Suara Sri Andalas |
Warga Emas Seluruh Negara Dapat Bonus RM1,000 Di Bawah Pakatan Posted: 26 Feb 2013 08:16 PM PST KUALA LUMPUR 27 FEB: Pakatan Rakyat akan meluaskan Skim Bonus Warga Emas yang dilaksanakan di Pulau Pinang ke seluruh negara. Menerusi skim ini, setiap warga emas berusia 60 tahun ke atas akan menerima bonus bernilai RM1,000 setiap tahun untuk membantu mengurangkan beban hidup mereka. Tawaran ini terkandung pada muka surat 9 Manifesto Pakatan Rakyat di bawah teras Rakyat Bersaudara. Manifesto Rakyat dengan tema Pakatan Harapan Rakyat yang dilancar pada Konvensyen Pakatan Isnin lalu memberi tumpuan ke atas empat teras utama, yang dilihat merangkumi semua segmen masyarakat. Empat teras utama tersebut adalah Rakyat Bersaudara, Ekonomi Rakyat, Kesejahteraan Rakyat dan Kerajaan Rakyat. "Kenaikan harga barang yang mencanak mengurangkan kuasa beli warga emas. Kesempitan hidup di hari tua menjadi igauan ramai rakyat Malaysia," dokumen manifesto itu dipetik. Manifesto ini diumumkan oleh Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli; Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad dan Naib Pengerusi DAP, M Kulasegaran. Sumber: KeadilanDaily |
Pakatan Rakyat Mansuh AUKU Dalam Tempoh 100 Hari Perintah Putrajaya Posted: 26 Feb 2013 08:11 PM PST SHAH ALAM 26 FEB : Pakatan Rakyat(PR) menegaskan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) akan dimansuhkan dalam tempoh 100 hari pertama apabila gagasan itu berjaya ke Putrajaya. Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata ia akan digantikan dengan akta lain yang memberikan kebebasan kepada mahasiswa dan akademik. Katanya, banyak aspek AUKU masih berada di dalam kongkongan Kementerian Pengajian Tinggi yang menghalang perkara pokok dalam kebebasan akademik. "Kita kena faham banyak aspek AUKU contohnya perlantikan Naib Canselor masih berada di bawah kuasa Menteri Pengajian Tinggi. "Saya juga pernah hadir sidang meja bulat dengan beberapa peserta Muafakat, AUKU bukan perlu dipinda tetapi dimansuhkan terus. "Dan satu jawatankuasa khas ditubuhkan untuk membawa syor itu. Bagaimanapun, lebih satu tahun ia belum menjadi realiti," katanya dalam Wacana Sinar siri ke 17 yang bertajuk Kuasa Politik Mahasiswa di Auditorium Kumpulan Karangkraf, di sini. Wacana itu turut membariskan panel yang terdiri daripada bekas aktivis pergerakan mahasiswa, Tun Faizal Ismail Aziz ; Penganalisis politik, Prof Dr Azmi Hassan ; Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia, Muammar Ghadafi Datuk Jamal dan Presiden Gabungan Mahasiswa Islam (Gamis), Azan Safar serta moderator Prof Datuk Mohamad Abu Bakar. Beliau menambah sebagai bekas seorang mahasiswa, mahasiswa tidak wajar menyertai kursus Biro Tata Negara (BTN) yang mana hanya dilihat lebih memberikan maklumat tentang dasar kerajaan selain menyerang pihak pembangkang. "Ia berbeza dengan institut kerajaan lain, dalam BTN ia juga ada elemen perkauman, mereka serang pembangkang. Mahasiswa mahupun penjawat awam mereka tidak boleh dipaksa. Lagipun BTN menggunakan duit rakyat," katanya. Nik turut memberikan contoh beberapa mahasiswa digantung ekoran mengadakan debat dengan menjemput pemimpin DAP dan MCA. "Kuasa politik dalam universiti masih menyekat mahasiswa menyebabkan banyak kekangan berlaku. Mahasiswa seolah diugut, bila jadi macam itu mereka takut," katanya. Sementara itu, Azan berkata walaupun AUKU dipinda tetapi ia perlu diberi perhatian dan disemak semula. "Kuasa politik yang menyekat menyebabkan mahasiswa 'lesu'. Kekangan dominasi dalam Universiti menjadikan lesu. Jika dibebas akan hilang lesu itu. Kita kena ingat tidak semua aktivis pelajar tidak bijak. Mereka terdiri dari pelajar cemerlang," katanya. Tambahnya, politik juga merupakan sebahagian dari akademik. "Bila mereka dilarang bercakap, sistem pendidikan dan demokrasi perlu diperlihatkan. Kita bukan mahu wujudkan 'politik konflik' tetapi mahu politik tumpuan dan hujah, " katanya. Pada 2011, Mahkamah Rayuan memutuskan Seksyen 15 (5) AUKU sebagai tidak sah seterusnya dipinda. Mengulas lanjut, Nik berkata apabila kes itu dibawa ke mahkamah, baru timbul kesedaran Kerajaan Persekutuan untuk meminda akta terbabit. Sumber: Selangorku |
You are subscribed to email updates from Suara Sri Andalas To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan