Nurul Izzah Anwar |
Posted: 09 Dec 2012 04:46 PM PST NURUL IZZAH ANWAR 4 Disember 2012 Tahun depan genaplah 15 tahun atau hampir separuh usia saya menyertai politik. Saya masih teringat, sewaktu berada di satu ceramah di penghujung 1998 ketika ayah ditahan, seorang makcik yang di antara beribu rakyat hadir menyatakan kepada saya: "teruk benar sepak terajang politik, nak. Hati-hati ya." Perjalanan yang bermula dengan laungan reformasi ini penuh dengan ketidaktentuan pada awalnya, tapi akhirnya membuahkan hasil prinsip perjuangan jelas untuk menyemai bakti demi melahirkan negara Malaysia lebih baik untuk semua. Hasilnya, saya memberanikan diri menyertai politik – yang saya mulakan dengan lafaz Bismillah. Seperti mana-mana perjuangan, ia adalah satu perjalanan yang penuh dengan dugaan, cabaran dan kadangkala disulam duka dan suka yang telah mengajar saya erti hidup, terutamanya peranan dan tanggungjawab dalam proses pembangunan sesebuah negara. Belajar berpolitik ini tidak berkesudahan dan ramai gurunya. Bukan sahaja individu tetapi pengalaman juga menjadi guru dalam usaha mendalami ilmu dan seni politik. Antaranya termasuklah Fiqhud Dakwah karya Mohammad Natsir, penulisan Sheikh Yusuf Qaradawi 'Fiqh Kenegaraan' dan terbitan terbaru Datuk Dr Siddiq Fadhil, 'Islam dan Melayu' merupakan panduan asas dalam menentukan prinsip dan garis politik saya. Karya sasterawan seperti WS Rendra, Datuk A Samad Said dan Datuk Usman Awang pula menyentuh hati saya, namun pesanan kedua ibu bapa saya yang paling saya hargai – istiqamah dan ikhlas sentiasa dalam berjuang. Ya, berpolitik itu juga berjuang. Ternyata, kemenangan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-12 yang memberikan amanah kepada saya menjadi wakil rakyat Lembah Pantai telah menjadi 'guru politik' saya yang paling besar. Kemenangan disusuli dengan tugas di Parlimen mewakili Lembah Pantai – di mana lebih 200 soalan serta perbahasan lebih 70 rang undang-undang termasuk empat rang undang-undang ahli persendirian saya seperti pemansuhan Deklarasi Darurat, Akta Pembangunan Petroleum, pindaan AUKU dan PPPA – dan dua usul tergempar mengenai jualan rahsia kerajaan berkaitan kapal selam Scorpene dan pembunuhan etnik Ronghiya yang ditolak – merangkumi hampir lima tahun bersidang – telah mengajar saya bahawa institusi Parlimen harus melalui satu reformasi untuk menjadikan Dewan lebih demokratik dalam mewakili suara dan aspirasi rakyat sepenuhnya. Tetapi pengalaman paling utama dalam berpolitik adalah tugas saya di kawasan Parlimen. Perjumpaan dan interaksi dengan warga kawasan Lembah Pantai menjadi sumber inspirasi dan penawar untuk terus berjuang dalam politik. Apabila saya melihat wajah Dinesh, murid yang mendapat 5A UPSR, yang mempunyai seorang ayah lumpuh hampir sepenuhnya dan terpaksa bergantung kepada ibu seorang untuk terus hidup, kepada nenek-nenek yang ditinggal seorang diri oleh keluarga terdekat – namun masih cekal dengan semangat juang meneruskan hidup. Inilah semangat bekalan inspirasi buat saya selaku wakil rakyat yang berpegang kepada prinsip untuk mendengar dan membantu semua pihak, tidak kira parti, kaum atau agama walaupun menerima cemuhan. Saya mendengar rintihan segelintir penduduk Flat 4 tingkat Kg Kerinchi yang ketika itu masih membantah tawaran berpindah. Berani kerana benar menjadi pegangan saya dan ini banyak beri saya kekuatan apabila melihat nasib peniaga pasar malam yang selepas dipindahkan tapak perniagaan tidak lagi berpeluang menyara hidup kerana jumlah petak tapak telah dikurangkan. Di sini saya melihat perlunya sebuah kerajaan tempatan seperti DBKL lebih proaktif dan berhikmah dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Ini juga membuka mata saya bahawa perlunya diadakan pilihan raya memilih Datuk Bandar agar suara dan hak rakyat lebih terpelihara. Dan saya melihat wajah-wajah berbilang bangsa dan agama ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, saya sebak melihat semangat perpaduan dan sentuhan kasih kejiranan bahawa kita semua mahukan yang sama iaitu Malaysia yang lebih baik, bebas dari rasuah dan salah tadbir-urus pentadbiran dan khazanah milik semua. Itu adalah inti pati politik, berjuang demi kehidupan yang lebih baik untuk semua. Inilah sebabnya saya bersyukur dengan pengalaman yang bermula 15 tahun dahulu, dan tidak akan pantang undur untuk 15 tahun lagi, Insya-ALLAH! Dipetik dari Sinar Harian |
You are subscribed to email updates from Nurul Izzah Anwar To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan