Nurul Izzah Anwar |
Kenyataan Media: Utusan Rakyat, 4hb Mac 2011 Posted: 03 Mar 2011 09:09 PM PST KENYATAAN MEDIA UNTUK SEBARAN SEGERA 4hb MAC 2011 Media arus perdana di Malaysia mengalami persepsi ianya dikongkong pihak berkuasa menerusi Akta Percetakan dan Penerbitan 1984, antara lain. Juga, realiti milikan media oleh sesetengah parti politik (samada secara terus atau menerusi proksi) menjustifikasikan persepsi "berat sebelah" atau prasangka pengarang (editorial bias) dalam siaran dan laporan. Seperti yang dilaporkan dalam The Malaysian Insider pada 1hb Mac yang lalu, seorang editor Utusan Malaysia telah berkata bahawa tugas Utusan Malaysia ialah untuk "menyokong Umno dan Barisan Nasional" dan "tiada dasar atau polisi berkaitan laporan mengenai parti-parti pembangkang." Justeru, saya bersama beberapa rakan mengambil keputusan untuk memulakan sebuah akhbar mingguan dalam Bahasa Malaysia bertajuk 'Utusan Rakyat'. Akhbar mingguan ini akan bersifat dwipartisan dan saksama dalam laporan, dengan mengambil kira suara dan pendapat pelbagai pihak. Ini mampu dilakukan melalui pimpinan lembaga penasihat pengarang (editorial advisory board) yang akan memberikan pandangan lebih menyeluruh kepada isu-isu semasa. Pada waktu ini, lembaga ini dianggotai Datuk Ambiga Sreenevasan sebagai wakil badan bukan kerajaan dan saya sebagai wakil Pakatan Rakyat. Beberapa tokoh politik mewakili pihak Barisan Nasional yang dijemput masih belum memberikan kata putus walaupun pada dasarnya bersetuju dengan inisiatif dwipartisan ini. Namun, Utusan Rakyat bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak tanpa mengira batasan politik, selagi niat pihak-pihak tersebut ialah untuk meluaskan ruang demokratik dan memperjuang kebebasan media di Malaysia. Maka, apabila tiba masanya nanti, saya berharap agar tokoh-tokoh politik tersebut khususnya dan rakyat Malaysia amnya akan bangkit dan bersama-sama bergerak memulihkan demokrasi di negara tercinta kita ini. Saya berharap dengan adanya Utusan Rakyat, rakyat Malaysia akan menikmati wacana baru yang membantu kita semua mendekati isu-isu terkini dengan fikiran matang, minda rasional, dilengkapi jiwa yang benar-benar merdeka. Maka saya berharap pihak Kementerian Dalam Negeri akan menyahut cabaran memulihkan demokrasi negara dengan tidak akan teragak-agak untuk meluluskan permit penerbitan Utusan Rakyat, demi Malaysia yang lebih baik. NURUL IZZAH ANWAR |
You are subscribed to email updates from Nurul Izzah Anwar To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan