:: cina islam | 2011 :: |
Idham care tidak songlap duit wakaf Posted: 11 Feb 2013 03:47 AM PST 30 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] - 8 Februari 2013 Menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-13 yang semakin hampir, pelbagai fitnah dan tuduhan dilemparkan terhadap Adun Titi Serong, Drs Khalil Idham Lim Abdullah oleh pelbagai pihak termasuk segelintir penulis blog pro Pakatan Rakyat (PR). Daripada isu beliau 'meninggalkan' Dun Titi Serong demi melobi menjadi calon PR di Parlimen Kuala Kangsar hinggalah dikatakan tidak sebulu dengan Pas kawasan Parit Buntar. Kini Khalil Idham Lim dipalit pula dengan tohmahan memperalatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dipanggil Idhamcare untuk menyalahgunakan duit wakaf. Selain itu, inisiatif murni beliau untuk mewujudkan Kompleks Pendidikan Darul Anwar (KPDA) dengan reka bentuk masyarakat Cina zaman kuno di Titi Serong, Parit Buntar bukan sahaja mula dipersoalkan penulis blog pro-Barisan Nasional(BN), malah turut dikritik hebat media pro-PR, susulan kegagalan pembinaannya dimulakan walaupun tabung kutipan wakaf projek dilancarkan sejak September 2011. Ikuti wawancara eksklusif wartawan Sinar Harian, KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN dengan pemimpin berjiwa besar itu bagi menyelami perasaannya, di samping mendapatkan penjelasan terperinci mengenai motif sebenar penubuhan Idhamcare dan status projek KPDA. Selama empat tahun Yang Berhormat (YB) berkhidmat sebagai wakil rakyat di Dun Titi Serong, pelbagai kontroversi dan dakwaan negatif dikaitkan terhadap YB oleh segelintir pihak tertentu. Boleh YB jelaskan perkara sebenar berlaku? Selama tempoh perkhidmatan saya di sini, saya percaya sudah memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat. Saya mengakui terdapat pelbagai tohmahan dilemparkan seperti dakwaan saya mendapat tender konsesi balak, 'tinggal' kawasan Dun untuk melobi jadi calon kawasan lain dan terbaru, dituduh menipu duit wakaf rakyat melalui perancangan pembinaan KPDA di Titi Serong, Parit Buntar. Sebelum ini, ada pihak tertentu mendakwa saya menutup pejabat Adun kerana hendak mengelak bertemu dengan rakyat. Saya ingin menegaskan pejabat saya tidak pernah ditutup, sebaliknya hanya berpindah ke lokasi baru di Taman Kerian Permai untuk ditempatkan sekali dengan pejabat NGO Idhamcare yang ditubuhkan oleh saya sendiri bagi melaksanakan kerja-kerja kebajikan. Sehingga kini, pejabat saya masih dikunjungi rakyat untuk mendapatkan bantuan, malah saya sendiri sentiasa meluangkan masa bertemu rakyat sekiranya berada di Dun Titi Serong memandangkan masa perkhidmatan saya kini terpaksa diagihkan di antara Parlimen Kuala Kangsar dan Dun Titi Serong untuk membantu kempen pilihan raya PR di sana. Persoalannya, dari aspek mana membuktikan saya tidak turun padang meneliti permasalahan rakyat Dun Titi Serong? Bagi menghormati Pesuruhjaya Pas Perak, Abu Bakar Hussain yang bakal menjadi calon Pas bertanding di Dun Titi Serong, wajarlah saya memberi lebih ruang kepada beliau untuk memperkenalkan dirinya kepada rakyat kawasan itu supaya mereka lebih dekat dengan bakal calon Pas. Justeru, tidak timbul dakwaan saya Adun tidak bertanggungjawab, sebaliknya tuduhan yang dikemukakan hanya bertujuan mencemarkan reputasi saya dan memberi persepsi negatif terhadap pengundi Parlimen Kuala Kangsar. Berbalik dengan isu status pendaftaran Idhamcare yang dipertikaikan segelintir pihak, adakah NGO itu berdaftar dengan Pertubuhan Pendaftar (ROS)? Bagaimana pula dengan status pendaftaran sebuah lagi NGO dikenali Persatuan Kebajikan Islam Idhamcare? Idhamcare merupakan satu pertubuhan berdaftar sah yang dibuat melalui surat ikatan amanah diperakui oleh Pesuruhjaya Sumpah, manakala Persatuan Kebajikan Islam Idhamcare didaftar dengan ROS pada tarikh 17 Oktober 2011 dengan nombor pendaftaran 4555-11-PRK. Tujuan penubuhan Idhamcare atau Idcare adalah bagi membolehkan kami mengumpul dana pembelian tanah seluas empat ekar di Lot 7933, kawasan Titi Serong melalui pengenalan Skim Wakaf Tanah KPDA yang dilancarkan pada 25 September 2011, tarikh diambil sempena tarikh saya memeluk agama Islam. Manakala penubuhan Persatuan Kebajikan Islam Idhamcare pula bertujuan mengumpul dana bagi membiayai projek pembinaan infrastruktur kompleks pendidikan itu selain mengumpul dana pembiayaan kos menimbunkan dan meratakan tanah dan sebagainya. Ingin ditegaskan kutipan duit wakaf hanya dibuat Idhamcare melalui dua akaun utama setelah mendapat kebenaran daripada ROS dan kutipan di bawah akaun Maybank Idhamcare kini ditutup secara rasmi pada 31 Disember 2012. Terdapat dakwaan laman blog mempersoalkan tindakan YB melantik ahli lembaga pengarah untuk menguruskan kedua-dua NGO itu dari kalangan ahli keluarga terdekat dan perkara itu dikatakan menimbulkan perasaan kurang senang segelintir pemimpin Pas. Boleh jelaskan? Saya ingin menegaskan kedua-dua NGO itu ditunjangi oleh beberapa individu penting sebagai ahli lembaga pengarah termasuk beberapa ahli keluarga saya memandangkan penubuhannya semata-mata di bawah NGO dan tidak melibatkan parti. Tujuan penubuhannya juga murni demi membangunkan KPDA yang sememangnya selaras dengan cita-cita saya untuk mewujudkan kompleks pendidikan yang bertaraf antarabangsa di Dun Titi Serong. Justeru, tidak timbul isu mengatakan saya membelakangkan parti dalam melaksanakan agenda KPDA memandangkan ianya dibuat menggunakan platform NGO dan langsung tidak menggunakan kepentingan parti. Dakwaan kutipan duit wakaf kononnya disalahgunakan oleh saya untuk kepentingan diri sama sekali tidak berasas, memandangkan kutipan wang dari kedua-dua akaun utama NGO yang ditubuhkan adalah semata-mata untuk membangunkan KPDA. Saya mengakui pernah meletakkan beberapa akaun peribadi meliputi beberapa bank tempatan di dalam promosi saya untuk memudahkan pewakaf menyalurkan sumbangan dana. Namun kutipan dana wakaf yang masuk melalui akaun peribadi saya tidak mencapai tiga peratus daripada keseluruhan jumlah kutipan. Sehingga kini, berapa banyak kutipan duit wakaf melalui dua akaun utama NGO dan akaun-akaun peribadi YB yang berjaya dikutip untuk tujuan pembangunan KPDA? Bagi kutipan duit wakaf melalui akaun Idhamcare, kami berjaya mengutip lebih RM200,000 dan keseluruhan wang itu digunakan sepenuhnya untuk menguruskan pembayaran pembelian tanah seluas 1.709 ekar berjumlah RM102,570 terhadap empat penama. Pembayaran pembelian tanah diselesaikan pada bulan Ogos 2012 manakala lebihan wang pula digunakan untuk membiayai kos menambak,meratakan dan tebus guna tanah itu. Melalui akaun Persatuan Kebajikan Islam Idhamcare, jumlah kutipan dana wakaf yang dibuat kini menjangkau RM100,000 dan akaun itu masih dibuka kepada mana-mana pihak yang berkeinginan menyumbangkan dana wakaf bagi menjayakan pembinaan KPDA. Berdasarkan data terkumpul sehingga 15 Disember 2012, kami mengenal pasti 960 pewakaf menyalurkan sumbangan kepada Idhamcare sepanjang promosi kutipan dana wakaf dilaksanakan sejak dua tahun lalu. Soal saya menyalahgunakan duit kutipan wakaf tidak timbul memandangkan perlaksanaan perancangan sebegini sering dilaksanakan di Indonesia dan kebiasannya mendapat sokongan padu banyak pihak setelah dimulakan. Saya yakin perancangan pembinaan KPDA pasti dapat direalisasikan. Berkenaan perkembangan projek pembinaan KPDA yang dilancarkan dua tahun lalu, boleh YB jelaskan sebab utama perlaksanaannya masih tidak dimulakan sehingga hari ini? Selepas pihak kami mengadakan pelancaran Skim Wakaf Tanah KPDA pada 25 September 2011, ramai terkeliru dengan tindakan kami turut mengadakan majlis simbolik pecah tanah pembinaan KPDA pada hari sama, sedangkan urusan pengambilalihan tanah seluas empat ekar itu masih belum diselesaikan sepenuhnya. Sebenarnya, inisiatif kami dibuat atas keizinan tuan tanah terlibat walaupun urusan pembayaran pengambilalihan tanah tidak dilunaskan sepenuhnya dan masalah mula timbul sewaktu Idhamcare berusaha untuk menyelesaikan urusan pengambilalihan tanah daripada sebelas pemilik tanah bersama. Pelan perancangan asal pembinaan KPDA sebenarnya meliputi keluasan tanah seluas 1.6 hektar di Lot 7933, Titi Serong, bagaimanapun sehingga kini pihak kami hanya mampu membeli 0.7 hektar sahaja yang dilaksanakan melalui proses jual beli bertarikh 28 Ogos 2011 sehingga 31 Disember 2012. Kegagalan pihak kami menyelesaikan pembelian keseluruhan tanah di lot itu disebabkan masalah geran tanah berangkai melibatkan 11 penama di dalam satu geran, sekaligus menyebabkan kami bermasalah melaksanakan proses pemecahan geran dan penukaran status guna tanah bagi tujuan pembinaan KPDA. Kami turut mengakui permohonan perancangan pembinaan KPDA masih belum diterima Jawatankuasa One Stop Center(OSC) Majlis Daerah Kerian(MDK) disebabkan maklumat disediakan masih tidak lengkap, namun kita sudah merujuk perkara ini kepada Pejabat Daerah dan Tanah(PDT) Kerian untuk membincangkan cara penyelesaiannya. Di sebalik pelbagai tohamahan dilemparkan, saya optimis projek pembinaan KPDA akan tetap direalisasikan walaupun tanah di Lot 7933 tidak mampu dibeli sepenuhnya dan mensasarkan ianya akan digunakan sepenuhnya pada Ogos 2014. Adakah pembinaan KPDA yang bakal direalisasikan masih berasaskan pelan perancangan asal susulan jumlah keluasan tanah diperolehi Idhamcare tidak menepati keperluan sebenar? Pembinaan KPDA masih berlandaskan pelan asal yang berteraskan kombinasi seni bina masyarakat Cina dan islam, cuma terdapat beberapa unsur yang sebelum dirangka dalam pelan perancangan asal terpaksa dibuang. Idhamcare masih komited membina kompleks yang mempunyai pusat ibadah, pejabat, asrama bertingkat berbentuk 'U' berkonsep hotel yang dijangka menampung kapasiti 300 orang, penyediaan lapan unit rumah tamu orang kenamaan dan surau bertingkat yang mampu menampung kapasiti 500 jemaah. Terdapat beberapa unsur dibuang apabila keluasan tanah mengecil seperti pembinaan dewan dan deretan kedai, bagaimanapun lebihan kawasan tanah lapang yang ada bakal dibina tempat parkir kenderaan yang mampu memuatkan 30 kenderaan, selain bertujuan pemasangan khemah untuk sebarang aktiviti. Mengenai kekeliruan jumlah keseluruhan peruntukan projek KPDA dianggarkan bernilai RM5 juta sebagaimana diuar-uarkan sebelum ini, selepas Idhamcare hanya mampu membeli 0.7 hektar tanah, maka saya menyerahkan urusan pengiraan semula jumlah sebenar kos terbaru yang diperlukan kepada arkitek perunding yang dilantik. Berdasarkan lawatan kami ke sebuah kompleks pendidikan di Kuala Krai, Kelantan dengan fasiliti hampir sama dengan rekabentuk perancangan KPDA, kami difahamkan kos yang dikeluarkan hanya RM2 juta sahaja. Jadi saya tidak menolak kemungkinan anggaran kos pembinaan KPDA yang terkini sekitar RM2 juta. Saya menjangkakan projek pembinaan akan dimulakan dalam tempoh enam bulan akan datang setelah proses memecah geran dan mengubah status guna tanah diselesaikan dan Idhamcare komited untuk menyiapkan KPDA selewat-lewatnya bulan Ogos 2014. Mengenai dakwaan YB memanipulasi pakej pembelian tanah wakaf disertakan dengan pemberian senaskhah Al-Quran digital percuma berharga lebih RM300, adakah naskhah Al-Quran digital percuma itu sebenarnya dibeli pewakaf dan bukannya 'percuma'? Penjualan Al-Quran digital sebenarnya menggunakan konsep jualan amal dan segala keuntungan diperolehi daripada jualan produk itu disalurkan ke dalam tabung amal disediakan Idhamcare untuk melaksanakan kerja-kerja kebajikan. Jadi, saya tidak nampak dari sudut mana berlaku penyelewengan penawaran pakej pembelian tanah wakaf sebagaimana didakwa banyak pihak. Saya mahu menjelaskan tujuan Idhamcare menurunkan papan tanda penerangan projek pembinaan KPDA disebabkan kelemahan dalam pengurusan di mana ianya sering kali jatuh walaupun beberapa kali dinaikkan semula dan penurunan dibuat bagi mengelak papan tanda itu memburukkan pandangan. Ada tohmahan dalam blog mendakwa penurunan papan tanda membuktikan projek KPDA gagal dilaksanakan dan duit kutipan dana skim tanah wakaf kini 'dilarikan' saya, namun saya akan membuktikan pembinaannya bukan omong kosong. Saya turut meminta semua pewakaf bertenang, jangan terperdaya dengan dakyah pihak tertentu mengenai status pembinaan KPDA dan sentiasa mendapatkan maklumat sebenar melalui saya dan pejabat Idhamcare sendiri. Pelbagai dakwaan dilemparkan terhadap YB oleh pelbagai pihak sehingga Sinar Harian difahamkan terdapat usaha mengedarkan 'flyers' memburukkan YB dan Idhamcare di setiap rumah penduduk di Dun Titi Serong dan terbaru, Parlimen Kuala Kangsar. Apa kesannya terhadap karier politik YB? Saya percaya kempen memburukkan imej dan reputasi saya dipelopori golongan tertentu yang tidak senang dengan keputusan Pas negeri mengarahkan saya membantu jentera pilihan raya Pakatan Rakyat(PR) di Kuala Kangsar dan secara peribadi, ianya sama sekali tidak menjejaskan diri saya. Saya sudah membuat penjelasan mengenai segala tohmahan yang dilemparkan terhadap saya kepada kepimpinan Pas negeri dan menganggap perkara ini selesai. Adakah YB menimbang kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menjejaskan imej dan reputasi YB? Saya sudah membincangkan perkara dengan peguam dan kami memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang didapati mengeluarkan tohmahan dan fitnah terhadap saya tanpa bukti kukuh. Harapan YB pada masa hadapan? Saya merayu kepada masyarakat Dun Titi Serong dan daerah Kerian untuk memberi peluang kepada Idhamcare menyiapkan pembinaan KPDA walaupun pembinaannya terpaksa dilewatkan daripada tarikh asal. Saya percaya tempoh setahun lapan bulan yang masih tinggal mampu dimanfaatkan sepenuhnya pihak kami bagi menyiapkan KPDA, sekaligus meningkatkan martabat pendidikan Islam di mata penduduk Perak. |
[VIDEO] Pengunjung rumah terbuka sedia untuk Psy tapi... Posted: 11 Feb 2013 03:37 AM PST 30 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mungkin akan kecewa sekiranya mendengar perbualan para pengunjung yang memenuhi kawasan belakang padang Kolej Han Chiang semasa sambutan rumah terbuka Tahun Baru Cina BN Pulau Pinang hari ini. Dalam ucapannya di majlis itu, Najib antara lainnya bertanya para pengunjung sama ada mereka bersedia untuk menyaksikan persembahan rap Korea Gangnam Psy. Najib mengulangi soalan itu sebanyak empat kali dan para hadirin berkenaan menyahut "Ya" dengan bersemangat. Sebahagian daripada mereka bagaimanapun menunjukkan reaksi berbeza apabila ditanya sama ada bersedia untuk "BN". Kumpulan orang ramai di kawasan belakang padang tersebut menyahut "Tidak" dan tertawa. They also laughed when Najib menyebut nama kolej Han Chiang dengan nama "Han Niang", apabila mengumumkan untuk menaiktaraf kolej tersebut kepada universiti kolej. Hadirin berkenaan turut ketawa apabila pengerusi majlis menjemput isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor untuk menyanyi lagu sambutan Tahun Baru Cina. Rosmah ditemani beberapa pemimpin BN termasuk Menteri Pelancongan Datuk Seri Ng Yen Yen di atas pentas. |
You are subscribed to email updates from :: cina islam | 2012 :: To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan