunia lagi.

"Kita sebagai anggota masyarakat jangan sekali-kali bersekongkol dengan mereka yang membuat perkara buruk (fitnah) itu kerana dosanya juga akan terpalit pada kita,” katanya.

This posting includes an audio/video/photo media file: Download Now

Pejabat PM Arah Utusan Hentam Buku Jingga

Posted: 12 May 2011 08:03 PM PDT

Dari Malaysiakini

Akhbar milik Umno, Utusan Malaysia didakwa diberikan arahan khas untuk menghentam rancangan 100 hari Pakatan Rakyat yang disenaraikan dalam Buku Jingga sekiranya mereka berjaya menawan Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.

Menurut sumber, arahan daripada Pejabat Perdana Menteri itu dikesan melalui nota seorang wartawan kanan kepada kepada pengarang dan pembantu pengarang berita Utusan Malaysia yang diletakkan dalam ‘satu sistem’ akhbar itu pada 21 Mac lalu.

Nota itu menyebut, setelah hadir ke taklimat di pejabat berkenaan pada tarikh yang sama, pejabat tersebut memaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada keesoknya (22 Mac) akan bercakap mengenai “kesan negatif” jika janji pembangkang dalam Buku Jingga dilaksanakan.

Sehubungan itu, semua akhbar, terutamanya Utusan Malaysia, diminta mendapatkan komen pelbagai pihak — antaranya pemimpin parti komponen BN, penganalisis ekonomi dan tokoh akademik — bagi menyokong kenyataan Najib itu.

“Komen-komen ini boleh disiarkan secara berperingkat-peringkat sehingga Ahad ini mulai esok,” tulisan dalam nota yang diperoleh Malaysiakini itu dipetik.

Wartawan kanan itu juga meminta bantuan Meja Am dan Meja Ekonomi akhbar itu untuk melakukannya kerana biro yang diketuainya agak sibuk pada masa itu.

Benar-benar hentam

Semakan Malaysiakini di Utusan versi dalam talian mendapati terdapat sekurang-kurangnya tujuh laporan berkenaan Buku Jingga dimuatkan di akhbar milik Umno itu sepanjang tarikh yang diarahkan.

Isu berkenaan juga didapati terus disentuh selepas tarikh berkenaan.

Malaysiakini juga mendapati, Najib pada 22 Mac benar-benar menghentam Buku Jingga yang dihasilkan bersama PKR, DAP dan PAS itu.

Beliau dilaporkan mengingatkan rakyat supaya tidak terpedaya dengan tindakan Pakatan “menyogok dokumen-dokumen janji”, terkini melalui Buku Jingga sehingga risikonya kelak mendatangkan kesengsaraan dan bala bencana kepada negara.

Najib ketika berucap di Putrajaya juga dilaporkan berkata, parti yang bertanggungjawab lebih rela tidak popular untuk jangka pendek dari membankrapkan negara dalam jangka panjang.

Utusan turut memuatkan komen beberapa pemimpin BN yang mempunyai nada sama, antaranya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (naib presiden Umno), Datuk Seri Dr Rais Yatim (menteri penerangan, komunikasi dan kebudayaan) serta T Mohan (ketua Pemuda MIC).

Sepanjang tempoh arahan itu juga, Utusan turut memetik pandangan penganalisis politik dan ahli akademik Dr Chandra Muzaffar, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian, selain ulasan oleh kolumnisnya sendiri, termasuk penulis kontroversi Awang Selamat.
Sementara itu, dakwaan campurtangan kerajaan dalam media bukanlah perkara baru dan sering disebut oleh pemimpin pembangkang, terutama dalam ceramahnya.

Lagi dakwaan campurtangan k’jaan

Sebelum ini, perkara yang hampir sama didedahkan Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Hata Wahari.

Bercakap kepada portal berita Free Malaysia Today (FMT), dakwanya agenda mingguan akhbar Utusan Malaysia ditetapkan oleh Biro Politik Umno yang dipengerusikan Najib.

Wartawan kanan Utusan yang dipecat itu berkata, agenda mingguan yang diputuskan dalam mesyuarat itu akan disampaikan kepada ketua pengarang melalui pejabat Perdana Menteri.

This posting includes an audio/video/photo media file: Download Now

SMS Ancaman: Anak Nurul Izzah Sasaran Terbaru

Posted: 12 May 2011 07:59 PM PDT

Dari Malaysiakini

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar hari ini membuat laporan polis berhubung ugutan daripada khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterimanya.

Dalam laporan polis itu, beliau berkata SMS berbentuk “ancaman serius” terhadap anaknya diterima daripada seseorang yang tidak dikenali kelmarin.

“Ugutannya adalah bahawa anak saya akan menerima nasib seperti Sharlinie jikalau saya terus menyokong ayah saya, Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ketua Pembangkang dan Ketua Umum PKR). Saya (juga dikatakan) tidak dapat menyelamatkan anak saya.

“Dia juga mengancam bahawa jika saya tidak mendesak ayah saya berhenti dari politik maka sesuatu akan berlaku kepada anak saya,” tulisnya dalam laporan polis itu.

Sharlinie Mohd Nashar yang hilang pada 9 Januari 2008 dan sehingga hari ini masih belum dapat dikesan. Beliau mangsa penculikan kedua selepas Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang ditemui mati selepas sebulan hilang dekat rumahnya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Dalam laporan hari ini, Nurul Izzah berkata beliau menerima ugutan SMS kedua yang hampir sama semalam.

SMS berkenaan juga mengancam bahawa “sesuatu yang tidak elok” akan berlaku kepada anaknya kecuali jika beliau berhenti menyokong ayahnya.

Beliau membuat aporan polis itu di ibu pejabat polis Dang Wangi di ibu negara pagi ini dengan ditemani ibunya Datin Seri Wan Azizah Ismail yang juga presiden PKR dan diiringi tiga peguam dan tidak kurang 15 penyokong.

This posting includes an audio/video/photo media file: Download Now

Politik Lucah: Ulama Muda Diseru Tinggal Umno

Posted: 12 May 2011 06:04 PM PDT

Dari Harakah

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menggesa ulama muda Umno menilai semula penglibatan mereka dalam Umno ekoran amalan politik lucah dan kotor pemimpin parti itu.

Katanya, ulama muda di dalam Umno tersebut perlu sedar amalan politik yang bercanggah dengan Islam itu telah menjadi budaya dalam Umno sejak sekian lama.

Bagaimanapun katanya, beliau menyambut baik usaha untuk menegur sikap Umno itu malah mencadangkan agar mereka meninggalkan parti itu jika gagal merubahnya.

“Hakikatnya itulah budaya Umno. Harapan saya agar ulama muda Umno terus menegur budaya politik Umno yang keji dan songsang ini.

“Jika tidak mampu ubah, fikirkan semula adakah tepat berada di dalam Umno?” soalnya melalui responsnya di Facebook.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan terbaru ulama muda Umno, Fathul Bari Mat Jahya yang mengakui rakaman video seks mengaitkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sepatutnya dilakukan.

Ini kerana perkara tersebut menurutnya bertentangan dengan prinsip Islam yang mengharamkan umatnya mengaibkan orang lain.

Fathul Bari berkata, hukum mengaibkan seseorang seperti itu merupakan salah satu daripada dosa besar di sisi Islam dan dan tidak sepatutnya dilakukan oleh Umno.

Beliau berkata demikian pada satu forum yang diadakan sempena ulangtahun Umno ke-65 di ibu pejabat parti itu semalam.

Umno dan akhbarnya, Utusan Malaysia sebelum ini dikecam banyak pihak termasuk oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria ekoran mengaibkan Anwar dalam isu video seks yang didedahkan trio Umno iaitu bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Perkasa, Datuk Shuib Lazim.

Akhbar itu tanpa memikirkan hukum hakam agama, telah melapor dan menyiarkan gambar dan berita berunsur lucah berhubung video seks tersebut.

Fitnah tersebut juga, digunakan Umno dalam siri kempen mereka pada pilihan raya negeri Sarawak April lalu.

Harussani dalam kenyataannya sebelum ini menjelaskan, adalah fitnah dan dosa besar membuka rahsia orang tanpa ada bukti yang jelas menurut Islam seperti yang dilakukan terhadap Anwar.

“Kita buka rahsia orang ini adalah haram, benda yang tidak betul tapi didedahkan adalah satu fitnah, dosa besar dan tidak bermoral.

"Rakaman video seks itu betulkah Anwar? Laporan juga belum dapat dipastikan lagi… ini adalah fitnah dan dosa besar," katanya.

Selain mengecam tindakan mengaibkan Anwar itu, beliau juga kesal dengan tindakan Utusan yang dakwanya tidak menyiarkan pandangan penuhnya itu malah hanya mengambil sekerat sahaja.

"Saya ada bercakap dengan Utusan Malaysia tapi apa yang keluar sikit sahaja, mereka tidak keluarkan secara keseluruhan apa yang saya katakan… yang tertulis ia (video seks) hanya fitnah, itu sahaja… yang lain-lain tidak keluar," katanya.

This posting includes an audio/video/photo media file: Download Now

Erti Persabahatan Pakatan

Posted: 12 May 2011 05:58 PM PDT

From Malaysian Insider
By Wan Hamidi
is a veteran journalist who has a penchant for rock music.

Semua orang tahu PAS, DAP dan PKR tidak akan berganjak dari prinsip perjuangan masing-masing. Itu soal dasar parti. Komponen sekular MCA, Gerakan dan beberapa lagi parti dalam Barisan Nasional yang menolak Ketuanan Melayu pun masih boleh bersahabat dengan Umno walau pun dalam senyuman pahit.

Perbezaan ketara di antara PAS yang berpegang kepada Al-Quran dan Sunnah sebagai dasar politik dan DAP yang memperjuangkan demokrasi sosial bersifat sekular telah menjadi bahan kepada musuh politik mereka Umno untuk mengapikan permusuhan.

Yang tidak ditonjolkan oleh media arus perdana milik Umno dan Barisan Nasional ialah kesefahaman PAS, DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat yang berpegang kepada dasar bersama untuk menegakkan keadilan melalui demokrasi tulen yang menentang rasuah, salah guna kuasa, politik perkauman dan mempergunakan agama untuk kepentingan politik.

Sebaliknya apa yang sibuk digerakkan oleh kempen perang saraf Umno ialah mencipta fitnah dan pembohongan untuk menimbulkan syak wasangka sesama anggota komponen Pakatan Rakyat.

Tohmahan kononnya DAP terlibat dalam usaha sulit untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara telah dijelmakan sebagai berita oleh Utusan Malaysia yang semata-mata memetik tuduhan liar blogger pro-Umno tanpa usul periksa.

Setelah beberapa hari isu ini dibangkitkan, ada kalangan pemimpin Umno sendiri yang mula menjauhkan diri daripada taktik kotor itu. Namun ia tidak akan menghentikan serangan propaganda Umno dan konco-konconya terhadap Pakatan Rakyat.

Serangan-serangan ini telah dimulakan sejak Umno dikejutkan dengan kekalahan beberapa negeri serta kehilangan majoriti dua pertiga Parlimen dalam pilihan raya umum 2008. Untuk menutup kelemahan diri, para pemimpin Umno cepat-cepat menuding jari menyalahkan orang lain.

Apabila isu konspirasi agama rasmi dibangkitkan, para penyebar fitnah menyangka ia adalah kejayaan besar untuk memecahbelahkan perpaduan Pakatan tanpa menyedari kesan jangka panjang hasutan sedemikian terhadap keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama.

Apa yang mereka tidak jangkakan ialah reaksi PAS dalam menangani pembohongan itu. Bukan sahaja para pemimpin PAS tidak berdiam diri, malah mereka berdiri teguh bersama DAP untuk mematikan serangan fitnah yang tidak munasabah itu.

Datuk Seri Abdul Haji Awang mengulangi pendirian Pakatan untuk terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan serta kebebasan mengamalkan agama-agama lain dengan aman.

Dalam kenyataannya, Presiden PAS itu menyatakan: "Tekad ini adalah suatu ikrar yang terpahat dalam polisi bersama Pakatan Rakyat. Oleh yang demikian hiruk-pikuk yang dilemparkan oleh media tertentu bertujuan untuk membakar semangat rakyat terutamanya di kalangan orang Melayu beragama Islam, bahawa Malaysia akan menuju ke arah negara Kristian, adalah suatu pemberitaan yang sangat tidak beramanah".

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar pula menuntut Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussien dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana menyokong laporan tidak berasas Utusan.

"Pada hal berita yang disiarkan oleh Utusan Malaysia itu bukannya berita benar. Perkara itu dinafikan sendiri oleh golongan paderi dan DAP. Berita itu ternyata bersifat provokasi yang boleh menimbulkan suasana huru-hara di dalam negara."

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Mazlan Aliman yang membuat laporan polis terhadap berita palsu Utusan itu pula menganggapnay sebagai satu agenda yang didalangi UMNO yang sengaja mahu meniupkan api permusuhan antara masyarakat Islam dan bukan Islam.

"Mereka tahu bukan Islam tidak menyokong BN, mereka terpaksa untuk mendapat simpati dari pengundi Melayu," katanya.

Suara Mazlan mewakili kebanyakan pemimpin dan ahli PAS yang sudah pun menghidu perang saraf Umno yang mahu memecahbelahkan perpaduan Pakatan.

Apabila Datuk Seri Najib Razak mencadangkan supaya PAS meninggalkan Pakatan atas alasan "adakah DAP boleh perjuangkan Islam?", Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub menyatakan:

"Kita ada Perlembagaan, agama rasmi adalah Islam dengan raja-raja adalah ketua… jadi tak timbul soal ini…kerajaan negeri Pulau Pinang (yang dipimpin oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng) juga tidak pernah mengabaikan soal berkaitan dengan Islam… tiada apa-apa masalah."

Isu agama dan kaum akan terus dilontarkan oleh konco-konco Umno; tambahan pula menjelang muktamar agung PAS yang akan menyaksikan pemilihan kepimpinan parti pada Jun depan.

Ada kalangan Umno yang masih mengharapkan "wakil-wakil Umno" dalam PAS akan tunduk kepada hasrat untuk membawa keluar PAS dari Pakatan. Bagi mereka, hanya cara itu dapat menguburkan Pakatan melalui politik pecah dan perintah.

Namun, para pemimpin dan ahli PAS diingatkan oleh oleh AJK PAS Pusat Mohamad Sabu supaya berhati-hati dalam menghadapi tipu muslihat Umno yang semakin terdesak sejak kebelakangan ini.

"Kalau PAS keluar Pakatan Rakyat, BN akan memerintah sehingga hari kiamat sebab dia tahu kalau PAS bersama Pakatan Rakyat ini sahaja yang boleh menggugat BN.

"Sebab itu BN tiada jalan lain, jadi terpaksa mencari apa sahaja jalan bagi memastikan PAS keluar daripada Pakatan Rakyat, ini kerana BN bimbang kekuatan PAS dalam Pakatan Rakyat… tambahan yang boleh kalahkan Umno adalah PAS," katanya dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insider.

Pendirian sebeginilah yang menggusarkan pucuk pimpinan Umno; jarum hasutan mereka gagal mengubah pendirian kepimpinan PAS. Persahabatan erat PAS dan DAP dengan kerjasama PKR menyukarkan Umno dan konco-konconya untuk percaya kepada tohamahan-tohmahan perkauman serta keagamaan sempit.

Mungkin Umno tersalah jangka bahawa komponen-komponen Pakatan tidak akan membantu satu sama lain kerana pentingkan diri sendiri, dalam apa yang sering digambarkan oleh media arus perdana sebagai pakatan rapuh.

Yang nyata, formula Pakatan yang saling membantu serta mempertahankan sahabat dalam perkara-perkara yang benar dan baik sudah terbukti berjaya.

Jika pergeseran sesama sendiri dapat dikendurkan; jika perebutan kerusi dan jawatan dikurangkan; jika syak wasangka dileburkan; tidak mustahil kemantapan Pakatan akan dapat dipertingkatkan lagi.

Tiada ulasan:

Nuffnang