Rabu, 1 Ogos 2012

Khalid Samad

Khalid Samad


Bacaan Al-Quran sepanjang RamaDhan: Juz 4

Posted: 31 Jul 2012 08:00 PM PDT

Di dalam surah Al-Imran ayat 103, Allah SWT berfirman:

"Dan berpegang teguhlah kamu kepada tali Allah dan jangan kamu berpecah belah……"
(Al-Imran 103)

Sering kita dihidangkan dengan desakan supaya ummat Islam bersatu. Dan pada masa yang sama PAS dituduh sebagai parti yang membawa pecah belah sedangkan Alla sudah perintah, seperti di hujung petikan di atas, "dan jangan kamu berpecah belah". Tetapi yang peliknya, bahagian awal itu langsung tidak diendahkan sedangkan ianya menjelaskan dasar untuk bersatu bagi ummat Islam! Iaitu persoalan berpegang pada tali Allah, iaitu Al-Quran dan Sunnah Rasulullah (SAW).

Kalau dilihat dari sudut yang lebih tepat, maka jelas bahawa sesiapa yang melepaskan tali Allah, dialah yang merupakan punca perpecahan. Dalam keadaan orang lain ingin berpegang kepada tali Allah, dia melepaskannya dan mengajak untuk berpegang kepada yang lain. Maka berpecahlah ummat Islam!

Sebagai contoh persoalan 'Melayu'. Melayu ini adalah satu perkataan yang pasti tidak disebut di dalam Al-Quran. Namun kesepakatan Melayu diletakkan sebagai pra-syarat untuk Islam berdaulat. Saya tidak tahu dari mana kaedah itu diceduk tetapi sudah pasti ianya bukan dari Al-Quran. Islam berdaulat apabila ummat Islam sepakat berpegang kepada tali Allah, bukan sebaliknya.

"Kalau kamu mendapat luka, sesungguhnya mereka juga mendapat luka seperti kamu. Dan hari-hari kemenangan itu Kami gilirkan di antara manusia supaya jelas bagi Allah orang-orang yang beriman dan dijadikan sebahagian dari kamu mati syahid….."
(Al-Imran 140)

Inilah di antara ayat penyejuk hati apabila disedari bukan kita sahaja yang luka atau sakit tetapi juga pihak yang melawan kita. Turut dijelaskan pula bahawa hari-hari kemenangan digilirkan di kalangan manusia. Selepas 55 tahun, adakah kali ini giliran kita pula. Namun yang lebih penting, menang atau kalah, ianya ujian supaya Allah zahirkan siapa yang benar-benar beriman. Ada yang lulus ujian kekalahan tetapi tersungkur pula bila diuji dengan kemenangan, naudzubillah himin dzalik.

"Orang-orang yang mengingati Allah ketika berdiri dan duduk dan sambil berbaring dan mereka memikirkan tentang kejadian langit dan bumi dan mereka berkata "Wahai Tuhan kami, tidaklah Engkau mennjadikan ini semua dengan sia-sia, Maha suci Engkau, peliharalah kami dari siksaan api neraka."
(Al-Imran 191)

Sesungguhnya alam semesta adalah tanda wujudnya Pencipta iaitu Allah dan penciptaanNya bukan sia-sia. Ada matlamat dan tujuannya dan tujuan serta matlamat ini dijelaskan di dalam Al-Quran dan melalui Rasulullah (SAW). Manusia yang beriman dan beramal soleh akan mendapat nikmat syurga dan yang kufur dan zalim akan dicampakkan ke dalam neraka. Maka hendaklah kita sentiasa mengambil iktibar dari kejadian Allah serta menginsafi keagunganNya dan RahmatNya.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Bacaan Al-Quran sepanjang RamaDhan: Juz 3

Posted: 31 Jul 2012 06:17 PM PDT

Hari ini oleh kerana sudah sedikit ketinggalan dari sudut penulisan, saya sertakan beberapa ayat dari Juz ke 3 dan Juz ke 4. Ini hanya sebagai perkongsian bersama dan supaya kita semua memberi lebih tumpuan kepada apa yang dibaca sambil bertadarrus

"Tidak ada paksaan dalam ugama sesungguhnya telah jelas jalan yang benar dari jalan yang salah. Sesiapa yang kufur terhadap Taghut dan beriman kepada Allah sesungguhnya dia telah berpegang kepada tali yang teguh dan tidak akan putus. Dan Allah mendengar dan mengetahui."

(Al-Baqarah 256)

Adalah jelas dari ayat ini bahawa Islam TIDAK disebarkan secara paksaan. Ianya merupakan persoalan keyakinan yang dihasilkan dari keterangan risalah. Tugas pendakwah adalah untuk menentukan risalah kebenaran Islam disampaikan secara jelas dari sudut perkataan dan amalan. Maka dengan itu akan terserlah kebenaran Islam.

Inti-pati risalah Islam adalah kebebasan manusia dari menyebah dan mentaati apa sahaja selain dari Allah. Dalam ayat ini ianya digambarkan sebagai persaingan kesetiaan manusia kepada Allah atau sebaliknya, Taghut. 'Taghut' datangnya dari kalimah 'Tagha' atau melampaui batas. 'Taghut' adalah sesiapa yang ingin meletakkan dirinya setanding dengan Allah dari sudut kepatuhan manusia.

Saya masih ingat lagi penerangan yang telah diberi oleh seorang Mufassir semasa saya masih belasan tahun di UK. Menurut beliau; "fasik adalah seseorang yang akui tunduk pada Allah tetapi sering melakukan pelanggaran terhadap perintah Allah. Kafir pula adalah seseorang yang tidak mahu tunduk kepada Allah sambil Taghut adalah seseorang yang bukan sekadar tidak mahu tunduk pada Allah, dia mahu manusia lain tunduk pada dirinya."

"Syaitan menjanjikan kemiskinan kepadamu dan menyuruh mengerjakan perbuatan keji dan Allah menjanjikan ampunan dan kurniaNya kepada mu…."

(Al-Baqarah 268)

Kekejian dan kemiskinan ialah apa yang akan terhasil sekiranya Syaitan dituruti. Pengampunan dan kurniaan Allah dari kekayaanNya adalah untuk mereka yang yakin dengan janji Allah. Namun, ianya merupakan masalah keyakinan terhadap janji Allah tentang kejayaan di dunia dan di akhirat sekiranya perintahNya diikuti. Oleh itu, keyakinan sebegini, yang akan terhasil dengan bertambahnya ilmu, adalah cabaran buat pendakwah Islam dewasa ini.

"Katakan: Hai Ahlal Kitab, marilah kepada satu perkataan sama antara kami dan kamu; iaitu kita tidak menyembah selain Allah dan tidak menyekutukanNya dan apa-apa jua pun, dan tidak diambil oleh sebahagian dari kita sebahagian yang lain sebagai Tuhan selain Allah…."

(Al-Imran 64)

Ayat ini jelas menunjukkan kaedah dakwah yang diperintah Allah untuk digunapakai oleh Rasulullah (SAW) terhadap Ahlil Kitab. Kaedahnya merupakan kaedah pelawaan serta pujukkan dan mengutamakan persamaan yang wujud sambil menegaskan persoalan tidak mensyirikkan Allah. Masalah dengan Ahlul Kitab ialah mereka mensyirikkan Allah dan persoalan inilah yang ditimbulkan melalui ayat ini walaupun dengan pendekatan yang lembut dan diplomatik.

"Apakah mereka ingin mencari agama selain dari agama Allah, sedangkan apa yang ada di langit dan di bumi tunduk (Islam) kepadaNya samada secara sukarela atau terpaksa dan kepadaNya akan mereka dikembalikan."

(Al-Imran 83)

Alam semesta tunduk (Islam) dan menyerah kepada Allah, mana mungkin manusia yang kerdil boleh lepas dari kekuasaan Allah? Seluruh cakerawala bergerak dan berpusing mengikut kehendakNya dan begitu juga segala tumbuh-tumbuhan, binatang, ulat serangga dan mikro-organisma yang lain. Semuanya bergerak dan hidup mengikut apa yang telah ditetapkan olehNya. Hanya manusia diberi kebebasan memilih dan bagi yang pilih untuk kufr sekali pun tetap tertakluk kepada takdirNya. Pada masa yang sama, batang tubuh dan kesemua organ dalaman seseorang yang kafir tetap tunduk kepada perintah Allah walaupun dirinya sendiri menolak kekuasaan Allah! Tidakkah perutnya lapar bila tidak makan? Sedangkan ianya perutnya sendiri, tidakkah boleh diperintahnya "wahai perutku, kau milik aku, aku perintahkan kamu supaya jangan lapar!"

Jika perut sendiri pun tunduk pada Allah dengan mengikuti SunnahNya, maka apakah alasan manusia untuk mencari agama yang selain dari agama Allah, iaitu Islam atau serah diri hanya kepadaNya?

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Tiada ulasan:

Nuffnang