:: cina islam | 2011 :: |
- Ejen Pekerja Asing Minta Buah Pinggang Sebagai Pertukaran Dengan Pasport
- Mesir: Situasi lebih buruk jika haram Ikhwan
- Kekacauan merebak ke lapan bandar
- Pas kekal kerusi Parlimen Bachok, DUN Jelawat
- Ikhwanul Muslimin mungkin diharamkan
- ‘Kejayaan’ 100 hari BN, jenayah meningkat
- Surau RM200,000 akan dibina selesai solat depan tandas
- Ibu Bapa Disyaki Dera Anak Lima Tahun Direman Tiga Hari
- 4,000 sertai perhimpunan tentang keganasan di Mesir
- Pemimpin politik Pakistan ditembak mati.
- Mesir batal latihan tentera dengan Turki
Ejen Pekerja Asing Minta Buah Pinggang Sebagai Pertukaran Dengan Pasport Posted: 18 Aug 2013 02:49 AM PDT 11 Syawal 1434 H. [MOD] - PETALING JAYA: Seorang pembantu rumah warga asing mendakwa bahawa ejennya menuntut bayaran sebanyak RM6,500 atau memberikan salah satu daripada buah pinggangnya sebagai pertukaran bagi mendapatkan pasport untuk pulang ke negaranya. P. Jayadevi dari Madurai, India, cuba untuk pulang ke rumah selepas menerima berita suaminya sedang sakit tetapi terperangkap di Malaysia selepas ejennya menghilangkan diri bersama pasport dan dokumen perjalanan yang lain. "Saya telah merayu kepadanya untuk membenarkan saya pulang ke rumah tetapi dia berkata jika saya mahukan pasport saya, saya perlu membayar RM6,500. Katanya, jika saya tidak dapat mencari wang, saya perlu menjual buah pinggang saya kepadanya," kata ibu kepada tiga orang anak berusia 47 tahun itu. Jayadevi juga mendakwa ejennya telah memukulnya beberapa kali dengan tali pinggang dan menahan gajinya sebanyak RM2,400. "Dia berkata akan menggunakan wang itu untuk mendapatkan permit kerja untuk saya tetapi saya telah diberitahu ia adalah palsu. "Dia juga pernah mengugut saya, dengan berkata akan menolak saya di hadapan kereta api atau menjual saya sebagai pelacur jika saya terus bertanya tentang gaji," katanya. Namun dia bernasib baik kerana dapat menghubungi keluarganya yang membawa kes itu kepada kumpulan hak asasi manusia di negara ini. Wakil kumpulan itu membuat laporan polis bagi pihaknya di balai polis Sea Park di sini, Sabtu. Presiden kumpulan itu, T. Kamalanathan, berkata ejen itu, juga seorang warga India, terkenal dengan aktiviti penyeludupan manusia dan Jayadevi telah menyelamatkan dirinya dengan membuat pendedahan tentang perkara ini. "Saya telah berdepan beberapa kes melibatkan lelaki ini di mana pekerja telah menjadi mangsa," katanya, sambil menambah Jayadevi telah bekerja di lima buah rumah berbeza sejak tiba di sini pada 2 Februari lalu dan tidak dibayar. Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Supt Fadil Marsus berkata Jayadevi akan dibawa ke hospital untuk rawatan manakala kes itu disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan. Sementara itu, kekecohan yang berlaku pada Sabtu, di rumah di mana Jayadevi bekerja apabila NGO mengiringinya ke balai polis. Majikannya berkata bahawa mereka memerlukannya untuk terus berada di sini dan menjaga ahli keluarga yang sakit, manakala Kamalanathan menegur majikannya kerana mengambil Jayadevi daripada sumber yang boleh dipersoalkan..mStar/- |
Mesir: Situasi lebih buruk jika haram Ikhwan Posted: 18 Aug 2013 02:37 AM PDT 11 Syawal 1434 H. [MOD] - Harakahdaily/- KUALA LUMPUR: Tindakan rejim kudeta Mesir pimpinan tentera yang bercadang untuk mengharamkan Ikhwanul Muslimin tidak akan menyelesaikan konflik berdarah di negara itu. Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub yang dihubungi berkata, keputusan tersebut sebaliknya akan terus memburukkan lagi keadaan di Mesir apabila pihak yang menyokong Presiden dipilih rakyat, Dr Mohamed Morsi bertindak menyatakan bantahan. "Tindakan untuk mengharamkan Ikhwan telah saya jangkakan sebelum ini dan ini sebagai satu usaha mereka untuk menghapuskan terus pergerakan tersebut. "Tetapi kita perlu melihat dengan tindakan tersebut ia tidak akan menyelesaikan apa yang berlaku di Mesir. "Saya merasakan kesan akan lebih teruk apabila wujud ketidakpuasan hati dari penyokong Ikhwan apabila kerajaan tentera Mesir mengambil tindakan tersebut," jelasnya kepada Harakahdaily. Salahuddin yang menegaskan pihak yang terbabit di dalam konflik Mesir itu perlu mencari jalan penyelesaian bagi mengelakkan lebih ramai yang terkorban serta meminta negara-negara lain campurtangan dalam usaha mencari jalan pendamaian. Beliau memberitahu, jika pengharaman Ikhwan dilakukan ia akan mengembalikan Mesir kepada zaman lampau. |
Kekacauan merebak ke lapan bandar Posted: 18 Aug 2013 02:27 AM PDT 11 Syawal 1434 H. [MOD] - KAHERAH: Tentera Mesir semalam mengepung Masjid Al-Fath yang dipenuhi penyokong Presiden Mohamed Morsi, ketika negara itu terus berada di ambang perang saudara selepas kekacauan terus merebak. Kepungan di masjid berkenaan dilakukan selepas pertempuran menyebabkan 173 terbunuh di seluruh negara dalam pertempuran terbaru manakala lebih 1,004 penyokong Morsi ditangkap. Dalam pertempuran Rabu lalu, 638 terbunuh menjadikan angka korban 801 manakala 1,330 lagi cedera. Antara mangsa terbaru termasuk anak lelaki pemimpin kanan Ikhwan, Mohamed Badie iaitu Ammar, 38, yang terbunuh kena tembakan ketika memprotes di Dataran Ramses. Kekacauan juga merebak ke kawasan lain termasuk di Suez, Sohaq, Sinai, Iskandariah, Beni Sueif, Fayoum, Minya di selatan Kaherah dan bandar pelancongan Hurghada di Laut Merah. Tindakan keras pasukan keselamatan itu menyebabkan rakyat Mesir berpecah-belah kepada satu tahap yang tidak pernah berlaku di dalam sejarah negara itu. Seorang penunjuk perasaan berkata, hampir 1,000 orang terperangkap di dalam masjid yang sebelum ini menempatkan 20 mayat penunjuk perasaan mangsa pertempuran kelmarin. Rakaman siaran televisyen di dalam masjid menunjukkan askar cuba memujuk penunjuk perasaan supaya menyerah diri. Seorang penunjuk perasaan dalam masjid yang dihubungi melalui telefon berkata, pihaknya menuntut supaya tidak ditahan dan dilindungi daripada diserang orang awam yang berkumpul di luar masjid. "Samseng cuba menyerbu ke dalam masjid tetapi sekumpulan lelaki menghalang pintu masuk," kata seorang lagi penunjuk perasaan tanpa mengesahkan siapa yang dimaksudkan sebagai samseng. Sumber keselamatan yang dipetik agensi berita rasmi MENA, berkata, tembakan senjata yang ditujukan ke arah polis dan pasukan keselamatan kedengaran dari dalam masjid. Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) pimpinan Morsi merayu supaya 'pembunuhan beramai-ramai' dielakkan selepas ratusan terbunuh di seluruh negara Rabu lalu, apabila polis menyerbu dua lokasi perhimpunan utama penyokong Morsi yang digulingkan 3 Julai lalu. Ketegangan terbaru bermula selepas penyokong Morsi keluar dari masjid dan menunjuk perasaan yang digelar 'Hari Tunjuk Marah'. Keganasan tercetus serta-merta apabila polis mula melepaskan gas pemedih mata dan tembakan mula kedengaran. Sementara itu pertubuhan hak asasi Amesty International menggesa siasatan rapi dijalankan sambil menegaskan tindakan pihak berkuasa ke atas penunjuk perasaan semakin membimbangkan. AGENSI |
Pas kekal kerusi Parlimen Bachok, DUN Jelawat Posted: 18 Aug 2013 12:35 AM PDT 11 Syawal 1434 H. [MOD] - KOTA BHARU: PAS mengekalkan kerusi Parlimen Bachok dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelawat selepas Mahkamah Pilihan Raya di sini, hari ini menolak petisyen yang difailkan Barisan Nasional (BN). Hakim Pilihan Raya, Datuk Zamani Abdul Rahim yang membuat keputusan itu, berkata ini kerana pihak pempetisyen telah gagal mematuhi beberapa peraturan yang termaktub dalam Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954. Ketika membacakan keputusan penghakimannya kira-kira selama sejam itu, Zamani berkata antara kegagalan itu adalah pihak pempetisyen telah gagal mematuhi kaedah pelantikan peguam dan kecacatan dalam penyerahan petisyen kepada responden. Beliau memutuskan pempetisyen perlu membayar kos RM30,000 kepada responden pertama dan RM15,000 masing-masing kepada responden kedua dan responden ketiga dalam kedua-dua petisyen itu. Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu, calon BN bagi Parlimen Bachok, Datuk Dr Awang Adek Hussin tewas kepada calon PAS, Ahmad Marzuk Shaary dengan majoriti 201 undi manakala bagi kerusi DUN Jelawat, calon BN Datuk Ilias Husain kalah kepada calon PAS Abdul Aziz Kadir dengan majoriti 102 undi. Petisyen bagi Parlimen Bachok difailkan Dr Awang Adek manakala DUN Jelawat oleh Ilias. BN diwakili barisan peguam yang diketuai Mohd Ilias Mohd Noor manakala PAS oleh peguam Hisham Fauzi. Responden kedua iaitu Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan responden ketiga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula diwakili barisan peguam yang diketuai Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md Arshad. - BERNAMA |
Ikhwanul Muslimin mungkin diharamkan Posted: 18 Aug 2013 12:26 AM PDT 11 Syawal 1434 H. [MOD] - Malaysiakini/-
|
‘Kejayaan’ 100 hari BN, jenayah meningkat Posted: 17 Aug 2013 11:29 PM PDT 11 Syawal 1434 H. [MOD] - Harakahdaily. KUALA LUMPUR:Seratus hari pentadbiran Barisan Nasional (BN) selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu menyaksikan peningkatan kadar jenayah yang amat membimbangkan terutamanya melibatkan senjata api. Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, selain meningkatnya kadar jenayah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga gagal memenui kehendak rakyat apabila rakyat terus terbeban dengan kenaikan harga barang. "Saya melihat sepanjang seratus hari pendatbiran BN, Najib gagal melakukan satu tranformasi baru kepada kebajikan rakyat terutamanya dalam soal kehidupan harian mereka. "Apa yang kita lihat rakyat terbeban dengan kenaikan harga barang dan turut berada dalam ketakutan serta tidak selamat apabila jenayah melibatkan senjata api kian meningkat," jelasnya kepada Harakahdaily ketika dihubungi. Malah menurut beliau lagi, seratus hari pentadbiran Najib tidak ada satu pembaharuan dilakukan selain daripada menyelamatkan kroni demi kepentingan peribadi. Jelasnya, Najib cuba menyelamatkan kedudukan beliau pada pemilihan Umno nanti dengan memasukkan individu yang kalah pada PRU13 serta yang tidak layak di dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC). "Seratus hari tumpuan hanya diberikan pada pemilihan Umno, Najib yang ingin menyelamatkan kedudukan beliau mencari sokongan dengan memasukkan individu yang kalah dan tiada kelayakan di dalam GLC. "Dengan ini beliau merasakan istilah mengenang jasa dapat menyelamatkan beliau, seratus hari sepatutnya ditumpukan kepada permasalah rakyat tidak ditekankan," sambung beliau. Beliau menambah walaupun Najib merasakan seratus hari masih terlalu awal, tetapi rakyat tetap mahu melihat apa yang akan perolehi sepanjang tempoh tersebut. Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, rakyat juga mahu melihat adakah kehidupan mereka masih di takuk lama atau terus diabaikan kebajikan selain terbeban dengan kenaikan harga barang keperluan . |
Surau RM200,000 akan dibina selesai solat depan tandas Posted: 17 Aug 2013 11:26 PM PDT 11 Syawal 1434 H. [MOD] - (Laporan Harakahdaily sebelum ini - klik gambar untuk lihat laporan ini) KUALA KANGSAR: Selepas berita umat Islam terpaksa solat di depan tandas di sebuah pusat perniagaan, Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) mengeluarkan peruntukan RM200,000 untuk membina sebuah surau baru di situ. Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Khair-Il Anuar Wan Ahmad berkata, selepas perbincangan dibuat, peruntukan itu akan dikeluarkan, lapor Sinar Harian. Katanya, ia akan dilaksanakan dalam masa terdekat apabila sebut harga pembinaan surau dikeluarkan pada minggu hadapan. Sebelum ini, Harakahdaily menyiarkan bagaimana pelanggan dan peniaga di sebuah pusat perniagaan itu terpaksa solat di depan tandas. Ini kerana, tiada kemudahan surau di kawasan terdekat. Walaupun ada Masjid Ubudiah namun ia agak jauh untuk pelanggan dan peniaga pergi ke sana. "Kita akan buat penelitian terhadap isu ini kerana kemungkinan sabotaj juga ada. Mungkin mereka sengaja solat di kawasan itu dan memuat naik gambar tersebut dalam laman sosial untuk beri tanggapan tertentu. "Sebuah bilik solat ada disediakan di atas pentas dan paip air untuk berwuduk juga disediakan," katanya. Menurut wakil rakyat itu, pihaknya akan melihat secara menyeluruh dan perancangan rapi akan dibuat bagi memastikan pembangunan di Kuala Kangsar berjalan lancar selepas ini. "Saya harap Yang Dipertua MPKK melihat isu ini secara menyeluruh kerana kawasan ini merupakan tempat tumpuan umum," katanya. Sabotaj? Dalam pada itu, pihak yang membuat laporan hal ini, Mohd Farhan Madzlan menolak andaian wakil rakyat BN ini bahawa ia ada unsur sabotaj. "Unsur sabotaj ke atau unsur RM200,000. Tiba-tiba baru nak buat surau.. orang dah start solat mengadap tandas tu dah bertahun.. siapa yang pergi ke arena square semua tahu ceritanya.. kecuali yang tak solat la," tulis beliau dalam Facebooknya. Beliau mengulas dakwaan wakil rakyat ini yang mendakwa liputan solat depan tandas ini mungkin ada unsur sabotaj |
Ibu Bapa Disyaki Dera Anak Lima Tahun Direman Tiga Hari Posted: 17 Aug 2013 06:40 PM PDT 11 Syawal 1434 H. [MOD] - IPOH: Ibu bapa kepada kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini direman selama tiga hari. Pada Sabtu, Majistret Rahimah Rahim mengeluarkan perintah reman selama tiga hari yang berakhir pada Isnin di mahkamah Majistret di sini. Sambil mengesahkan polis telah mendapat perintah reman tiga hari terhadap ibu dan bapa kanak-kanak itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana melakukan seksaan dengan sengaja sehingga cedera parah. Bapa kanak-kanak perempuan itu dilaporkan telah membawa anaknya itu ke HRPB di sini selepas rebah akibat demam panas pada Khamis. Kanak-kanak itu mempunyai kesan rotan, lebam dan luka di seluruh badan dan kepala. Melihat keadaan itu, doktor yang merawatnya membuat laporan polis di pondok polis hospital berkenaan yang membawa kepada penahanan kepada ibu dan bapa kanak-kanak itu di rumah mereka di Taman Wang, Menglembu di sini, keesokan harinya. Difahamkan, wanita berusia 30 tahun itu tidak tahan dengan kerenah anak perempuannya itu yang dikatakan terlalu nakal mengakibatkan dia mengambil tindakan memukulnya. Jiran pasangan terbabit mengambil sikap berdiam diri ketika didekati The Star. Mereka bagaimanapun mendedahkan bahawa kanak-kanak itu seorang yang pendiam. "Saya terdengar dari jiram-jiran bahawa kanak-kanak itu sering mencederakan dirinya dengan menghantukkan kepala ke dinding. "Tapi saya tidak pernah melihatnya dengan mata sendiri," kata salah seorang jiran pasangan terbabit. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Integrasi Nasional, Datuk Rusnah Kassim ketika dihubungi berkata, dua lagi anak pasangan terbabit berusia tujuh dan dua tahun kini berada dalam perlindungan Jabatan Kebajikan negeri. "Mereka kini dibawah perlindungan jabatan kebajikan. "Kedua-dua mereka ditempatkan di rumah perlindungan kanak-kanak dan berada dalam keadaan selamat. "Namun mereka kelihatan trauma akibat insiden itu," katanya. mStar/- |
4,000 sertai perhimpunan tentang keganasan di Mesir Posted: 17 Aug 2013 04:57 PM PDT 11 Syawal 1434 H. [MOD] - Malaysiakini/- Lebih 4,000 orang berkumpul di Padang Merbok hari ini untuk mengutuk kudeta di Mesir dan pembunuhan kira-kira 600 orang awam. Mereka mendesak supaya Mohamed Morsi dikembalikan semula sebagai presiden kerana beliau telah dipilih secara demokratik. Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang berucap di perhimpunan tersebut menegaskan oleh rakyat Mesir mahu kerajaan Islam. Katanya, sayap politik Ikhwanul Muslimin - Parti Kebebasan dan Keadilan - telah dipilih untuk berkuasa walaupun dengan sumber-sumber parti yang kecil. Tegasnya, tidak ada perhimpunan Black 505 (seperti di Malaysia), bermakna beliau telah memenangi pilihan raya yang sah. Turut hadir dalam bantahan yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS ialah Setiausaha Penganjur DAP, Anthony Loke, yang mendesak supaya sidang tergempar parlimen diadakan untuk mengutuk keganasan di Mesir. Beliau juga mengkritik sikap sepi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung perkara itu, tetapi ada pula masa untuk mengulas mengenai dakwaan penyelewengan dalam pemilihan parti DAP, tetapi tiada masa untuk mengutuk kerajaan tentera Mesir. Perhimpunan itu dimulakan dengan solat pada kira-kira jam 5.40 petang oleh kira-kira 300 peserta, diikuti dengan ucapan oleh kira-kira 20 penceramah - terutamanya daripada PAS, serta NGO sehinggalah solat Maghrib pada kira-kira jam 7.30 malam. Pada masa itu, jumlah hadirin meningkat kepada lebih 4,000 orang walaupun penganjur mendakwa ia berjumlah sekitar 10,000. Sementara itu, dalam ucapannya, Presiden PAS Hadi Awang mengutuk Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) kerana berdiam diri terhadap krisis tersebut, serta beberapa pemimpin dunia yang menyokong tindakan keras tentera Mesir. Bantahan terhadap Morsi Krisis di Mesir tercetus pada 3 Julai dengan ketua kudeta Jeneral AbdulFattah al-Sisi menggulingkan Morsi, dengan kerajaan sementara yang diketuai oleh ketua hakim negara sehingga pilihan raya diadakan. Tindakan itu ekoran protes oleh jutaan rakyat terhadap Morsi kerana kononnya mengabaikan masalah ekonomi dan sosial. Penyokong Morsi kemudiannya turun ke jalanan menuntut supaya beliau dikembalikan ke jawatannya dan berlaku pertempuran ganas dengan pasukan keselamatan. Keadaan itu mencapai kemuncaknya apabila pasukan keselamatan bertindak membersihkan kem penyokong Morsi dengan kekerasan. Angka kematian rasmi dalam operasi pada 14 Ogos itu mencecah lebih 600, walaupun Ikhwanul Muslimin mendakwa bahawa jumlah sebenar melebihi 2,000 orang . Puluhan anggota pasukan anggota keselamatan juga turut terbunuh. |
Pemimpin politik Pakistan ditembak mati. Posted: 17 Aug 2013 04:53 PM PDT 11 Syawal 1434 H. [MOD] - Peshawar 18 Ogos - Pemimpin kanan parti politik sekular, Awami National Pary (ANP), Najma Hanif, 35, mati ditembak malam semalam selepas penjenayah bersenjata api memecah masuk ke dalam rumahnya. Pegawai kanan polis, Mohammad Faisal berkata, sehingga kini identiti penyerang masih lagi belum dikenal pasti, namun dipercayai ketika melakukan pembunuhan mereka menggunakan pistol yang disenyapkan. ``Satu atau dua penyerang memasuki rumah dan membunuh beliau,'' katanya. Motif di sebalik pembunuhan itu masih tidak jelas, namun pada November 2011 suami, anak-anak dan pengawal peribadi Najma telah dibunuh oleh seorang pengebom berani mati Taliban. -AFP |
Mesir batal latihan tentera dengan Turki Posted: 17 Aug 2013 04:52 PM PDT 11 Syawal 1434 H. [MOD] - KAHERAH 18 Ogos - Kementerian Luar Mesir hari ini mengumumkan keputusan untuk membatalkan latihan tentera laut secara bersama dengan Turki yang dijadualkan bermula 21 hingga 28 Oktober depan. Keputusan tersebut dibuat selepas Kaherah berang dengan kenyataan Turki yang mengecam tindakan pihak keselamatan Mesir menangani bantahan anjuran penyokong bekas Presiden Mohammed Mursi sehingga menyebabkan hampir 3,000 terbunuh. Kementerian berkenaan menganggap kenyataan Ankara itu mencampuri urusan dalaman Mesir dan tindakan tersebut bertentangan dengan kehendak rakyat Mesir. Kelmarin, Presiden Barack Obama membatalkan latihan ketenteraan bersama antara Amerika Syarikat (AS) dan Mesir ekoran konflik keganasan yang melanda negara ini. - AGENSI |
You are subscribed to email updates from :: cina islam | 2013 :: To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan