Khamis, 27 September 2012

DUN BUKIT PAYONG

DUN BUKIT PAYONG


PGU5.0 - Umat Islam Diajak Berhimpun Dengan Semangat Menentang Penghinaan Kepada Islam dan RasulNya

Posted: 26 Sep 2012 09:26 PM PDT

Petikan : Buletin Online
 
http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita4/IMG_1516.jpgSETIU - Seluruh rakyat Terengganu dijemput untuk menghadiri program Himpunan Kebangkitan Rakyat - PAS Ganti Umno kali ke-5 (PGU5.0) yang akan diadakan oleh Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu pada 5 dan 6 Oktober, minggu hadapan.
Pengarahnya, YB ustaz Mohd Nor Hamzah berkata mereka wajar menyahut 'seruan' Himpunan pada kali ini kerana ia diadakan dalam suasana umat islam di seluruh dunia sedang mengadakan bantahan menghina nabi SAW.

"Himpunan Kebangkitan (PGU5.0) pada kali ini diadakan dalam suasana umat Islam sedang mengadakan demonstrasi bantahan besar-besaran terhadap satu filem menghina nabi SAW,

"ruh bantahan ini diharap akan menjadi cetusan kepada anak-anak muda dan pengundi Terengganu untuk bersama dengan PAS agar menukar dan mengubah kerajaan negeri Terengganu kepada PAS atau pun kerajaan Malaysia kepada Pakatan Rakyat,

"kerana penghinaan kepada agama Islam bukan sahaja berlaku di luar negara tetapi (turut) berlaku dalam negera kita,"jelasnya.

Menurutnya, pelbagai penghinaan yang berlaku termasuk, menghina syariat Islam, menghina nabi SAW, golongan anti hadis dan golongan yang membawa ideologi bukan dibawa oleh RasuluLah SAW.

Ustaz Mohd Nor selaku ADUN Bukit Payong dan juga Ketua dewan Pemuda negeri Terengganu berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Panitia PGU5.0 yang diadakan di pejabat Majlis Tindakan DUN Jabi, dekat sini semalam, Rabu 26 September.

Beliau menegaskan, penghinaan terhadap Islam dan Nabi SAW yang berlaku di negara ini, merupakan kesan, akibat pemerintahan Umno selama 55 tahun.

Oleh itu, dengan Himpunan pada kali ini, beliau berharap umat Islam bukan sahaja dapat melahirkan rasa sayang kepada nabi Muhammad SAW, bahkan mengambil semangat dari ajaran Nabi dan melakukan perubahan dalam pilihanraya umum akan datang.


Aturcara PGU5.0

Sehubungan itu, beliau berkata, PGU5.0 akan di mulakan pada Jumaat, 5 September dengan Himpunan Pemuda Pemudi Islam dan Muslimat negeri Terengganu bagi menghimpun dan menggerakkan para petugas, pendokong dan penyokong PAS.

Pemuda PAS akan menganjurkan sukan Futsal, yang akan di adakan pada jam 3.00 petang di gelanggang Futsal Felda Selasih dan 'permainan dalaman' (indoor games) di tapak PGU5.0

Sebelum itu Muslimat akan mengadakan Himpunan Ameerah Terengganu, bermula pada jam 10.00 pagi di Lata Belatan, berhampiran tapak PGU5.0

Sebelah malamnya, satu ceramah akan diadakan pada jam 9.00 malam di tapak PGU5.0 dengan menampilkan Timbalan Presiden PAS Tuan haji Muhamad Sabu sebagai pemidato utama bersama ustaz Mohd Nor Hamzah.

Pada sebelah pagi 6 September, Pemuda PAS akan menganjurkan 'Larian hijau PGU5.0' yng akan bermula dari tapak PGU5.0 pada jam 7.00 pagi, diikuti dengan pertandingan pelbagai acara sukan rakyat.

Menurutnya, Majlis Perasmian akan disempurnakan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada Sabtu 6 September jam 3.00 petang

Antara tokoh-tokoh yang hadir pada majlis itu Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung PAS Dato' Mustafa Ali serta para pimpinan Pusat dan negeri.

Selepas perasmian, para peminat akan dapat menyaksikan kemunculan Ustaz Azhar Idrus bersama selibriti Bob Lokman di pentas utama bermula jam 5.30 petang.

Presiden PAS akan menyampaikan pidatonya pada program Ceramah Kemuncak, pada hari Sabtu 6 September jam 9.00 malam bersama kemunculan kali pertama bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno YB. Dato Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin
Last Updated on Thursday, 27 September 2012 02:06
http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita4/pgu5.jpg

Kenangan tol Jambatan Sultan Mahmud

Posted: 26 Sep 2012 08:32 PM PDT


Kerajaan UMNO Terengganu akan menghidupkan kembali Larian Jambatan Sultan Mahmud (LJSM) Peringkat Antarabangsa selepas 22 tahun penganjurannya ditamatkan. Lebih 5,000 peserta tempatan dan luar negara, termasuk Thailand, Singapura, Indonesia, Afrika Selatan serta Indonesia dijangka menyertai larian sejauh 21 kilometer (km), 10 km dan 3 km itu. Larian ini akan menjadikan rakyat Terengganu mesti mengingati beberapa fakta penting untuk menjadikan PAS ganti UMNO dalam PRU 13. Berlarilah tapi berfikir !

1-Seringkali pimpinan UMNO mahu memperbodohkan rakyat Terengganu dengan menuduh pimpinan PAS menentang pembinaan Jambatan Sultan Mahmud. Pimpinan PAS bukan menentang pembangunan dan kemajuan tetapi kos perbelanjaan dan kaedah pengurusan yang dipersoalkan oleh pimpinan PAS.

2-Negeri Terengganu yang kaya dengan hasil royalti petroleum bukan sahaja berkeupayaan untuk membina jambatan ini tapi segala kemudahan infrastruktur yang lain. Tetapi rakyat Terengganu dipaksa membayar dan disusahkan dengan Tol Jambatan Sultan Mahmud bertahun-tahun
 

3-Jasa besar Kerajaan Terengganu di bawah kepimpinan PAS telah menamatkan kesusahan dan bayaran Tol Jambatan Sultan Mahmud sehingga hari ini. Kerajaan PAS mampu melakukan kemudahan ini untuk rakyat, walaupun terpaksa menanggung kesulitan dan berhadapan kejahatan rompakan royalti petroleum oleh Kerajaan UMNO/BN.

4-Kerajaan UMNO Terengganu sanggup menanggung perbelanjaan yang besar untuk penajaan LJSM, sedangkan Kerajaan UMNO terus berlengah-lengah untuk menaiktaraf beberapa jalan utama dan menyelesaikan beberapa kemudahan infrastruktur seperti jalanraya daripada Bukit Payong ke Cendering, benteng pembahagi jalan di Binjai Rendah, Pasar Borong di Bukit Payong, membaiki kerosakan Pasar Kedai Buloh dan lain-lain.

Berlarilah sambil kita berfikir demi kebaikan kita semua dikemudian hari.
 
Ustaz Mohd Nor Hamzah
10 Zulqaedah 1433

Pemuda PAS kongsi kemelut penjaga gol T’ganu

Posted: 26 Sep 2012 08:07 PM PDT


Petikan : Harakahdaily

KUALA TERENGGANU: Kemelut yang melanda penjaga gol pasukan Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee Ramli turut dikongsi bersama Dewan Pemuda PAS negeri sebagai tanda sokongan moral kepada pemain tersebut.
Ketuanya, Ustaz Mohd Nor Hamzah melahirkan rasa dukacita dengan kemelut tersebut serta memberi suntikan semangat agar Sharbinee meneruskan karier dalam bidang bola sepak.

Katanya, sebagai pemain yang profesional Sharbinee perlu kuat semangat dan jadikan kemelut tersebut sebagai ujian bagi kemantapan diri.

"Kami, Pemuda PAS Terengganu datang untuk lawatan ziarah kepada Saudara Sharbinee yang sebelum ini pelbagai kemelut melanda penjaga gol (Terengganu) ini.
"Kita harap, dia kuat semangat sebagai pemain profesional, kemelut itu sebagai ujian dan jika ada rezeki Allah swt akan beri yang lebih baik, Insya Allah," ujarnya ketika menziarahi Sharbinee di rumah ibunya di Kampung Pulau Duyung, semalam.

Hadir sama mengikut rombongan tersebut Timbalan Ketua Pemudanya, Ustaz Ridhuan Hasyim, Setiasaha Pemuda PAS Terengganu, Mohamad Zaidan Abdullah dan Pengarah MTD Seberang Takir, Ustaz Zakaria Dagang.

Sharbinee berkata tuduhan menjual perlawanan oleh pihak terbabit terhadapnya adalah tidak benar serta berunsur fitnah.

"Saya sendiri yang pergi jumpa pihak SPRM minta siasat kes (jual perlawanan) ini setelah ada orang tuduh saya buat begitu…tapi saya tidak pernah buat seperti yang dituduh.

"Ini macam fitnahlah kepada saya dan saya tidak pernah buat perkara (jual perlawanan) itu. Saya telah bersihkan nama dan SPRM telah sahkan," ujarnya.

Menurutnya, pelbagai pihak memberi tawaran untuk menyertai pasukan lain seperti Pahang, Selangor, Perak dan lain-lain lagi.

Namun, kata beliau masih berfikir panjang dan sebaiknya masih mahu bersama pasukan Terengganu demi masa depan bidang tersebut.

Pada 18 September lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan penjaga gol Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee Ramli tidak bersalah atas tuduhan jual perlawanan dan kes ditutup.

(Gambar: Mohd Nor Hamzah menyampaikan hamper kepada Mohd Sharbinee.)

Tiada ulasan:

Nuffnang