Ahad, 20 Januari 2013

Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim


Mahathir Biadap, Buta Sejarah- Prof Dr Aziz Bari

Posted: 19 Jan 2013 08:59 PM PST

KeadilanDaily

Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj memberi kewarganegaraan kepada pendatang asing, menerima kecaman pelbagai pihak termasuk pakar perlembagaan, Profesor Dr Abdul Aziz Bari.

Menyifatkan kenyataan itu biadap dan mengarut, Aziz berkata, kewarganegaraan yang diberi oleh bapa kemerdekaan itu berbeza ketika Mahathir berkuasa sebagai perdana menteri.

"Tunku beri kewarganegaraan bukan dengan tujuan menipu pilihan raya. Apa yang Tunku buat sebahagian tuntutan dan persetujuan kemerdekaan. Ada syarat tertentu yang diakui undang-undang sebagaimana negara-negara lain,"

"Mereka tidak datang ke sini sebagaimana Pendatang Tanpa Izin (PATI) sekarang, tetapi kesan pentadbiran British. Faktor menipu dalam pilihan raya, tidak ada dalam kes Tunku,"

"Tunku mengenakan syarat tertentu yang sebahagiannya dimasukkan dalam peruntukan perlembagaan. Ia dilakukan secara terbuka, bukan mencuri-curi dan berselindung sebagaimana Mahathir," ujarnya dalam satu kiriman emel kepada Keadilan Daily.

"Mahathir bukan sahaja biadab dan buta sejarah, tetapi mempersoalkan kedudukan orang Cina dan India yang diakui oleh perlembagaan," tambah beliau.

Menurut pakar undang-undang ini, berbeza di zaman Tunku, kerakyatan diberi berasaskan kontrak sosial, dan syarat kewarganegaraan pula menjamin kedudukan istimewa orang Melayu.

"Kedudukan dan kuasa Majlis Raja-Raja juga diperkuatkan oleh isu tersebut. Ertinya, tolak ansur antara Melayu dan bangsa lain ketika kemerdekaan dirundingkan.

"Ia diperincikan dengan jelas oleh Bahagian III Perlembagaan Persekutuan dan jadual yang berkenaan. Perkara ini juga perlu dipantau oleh Majlis Raja-Raja," tambah bekas Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) ini.

Ketika ditanya sama ada kerakyatan diberi Tunku selepas merdeka sah mengikut perlembagaan, beliau berkata "Soal lama atau baru tak timbul; ia boleh diberi kepada sesiapa pun. Yang penting ia mengikut prosedur ditetapkan perlembagaan.

"Tidak timbul ia diberi selepas merdeka asalkan ia mengikut prosedur berkenaan dan telus. Almarhum Prof Ahmad Ibrahim (seorang ahli politik Singapura) sendiri pun jadi warga Malaysia selepas merdeka. Beliau orang Singapura. Perkara ini berlaku di seluruh dunia," tegas Aziz.

"Namun apa yang menjadi masalah dengan Mahathir adalah kewarganegaraan diberi secara borong, ribuan dan secara sembunyi.

"Seperti yang kita tahu dia sendiri nafikan sebelum ini. Baru sekarang setelah semua orang bercakap dan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan, baru lah Mahathir mengaku. Tetapi seperti biasa, dia akan seret orang lain seperti Tunku," ujarnya yang turut menyentuh isu itu dalam bukunya, Malaysian Constitution: A Critical Introduction.

‘Listen, listen, listen’ Mewakil Sistem Pembelajaran Negara

Posted: 19 Jan 2013 07:19 PM PST

The Malaysian Insider

Insiden "listen … listen … listen" yang menimbulkan kekecohan di laman media sosial yang mengaitkan Bawani KS dan Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin adalah budaya pendoktrinan yang mewakili sistem pendidikan di negara ini, dakwa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jelas Anwar, insiden tersebut bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana pelajar di negara ini diajar melalui kaedah "listen" seperti dalam video di laman YouTube tersebut.

"Kalau orang kata ini suatu yang luar biasa berlaku, tak betul … listen, listen, listen, ini mewakili sistem yang ada, ini kaedah anak kita diajar," kata Anwar dalam ucapan ketika majlis kutipan dana untuk Pilihan Raya Umum ke-13 DAP di sini malam tadi.

Kaedah sedemikian jelas pemimpin pembangkang itu telah bermula sejak pelaksanaan Biro Tata Negara (BTN) yang mana pelajar diarahkan untuk menuruti arahan tanpa sebarang pertanyaan.

"Dulu mereka disuruh ikut BTN, bila dipesoalkan, akan kata khianat Melayu …"

"Ia falsafah politik rasis dan autoritarian yang diibaratkan pemimpin berkuasa penuh terhadap rakyat," tegas Anwar di hadapan lebih 3,000 hadirin majlis tersebut.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu turut menjelaskan, hanya melalui pendidikan, kebenaran akan dapat disebarkan.

"Pendidikan adalah asimilasi ilmu pengetahuan, untuk mendapatkan pendidikan bagi menyebarkan kebenaran," katanya lagi.

Anwar dalam ucapannya juga sekali lagi turut mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk berdebat kerana menurutnya Najib adalah pemimpin yang lemah kerana terpaksa mendapatkan khidmat bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai "penasihat" Umno.

"Najib seorang perdana menteri yang lemah, maka dia terpaksa 'outsource' melalui Perkasa dan Tun Mahathir," katanya yang turut merujuk kepada badan bukan kerajaan pro Umno, Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa).

"Saya sekali lagi cabar Najib untuk berdebat!" kata Anwar disahut sorakan hadirin yang hadir.

Kutipan derma malam tadi berjaya mengutip sejumlah RM66,3042.

Tiada ulasan:

Nuffnang