Selasa, 6 Ogos 2013

DUN BUKIT PAYONG

DUN BUKIT PAYONG


Perutusan Eidul Fitri

Posted: 06 Aug 2013 02:59 AM PDT





Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar
Walillahil Hamd

Segala puji bagi Allah, tuhan sekelian alam. Selawat dan salam keatas junjungan rasulullah s.a.w, berserta keluarga dan sahabat-sahabat baginda r.a. Ramadhan al Mubarak hampir melabuhkan tirainya. Dengan segala tawaran yang hebat daripada Allah kepada mahkluknya yang lemah ini, bagi mereka yang yakin dan percaya dengan janji-janji Allah maka mereka akan merebutnya dengan bersungguh-sungguh bagaikan tiada akan berjumpa lagi dengan Ramadhan bagi meraih taqwa.
Syawal yang bakal disambut nanti, dihiasi dengan kisah suka duka ummah di seluruh dunia. Di Malaysia kekalahan umat Islam didalam PRK Kuala Besut dengan menyaksikan limpahan rasuah dari parti pemerintah yang begitu bersungguh-sungguh mahu menghapuskan peluang parti Islam PAS untuk sekali lagi memerintah Terengganu. Dengan "kepungan" ratusan juta ringgit yang dijanjikan didalam pemikiran rakyat, menyebabkan rakyat Kuala Besut berada dipersimpangan bagi memilih calon dengan waras.
Dimana-mana sahaja di dunia ini apabila Islam berdiri di situ maka akan pasti ada tentangan yang akan diberikan dari pihak penentang Islam dengan pelbagai cara dan bentuk tentangannya. Mereka akan sedaya upaya mencuba untuk memadamkan cahaya Islam, akan tetapi Allah yang menjadi pelindung cahaya itu, tidak akan membenarkan. Ini adalah resam dunia. Firman Allah :
 "Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)" (as-Shaff : 8)
Dunia juga ketika ini sedang menyaksikan pergolakan di Mesir, bumi yang sentiasa basah dengan darah para pejuang agama Allah. Betapa demokrasi yang dilaung-laungkan telah dinodai atas nama "demokrasi" juga. Sedangkan jelas dan nyata kemenangan parti Islam yang diketuai oleh Dr. Mursi, melalui pilihanraya yang sah menurut undang-undang ciptaan mereka sendiri. Para pejuang Islam bukan sahaja di Mesir, malahan di seluruh dunia, dikepung dari pelbagai sudut demi untuk melumpuhkan bukan sahaja sebahagian malahan kepada Islam itu sendiri secara keseluruhannya mengikut rentak dan tarian kuffar.
Inilah dia Perang Ahzab moden. Soladiriti kuffar membentuk gabungan luar dan dalam bagi menjahanamkan Islam dengan niat untuk memadamkan cahaya Allah dengan bertopengkan demokrasi. Sejarah Ahzab menyaksikan kemenangan kepada tentera Islam dengan hancurnya kesatuan kuffar sedangkan umat Islam dalam kesulitan yang amat sangat bertahan sehingga datang janji Allah. Kemenangan itu datang pada syawal, setelah sekian lama dikepung dalam keadaan memeritkan dan menggongcangkan keimanan dengan goncangan yang dahsyat, sebagai tapisan dari Allah terhadap hamba-hambanya, mengekalkan golongan yang ikhlas berjuang dan mengeluarkan munafik dari jalan perjuangan. Moga syawal ini memberikan berita kemenangan bagi rakyat Mesir yang sudah berzaman duduk dibawah pemerintahan sekular.
Begitu juga isu Syiria yang mencengkam hati dan perasaan umat Islam seluruh dunia dengan kesengsaraan yang mereka alami, bagi mempertahankan maruah umat Islam syria berhadapan dengan pemerintah mereka sendiri yang begitu rakus menyembelih rakyat sendiri. Semoga kemenangan dipihak mujahidin. Perjuangan kita masih jauh lagi berbanding dengan perjuangan mereka.
Syawal yang bakal menjelang ini juga hadir bersama liputan berita-berita jenayah dalam negara yang sangat mengerikan. Lebih kurang tujuh kes mati ditembak yang sehingga kini masih dalam siasatan dan tiada tangkapan mahupun pertuduhan rasmi. Keamanan kita tergugat dengan kesediaan pembunuh-pembunuh upahan untuk dibayar dengan harga serendah RM1000 bagi mereka menggalas tugasan "malaikat maut".
Petaka apakah yang menimpa umat sekarang ini? Tiadalah jawapan yang lain melainkan kita wajib kembali kepada Islam secara keseluruhannya, bukan hanya sebahagian dan terpilih. Firman Allah :
"Adakah kamu beriman dengan sebahagian Kitab dan kufur dengan sebahagian yang lain". [Al-Baqarah: 85].
Kegagalan manusia mengambil serta memahami isi kandungan al-Quran adalah malapetaka yang terbesar yang mendorong kepada kemusnahan kehidupan yang penuh kebaikan dan kemuliaan kepada kejahatan dan kehinaan. Mereka mengambil apa yang menguntungkan sahaja dan menolak apa yang dianggap merugikan atau yang menyekat hasrat mereka bagi meraih kehendak dunia dari al-Quran. Sedangkan Allah menyuruh manusia mengambil Islam itu secara menyeluruh agar selamat dari mengikuti jejak langkah syaitan. Firman Allah :
Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata. (al Baqarah : 208)
Maka Islam sahajalah penyelamat bagi manusia keseluruhannya. Maka bersempena Eidul Fitri ini, wajiblah kita kembali kepada fitrah kehidupan ini iaitu kembali kepada Allah, tuhan sekelian alam. Hanya dengan mengikut kehendak Allah melalui sunnah rasulnya dan kitab al Quran, maka kita dijanjikan keselamatan oleh Allah, di dunia dan akhirat.
Akhir kata marilah kita sama-sama menadahkan tangan memohon agar Ramadhan kali ini akan memberikan ketaqwaan yang lebih tinggi daripada yang sebelumnya agar dengan ketaqwaan itu maka kita dapat menyelamatkan diri kita, keluarga kita dan masyarakat secara keseluruhannya daripada kemurkaan Allah. Maaf Zahir Batin daripada saya, keluarga, seluruh AJK DPPNT dan MTD Bukit Payong Taqabbalallahu minna waminkum. Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar Walillahil Hamd

Tiada ulasan:

Nuffnang