11 RabiulAwwal 1437 [MOD] -
PETALING JAYA: Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak perlu bercuti sebagai salah satu langkah dalam usaha memulihkan nama baiknya, meningkatkan imej Islam dan memperbaiki nama Malaysia.
Katanya Presiden Umno itu perlu bercuti sehingga siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) selesai dan Ketua Audit Negara melengkapkan siasatan dan laporan terhadap 1MDB.
"Ini penting untuk memulihkan nama baik Presiden Umno, Malaysia dan juga Islam kerana siasatan perlu akan kelihatan adil sebelum keadilan dapat dilakukan," katanya dalam satu kenyataan, Isnin malam.
Beliau berkata demikian sebagai tindak balas kepada kenyataan Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bahawa tugas memulihkan imej Islam harus diberi keutamaan.
Cadangan supaya Najib bercuti itu adalah yang pertama dalam senarai enam langkah yang dicadangkan Tuan Ibrahim.
Satu lagi cadangannya ialah memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), yang didakwa Tuan Ibrahim sebagai bertentangan dengan Islam kerana orang fakir miskin turut dipaksa membayar cukai.
Permintaan ketiganya adalah supaya tindakan tegas diambil terhadap pembaziran dan penyalahgunaan dana kerajaan berdasarkan laporan audit baru-baru ini.
Selain itu beliau turut menyarankan agar kerajaan mengurangkan perbelanjaan dan kementerian hidup berjimat cermat seperti yang terpaksa dilakukan rakyat dalam menghadapi kemelut kejatuhan harga minyak dan juga kenaikan kos hidup yang semakin meruncing.
"Menyiasat Yapiem dengan telus dan terbuka dan memastikan mereka yang didapati menyeleweng dana Yapiem dibawa ke muka keadilan," katanya menerusi cadangan kelima.
Seterusnya, beliau juga meminta agar penganiayaan terhadap Kelantan dihentikan dan royalti minyak dipulangkan dengan kadar segera.
"Semua perkara ini boleh dilakukan Umno tanpa PAS, sebagai langkah Umno menunjukkan kepada rakyat, terutamanya mereka yang beragama Islam, kesungguhannya untuk mendaulatkan Islam.
"PAS pula akan meneruskan kerja dakwahnya agar rakyat dapat turut bersama memperjuangkan Islam sebagai Ad-deen dalam pentadbiran negara dan kehidupan rakyat," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan