. |
Mufti syor Majlis Fatwa jemput Hadi Posted: 07 Jan 2013 01:49 AM PST Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Hassan Ahmad menegaskan, isu yang menjadi kontroversi itu tidak boleh diselesaikan hanya dengan berdasarkan laporan akhbar. "Ia mesti mengikut prosedur. Datuk Seri Abdul Hadi perlu dijemput untuk berbincang dan bagi mendapatkan penjelasan. Ia tidak boleh diselesaikan mengikut andaian," katanya. Mengenai fatwa yang dikeluarkan mengenai amanat itu, Hassan berkata, Majlis Fatwa Kebangsaan tidak boleh bergantung kepada fatwa yang dikeluarkan oleh majlis fatwa di peringkat negeri. Kuasa mengeluarkan fatwa, katanya, adalah kuasa negeri dan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan tidak semestinya satu keputusan mutlak kerana kuasa agama kekal di bawah kuasa negeri. Beliau menjelaskan, fatwa sesebuah negeri boleh diguna pakai oleh negeri yang menggazetnya. "Jika fatwa yang dikeluarkan di peringkat Majlis Fatwa Kebangsaan hanya di peringkat kebangsaan, dan ia tidak akan dibawa ke negeri, ia tidak menjadi undang-undang keseluruhan kerana ia berperanan menyelaras sahaja," katanya. Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya pula menegaskan tiada fatwa dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan secara khusus mengenai Amanat Haji Hadi yang menjadi isu kontroversi itu. Katanya, beberapa fatwa yang dikeluarkan mengenai isu seumpama itu adalah dibuat oleh majlis fatwa peringkat negeri. Sebuah daripadanya adalah Majlis Fatwa Negeri Melaka, yang dikeluarkan pada 2002. Fatwa yang diputuskan di peringkat negeri, katanya, tidak semestinya boleh diguna pakai oleh negeri lain. "Fatwa yang ada itu ialah mengenai isu kafir-mengkafir, sama seperti fatwa (yang dibuat) oleh Kelantan. Fatwa yang ada dalam laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hanya fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Negeri Melaka," katanya kepada Sinar Harian, semalam. Menurutnya, fatwa yang dikeluarkan oleh negeri tertentu terhad kepada negeri berkenaan sahaja, sementara negeri yang mempunyai raja atau sultan perlu mendapat perkenan raja atau sultan masing-masing. "(Untuk) isu yang berlaku di negeri tertentu, hanya negeri (yang terlibat) itu patut mengeluarkan fatwa mengenainya," katanya Sumber : http://www.sinarharian.com.my/nasional/mufti-syor-majlis-fatwa-jemput-hadi-1.118705 |
Hadi cabar Majlis Fatwa Kebangsaan Posted: 06 Jan 2013 08:48 AM PST SHAH ALAM – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mencabar Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan surat rasmi mengenai isu Amanat Haji Hadi yang didakwa bercanggah dengan Islam. Menurutnya, sejak 31 tahun lalu, beliau langsung tidak pernah menerima apa-apa surat atau dipanggil untuk memberi keterangan kepada Majlis Fatwa Kebangsaan. "Saya tidak pernah menerima surat dari Majlis Fatwa Kebangsaan. Saya cabar Majlis Fatwa hantar surat kepada saya. Majlis Fatwa tidak pernah panggil saya. "Surat rasmi pun tidak ada, atas angin sahaja. Bukan boleh atas angin begitu, bukan 'meniaga' ni dan kalau berniaga pun tidak boleh atas angin. Ini soal agama," katanya dalam laman sosial Facebook hari ini. Katanya lagi, 'amanat' itu merupakan satu petikan daripada ucapan beliau yang dibuat di Banggol Peradong, Terengganu, 31 tahun yang lalu. Abdul Hadi menjelaskan beliau tidak pernah menamakan ucapan tersebut sebagai amanat tetapi dibuat oleh pihak lain. "Amanat itu satu petikan, saya tidak menamakan 'amanat' tetapi orang lain yang menamakan 'amanat' dan yang beri nama 'amanat' itu termasuk Umno," katanya. Pada 17 Disember lalu, Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh menggesa Abdul Hadi menarik balik Amanat Haji Hadi. Harussani berkata, selagi seseorang Islam itu mengucap dua kalimah syahadat, mengamalkan ajaran agama, orang itu tidak boleh dituduh kafir. Wan Zahidi pula menyifatkan, amanat tersebut tidak memberi bahaya kepada Umno, sebaliknya ke atas Hadi sendiri. Pendapat sama turut disuarakan Pengerusi Penerbitan Dakwah Islamiah Malaysia (Pedim), Datuk Mat Jahaya Hussin yang berharap semua pihak bercakap perkara yang benar sahaja. Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin pula berkata ahli Pas hari ini sudah tidak mengamalkan amanat tersebut, namun Abdul Hadi wajar membuat penarikan semula sebagai pencerahan kepada masyarakat. |
You are subscribed to email updates from Ustaz Yusof Embong (UYE) To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan