Nuffnang

CINA ISLAM (林川興)

Posted by Admin Direktori Blog | Posted on 1:30 PG

CINA ISLAM (林川興)


Dr M tarik balik sokongan pada Najib

Posted: 18 Aug 2014 12:18 AM PDT

22 Syawal 1435. [MOD] -


Tun Mahathir Mohamad menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selepas melihat prestasinya lebih buruk berbanding Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini.

Mahathir berkata, beliau tidak sangka pencapaian Najib dalam pilihan raya umum lalu lebih buruk berbanding Abdullah dan "dasar dan tindakannya juga tidak lebih berkesan" berbanding pendahulunya itu.

"Harapan saya Datuk Seri Najib akan mengambil ikhtiar dari prestasinya yang buruk dalam pilihan raya umum ke-13," katanya.

"Malangnya sehingga kini tidak ternampak apa-apa perubahan dari segi dasar atau pendekatan walaupun saya cuba menyampaikan pendapat saya, (yang juga pendapat ramai yang datang bertemu saya) secara langsung kepada Datuk Seri Najib."

Justeru, menulis dalam blognya hari ini, Mahathir berkata, beliau tiada pilihan selain menarik balik sokongan dan menegur pemimpin itu.
"Saya tidak ada pilihan selain dari menarik balik sokongan saya. Ini pun tidak berkesan. Oleh itu terpaksalah saya menegur," katanya.

Mahathir antaranya mengkritik tindakan Najib "melayan tuntutan musuh" dengan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), bersikap rendah diri kepada negara jiran serta memberikan layanan tidak saksama terhadap kaum dan parti yang menyelamatkan kerajaan.

Lebih sayangkan negara

Bekas perdana menteri juga mengkritik penggunaan wang kerajaan untuk mempengaruhi sokongan dalam pilihan raya, pengabaian industri tempatan, pertambahan cuti dan kenaikan gaji minimum.

"Sesungguhnya banyaklah dasar, pendekatan dan perbuatan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib yang merosakkan hubungan antara kaum, merosakkan ekonomi dan kewangan negara.

"Semua ini disebabkan penyokong kerajaan tidak pernah menegur pemimpin," katanya yang sebelum itu yang antaranya menceritakan kisah dongeng terkenal "kisah maharaja bogel".

Mahathir (kiri) berkata beliau rela menerima akibatnya akibat menegur pemimpin nombor satu negara itu.

"Jikalau tiada siapa yang sanggup menegur, biarlah saya menegur. Saya pernah dipecat oleh Tunku Abdul Rahman, dipulau oleh Datuk Seri Abdullah dan difitnah oleh ramai. Jika kerana menegur saya akan didera, terpaksalah saya terima.

"Bukanlah saya tidak sayang pemimpin. Tetapi saya lebih sayang bangsa dan negara saya," katanya. MK/-

Tidak timbul lagi soal sokong Khalid - Presiden PAS

Posted: 18 Aug 2014 12:11 AM PDT

22 Syawal 1435. [MOD] -


KOTA BHARU: Presiden PAS menjelaskan Majlis Syura sebelum ini menyokong Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memandangkan ketika itu Menteri Besar Selangor masih lagi sebagai ahli PKR.

"Maka masalah itu sekarang tidak timbul lagi," kata Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Ditanya tuduhan penyelewengan terhadap Khalid belum lagi dapat dibuktikan kata beliau itu adalah perkara lain.

Jawatankuasa PAS Pusat semalam memutuskan PAS menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor menggantikan Khalid.

Selain itu mesyuarat itu juga menamakan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali mengisi jawatan tersebut.

Bercakap pada sidang media bersama Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kota Darulnaim hari ini katanya, ketika keputusan Majlis Syura menyokong Khalid masih lagi sebagai ahli PKR, namun sekarang tidak lagi. Hadir sama pada sidang media itu ialah Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali. (Foto atas oleh UKMB)

"Malah Khalid dilaporkan menghargai keputusan dibuat PAS semalam," ujarnya.

Ditanya apa nasihat PAS kepada Khalid, katanya beliau hanya menyatakan pandangannya apabila dapat berjumpa dengan Menteri Besar nanti dan bukan kenyataan melalui media.

Mengenai cadangan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat hanya mencadang nama Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor kata Presiden PAS, Majlis Presiden Pakatan menghargai pencalonan dibuat PAS menggantikan Khalid.

"Majlis Pimpinan mengambil maklum Datuk Seri Dr Wan Azizah dan Azmin Ali diputuskan sebagai cadangan mengisi jawatan menteri besar.

"Sebaliknya Azmin menghormati keputusan partinya, ini maknanya kita serah kepada Sultan untuk putuskan dengan satu nama nama yang diangkat,"  ujarnya.

Oleh itu kata beliau tidak ada percanggahan dengan keputusan sebelum ini, dan terpulang kepada Sultan menamakan sesiapa sahaja termasuk Wan Azizah.

Tuan Guru Abdul Hadi juga berkata, Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat turut menghargai pendirian PAS kekal bersama Pakatan Rakyat dan keperluan menggantikan Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.

Ditanya kemungkinan Khalid membubarkan Dun, katanya itu terpulang kepada rakyat kerana kuasa membubar Dun hak sultan.

"Kita tidak boleh campur tangan. Kalau tuanku bubar maka kita terima realiti. Namun kita harap tidak berlaku begitu," katanya.

Presiden PAS juga menolak persepsi nepotisme berlaku bagi mengisi jawatan Meneri Besar Selangor.

Manakala, Tuan Guru Nik Abdul Aziz menolak dakwaan PAS sering berubah pendirian. Ini kerana kata beliau perubahan itu berlaku ketika sebelum ada keputusan Jawatankuasa PAS Pusat.

"Dan apabila ada keputusan ia tidak lagi berubah kerana telah dibuat (Jawatankuasa PAS Pusat) dengan bilangan yang ramai," katanya.

Beliau juga menyokong penuh keputusan dibuah Jawatnkuasa PAS Pusat untuk PAS kekal dalam Pakatan Rakyat.

Menurutnya kekal dalam Pakatan adalah perkara paling penting sebagai seorang beragama Islam kerana agama menyuruh supaya berpakat.

"Islam agama tauhid. Tauhid bermakna bersatu dan semasa Rasulullah saw hidup penyatuan dibuat dengan pelbagai bangsa dan agama yang kita panggil tahaluf siyasi.

"Syukur kepada Allah Taala dengan keputusan dibuat semalam kekal dengan Pakatan. Saya sokong keputusan dibuat jawatankuasa PAS Pusat, siapa jadi menteri besar itu soal lain," tambahnya.  -HARAKAHDAILY 

Nik Aziz harap tiada p'raya baru S'gor

Posted: 18 Aug 2014 12:07 AM PDT

22 Syawal 1435. [MOD] -


Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini bersetuju dengan segala keputusan mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat semalam yang menolak kepimpinan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Nik Abdul Aziz berkata keputusan menyokong itu dibuat selepas beliau mengadakan pertemuan tertutup dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali di Kota Baharu.

"Saya telah mendengar penjelasan daripada Presiden PAS dan Setiausaha Agung dan saya bagi sokongan penuh terhadap keputusan Jawatankuasa PAS Pusat itu.

"Alhamdulillah keputusan itu kita kekal dalam Pakatan (Rakyat) dan saya menyokong apa yang diputuskan semalam," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di Institut Pemikiran Tok Guru di Kota Darul Naim di Kota Baharu.

Abdul Hadi dan Mustafa juga turut hadir dalam sidang akhbar itu.

Sebelum ini, Majlis Syura Ulama PAS yang diketuai Nik Abdul Aziz telah membuat keputusan menyokong penuh Abdul Khalid untuk kekal sebagai menteri besar.

Semalam, Jawatankuasa Kerja PAS pusat itu turut mencadangkan dua nama iaitu Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya Mohamed Azmin Ali bagi sebagai calon menteri besar yang baharu bagi menggantikan Abdul Khalid.

Ketika ditanya kenapa bertindak menyokong Wan Azizah sedangkan keputusan sebelum itu berbeza, Nik Abdul Aziz kemudiannya berkata: "Siapa jadi MB (menteri besar) itu terpulang kepada perkenan Sultan".

Sementara itu, Abdul Hadi berkata keputusan yang diputuskan parti itu adalah berdasarkan kepada keadaan semasa iaitu pada masa menyokong Abdul Khalid adalah kerana ketika itu beliau ia masih merupakan anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Masa itu, Abdul Khalid masih dalam PKR dan kini telah dipecat dan masalah berkaitan dengannya sudah tidak timbul lagi," katanya.

Beliau berkata persoalan sama ada Abdul Khalid bersalah atau tidak terhadap tuduhan yang dilemparkan parti termasuk dakwaan salah laku, itu merupakan isu yang berbeza dan tiada kaitan dengan keputusan yang dibuat semalam.

Abdul Hadi juga berkata keputusan PAS memilih Wan Azizah itu juga tiada kaitan dengan dakwaan menyokong nepotisme yang cuba diamalkan oleh PKR.

"Saya tidak mahu komen dengan nepotisme atau tidak atau ia telah bercanggah dengan keputusan Majlis Syura Ulama. Terpulang kepada Sultan untuk menentukan dan itu bukan hak kita," katanya.

Ketika ditanya adakah Abdul Hadi telah menasihatkan Abdul Khalid dalam soal itu, beliau hanya berkata: "Nanti saya jumpa dia (Abdul Khalid) dan bukannya nasihat melalui akhbar".

Abdul Hadi berkata, PAS berharap pilihan raya negeri tidak akan diadakan, 
tetapi tetap bersiap sedia menghadapinya.

"Bubar dewan itu hak Tuanku dan tiada siapa boleh campur tangan tetapi kita harapkan ia tidak berlaku," katanya.

- Bernama

Sultan tolak permohonan Khalid menghadap di luar negara

Posted: 18 Aug 2014 12:01 AM PDT

22 Syawal 1435. [MOD] -


Istana Selangor menyatakan bahawa Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah membuat permohonan untuk menghadap Sultan Selangor di luar negara.

Bagaimanapun, Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata baginda menitahkan Khalid menunggu di Selangor sehingga baginda pulang.


"Saya telah menerima permohonan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk menghadap DYMM Sultan Selangor di luar negara bagi menjelaskan perkembangan semasa politik di Negeri Selangor dan juga kedudukan beliau sebagai Datuk Menteri Besar Selangor.

"Permohonan beliau telah saya sembah maklum kepada DYMM Tuanku. Walau bagaimana pun Baginda menitahkan supaya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menunggu sehingga Baginda berangkat balik ke tanah air dalam tempoh beberapa hari lagi," kata Munir dalam satu kenyataan hari ini.

Spekulasi tersebar bahawa Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bakal berlepas ke Budapest, Hungary, untuk bertemu Sultan Sharafuddin Idris Shah selepas kehilangan sokongan majoriti ahli Dewan Negeri Selangor.

Satu mesej teks ringkas (SMS) disebarkan di kalangan wakil rakyat Pakatan Rakyat berkenaan hal ini.

SMS tersebut turut menyatakan Khalid menghadap Sultan untuk mendapat perkenan pembubaran Dewan Negeri, membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri.

"Dapat maklumat semalam Khalid akan meminta Sultan membubarkan DUN (Dewan Negeri Selangor).

"Mungkin Khalid akan ke Budapest bertemu DYMM (Sultan)," kata mesej yang dilihat Malaysiakini itu.

Bagaimanapun Setiausaha Akhbar Khalid Arfa'eza Abdul Aziz menafikan spekulasi tersebut.

Beliau menyatakan Khalid akan meneruskan kerja seperti biasa sehingga Sultan kembali dari luar negara 27 Ogos depan.
Malaysiakini/-

Pakatan akhirnya calon Azizah saja

Posted: 17 Aug 2014 04:35 AM PDT

21 Syawal 1435. [MOD] -

  • Pakatan Rakyat akhirnya memutuskan untuk mencalonkan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail sahaja sebagai calon menteri besar Selangor bagi menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim.

    Perkara itu baru diputuskan dalam mesyuarat majlis presiden PKR, DAP dan PAS di sebuah hotel di Subang Jaya, Selangor sebentar tadi.

Comments posted (0)

YB BN

YB PAS

YB PKR

YB DAP