:: cina islam | 2011 :: |
- ‘Toyol’ pecah kedai dipenjara
- Penyamun masuk melalui tingkap
- Nenek, cucu dituduh miliki heroin
- OKU, pembantu dibunuh kejam
- 4 polis dibelasah tahanan, sembur serbuk lada
- Umno Titiwangsa dicabar debat isu tanah Kg. Baru
- AES: 34,980 dipanggil ke mahkamah Slim River hari ini
Posted: 07 Jan 2013 06:33 PM PST 25 Safar 1433H. [MOD] - KUALA TERENGGANU - Perbuatan dua sahabat yang layak digelar 'toyol' melakukan pecah kedai dan mencuri pelbagai barangan runcit bernilai keseluruhan RM500 menerima pembalasan apabila masing-masing dijatuhi hukuman penjara lima bulan dan tiga bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam. Hukuman itu diputuskan selepas kedua-dua mereka, Muhamad Aminurdin Mamat, 32, dari Kampung Kuala Bekah, di sini, dan Muhammad Hishamudin Baharun, 29, dari Kampung Pulau Musang, di sini, mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah bangunan. Kedua-dua mereka yang bekerja sebagai buruh itu mengaku bersalah melakukan pecah kedai runcit milik Suhaimi Abdul Ghani, 67, terletak di Jalan Kamarudin, di sini, pada 27 Disember lalu lebih kurang antara jam 5 pagi hingga 5.30 pagi. Mereka turut mengaku bersalah telah mencuri enam botol minyak wangi jenama Al-Habib; 13 batang pemetik api jenama Aladin; tujuh kotak pemetik api jenama Yeppi; tiga bungkusan tembakau rokok gulung jenama Cherry Choice; dua bungkusan tembakau rokok gulung jenis perisa Blueberry dan wang syiling berjumlah RM13.70 yang melibatkan kerugian keseluruhan berjumlah RM500. Justeru itu, mereka mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 14 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor L Rathna di hadapan Majistret Noradila Ab Latif manakala kedua-dua mereka tidak diwakili peguam. Susulan pengakuan bersalah kedua-duanya, Noradila menjatuhkan hukuman lima bulan penjara terhadap Muhamad Aminurdin manakala tiga bulan penjara bagi Muhammad Hishamudin. Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian lebih kurang jam 5.05 pagi, mangsa telah pergi ke kedai miliknya bagi membuat persiapan awal sebelum memulakan operasi perniagaan seperti biasa. Bagaimanapun, setibanya di kedai, mangsa ternampak kelibat dua lelaki tidak dikenali sedang terjun dari bumbung kedainya sebelum bertindak menangkap seorang daripada mereka, Muhamad Aminurdin manakala seorang lagi iaitu Muhammad Hishamudin, berjaya melarikan diri. Mangsa membuat laporan di Balai Polis daerah Kuala Terengganu dan susulan laporan dibuat, pada 28 Disember lalu lebih kurang jam 3.15 pagi, Muhamad Hishamudin yang berjaya melarikan diri itu ditangkap ketika berada di perkarangan Masjid Jamek Pengadang Baru, Chabang Tiga, di sini. Sinar Harian |
Penyamun masuk melalui tingkap Posted: 07 Jan 2013 06:31 PM PST 25 Safar 1433H. [MOD] - PORT DICKSON – Seorang pengusaha sebuah kedai serbaneka di sini mengalami kerugian lebih RM1,000 apabila kedainya dipecah masuk, malam kelmarin. Kejadian disedari oleh pemilik kedai, Mohd Ikram Azmi, 26, dan isterinya Nurul Nabilah Kamal, 27, ketika membuka kedai mereka pada jam 9.20 pagi semalam. Mohd Ikram berkata, dia mengesyaki kedainya dimasuki penyamun selepas 4 pagi kerana mesin tambah nilai telefon yang diletakkan di kedainya berfungsi sehingga 3.50 pagi dan selepas itu bekalan elektrik dipercayai diputuskan oleh mereka. "Sebaik memasuki kedai, isteri saya curiga dan bertanyakan kenapa saya tidak menutup laci ketika meninggalkan kedai. Dari situ saya terus mengesyaki kedai dipecah masuk ditambah pula rokok yang disusun pada rak sudah kosong. "Saya segera memeriksa laci tempat menyimpan wang dan mendapati wang berjumlah RM501 turut hilang," katanya ketika ditemui di kedainya, semalam. Menurutnya, dia kemudiannya segera memeriksa bahagian belakang kedai dan mendapati tiga keping cermin tingkap telah dipecahkan selain besinya dibengkokkan. "Sejak setahun saya berniaga di sini, ini adalah kejadian pertama kedai dipecah masuk pencuri dan sebelum ini kedai saya pernah disembur cat dipercayai perbuatan remaja nakal di sini," katanya. Berang dengan tindakan tidak bertanggungjawab segelintir remaja di kawasan itu, Mohd Ikram turut menawarkan ganjaran kepada sesiapa yang boleh memberikan maklumat sehingga tertangkapnya pencuri ini dengan memberi maklumat terus kepada polis ataupun kepadanya untuk tindakan memerangkap mereka bagi mengurangkan kejadian seperti ini. Katanya, akibat bekalan elektrik yang telah diputuskan oleh pencuri menyebabkan banyak aiskrim cair dan rosak serta tidak boleh dijual lagi. "Pada masa akan datang, saya khuatir kejadian seumpama ini akan berlaku lagi memandangkan kawasan ini sering dijadikan tempat melepak remaja sehingga lewat malam," katanya yang membuat laporan di Balai Polis Lukut. Tinjauan Sinar Harian mendapati, beberapa keping cermin yang dipecahkan dibiarkan berselerak berhampiran kedai berkenaan. Sinar Harian |
Nenek, cucu dituduh miliki heroin Posted: 07 Jan 2013 06:30 PM PST 25 Safar 1433H. [MOD] - AYER KEROH - Seorang nenek dan cucunya dituduh di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan memiliki lebih 2 gram dadah, di Sungai Udang, minggu lalu. Tertuduh, Norma Hamid, 71 dan cucunya Shaharudin Mohd Zin, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di selepas mengangguk faham pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majisret, Ida Rahayu Sharif. Berdasarkan pertuduhan, kedua-duanya didakwa memiliki dadah jenis heroin berat kasar 2.3 gram di sebuah rumah tidak bernombor di Sungai Udang kira-kira jam 12.30 tengah hari pada 3 Januari 2013. Mereka dituduh mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan boleh dihukum minima dua tahun dan maksima lima tahun dan sebat dari tiga hingga sembilan kali sebatan. Shaharudin turut dituduh memiliki heroin seberat 0.3 gram pada tarikh, masa dan lokasi yang sama. Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya. Terdahulu, Pegawai Pendakwa, Inspektor Muhamad Juhari Haron ketika pendakwaan meminta mahkamah memberikan jaminan sebanyak RM3,000 bagi pertuduhan yang dihadapi kedua-dua pertuduhan dan RM3,000 bagi pertuduhan dihadapi Shaharudin. Bagaimanapun, hanya Shaharudin yang merupakan pekerja mekanik merayu jaminan dikurangkan dengan alasan perlu menyara nenek dan ibunya. Selepas mendengar rayuan tersebut, Ida Rahayu kemudian menetapkan ikat jamin RM1,000 terhadap Norma dan RM4,000 bagi kedua-dua pertuduhan dihadapi Shaharudin. Beliau menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 19 Februari depan bagi mendengar laporan kimia untuk mengetahui berat sebenar dadah. Sinar Harian |
Posted: 07 Jan 2013 06:29 PM PST 25 Safar 1433H. [MOD] - MANJUNG - Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) bersama pembantunya ditemui mati dibunuh kejam di sebuah rumah di New Vilage, Kampung Koh, petang semalam. Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Jaafar Baba berkata, pihaknya mendapat maklumat daripada orang awam berkenaan kejadian itu pada jam 4.30 petang. Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku awal pagi semalam sebelum disedari rakan mangsa yang ke kediaman tersebut untuk melawat mangsa. "Mangsa OKU dikenali sebagai Nga Mee Jai @ Nga Mee Kok, 68, manakala pembantunya dikenali sebagai D Hemalata, 23, yang datang setiap hari untuk menjaganya dan membersihkan rumah sebelum pulang pada waktu malam. "Semasa dijumpai, keadaan rumah mangsa berselerak dipercayai dilakukan oleh suspek terlibat," katanya kepada Sinar Harian, semalam. Menurutnya, mangsa OKU mengalami kecederaan di leher manakala pembantunya mengalami kecederaan di kepala. "Kita masih lagi menyiasat motif pembunuhan ini dan suspek terlibat sedang diburu," katanya yang menjelaskan kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Jaafar berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Manjung untuk bedah siasat. Sinar Harian |
4 polis dibelasah tahanan, sembur serbuk lada Posted: 07 Jan 2013 06:28 PM PST 25 Safar 1433H. [MOD] - BUTTERWORTH - Empat anggota polis cedera dibelasah sembilan tahanan ketika dalam perjalanan ke Kompleks Mahkamah Butterworth dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi semalam. Kesemua mereka akan menghadapi prosiding perbicaraan pagi semalam. Tahanan berkenaan kemudiannya meninggalkan empat anggota pengiring itu di tepi jalan sebelum bertindak melarikan van polis dinaiki untuk meloloskan diri. Dalam kejadian di susur keluar ke Pantai Bersih itu, pemandu van polis berkenaan yang dikenali sebagai Nazzwan cedera parah di kepala akibat dihentak dengan gari. Manakala tiga lagi rakan setugasnya cedera ringan di kepala dan beberapa bahagian badan masing-masing selepas dibelasah tahanan. Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, kejadian itu berlaku ketika keempat-empat anggota polis dari unit pengiring Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (IPD SPU) dalam perjalanan ke Mahkamah Butterworth. "Kesemua mereka dalam keadaan bergari diambil sebelumnya dari Penjara Pulau Pinang untuk proses reman dan pertuduhan berkaitan kes bunuh, samun dan mencederakan orang. "Pemandu van ditemani seorang anggota duduk di hadapan manakala dua anggota pengiring duduk di bahagian hadapan tengah van mengawasi semua tahanan yang ditempatkan di bahagian belakang," katanya. Menurut Datuk Abdul Rahim, ketika van melalui Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) berhampiran Bagan Ajam, beberapa OKT (orang kena tuduh) berpura-pura bergaduh sesama sendiri menyebabkan pemandu van memberhentikan kenderaan itu bagi meleraikan pergaduhan tersebut. "Ketika itulah salah seorang OKT melempar serbuk cili ke arah salah seorang anggota polis menyebabkan berlaku pergelutan antara polis dan OKT. "Pada masa yang sama, beberapa orang OKT bertindak menendang kesemua anggota polis berkenaan keluar dari kenderaan itu selain membelasah mereka di tepi jalan," katanya. Rahim berkata, OKT terbabit kemudiannya merampas kunci gari dari salah seorang anggota polis sebelum menaiki semula van dan melarikan diri bersama kenderaan itu. Beliau berkata demikian semasa ditemui di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dekat sini semalam ketika melawat keempat-empat mangsa berkenaan yang menerima rawatan. Kejadian yang berlaku kira-kira dua kilometer dari Kompleks Mahkamah Butterworth itu bagaimanapun sempat dilihat oleh pengguna jalan raya yang kemudiannya memberikan bantuan kecemasan kepada anggota terbabit sebelum semuanya dihantar mendapatkan rawatan ke HSJ kemudiannya. Menurut Abdul Rahim lagi, sejurus menerima laporan berhubung kejadian itu, polis telah melancarkan gerakan mengesan van dan OKT yang terlibat. "Tidak sampai 30 minit selepas operasi dilancarkan, pihak kita menemui semula van itu yang ditinggalkan di Kampung Padang Cempedak, Tasek Gelugor iaitu kira-kira 20 kilometer dari lokasi kejadian. "Semasa ditemui dua OKT masih berada di lokasi van itu dan tidak mengikuti tujuh rakan mereka yang dipercayai melarikan diri ke kawasan ladang kelapa sawit di sekitar kampung berkenaan," katanya. Menurutnya, polis kini menjejaki Mohd Sharimy Md Nor, 28; Farid Akhtar 24; Mohd Khairul Nizam Abdul Rani, 25; Hamizani Harun, 37; Hisham Abd Rahman, 39; Mohd Fairuz Adam, 31; dan Mohd Noor Mustafa, 28. "Kita telah melancarkan gerakan mengesan kesemua OKT yang melarikan diri termasuk mengadakan sekatan jalan raya di beberapa kawasan di sekitar Tasek Gelugor. "Kita juga minta kerjasama orang awam melaporkan kepada polis sekiranya mereka ternampak atau mengetahui lokasi OKT ini bersembunyi dan jangan mengambil tindakan sendiri atau cuba menahan kerana mereka merbahaya," katanya. Rahim menambah, keempat anggota polis berkenaan akan dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan kerana cuai dan Seksyen 224 kanun sama kerana membiarkan tahanan lari dari jagaan yang sah. Manakala tujuh suspek terbabit dicari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun dan mencederakan. Katanya, jika kelalaian menjadi puncanya hingga OKT terbabit berjaya meloloskan diri pihaknya akan mengambil tindakan ke atas empat anggota pengiring terbabit. Sinar Harian |
Umno Titiwangsa dicabar debat isu tanah Kg. Baru Posted: 07 Jan 2013 06:25 PM PST 25 Safar 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Penyelaras Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa (PKWR), Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi mencabar Ketua Umno Bahagian Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani untuk berdebat tentang isu 'Umno gadai tanah Kg. Baru'. Beliau yang juga merupakan Pengerusi Sekretariat Pembangunan Kampung Baru (SPKB) melontarkan cabaran debat itu di dalam satu ceramah di perkarangan pejabat PKWR Titiwangsa di sini Kelmarin. "Saya cabar Umno Titiwangsa untuk berdebat, kamu bentangkan fakta kamu dan kita akan kemukakan segala fakta bahawa Umno sedang menggadaikan tanah orang Melayu di Kuala Lumpur untuk kaut keuntungan kepada kroni," jelas beliau yang juga merupakan Pengarah Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM), Pemuda PAS Malaysia. Menurut beliau, Umno sengaja membodohkan orang Melayu di Kampung Baru dengan memutar belitkan fakta sebenar. Menurutnya lagi, Akta Perbadanan Pembangunan Kampung Baru 2012 (APPKB) telah diluluskan secara tergesa-gesa, dibahas hanya dalam masa 4 jam sebelum diluluskan di Parlimen. Zamri mengulangi pendirian bahawa Pakatan Rakyat akan memastikan satu-satunya tanah orang Melayu di tengah kota Kuala Lumpur ini akan dipelihara sepenuhnya hak pemilik dan pewaris yang asal. Dalam ucapannya, beliau mengingatkan penduduk Melayu di Kampung Baru agar tidak termakan penipuan Umno dalam usaha merampas tanah warisan mereka. "Kita tidak mahu tanah milik orang Melayu di Kampung Baru menerima nasib sama seperti tanah Kg. Abdullah Hukum dan Kg. Kerinchi. "Orang Melayu merempat di tanah sendiri, kononnya mahu dibuat pembangunan. Walhal ia adalah gedung-gedung mewah untuk golongan kaya," ujar beliau. Terdahulu, Presiden PAS Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menegaskan bahawa jika Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya, APPKB 2012 akan dibatalkan dan tanah warisan itu akan dikembalikan kepada penduduk, pemilik dan pewaris yang asal. Turut sama dalam program ceramah itu ialah Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, Ketua Cabang Titiwangsa, Zahir Hasan, Ketua Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan, Ustazah Nuridah Salleh dan Ketua Penerangan PAS Titiwangsa, Abdul Hadi. Harakah Daily |
AES: 34,980 dipanggil ke mahkamah Slim River hari ini Posted: 07 Jan 2013 06:24 PM PST 25 Safar 1433H. [MOD] - TANJONG MALIM: Seramai 34,980 Orang Kena Saman (OKS) diminta hadir ke Mahkamah Majistret Slim River di sini pagi ini bagi sebutan kes saman berkaitan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES). Difahamkan sebutan kes bermula jam 8.45 pagi ini. Peguam Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) akan berada di sana bagi membantu mereka yang dituduh. Sementara itu, satu sidang media oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak Mohd Misbahul Munir Masduki akan diadakan tengah hari ini di perkarangan mahkamah di sini. Sidang media akan disertai Ketua Penerangan PAS Negeri Ahmad Nuri Al-Amin. Sebelum Jabatan Peguam Negara mengambil keputusan untuk membekukan kesemua prosiding berkaitan dengan saman kesalahan AES, yang dimulakan sejak dua minggu lalu, sehingga beberapa aspek perundangan dan teknikal diselesaikan. Harakah Daily |
You are subscribed to email updates from :: cina islam | 2012 :: To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan