Dr Siti Mariah Mahmud |
Hadiahkan mawar merah kepada anggota polis wanita Posted: 08 Mar 2013 11:43 PM PST Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) hari ini menghadiahkan mawar merah kepada anggota polis wanita sempena Hari Wanita Sedunia. Timbalan Ketua DMPP, Dr Siti Mariah Mahmud menghadiahkan jambangan bunga mawar merah kepada Pegawai Hal Ehwal Awam Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Darlina Darno. (Gambar atas) Dr Mariah juga menghadiahkan sekuntum mawar merah kepada setiap pegawai wanita di situ sambil mengucapkan 'Selamat Hari Wanita' dan 'Wanita Suara Perubahan'. Mereka kelihatan gembira menerima bunga mawar tersebut dan mengucapkan terima kasih kepada rombongan DMPP yang hadir. Dr Mariah yang ditemui selepas itu berkata, DMPP akan sentiasa menjalankan kerjasama yang baik dengan pihak polis khususnya anggota wanita dan berharap mereka dapat menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan telus tanpa mengira pangkat. "Muslimat tidak pernah bermusuh dengan pihak polis dan kita hormati anggota polis yang bertugas dengan penuh tanggungjawab dan kami sangat menghargai wanita yang berada dalam pasikan ini," katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Raja. Sambil mengucapkan 'Selamat Hari Wanita' kepada seluruh wanita di Malaysia, beliau menyeru wanita agar meningkatkan keupayaan diri dan sentiasa menunjukkan prestasi cemerlang dalam apa jua bidang yang diceburi. "Masyarakat tidak boleh menafikan peranan wanita dalam apa jua bidang. Di mana pun wanita berada, golongan ini mempunyai kuasa tersendiri dan tidak boleh dipandang remeh. "Dalam proses membuat keputusan penting sekalipun, pandangan wanita amat berguna," katanya. Sementara itu, Darlina berkata, beliau berasa dihargai apabila DMPP mengambil inisiatif sedemikian. "Sepanjang lima tahun bertugas di sini, ini kali pertama ada wanita datang hadiahkan bunga dan kami rasa gembira dan dihargai. "Sempena Hari Wanita ini, pesan saya kepada wanita agar sentiasa menjaga keselamatan diri dan berwaspada selalu di mana pun anda berada," katanya ramah. |
Semua etnik bebas berbudaya di Kelantan Posted: 08 Mar 2013 10:54 PM PST Semua etnik di Kelantan bebas mengamalkan budaya dan agama masing-masing, kata Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Beliau berkata oleh itu, kerajaan negeri mengambil langkah mengisytiharkan sekitar Jalan Kebun Sultan di sini sebagai "China Town" berikutan kawasan itu sejak turun temurun menjadi tumpuan masyarakat Cina untuk berniaga di samping terdapat beberapa mercu tanda. Masyarakat Cina telah wujud di Kelantan sejak abad ke-17 Masihi di mana kebanyakan mereka tinggal di sepanjang pinggir sungai Kelantan, terutama di kawasan Pulai, Gua Musang, katanya. "Sebab itu, tidak hairanlah jika masyarakat keturunan Cina dan Melayu di negeri ini dapat hidup harmoni malah mereka terkenal dengan panggilan 'Cina Kelantan' atau 'Cina Kampung' dan mengamalkan cara hidup bercirikan budaya Melayu," katanya ketika melancarkan majlis pengisytiharan sekitar Jalan Kebun Sultan di sini sebagai "China Town", malam tadi. Pada majlis itu, Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas turut menepung tawar dua daripada 23 ekor singa kumpulan tarian singa yang melambangkan simbol 23 tahun Pas mentadbir Kelantan sejak 1990. "Pada awal mengambil alih pentadbiran Kelantan pada 1990, saya meluluskan permohonan daripada masyarakat Cina untuk mengubah suai serambi bangunan Dewan Perniagaan Cina di sini dengan ukiran ciri-ciri kesenian budaya Cina," katanya. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kebudayaan dan Pelancongan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan dalam ucapannya bersyukur kejadian kereta merempuh pentas dan khemah untuk majlis itu awal pagi semalam tidak mencederakan petugas dan menjejaskan majlis pelancaran itu. - Bernama |
You are subscribed to email updates from Dr Siti Mariah Mahmud To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan