Anwar Ibrahim |
- KEADILAN Gesa LHDN Siasat Kewangan Gobala
- Najib dan Mubarak: Persamaan Yang Ketara
- Amaran ahli sains: Bukti DNA boleh dipalsukan dan diletakkan di lokasi jenayah
KEADILAN Gesa LHDN Siasat Kewangan Gobala Posted: 10 Mar 2011 01:26 AM PST Dari Harakah PKR menggesa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyiasat kewangan ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan yang didakwa mampu membayar segala hutangnya secara tiba-tiba. Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail yang merujuk kepada Gobalakrishnan yang bertindak keluar PKR Januari lalu mempersoal keupayaan kewangannya selepas keluar parti, sedangkan beliau sebelum ini diketahui mempunyai masalah kewangan. Menurut Saifuddin yang juga ahli Parlimen Machang, Gobalakrishnan secara tiba-tiba dapat menjelaskan bayaran pajakan tanah di antara syarikat miliknya, Embun Megah Sdn Bhd beralamat 1525, Kulim Height 3, Kulim Golf and Country Resort, Kedah dengan Kumpulan Pertanian KElantan Bhd bernilai RM1,401,250,00. Katanya, bayaran cek Hong Leong Bank masing-masing bernilai RM700,000 bertarikh 12 Januari 2011 dan RM701,250 bertarikh 15 Mac 2011 jelas menunjukkan kemampuan kewangan Gobalakrishnan yang secara berterusan menyerang PKR. “PKR menggesa Lembaga hasil Dalam Negeri memulakan tugas ‘bertanya khabar’ keupayaan kewangan beliau yang membolehkan bayaran berjuta ringgit dibuat terhadap urusniaga ini. Dari mana sumbernya? Siapa yang ‘bermurah hati’ menolong? Urusniaga apa yang dilakukan beliau yang memungkinkan wang sebanyak ini diperoleh? “Januari dan Mac 2011 adalah kemuncak tempoh serangan, kecaman dan fitnah ahli Parlimen Padang Serai terhadap PKR. Ketika ini jugalah beliau secara tidak semena-mena mampu membayar RM1,401,250 untuk bayaran tanah ini,” kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini. Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, Gobalakrishnan pernah menjual rumahnya sendiri, kedai kek isterinya terpaksa ditutup dan kesukaran menjelaskan pelbagai bil-bil lain. Beliau tabah dan sabar menghadapi situasi itu sehingga memenangi kerusi Padang Serai dengan tiket PKR. Namun dakwa Saifuddin, Gobalakrishnan mula berubah apabila tiga tahun bersama PKR akibat masalah kewangan dan beliau mua tidak berpuas hati akibat tidak dilantik menduduki jawatan dalam anak-anak syarikat kerajaan negeri yang difikirkan menjanjikan pulangan lumayan. PKR tegasnya mengulangi pendirian bahawa pengkhianatan keluar parti sejumlah ahli-ahli Parlimen PKR didorong habuan lumayan yang tidak mungkin diperoleh mereka jika kekal dalam PKR. “Kerana dorongan inilah ramai tewas. Ralatnya mereka mencipta alasan-alasan yang tidak masuk akal untuk menjustifikasikan tindakan khianat mereka. “Persoalannya ialah jika ahli Parlimen Padang Serai mampu menjelaskan bayaran tanah RM1.4 juta dalam masa tiga bulan, berapa agaknya habuan yang beliau terima sebagai harga pengkhianatan ini? “Dan kalau ‘nilai’ ahli Parlimen Padang Serai sejumlah tersebut, berapa pula habuan yang diterima oleh ahli-ahli parlimen Wangsa Maju, Bagan Serai, Kulim Bandar Baharu, Bayan Baru dan Nibong Tebal, ‘rakyat hakim terbaik’,” katanya. Sementara itu, ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam terkejut dengan kemampuan Gobalakrishnan membayar hutangnya dan meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat perkara itu. “Saya terkejut dengan kemampuan Gobala. Saya yakin semua yang keluar parti itu dibeli dan seharusnya SPRM menyiasat bagaimana mereka ini boleh menjadi senang secara tiba-tiba,” katanya. |
Najib dan Mubarak: Persamaan Yang Ketara Posted: 10 Mar 2011 12:54 AM PST Dari Malaysiakini Pemerintahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang sering menindas dan bersikap kuku besi dilihat persis corak pemerintahan bekas diktator Mesir Hosni Mubarak dakwa kepimpinan PKR. Naib Presidennya, N Surendren berkata Najib yang menerajui BN sentiasa secara konsisten menggunakan apa-apa cara walaupun jahat untuk kekal berkuasa seperti parti yang diterajui Mubarak, Parti Demokratik Nasional (NDP) di Mesir. "Terdapat persamaan yang luar biasa antara pemerintahan autoritarian selama 30 tahun di Mesir oleh Hosni Mubarak dan pemerintahan menindas selama 53 tahun oleh Najib dan BN ke atas Malaysia. "Antara persamaannya adalah: pergantungan kerajaan atas suatu sistem polis yang agam untuk menumpaskan pihak pembangkang; kawalan ketat ke atas media cetak dan televisyen; tahanan tanpa bicara yang bermotifkan politik; keadaan darurat berdekad yang tidak dibatalkan; sistem kehakiman yang berat sebelah dan berpihak kepada kerajaan; pilihanraya yang tidak bebas ataupun adil," katanya dalam satu kenyataan media hari ini. Namun menurut Surendran, persamaan yang paling ketara adalah kedua-dua pemimpin itu dari masa ke semasa mengheret pesaing politik mereka ke mahkamah untuk menghadapi tuduhan jenayah yang direka-reka. "Objektifnya adalah untuk menghancurkan pesaing politik secara politik dan peribadi, dan oleh demikian menghapuskan ancaman kepada pemerintahan mereka. "Rejim-rejim yang tidak bertoleransi dengan pasti akan menggunakan kaedah seperti ini kerana mereka tidak mempunyai pertimbangan keadilan dan tidak memedulikan kedaulatan undang-undang," katanya. Mubarak digulingkan oleh rakyatnya selepas jutaan mereka berkumpul dan memprotes secara aman di Dataran Tahrir sejak 25 Januari lalu selepas tidak tahan dengan pemerintahan kuku besi beliau selama 30 tahun. Menurut Surendran, kes Liwat II yang membabitkan Anwar sama dengan apa yang dilakukan Mubarak ke atas pemimpin pembangkang Mesir Ayman El Nour pada tahun 2005 sehingga menyebabkan Alyman dipenjara selama lima tahun. Anwar semasa pemerintahan mantan Perdana Menteri Tun Mahathir juga pernah dipenjara selama 6 tahun. “Kerajaan Najib menggunakan taktik yang sama sahaja. Mubarak dengan terkenalnya menggunakan mahkamah Mesir untuk memenjarakan Ayman Nour, pemimpin Parti El Ghad yang dipenjarakan selama lima tahun dengan kerja berat. Persamaan dengan pendakwaan Anwar yang sekarang berlangsung adalah amat ketara,” katanya lagi. Justeru Surendren berkata rakyat perlu bangkit untuk memastikan kerajaan BN disingkirkan agar penindasan, korupsi dan kezaliman dapat dihentikan sepertimana Mubarak dan NDP. “Rakyat Malaysia, bersama dengan dunia, berasa girang melihat melihat pemergian penzalim Mubarak dan kemenangan rakyat Mesir. Sekarang, kita mengalukan hari yang cemerlang apabila rakyat Malaysia mengakhiri pemerintahan membazir, lembap dan menindas BN dan pemimpinnya Najib Razak. "Pemerintahan BN yang mencerminkan pemerintahan Mubarak ke atas Mesir, mesti berakhir. Untuk kebaikan negara, BN perlu disingkirkan,” akhiri kenyataannya itu. |
Amaran ahli sains: Bukti DNA boleh dipalsukan dan diletakkan di lokasi jenayah Posted: 09 Mar 2011 09:30 PM PST Oleh Fiona Macrae Ahli-ahli sains telah membuktikan wujud kebarangkalian pemalsuan bukti DNA, sekaligus berpotensi memusnahkan kredibiliti teknik utama forensik. Dengan menggunakan peralatan yang boleh dijumpai di makmal-makmal di seluruh negara, mereka melenyapkan semua kesan DNA dari sampel darah dan menambah bahan genetik individu lain pada sampel tersebut. Pemalsuan ini sangat berjaya sehingga mampu memperdaya ahli-ahli sains yang menjalankan ujian DNA cap jari di mahkamah-mahkamah di Amerika Syarikat. Perkembangan ini menimbulkan kemungkinan sampel darah atau air liur diletakkan di lokasi di mana jenayah berlaku, sehingga mengakibatkan mereka yang tidak bersalah dihukum manakala mereka yang bersalah terlepas bebas. Menurut Dan Frumkin, penyelidik yang menghasilkan DNA palsu menyatakan: 'Jika anda boleh memalsukan darah, air liur atau mana-mana tisu, anda boleh mencipta lokasi jenayah. Mana-mana pelajar jurusan biologi pun mampu melakukannya. Dr. Frumkin — yang mendakwa bahawa syarikatnya telah berjaya mencipta kit untuk membezakan sampel DNA sebenar dengan yang palsu – menggunakan dua teknik untuk memalsukan bukti. Pada peringkat awal, mereka akan akan mengasingkan sampel minit bahan genetik dari helaian rambut dan menggandakannya beberapa kali. Kemudian mereka akan memasukkan DNA ini ke dalam sel darah yang telah diasingkan dari segala klu genetik pemilik asal. Kini sel darah ini mengandungi cap jari genetik milik individu pertama, demikian menurut laporan Journal Forensic Science International: Genetics. Secara teori, ianya boleh diletakkan di tempat kejadian jenayah. Rambut, gula getah, puntung rokok, cawan dan gelas boleh membekalkan sampel awal DNA. Syarikat ini juga telah membangunkan satu teknik yang rumit, yang mana bergantung kepada pengetahuan mengenai cap jari DNA – satu ‘kod bar’ genetik daripada 20 set kedudukan-kedudukan pada satu rantaian DNA seseorang individu. Ahli sains ini telah membina ‘perpustakaan’ yang mengandungi ratusan cebisan DNA yang merangkumi semua kod genetik yang muncul di tempat-tempat yang telah diperiksa oleh polis. Untuk membuat padanan satu-satu cap jari, mereka hanya perlu mencari dari ‘perpustakaan’ untuk gabungan yang betul dan dicampurkan di dalam tabung uji. Para pengkaji percaya, lambat laun teknologi ini bakal digunakan oleh penjenayah. Mereka memberi amaran: ‘Bukti DNA adalah kunci kepada sabitan atau pembebasan suspek daripada pelbagai bentuk jenayah, waima dari rogol hinggalah bunuh. Namun begitu, kita telah terlepas perhatian akan kemungkinan yang menggusarkan bahawa bukti DNA boleh dipalsukan. ‘DNA dengan profil genetik yang diinginkan dengan mudah disintesis (baca: dihasilkan melalui makmal) dengan hanya menggunakan teknik biologikal biasa dan yang baru dibangunkan, diintegrasi ke dalam tisu manusia atau dibubuh pada permukaan-permukaan objek, dan kemudiannya diletakkan di tempat kejadian jenayah.’ Namun pakar British berpendapat adalah suatu yang hampir mustahil bagi mana-mana penjenayah untuk melakukan sesuatu seperti itu. Dr. Gill Tully dari Perkhidmatan Sains Forensik Kerajaan menyatakan: ‘Anda memerlukan satu makmal biologi molekul yang lengkap, peralatan yang bernilai ribuan pound dan seorang ahli sains biologi molekul yang cekap atau juruteknik makmal.' ‘Dan majoriti daripada mereka yang terlibat dengan jenayah tidak akan mempunyai akses kepada bahan-bahan ini.’ Dr. John Manlove, seorang ahli sains forensik dan saksi pakar di dalam kes-kes mahkamah, berkata: ‘Ya, ianya satu kemungkinan dari segi sains, tetapi ia adalah untuk seseorang yang benar-benar terdesak. ‘DNA adalah sangat penting di dalam sesuatu kes, tetapi penyiasatan tidak harus berasaskan kepada bukti DNA semata-mata.’ —– Diterjemahkan oleh Dr. Afif Bahardin dan Najwan Halimi dari artikel berjudul "DNA evidence can be fabricated and planted at crime scenes, scientists warn" tulisan Fiona Macrae yang diterbitkan di laman The Daily Mail UK pada 19 Ogos 2009. |
You are subscribed to email updates from Anwar Ibrahim To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan