Khamis, 24 Januari 2013

Khalid Samad

Khalid Samad


Perbahasan Dengan Fathul Bari: Tahalluf Siyaasi UMNO/BN Lebih Syarii?

Posted: 23 Jan 2013 06:30 PM PST

Apabila Tahaluf Siyaasi sudah diterima sebagai sesuatu yang diharuskan oleh syara' dan boleh diguna-pakai dalam politik Islam, tiba-tiba ada pula penghujjah 'Islamik' yang mendakwa bahawa Tahalluf Siyaasi UMNO 'lebih syarii'. Sedangkan UMNO tidak terfikir pun soal syarii atau tidak apabila berganding dengan MCA dan MIC! Ini adalah kerana, sepertimana yang diketahui umum, politik UMNO tidak berpandukan Islam. Maka segala bentuk tindakan yang dibuat tidak perlu dirujuk terlebih dahulu kepada syariat Islam.

Walaupun UMNO tidak pernah menggunakan istilah Tahalluf Siyaasi, menurut hujjah Tahalluf Siyaasi amalan UMNO adalah lebih syarii kerana UMNO 'mendominasi BN' sedangkan 'PAS tidak mendominasi PR'. Walhal, UMNO pun tidak menyatakan bahawa mereka mengamalkan Tahalluf! Namun ianya tetap dikatakan lebih syarii oleh si penghujjah.

Saya tidak menafikan kemungkinan bahwa UMNO 'mendominasi BN', walaupun kadangkala teguran MCA menggegarkan mereka. Tetapi persoalannya, adakah Islam mendominasi UMNO? Kalau Islam bukan dasar perjuangan UMNO dan Islam tidak mendominasi UMNO, maka apa maknanya dominasi UMNO ke atas BN dari sudut perjuangan Islam?

Ada yang akan menjawab mereka orang Islam dan dengan itu dominasi Islam tetap terjamin melalui dominasi UMNO. Jawapan sedemikian rupa menzahirkan sikap bahawa tiada beza satu pertubuhan orang Islam dengan satu pertubuhan orang Islam yang lain. Sebagai contoh pertubuhan PERKASA dan ISMA. Dengan mengandaikan bahawa semua pertubuhan Islam adalah sama, adalah menyamakan PERKASA dan ISMA secara tidak langsung. Walaupun kita tidak nafikan bahawa mereka semakin serupa sejak kebelakangan ini, hakikatnya ISMA dan PERKASA adalah berbeza. Satu tidak langsung berpandukan Al-Quran dan Sunnah sambil satu lagi berusaha untuk dipandu oleh Al-Quran dan Sunnah.

Lagipun jika dihujjah dari sudut 'dominasi' orang Islam/Melayu dari segi jumlah orang Islam adalah lebih ramai, maka PR juga turut 'didominasi' oleh orang Islam. Ini adalah kerana PKR juga mempunyai ahli dan pimpinan Melayu. Sebahagian besar dari mereka pula adalah berlatar-belakangkan gerakan Islam seperti ABIM ataupun JIM. Walaupun mereka bukan bersama PAS tetapi mereka sebahagian dari PKR yang bersama PAS dalam PR.

Jumlah kerusi yang ditandingi dan bakal dimenangi orang Islam dalam PKR adalah lebih besar dari kerusi orang bukan Islam. Dalam keadaan sekarang ini sekalipun, PAS mempunyai 22 kerusi Parlimen sambil PKR mempunyai 24. Dari 24 kerusi PKR, 16 adalah orang Melayu dan 8 yang bukan Melayu. Maka dari sudut parti, boleh dirumuskan bahawa PKR 'didominasi Melayu' dan dengan itu DAP tidak mungkin melakukan sesuka-hati mereka kerana 2 dari 3 parti PR didominasi Melayu.

Lagipun ianya telahpun terbukti bahawa DAP adalah lebih adil terhadap ummat Islam di Pulau Pinang berbanding BN/Gerakan sebelum ini. Banyak dasar DAP yang begitu membantu ummat Islam sehingga wakil Gerakan menuduh Guan Eng sebagai berusaha menjadikan Pulau Pinang sebuah Negara Islam!

Tetapi, sebenarnya, dalam PR, persoalan 'dominasi' tidak timbul. Ini adalah kerana PR berjalan atas dasar persetujuan bersama atau 'consensus'. Dasar ini dalam amalan 'coalition politics' atau 'politik berpakatan' seperti Tahalluf Siyaasi menjamin hak rakan yang paling kecil tidak akan terjejas. Dalam ertikata lain, walaupun sesebuah parti hanya mempunyai 10% dari kerusi sekalipun, sekiranya dia tidak bersetuju, maka dasar atau polisi berkenaan tidak akan diluluskan.

Apa yang penting dalam menjaga 'syariinya' amalan Tahalluf Siyaasi adalah keyakinan ia akan menguntungkan perjuangan Islam. Contoh Perjanjian Hudaibiyyah yang didominasi Quraish dari segi syarat yang berat sebelah tetapi ianya tetap diiktiraf Allah sebagai kemenangan bagi ummat Islam kerana ianya menguntungkan perjuangan Islam.

Begitu juga Tahalluf Siyaasi PAS dalam PR. Ianya akan menguntungkan perjuangan Islam sepertimana yang dijelaskan di tulisan saya sebelum ini.

Bersambung...

WaLlahu 'Alam

KHALID SAMAD

Tiada ulasan:

Nuffnang