Selasa, 14 Ogos 2012

.

.


Hudud: DAP sedia muzakarah

Posted: 13 Aug 2012 11:02 PM PDT

Hudud: DAP sedia muzakarah - Nasional - Sinar Harian


Hudud: DAP sedia muzakarah
Muka depan Sinar Harian Ahad 12 Ogos 2012 (semalam)
SHAH ALAM - DAP sedia bermuzakarah dengan Pas dalam usaha beri kefahaman lebih kepada ahli DAP tentang Islam, terutama hukum hudud.

Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP, Zairil Khir Johari berkata, sebagai rakan dalam Pakatan Rakyat (PR), DAP sentiasa bersedia bermuzakarah dalam apa juga isu.

"Komponen kita berbeza dengan Umno yang tidak hirau dengan rakan-rakannya dalam Barisan Nasional (BN) sama ada MIC, MCA, mahupun parti komponen di Sabah dan Sarawak.

"Saya mahu tahu adakah persetujuan parti-parti lain diminta oleh Umno bagi mengisytiharkan negara Islam secara unilateral? Bagi saya, kenyataan (Presiden Pas) Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuktikan pendirian Pas yang juga dihormati dan diiktiraf oleh DAP," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, walaupun berbeza pendapat mengenai sesetengah isu, perjuangan PR atas dasar bersama dan prinsip sejagat seperti kebenaran, ketelusan, kesaksamaan dan demokrasi akan terus dipertahankan.

Kelmarin, Abdul Hadi menegaskan DAP berhak menyatakan pendirian berkenaan hudud, termasuk tidak bersetuju dengan perlaksanaan hukum Islam itu.

Namun kata Abdul Hadi, Pas akan terus berusaha jelaskan kepada pemimpin DAP, termasuk Pengerusinya, Karpal Singh, tentang prinsip keadilan dalam undang-undang jenayah Islam itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw berkata, DAP menghormati syariah dan hudud yang dibawa agama Islam kerana ia adalah sebahagian daripada agama itu.

"Kita menghormatinya, malah nilai keamanan dan kebaikan dibawa setiap agama perlu dihormati agama lain. DAP hormati asas agama yang dibawa mana-mana agama," katanya.

Source: http://www.sinarharian.com.my/nasional/hudud-dap-sedia-muzakarah-1.75957

Jangan caci hudud, kata Nik Aziz

Posted: 13 Aug 2012 10:57 PM PDT


Nik Aziz kecam Harussani
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta mana-mana pemimpin DAP yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan negara Islam termasuk hukum hudud supaya tidak mengeluarkan perkataan 'cacian'.

Nik Aziz bagaimanapun  berkata, beliau boleh menerima tindakan Pengerusi DAP Karpal Singh yang menentang pelaksanaan hudud kerana ia secara tidak langsung  memberi kefahaman kepada orang ramai khususnya masyarakat bukan Islam.

"Saya setuju, biar (Karpal) bising, dari bising itulah orang akan faham, tetapi jangan sampai  mencaci," katanya ketika ditemui di pejabatnya hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya kenyataan Karpal yang berterusan mempersoalkan pemimpin Pas yang mahu melaksanakan hudud di negara ini dengan alasan ia tidak termaktub dalam perlembagaan negara.
Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, pelaksanaan hukuman hudud memberi kesan langsung kepada masyarakat berbanding pelaksanaan hukuman yang dipraktikkan sekarang.
"Mengikut undang-undang sekarang, jika kes dadah, pesalah dikenakan hukuman gantung sampai mati tetapi jika hudud mereka dikenakan potong tangan.
"Jika gantung mereka hanya dibawa ke kubur tetapi jika potong tangan seluruh manusia akan mengambil pengajaran dan tidak melakukan perkara yang boleh merosakkan diri," katanya.
Ditanya, tindakan Karpal menjejaskan Pas menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Nik Aziz berkata, orang ramai harus memikirkan siapa yang menolak sebenarnya menolak hukuman hudud.
" Jika kita tidak undi DAP kerana tolak hudud, macam mana dengan Umno yang juga menolak pelaksanaan hukuman itu," katanya.

Source: http://www.sinarharian.com.my/nasional/jangan-caci-hudud-kata-nik-aziz-1.76256

KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS- HUDUD : DAP MENENTANG, UMNO MENOLAKNYA

Posted: 13 Aug 2012 10:13 PM PDT


Pendahuluan : Sumber memahami ajaran Islam

Sesiapa sahaja yang ingin mengetahui Islam secara ikhlas, maka wajiblah mereka membaca dan mengkaji daripada sumber asasi Islam iaitu kitab suci Al Quran dan cara pelaksanaanya melalui hadith-hadith yang soheh. Begitu juga penjelasan daripada para ulama muktabar, sama ada menerusi kitab-kitab tafsir, hadith dan ilmu feqah serta sejarah pelaksanaan oleh kerajaan-kerajaan Islam yang adil, bukannya kerajaan Islam yang zalim.
Tentulah akan berlaku kesilapan dan boleh menyesatkan jika sekadar membaca dari sumber yang tidak benar dan mengelirukan seperti penulisan para orientalis yang tidak beriman atau media yang tidak juga beriman dan budiman. Apatah lagi cuba mendalami Islam menerusi media yang mencampur adukkan hak dan batil, mencampur adukkan terjemahan Al Quran, tulisan-tulisan serta gambar lucah dan keputusan judi nombor ekor untuk mendapat keuntungan wang tanpa mengira halal dan haram.  Begitu juga dari kalangan para ulama contoh daripada ahli kitab yang disumpah menjadi kera, binatang yang bergayut di pokok yang banyak buah yang boleh dimakan. Kalau diberi bunga yang cantik dan harum nescaya diciumnya. Kemudian dikoyak rabak merosakkannya. Begitulah ajaran Islam yang murni juga dikoyak rabaknya, kerana kedudukan dan periuk nasi kononnya.

Keseluruhan surah Madaniyyah (yang diturunkan di Madinah) dan ayat – ayatnya yang menyatakan hukum jenayah Islam di antaranya hukum Hudud. Ketika Islam memerintah negara masyarakat majmuk pelbagai bangsa, penganut berbagai agama dan aqidah menjadi rakyat. Berlakunya perbezaan agama dan aqidah dan mecetuskan perbahasan dengan kalangan bukan Islam secara terbuka.

Allah berfirman dalam al-Quran, Surah al-Baqarah ayat 120  :

Maksudnya : "Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (Wahai Muhammad) sehingga Engkau menurut agama mereka. Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk Yang benar". dan Demi Sesungguhnya jika Engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu Yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah Engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) Yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu".

Banyak lagi ayat-ayat yang tegas daripada surah yang lain yang bersifat Madaniyyah, di antaranya jawapan kepada soalan dan tuduhan kaum bukan Islam yang hidup bersama masyarakat Islam, daripada kalangan Yahudi, Nasrani dan kabilah musyrikin yang belum Islam serta kumpulan munafik yang berpura-pura Islam. Mereka adalah kalangan yang tidak ada kuasa pemerintahan dan bebas bercakap tanpa larangan. Ada pun ayat-ayat peperangan adalah bagi menghadapi musuh yang datang menyerang atau membuat persediaan untuk berperang.

Dalam konsep hubungan berbagai kaum, Islam mendahulukan perdamaian dan mengharamkan paksaan dalam berdakwah. Ini kerana paksaan tidak memberi makna Islam yang sebenar, tetapi hanya melahirkan golongan munafik. Allah berfirman dalam Al Quran (al-Hujurat :14) mendedahkan sikap sebenar kaum badawi :

Maksudnya : Orang-orang  A'rab(badawi) berkata: " Kami telah beriman". Katakanlah (Wahai Muhammad): "Kamu belum beriman, (janganlah berkata demikian), tetapi sementara iman belum lagi meresap masuk ke dalam hati kamu berkatalah sahaja:  "Kami telah Islam". dan (ingatlah), jika kamu taat kepada Allah RasulNya (zahir dan batin), Allah tidak akan mengurangkan sedikitpun dari pahala amal-amal kamu, kerana Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".

Tiada paksaan menerima hudud untuk bukan Islam

Apabila kaum Yahudi yang berpegang kepada kitab suci Taurah, walaupun di dalamnya ada hukum hudud yang sama dalam Al Quran, namun Allah memerintah Rasulullah S.A.W. tidak memaksanya. Firman Allah (al-maidah : 42) :

Maksudnya : Dan jika mereka datang kepadaMu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa Yang telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah dari mereka (biarkan); dan kalau Engkau berpaling dari mereka maka mereka tidak akan dapat memudaratkanmu sedikitpun; dan jika Engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka dengan adil; kerana Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berlaku adil.

Ayat ini antaranya menjadi dalil kepada pada pendapat yang menyatakan  bahawa tiada paksaan hukuman hudud terhadap orang bukan Islam sebagaimana pendapat dari mazhab Maliki yang diamalkan dalam masyarakat majmuk di utara Afrika dan Andalusia dan mazhab Hanafi yang berkembang dalam masyarakat majmuk di Iraq, India dan China. Berbeza dengan Mazhab Syafei yang tersebar di tanah Hijaz dan semenanjung arab yang terdiri daripada penganut Islam, ahli kitab dan Majusi.

Saya memuji betapa bijaksana para pendakwah kalangan ulama yang membawa Islam di alam Nusantara termasuk Tanah Melayu. Kerajaan Islam Melaka berabad lalu menyediakan dua undang-undang jenayah sama ada undang jenayah Islam termasuk undang-undang Hudud atau undang-undang adat bagi kaum bukan Islam Hindu dan Budha. Di Kedah masih ada rumah ibadat Hindu Melayu di Merbok yang tidak dimusnahkan oleh kerajaannya. Di Terengganu tempat penemuan batu bersurat yang mencatatkan undang-undang Hudud, masih digunakan rumah ibadat agama Budha dikampung Jeram Terengganu.

Al Quran mewajibkan pelaksanaan yang adil dalam perkara kemanusiaan yang sama dalam konsep Negara berkebajikan yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W. dan para Khulafa yang adil dalam menangani hak beragama, berbudaya, bekerja, menangani kemiskinan dan sebagainya.

PAS dan dasarnya

PAS menyatakan dasarnya secara terbuka dan DAP juga menyatakan perjuangannya secara terbuka dan berdailog secara terbuka. Maka PAS dapat bekerjasama dalam perkara yang ada persamaan tanpa melarang dan memaksa dalam perkara yang berbeza. Ada perkara boleh bertolak ansur dan ada perkara yang tidak boleh berganjak. Sabda Rasulullah S.A.W. : "Orang Islam itu wajib bertanggungjawab di atas syarat yang ditetapkan, melainkan syarat yang menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal".

Sepertimana juga DAP tidak boleh memaksa ahli PAS meminum arak dan memakan daging khinzir, maka PAS juga tidak boleh melarang ahli DAP dari minum arak dan makan daging khinzir. Perlembagaan PAS mewajibkan memecat sesiapa kalangan ahli PAS yang meminum arak dan memakan daging khinzir. Perlembagaan Umno tidak boleh memecat ahli UMNO yang minum arak bersama MCA , MIC dan Gerakan.

Begitulah nyatanya PAS tidak boleh menghalang DAP menentang Hudud dan DAP tidak berkuasa menghalang PAS menyatakan haknya. Pandangan pimpinan tertentu DAP pula tentulah tidak sama dengan pandangan pimpinan UMNO yang berkuasa selama puluhan tahun di Malaysia ini. Berbeza dengan UMNO yang sudah berkuasa bersama parti-parti rakannya sejak kemerdekaan negara mencecah lebih setengah abad. PAS adalah kalangan Melayu yang tidak lupa dan tidak mudah lupa seperti Melayu UMNO yang mudah lupa.

Sejak awal kemerdekaan PAS memperjuangkan Syariat Allah wajib ditegakkan, termasuklah hukum Hudud. Sejak awal kemerdekaan juga para pemimpin Umno menentang hukum Islam seperti hukum Hudud. Hanya berhukum sekadar yang diizinkan oleh kerajaan penjajah Inggeris. Maka pada masa itu  hukum hudud menjadi sasaran dihina, bahkan menganggap politik tidak ada hubungan dengan agama. PAS tetap beranggapan sikap UMNO itu kerana kejahilan dan terus bersabar mengemukakan hujah  dan melarang ahli-ahlinya yang melampau dalam menghukum. Hinggalah yang melampau itu melompat ke dalam UMNO. Berkat kesabaran itu maka tidak ada lagi kenyataan menentang secara terbuka di waktu ini. Kenyataannya bertukar kepada menentang secara bersilat gayung seperti kenyataan "Hudud PAS" atau "belum tiba masanya" walau pun berlalu masa setengah abad.

PAS mengemukan undang-undang jenayah Syariat termasuk hukum Hudud diperingkat negeri Kelantan dan Terenganu melalui proses demokrasi. Undang-undang tersebut digubal oleh jawatankuasa khas bersama daripada PAS dan kerajaan negeri melibatkan beberapa ahli Majlis Syura Ulama dan pakar undang–undang seperti Tun Saleh Abas, mantan Ketua Hakim Negara, al-Marhum Prof Dr Ahmad Ibrahim (tokoh akademik dan ahli PAS Singapura) Almarhum Prof Dr Saedun Awang (tokoh akademik dan Mantan Mufti Brunei Darussalam). Apa yang berlaku ialah, pihak UIA di bawah kerajaan UMNO lah yang mengarahkan kedua tokoh akademik meletakkan jawatan sebagai panel ini, namun urusannya dapat diselesaikan.

Rang undang-undangnya terlebih dahulu dibentangkan kepada umum. Dengan jasa baik YBM Tengku Razaleigh Hamzah, maka dijemput semua parti-parti politik termasuk komponen BN yang dipimpin UMNO dan NGO berbagai agama. Keseluruhannya hadir kecuali BN. Semua pandangan dan kritikan didengar dan dijawab. Selepasnya diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri kedua-dua negeri yang PAS mendapat sokongan majoriti. Akhirnya diperkenankan oleh DYMM Sultan dikedua-kedua negeri. Ada pun pelaksanaannya bergantung mengikut proses perlembagaan di bawah kerajaan Pusat yang dipimpin oleh Umno. Kalau UMNO boleh meminda perlembagaan mengambil kesempatan kesilapan seorang sultan dengan mengambil kuasa bagi kepentingannya, mengapa tidak boleh menyelesaikan perlembagaan bagi melaksanakan undang Islam?

Hudud ditolak oleh UMNO

Kemudian daripada itu, kerajaan Kelantan mendapat surat amaran daripada Kerajaan Pusat pimpinan UMNO.  Kerajaan Terengganu dan Kelantan didakwa dimahkamah  oleh pemimpin UMNO kerana undang-undang tersebut. Berikutnya berlaku kempen menakutkan pelabur dan rompakan royalti Petroleum daripada Terengganu melalui usul perwakilan Umno Terengganu dalam Perhimpunan UMNO tahun 2000 dan dinafikan hak Kelantan. Tetapi tidak dilakukan kepada Sabah di bawah PBS dan Singapura ketika dalam Malaysia. Di mana salahnya PAS ?
Inilah dia dua sikap yang berbeza. DAP ditonjolkan sebagai parti yang menentang hudud oleh media arus perdana kawalan Kerajaan BN, dalam masa yang sama hakikatnya ialah UMNO yang berkuasa memimpin kerajaan pusat itu pula juga menolak Hudud dengan rentetan seperti yang saya tulis di atas. DAP menolak hudud dengan menampilkan hujah mereka, manakala MCA pula menolak hudud dengan tempikan tuduhan UMNO hilang akal.
Hakikatnya ialah tema "Hudud" ini telah dan kembali lagi menjadi kitaran isu musim pilihanraya oleh UMNO untuk melaga-lagakan rakyat, tanpa rasa bertanggungjawab terhadap panduan agama Islam yang murni. Sedangkan merekalah yang sebenarnya sekian lama menolak hukum hudud ini !
Sekian untuk pusingan pertama, sila tunggu pusingan berikut kalau ada silat gayungnya.

Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang

PRESIDEN PAS




--
Mohd Shahir Abu Hassan
Pegawai Tadbir
Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Pusat
0192153225
www.pas.org.my
www.facebook.com/paspusat

Bertadaruslah Dengan Ikhlas, Bukannya Meniru-niru

Posted: 13 Aug 2012 10:04 PM PDT


Firman Allah SWT:

Maksudnya: "(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur" (Surah Al-Baqarah ayat 185).
                                                                   

Syukur dan tahniah kepada sebuah parti kebangsaan-sekular yang tersohor di negara ini kerana sudah meniru program-program yang kebiasaannya dibuat oleh Gerakan Islam.
Kenyataan ini saya kemukakan apabila meneliti sebuah akhbar harian, hari ini (23 Ramadhan1433/12 Ogos 2012) pada laman 10 yang kononnya ada sebuah parti itu menganjurkan tadarus Al-Quran yang disertai 1,000 anak muda.
Sekadar ingatan, pihak Kerajaan Negeri Kelantan setakat ini telah mengadakan 20 siri tadarus Al-Quran pada setiap Ramadhan. Ini bermakna selama 22 tahun pelaksanaan dasar Membangun Bersama Islam di Kelantan telah 20 tahun berturut-turut  (sejak tahun 1992) program tadarus menjadi amalan di semua jajahan dan mukim. Tadarus Kerajaan Negeri ini telah disertai ratusan ribu orang pada setiap tahun (sebulan Ramadhan). Misalnya pada tahun lalu sahaja untuk tempoh satu petang diadakan Tadarus Anak Muda melibatkan 10,000 anak muda berhimpun di Padang Perdana, Kota Bharu. Ini sebagai cara Kerajaan Negeri membudayakan tadarus sebagai amalan yang disunnah oleh Nabi Muhammad SAW.
Justeru, cara Gerakan Islam akan tetap menghidupkan amalan tadarus sebagai satu tarikan yang pastinya dicukai oleh Allah dan rasul-Nya. Maka bagi Kerajaan Kelantan melaksanakannya atas niat untuk menyuburkan budaya Al-Quran dalam kehidupan seharian.  Sesuai dengan kesedaran baru anak muda sekarang yang mahukan penghayatan Al-Quran.
Sesungguhnya program ke arah penghayatan Al-Quran hanya ada dalam parti yang berjuang atas nama Gerakan Islam. Sekiranya ada parti kebangsaan-sekular yang meniru-niru cara Gerakan Islam, maka boleh jadi ia hanya sebagai kempen mendapat tarikan anak muda. Ini kerana cara kempen sebenar bagi parti seperti itu ialah kebendaan – fokusnya material, harta, dan keduniaan.
Ingatlah, sebagaimana bapa munafik Abdullah Bin Ubai yang sanggup membina masjid dirar atas semata-mata ingin menyaingi masjid nabi yang begitu makmur. Kononnya dengan cara itu, orang ramai akan beralih kepadanya. Ternyata cara kempen Abdullah Bin Ubai itu ditolak oleh Nabi dan umat Islam. Justeru cara kempen seumpama itu adalah bahaya kepada masyarakat.
Apa yang dikehendaki oleh Islam ialah sebagai firman-Nya:
"…Oleh itu bacalah mana-mana yang mudah kamu dapat membacanya dari Al-Quran (dalam sembahyang). Ia juga mengetahui bahawa akan ada di antara kamu orang-orang yang sakit; dan yang lainnya orang-orang yang musafir di muka bumi untuk mencari rezeki dari limpah kurnia Allah; dan yang lainnya lagi orang-orang yang berjuang pada jalan Allah (membela agamaNya). Maka bacalah mana-mana yang sudah kamu dapat membacanya dari Al-Quran; dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat; dan berilah pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (ikhlas)…" (Surah Al-Muzammil ayat 20).
Natijahnya, Al-Quran adalah kalam Allah yang wajib dibaca dan diamal, bukan semata-mata diprogramkan untuk berkempen. Amatlah bahaya apabila ada yang bertadarus (membaca) Al-Quran bertujuan meniru-niru.
Bookmark and Share  

Source: http://www.blogtokguru.com/bertadaruslah-dengan-ikhlas-bukannya-meniru-niru/?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+BlogTokGuru+%28Blog+Tok+Guru%29

Tiada ulasan:

Nuffnang