Ahad, 28 April 2013

N45 Dr Halimah Ali

N45 Dr Halimah Ali


Pas Berkawan Dengan DAP menolak UMNO: DAP belum Islam, UMNO islam

Posted: 28 Apr 2013 09:56 AM PDT

Untuk membuat keputusan, antara lain kita perlukan semua maklumat pros dan kontra, kebaikan dan keburukan, kekuatan dan kelemahan sesuatu isu atau perkara. Di bincangkan di bawah isu yang dalam bahasa arabnya tahalluf siyasi atau dalam bahasa pasarnya PAS  "berkawan" dengan DAP, menolak perpaduan dan persahabatan UMNO. Diberikan dalil akal atau logik serta dalil Alquran serta sunnah . oleh Ust Nasruddin Hassan. Juga di sertakan video ucapan Al Fadhil Ust Abdullah Saamah serta Khutbah Ust Fathul Bari tentang perpaduan dari perspektif UMNO dan Islam.


Kenapa Pas Tolak UMNO Tapi Berkawan Dengan DAP


 Mungkin ramai yang belum faham kenapa PAS boleh berkawan dengan DAP, tidak dengan Umno yang majoriti ahlinya beragama Islam ( ahli UMNO dari Sabah dan Sarawak belum Muslim) . Di bawah disenaraikan sebab-sebab utama:


1) DAP menolak Hudud sebab mereka bukan Islam, tetapi peliknya Umno tolak Hudud sedangkan mereka beragama Islam. Jadi PAS tak mahu kawan dengan orang Islam yang tolak hukum Islam. Banyak nas Al Quran dan Hadith.

2) DAP tidak rasuah, Umno Rasuah. DAP tiada buat penyelewengan tetapi Umno sudah banyak penyelewengan kuasa dibuat hingga menghakis kekuatan umat Islam di negara ini contohnya, penghapusan tulisan jawi, sistem pendidikan barat, membiarkan gejala sosial di kalangan umat Islam.


 3) DAP tidak pernah bunuh umat Islam, tetapi umat Islam Memali dibunuh oleh siapa? Arahan siapa? SINI

 4) DAP tidak pernah runtuhkan masjid, tetapi banyak surau dan masjid diruntuh atau ditutup oleh kerajaan Umno/BN atas pelbagai alasan seperti pengambilan tanah untuk pembangunan dan surau dibina atas tanah setinggan seperti yang berlaku di Kg Berembang Selangor, pemusnahan Masjid Darul Makmur Kijal Trengganu









 5) DAP tidak pernah hentikan tazkirah dan kuliah agama di masjid dan surau. Tetapi banyak kuliah dan tazkirah dihentikan oleh pihak berkuasa atas alasan tiada tauliah sedangkan ustaz tersebut lulusan Timur Tengah dan IPTA yang dibina kerajaan sendiri.

 6) DAP tidak pernah tangkap rakyat tanpa bicara, tetapi kerajaan pimpinan Umno menggunakan ISA dan akta baru sekarang untuk berbuat demikian.



 7) DAP tidak pernah menggadaikan tanah orang Melayu, tetapi sejak merdeka tanah rezab Melayu berjumlah 3 juta hektar tinggal 1.7 juta hektar sahaja. Ini angkara siapa.?

 8) DAP tidak pernah mempertikaikan Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Rasmi negara tetapi siapa pula yang memperkenalkan PPSMI?

 9) DAP tidak pernah merampas dan menganiaya negeri orang Melayu dan umat Melayu tetapi kerajaan Umno/BN menafikan royalti minyak kepada Kelantan dan Terengganu.

10) DAP setia kepada persefahaman dan persepakatan tetapi Umno lah yang menghalau PAS keluar dari Barisan Nasional pada tahun 1974 kini Umno gila talak dan kembali rujuk kepada PAS.


11) Ketika Umno/BN kuat, PAS dipandang sebelah mata, bila Umno/ BN lemah, PAS seringkali diajak bergabung



12) Umno BOLEH bergabung dengan MCA, MIC dan lain-lain parti bukan Melayu/Islam sebanyak 11 parti dalam BN, tetapi PAS bergabung dengan 2 parti pelbagai kaum iaitu PKR dan DAP TAK BOLEH pula?

13) PAS bukan parti berasaskan perkauman tetapi Umno adalah perkauman sempit sama seperti MCA dan MIC. PAS menentang dasar berjuang atas perkauman atau Assobiyyah. SINI

14) PAS menentang kezaliman dan penindasan terhadap rakyat atas dasar apa sekalipun. Banyak sekali contoh kezaliman dan penindasan yang dilakukan oleh kerajaan Umno/­ BN seperti menafikan royalti, bantuan per kapita kepada negeri PR (diberi tidak sepenuhnya dan dilengah-lengahkan), bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat dihentikan, harga barangan dan perkhidmatan semakin naik dan sebagainya.

 15) PAS menentang pembaziran yang menjadi amalan kerajaan Umno/BN dengan projek-projek mega yang sebahagian besarnya tidak memberikan manfaat kepada rakyat .......

 16) DAP dan PKR menerima dan memeterai perjanjian bahawa Islam tetap menjadi agama Rasmi Malaysia, Sistem Raja Berpelembagaan tetapi dipertahankan, Hak Istimewa Melayu iaitu Perkara 152 &153 Perlembagaan Persekutuan  dipertahankan, Bahasa Melayu tetap menjadi Bahasa Rasmi Malaysia.


Sebenarnya masih banyak lagi antara sebab-sebab kenapa PAS mengutamakan DAP dalam menyeru kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran.

Sejak kerjasama PAS dan DAP menjadi realiti, Umno dan BN dilihat bersungguh-sungguh menggunakan isu PAS alat DAP, PAS kuda tunggangan DAP, PAS boneka DAP, PAS menggadai prinsip perjuangan dan 1001 tohmahan dilemparkan kepada PAS dan disogok kepada rakyat khasnya orang-orang Melayu untuk menanam rasa benci dan curiga yang mendalam terhadap PAS.

Umno dan BN melengkapkan adu dombanya untuk masyarakat Melayu menolak perjuangan PAS secara konsisten dengan "sepanduk" mereka bahawa "PAS berkawan dengan kafir DAP tetapi lawan Melayu Umno". Secara sentimennya, sebahagian masyarakat Melayu yang hanya terdedah kepada maklumat sebelah pihak akan terpengaruh dengan dakyah ini.

Saya tidak menafikan kemungkinan sebahagian pengundi menolak untuk memberi sokongan kepada PAS atas faktor ini, namun ia bukanlah faktor besar dan sebenar justeru unjuran undi sokong yang diperolehi oleh PAS tidak menunjukkan aras menjunam sebaliknya menurun dengan peratus yang kecil sementelah pula ia diukur nilai dalam saingan pilihan raya kecil.

Saya sangat optimis, kiranya PAS diberi laluan serta kemudahan untuk akses dengan media elektronik dan cetak arus perdana bagi menjelaskan segala kekeliruan yang tersimpul secara adil, PAS mampu memberi saingan sengit secara sihat kepada Umno dan BN lalu memenangi pilihan raya secara gentleman. Malangnya demokrasi negara kita diurus secara pincang oleh Umno dan BN selaku pemerintah, lalu memaksa kita bersaing tanpa peluang yang seimbang.

Menjawab persoalan kenapa PAS sedia berhubung, berkawan dan bekerjasama dengan DAP, saya mulakan dengan mengajak seluruh rakyat khasnya umat Islam untuk mengkaji kebijakan Baginda Rasul SAW bertindak melalui sirah perjuangan Baginda demi menyelamatkan ummah sekali gus menyalakan obor menerangi kegelapan jahiliyyah. Baginda Rasul telah bertindak sebagai Rahmatan Lil A'lamin (rahmat - naungan kasih buat seluruh alam).

Antara tindakan bestari Baginda Rasul SAW ialah Baginda telah mengadakan kerjasama sosial dan politik dengan golongan non-Muslim pada waktu itu untuk tujuan mempertahankan hak dan nenentang kezaliman :

Hilful Mutaiyyibin


Nabi Muhammad SAW pernah menjelaskan mengenai Tahaluf ini sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud, "Aku telah menyaksikan berlakunya perjanjian (tahaluf) al-mutayyibin dan aku tidak ingin memungkirinya walaupun diberi kepada aku unta berwarna merah yang terbaik sekali." (riwayatkan Imam Ahmad di dalam al Musnad Jil 1. hlmn 190-193)

Perjanjian atau kerjasama (tahaluf) ini wujud apabila timbul persengketaan dalam kalangan kabilah dalam merebut kuasa pengawasan Kaabah, hak penyediaan makanan dan ketenteraan serta pengurusan air zam-zam. Lalu mereka berkumpul dan mengadakan perjanjian atau kerjasama (tahaluf) untuk tidak merampas hak masing-masing.

Hilful Fudhul


Urutan Perjanjian Mutayyibin, Perjanjian atau kerjasama "fudhul" dimeterai untuk menghentikan kezaliman daripada berleluasa di Kota Makkah. Sama ada Kezaliman itu ke atas penduduk asal Makkah, juga kepada orang-orang asing yang berurusan di Kota Makkah. Mereka berkumpul di rumah Abdullah bin Jud'an lantaran beliau seorang yang sangat dihormati dan yang paling tua dalam kalangan mereka.

Sabda Rasulullah SAW maksudnya, "Aku telah menyaksikan di Rumah Abdullah bin Jud'an, adanya satu perjanjian atau kerjasama - fudhul - yang aku tidak akan membatalkannya sekalipun aku diberikan seekor Unta Merah. Dan sekiranya perjanjian atau kerjasama itu diajak semula pada masa Islam, maka aku akan menyetujuinya."

Diriwayatkan oleh Ibnu Ishak dari Muhammad bin Zaid bin Muhajir. Hadis ini bertaraf Mursal namun tidak terjejas kerana tadlis Ibn Ishaq. Ibnu Ishaq tidak melakukan kecurangan (tadlis) di sini melainkan beliau telah menyebutkan sanadnya.

Al-Imam Suhaili menyebut bahawa Hilful Fudhul adalah sebaik-baik perjanjian atau kerjasama yang pernah di dengar dan perjanjian yang paling mulia dalam kalangan bangsa Arab. Ia tercetus apabila berlaku penindasan yang dilakukan oleh al-Ashi bin Wai'l, seorang yang kaya raya dan ternama di Kota Makkah membeli barang dagang seorang badwi tetapi enggan membayarnya.

Mengenai kisah Hilful Fudhul ini, suka saya tarik perhatian semua kepada satu analogi :

Saya tinggal di kawasan taman perumahan. Suatu malam rumah saya diceroboh pencuri (waliyazubillah - sebagai contoh). Sejurus saya sedar, saya dapati wang saya hilang sebanyak RM 134,000. Pencurinya seorang perempuan tetapi lariannya ligat dan pantas, lalu saya berteriak, "Tolong! Tolong! Perempuan itu curi wang saya!" Tiba - tiba jiran - jiran saya yang seorang India beragama Hindu namanya Balendran (sekadar contoh) dan juga orang Cina beragama Kristian namanya Vincent (sekadar contoh), malah ramai lagi jiran saya turut keluar mengejar pencuri tersebut sekalipun mereka terdiri dari pelbagai bangsa dan agama yang tidak serupa dengan saya.

Hasrat mereka mahu membantu saya untuk mengejar dan menangkap pencuri itu. Rupa-rupanya bulan lepas rumah mereka juga diceroboh oleh pencuri yang sama. Ada yang lesap RM 100,000 satu malam begitulah juga yang lain dengan jumlah yang tidak sedikit. Mereka sama-sama nekad mahu menangkap pencuri itu. Mereka berkumpul di hadapan rumah saya di Jalan Raja Laut (sekadar contoh), lalu mereka melafazkan ikrar untuk bekerjasama bagi mengejar dan menangkap pencuri tersebut demi memelihara keamanan dan kesejahteraan Taman perumahan kami.

Kendatipun saya seorang Muslim dan mereka yang menghulur tangan untuk bekerjasama menangkap pencuri licik itu pula terdiri kalangan non-Muslim, Islam membenarkan saya memeterai perjanjian kerjasama untuk menangkap pencuri profesional itu. Bodohlah saya yang baru kehilangan RM134,000 dek kerana pencuri perempuan itu, tiba-tiba saya menolak kerjasama yang dihulurkan oleh non-Muslim yang juga mahu menangkap pencuri yang sama, semata-mata kerana mereka berbangsa Cina, India dan pula tidak Islam. Saya tidak akan belajar sampai ke Mesir untuk jadi sebodoh itu.

Kenapa Umno dan BN marah sangat PAS bekerjasama dengan DAP? Bagaimana pula dengan Umno sendiri yang berselimut TOTO dengan MCA dan MIC? Bukankah MCA itu juga Cina dan MIC itu India? Atau ada yang lebih Cina dari MCA dan terlebih India dari MIC ? Perangai Umno ini tidak ubah sebagaimana kata pepatah arab yang diterjemahkan sebagai, "Dia pukul aku dia yang menangis, dia fitnah aku dia yang mengadu."

Begitu juga orang tua-tua pernah bisik pada saya, Umno ini "Bagai paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih". Tetapi lain pula kata orang muda pada saya mengenai Umno ini. Kata mereka, "Paku sana paku sini, serpihnya balik atas dia juga".

Siapa sebenarnya menjadi alat dan boneka? Bukankah Umno menjadi alat dan binatang tunggangan dalam Barisan Nasional?

Umno pernah menang besar dan memiliki majoriti kerusi berbanding parti Gerakan di Pulau Pinang satu ketika dahulu, tetapi malangnya Umno menyerahkan kerusi Ketua Menteri kepada parti Gerakan. Bukankah Umno menjadi alat dan boneka kepada pihak lain? — www.harakahdaily.net


Ust Fathul Bari
Wujud jurang yang besar antara ilmu dan amalan. Adakah kemungkaran yang dilakukan oleh pemimpin UMNO bukan maksiat? Bukankah membela kemungkaran dan kezaliman yang dilakukan oleh pemimpin UMNO merupakan satu bentuk asobiyyah?






HUKUM TAHALUF SIYASI DALAM KONTEKS GERAKAN ISLAM MASAKINI


Penghargaan: Ust Nasruddin Hassan, http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/kerjasama-pas-dan-dap-suatu-penjelasan-nasruddin-hassan/


Time For Change, http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/18753-kenapa-pas-berkawan-dengan-dap-tolak-umno

Tiada ulasan:

Nuffnang