Nurul Izzah Anwar |
Posted: 09 Aug 2013 06:58 PM PDT NURUL IZZAH ANWAR ADALAH tidak patut untuk berhujah secara sinis dan umum tanpa membahaskan sesuatu masalah atau perkara pokok dengan menutup kebenaran. Justeru, membuat pernyataan secara fitnah dan membuat pertuduhan terhadap seseorang atau sesuatu kaum sebagai menjadi punca sesuatu masalah dengan tidak ada rasa takut bermain api sentimen dan emosi adalah tidak bertanggungjawab. Salah satu bentuk berhujah ini adalah dibuat di bawah tajuk 'dilema' yang bermaksud 'memilih antara dua pilihan'. Seperti tajuk cerita Allahyarham P Ramlee, Antara Dua Derajat, ia menimbulkan masalah yang memerlukan penyelesaian sewajarnya. Satu ketika dahulu kedengaran teriakan wujud 'dilema Melayu' yang menggaris 'masalah besar' bangsa Melayu yang perlu memilih antara dasar Ketuanan Bangsa atau Ketuanan Perlembagaan. Setelah lebih 43 tahun, kita masih dihantui dilema ini yang tidak pernah dapat diselesaikan kerana ia bertujuan menggariskan punca 'masalah' sebenar iaitu rasuah, salah guna kuasa dan kronisme – tetapi sebaliknya digunakan untuk 'menakutkan' dan 'memenjarakan' bangsa agar 'berjuang' serta 'mengundi' untuk kepentingan golongan elit yang berkuasa atas alasan perkauman. Pasca PRU13, kita diminta sekali lagi membuat pilihan apabila diunjurkan kewujudan 'dilema Cina' di mana dikatakan bangsa Cina perlu memilih antara membolot atau mengongsi kuasa politik dengan bangsa lain. Jika ini menjadi satu trend, maka tidak mustahil jika kemudian akan disebut mengenai 'dilema India' dan kemudian 'dilema Jawa', 'dilema Bugis', 'dilema Mendeleng' di mana kesemuanya dirangkakan atas dasar perkauman. Sepatutnya, kita mesti merangka semula (reframe) dan memperluaskan istilah 'dilema' menjangkau isu perkauman kepada dilema politik, ekonomi, jenayah, pendidikan dan rasuah. Bila disebut wujud 'dilema politik' ia dapat dilihat dengan keputusan PRU13 yang lepas di mana – pilihan majoriti 51% rakyat untuk Pakatan Rakyat berbanding 47% untuk BN yang membentuk kerajaan minoriti, nyata menimbulkan 'demokrasi songsang'. Demokrasi songsang ini menafikan aspirasi majoriti rakyat untuk menikmati penurunan harga minyak, pendidikan percuma, dasar gaji minimum sebenar, pembinaan rumah mampu milik, penurunan harga kereta dan banyak lagi. 'Dilema ekonomi' atau lebih tepat lagi 'dilema jurang kemiskinan' – di mana indeks GINI yang mengukur jurang pendapatan masih melebar pada kadar 0.46 yang tertinggi di Asia – pula adalah akibat dasar-dasar ekonomi yang telah disalah urus dan disempitkan pelaksanaan hanya untuk golongan elit kecil. Bayangkan setelah 56 tahun merdeka Melayu majoriti masih miskin dengan lebih 80% penduduk luar bandar berpendapatan isi rumah kurang RM1,500 sebulan. Soalnya mengapa sebuah negara yang kaya sumber setelah lebih 50 tahun membangun masih 'miskin'? Ini adalah 'dilema jurang kemiskinan' yang mana ekonomi kita masih dijarah satu puak melalui 'dilema rasuah' dengan penswastaan terpilih, pembelian aset kerajaan, pemberian konsesi tol lebuh raya, konsesi penjanaan elektrik, konsesi bekalan air, komisen tender, pengambilan tanah rezab Melayu termasuk isu aliran wang haram. Kalau itu tidak cukup, bagaimana pula 'dilema pendidikan' yang dihadapi rakyat dengan anak-anak kita dijadikan bahan kaji uji dasar-dasar pendidikan yang sering bertukar musim, yang masih lagi dalam bentuk 'blueprint' dengan laporan-laporan institusi serta pakar dunia disimpan jauh dari mata rakyat. Tetapi apabila pendidikan dipolitikkan – prestasi antarabangsa merudum lebih rendah dari Khazakstan untuk matematik atau Thailand untuk sains – dan ramai juga lepasan universiti menganggur walaupun lebih 4.5% KDNK dibelanjakan untuk pendidikan hanya menimbulkan tanggapan bahawa ketirisan serta kepincangan hasil pendidikan (education outcomes) jika tidak diatasi akan menjadikan 'dilema pendidikan' dilema terbesar untuk negara. Oleh itu marilah kita berhenti berdilema ikut perkauman, sebaliknya berdilema ikut isu-isu seperti demokrasi, ekonomi, rasuah, jenayah dan pendidikan – yang sewajarnya dilihat sebagai satu 'dilema Malaysia' yang dikongsi dan mesti diatasi bersama. Dipetik dari Sinar Harian |
You are subscribed to email updates from Nurul Izzah Anwar To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan