N45 Dr Halimah Ali |
HIJAU STADIUM DARUL AMAN dibanjiri pimpinan dan ahli serta penyokong PAS Posted: 02 Jun 2012 06:47 AM PDT Laporan penuh: Hampir 100,000 hadir Himpunan HijauALOR SETAR: Program Himpunan Hijau ke Putrajaya yang berlangsung di Stadium Darul Aman Alor Setar Kedah malam tadi berjaya menghimpunkan hampir 100,000 ahli PAS, penyokong dan rakyat yang datang dari seluruh negara.Pengarah program, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan program kali ini berjaya mencapai matlamat penganjuran untuk memberi amanat pilihan raya kepada seramai mungkin ahli PAS. "Alhamdulillah program yang berlangsung sejak pagi tadi berjalan lancar yang bermula dengan Amanat Khas Presiden di Kompleks PAS dengan kehadiran hampir 3,000. "Dan malam ini kehadiran keseluruhan saya kira hampir 100,000 orang di dalam stadium dan tak sempat masuk ke stadium," katanya selepas program berakhir kira-kira 11.45 malam tadi. Selepas majlis Amanat Khas Presiden di sebelah pagi, program disambung dengan Xpresi Anak Muda oleh Dewan Pemuda PAS Pusat kira-kira jam 4 petang. Program bermula dengan konvoi 200 buah motosikal dari Masjid Perwaja, Gurun ke Alor Setar dengan diketuai sendiri oleh Ketua Pemuda PAS Pusat Nasruddin Hassan dengan diiringi barisan exco. Sejurus konvoi tiba di Stadium Darul Aman, program diteruskan dengan bacaan Ma'thurat dan solat Asar berjemaah. Selepas itu acara pentas bermula dengan pidato oleh Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Dr. Raja Ahmad Iskandar Al-His. Ia kemudian disusuli dengan pelancaran maskot dan animasi Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti), Hadi dan Huda. Pentas kemudian menampilkan Pengerusi Ameerah Fareedah Samad menyampaikan pidato sebelum Sketsa Kopi Amal membuat persembahan. Program kemudian diteruskan dengan pidato oleh Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Nik Abduh Nik Abdul Aziz. Puluhan ribu hadirin kemudian dihidangkan dengan kuliah oleh penceramah tersohor Ustaz Azhar Idrus selama 40 minit. Acara kemuncak program Xpresi Anak Muda petang tadi adalah pidato oleh Nasruddin sendiri selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat. Dalam program itu juga menyaksikan buku Siapa Menganut Ajaran Sesat terbitan Dewan Pemuda PAS dilancarkan bagi menjawab tomahan Umno. Selain itu, hadirin turut dihidangkan dengan persembahan sketsa khas oleh selebriti Bob Lokman yang sekaligus melancarkan Kopi Amal. Program tersebut berakhir sebelum solat Maghrib. Pada malamnya program Himpunan Hijau ke Putrajaya bermula dengan solat Maghrib berjemaah disusuli solat hajat dan munajat perdana yang diterajui Tuan Guru Haji Saleh Musa Sik sehingga masuk waktu Isyak. Solat isyak kemudian diimamkan sendiri oleh Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Sejurus selepas itu bermula acara di pentas ceramah yang dipengerusikan Datuk Mahfuz Omar. Turut mengisi pentas malam tadi, ucapan aluan oleh Menteri Besar Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak, ucapan oleh tokoh wakil masyarakat seperti penyanyi Wan Aishah Wan Ariffin atau Aishah, Bekas Pengarah Siasatan Jenayah PDRM, Dato Fauzi Shaari dan bekas selebriti tv al-Hijrah Mohd Zaid Abdullah. Paling menarik, kelainan gimik perasmian malam tadi dengan membawa masuk bekas tujuh pemain bola sepak kebangsaan yang telah bersama PAS ke tengah-tengah padang dan menendang 13 biji bola berwarna hijau kepada penonton dengan diiringi lagu Hijau Kuning. Sasterawan negara Datuk A Samad Said pula turut mendeklamasikan puisi khas bertajuk Generasi yang Gagah. Majlis kemudian menyaksikan bacaan ikrar baiah oleh semua ahli PAS yang hadir diketuai Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali. Kemuncak malam tadi menyaksikan pengumuman bekas Ketua Setiausaha Kementerian Tanah dan Koperasi Prof Datuk Dr Nik Mohd Zain Mohd Yusof menyertai PAS. Beliau menyerahkan borang PAS kepada Tuan Guru Abdul Hadi di atas pentas sebelum dijemput memberi ucapan. Turut berucap malam tadi Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, presiden PAS dan Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang membacakan doa penutup. Harakahdaily.net |
Hihamuddin Rais bicarakan UNITED MALAYS NATIONAL ORGANIZATION Posted: 02 Jun 2012 06:18 AM PDT Menelanjangi pembohongan Dua minggu sesudah ibu segala demo berlangsung - pelbagai bentuk pembohongan ditaburkan. Semua ini dilakukan secara terancang untuk mengalihkan dan memadamkan ingatan orang ramai terhadap isu yang fundamental. Berita, kisah dan kenyataan yang remeh lagi temeh dipanjang lebar dan dibesar-besarkan. Semua ini dirancang agar umum terlupa agenda fundamental. Agenda yang fundamental pada ketika ini ialah rakyat menuntut pilihan raya dijalankan dengan adil dan bersih. Ini adalah induk tuntutan. Ini adalah ibu dari segala tuntutan. Agenda inilah yang menjemput 300,000 warga turun ke jalan raya pada 28 April yang lalu. Jumlah 300,000 anak semua bangsa ini adalah bukti bahawa rakyat Malaysia tidak lagi yakin kepada proses pilihan raya di Malaysia ini akan dijalankan dengan adil dan bersih. Rakyat Malaysia - anak semua bangsa - yakin bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya ( SPR) sedang merancang untuk menipu di PRU13 nanti. Tiga ratus ribu keluar berdemo adalah tanda mereka telah hilang keyakinan terhadap sistem pilihan raya di Malaysia. Mereka - 300,000 - turun berdemo kerana tidak mahu ditipu. Inilah persoalan yang fundamental. Untuk pencerahan kita bersama dalam tulisan ini saya akan menelanjangi satu demi satu pembohongan yang sedang ditabur. Pencerahan ini adalah persediaan untuk kita semua turun sekali lagi jika kita ditipu dalam pilihan raya yang akan diadakan tidak lama lagi. Awal wahid - apa yang wajib saya telanjangi ialah konsep: hak menumbangkan kerajaan. Orang ramai terutama orang Melayu selalu ditakut-takutkan dengan perkataan 'menumbangkan kerajaan'. Perkataan dan konsep ini dikuduskan sehingga orang ramai tidak berani bersuara. Orang Melayu pula ditakut-takutkan dari bergerak menyusun saf untuk menumbangkan kerajaan. Para pembaca yang budiman, kita tidak harus takut. Jangan merasa gentar untuk terlibat beramai-ramai dalam gerakkan menumbangkan kerajaan. Menumbangkan kerajaan adalah peRkara biasa. Kerajaan Suharto tumbang pada tahun 1998. Kerajaan Marcos tumbang pada tahun 1986. Kerajaan Shah Reza Pahlevi di Iran tumbang pada tahun 1980. Kerajaan Mubarak di Mesir tumbang tahun lalu. Justeru rakyat bangun menumbangkan kerajaan dan sebuah kerajaan tumbang adalah perkara biasa. Bukan satu perkara yang pelik. Bukan satu yang ganjil atau unik. Dari zaman berzaman kerajaan telah ditumbangkan oleh rakyat. Kerajaan Melayu Melaka tumbang. Kerajaan Majapahit tumbang. Kerajaan Pasai tumbang. Kerajaan Aceh tumbang. Kerajaan Turki tumbang. Kerajaan Czar Rusia tumbang. Kerajaan Hitler tumbang. Justeru - kita semua tidak perlu takut - menumbangkan kerajaan ini bukan satu jenayah. Bukan satu kerja yang salah. Mahathir Muhamad menakut-nakutkan orang ramai dari bergerak untuk menumbangkan kerajaan Najib. Mahathir ada sebab. Kerana apabila kerajaan United Malays National Organsiation tumbang maka Mahathir sendiri akan di dakwa di mahkamah dengan pelbagai dakwaan rasuah. Sebab inilah Mahathir bermati-matian mempertahankan Najib Razak dari ditumbangkan oleh rakyat. Tiga orang bekas pemimpin kanan polis aka polis pencen - telah cuba menakut-nakut orang ramai dari bergerak menyusun saf untuk menumbangkan kerajaan. Para pembaca jangan risau. Sila ketawa kerana mereka ini adalah 'Three Stooges' - Tukang Karut macam watak Wok Dogol, Wok Long dan Wok Seman dalam naratif klasik wayang kulit. Biar saya terangkan bahawa ketiga-tiga Datuk, Tan Seri dan Tun ini ada 'memiliki' kes jenayah yang amat besar. Seorang tauke judi pasti takut kasinonya akan ditutup. Seorang ahli tinju - masih ada kes yang belum selesai. Dan seorang 'tauke lendir' pasti tahu apabila kerajaan United Malays National Organisation tumbang bergantang-gantang lendir akan dihempap ke mukanya. Justeru cakap-cakap 'tiga ekor lanun' ini wajib didengar dengan mulut ternganga dan dua tangan menutup lubang telinga. Untuk memahami konsep menumbangkan kerajaan mari kita membuka mata untuk melihat ke luar tingkap negara kita. Kerajaan Jimmy Carter telah di tumbangkan oleh Ronald Reagan pada tahun 1980. Kerajaan George Bush telah ditumbangkan oleh Barak Obama pada tahun 2005. Kerajaan Parti Buruh Gordon Brown telah ditumbang oleh David Cameron pada tahun 2010. Paling baru - beberapa hari dahulu - di Perancis, kerajaan Sarkozy telah ditumbangkan oleh Francois Hollande. Bila saya menuliskan sejarah kerajaan yang ditumbangkan ini maka pasti ada pembaca akan melompat bersuara. Akan menjerit-jerit mengatakan bahawa Ronald Reagan, Barak Obama, Francois Hollande dan David Cameron semuanya menumbangkan kerajaan melalui proses pilihan raya dan bukan berdemo di jalan raya. Syukur! Saya cukup senang hati apabila ada pembaca yang akan berhujah sedemikian. Saya amat bangga jika ada pembaca yang akan bertegang leher untuk melaungkan ke telinga saya bahawa pilihan rayalah yang telah menumbangkan kerajaan si Ani dan Si Anu. Ini hujah tepat dan sahih. Saya terima hujah ini. Tetapi, sila dengar pula apa yang ingin sampaikan d isini. Kita semua wajib menyedari bahawa pilihan raya di Amerika, di United Kingdom dan di Perancis tidak menipu. Rakyat di negara-negara ini bebas untuk memilih sesiapa sahaja yang mereka suka. Lembaga Suruhanjaya Pilihan Raya Perancis tidak merancang untuk menipu para pengundi. SPR Perancis tidak merancang untuk memastikan Sarkozy menang dan calon Parti Sosialis Francois Hollande kalah. Di negara-negara ini pilihan raya ialah pesta kebebasan untuk memilih kerajaan baru atau mengundi kembali kerajaan lama. Tidak wujud penipuan. SPR di United Kingdom kerjanya ialah mengatur dan penyusun pilihan raya bukan menipu pengundi. Penipuanlah yang membezakan antara pilihan raya di United Kingdom atau di Perancis dengan pilihan raya di Malaysia. Penipuan ini adalah kunci dan besi berani yang memanggil 300,000 anak semua bangsa - tua dan muda - turun ke jalan raya pada 28 April yang lalu. Pengundi di Malaysia tidak mahu lagi ditipu. Pilihan raya yang menumbangkan kerajaan di United Kingdom atau di Perancis adalah pengundian sahih dari warga negara. Bukan saperti di Malaysia di mana SPR dengan kerjasama United Malays National Organisation didakwa telah memberi Mat Bangla dan Mat Indon kad pengenalan. Dengan kad pengenalan segera ini 'warga asing' akan dipaksa untuk mengundi United Malays National Organisation. Kerajaan Sarkozy ditumbangkan bukan dengan menggunakan pengundi hantu. Kerajaan Gordon Brown ditumbangkan bukan kerana undi pos. Ronald Regan menumbangkan Jimmy Carter bukan dengan membuat persempadanan semula atau menghilangkan nama pengundi. Maka jelas kerajaan-kerajaan yang ditumbangkan ini adalah melalui proses pilihan raya yang bersih dan adil. Bukan dengan penipuan. Jika para pembaca telah memahami apa yang saya tulis di atas maka mari kita melihat pula bagaimana Suharto, Marcos dan Mubarak menjalankan pilihan raya. Suharto juga mengadakan pilihan raya. Tetapi majoriti dari 445 ahli parlimen adalah yang dilantik. Ini samalah seperti yang sedang berlaku di Burma sekarang. Parti Ang Suu Ki memenangi 45 dari 46 kerusi yang dipertandingkan. Tetapi parlimen Myamar ada 664 Yang Berhormat. Selain dari 45 YB yang dipilih - semuanya dilantik oleh tentera. Marcos menjadi Presiden Filipina selama 20 tahun. Kempen pertama Marcos pada tahun 1965 hingga ke hari ini masih menjadi buah mulut. Ferdinand Marcos menjadi presiden melalui penipuan, melalui beli undi dan melalui paksaan. Kisah Hosni Mubarak dari Mesir lebih indah dan menarik. Mubarak menjadi presiden selama 30 tahun semenjak tahu 1975. Pada tahun 1987, 1993 dan 1999 dengan licik Mubarak telah mengadakan pungutan suara - bukan pilihan raya - untuk memastikan dia terus berkuasa. Pada tahun 2005 Mubarak telah dicadangkan sekali lagi oleh Parlimen Mesir untuk menjadi Presiden. Lalu dilakukan pemungutan suara. Sayangnya hanya Mubarak seorang saja calon yang ada untuk dipilih. Rakyat Mesir semakin marah. Tuntutan pilihan raya bersih dan adil mula kedengaran. Maka pada bulan September tahun 2005 diadakan pilihan raya dengan pelbagai parti bertanding. Sebelum pilihan raya dijalankan Parlimen telah meluluskan undang-uandang dan akta untuk memastikan semua kuasa mutlak masih lagi di tangan Presiden Mubarak. Kes Suharto, Marcos dan Mubarak ini adalah kes klasik dalam Dunia Ketiga. Kita tidak perlu lagi melihat kes Mobutu Seseko dari Congo atau Mugabe dari Zimbabwe. Semua mereka ini adalah contoh pemimpin negara Dunia Ketiga yang menang dalam pilihan raya. Biar saya tuliskan apakah dia ciri-ciri negara Dunia Ketiga agar pencerahan ini akan membantu kita semua untuk memahami apa yang sedang berlaku sekarang. Ciri utama ialah ruang demokrasi amat sempit dalam negara Dunia Ketiga. Sistem kapitalis yang digunakan pakai ialah kapitalisme kroni. Elit politik dan elit ekonomi hidup dengan kaya raya. Rasuah menjadi budaya. Media dikongkong. Polis, sistem kehakiman, badan agama dan tentera digunakan untuk mengancam orang ramai. Semua ciri dan watak-watak ini terdapat di Malaysia. Hakikatnya Malaysia walau pun memiliki bangunan tinggi Petronas tetapi masih lagi berwatakkan negara Dunia Ketiga. Parti United Malays National Organisation telah berkuasa selama 54 tahun. Ini satu jangka masa yang amat panjang. Perlembagaan telah diubah berkali-kali. Pelbagai akta telah ditambah. Pelbagai lembaga telah ditubuh. Semua ini untuk memastikan United Malays National Organisation terus berkuasa. Suharto, Marcos dan Mubarak menipu dalam pilihan raya untuk terus berkuasa. Rejim Najib Razak dan United Malays National Organisation juga sedang merancang untuk menipu dalam PRU13. Suharto, Marcos dan Mubarak menang dalam pilihan raya tetapi dihambat keluar oleh rakyat. Jangan silap faham - saya tidak menolak pilihan raya. Apa yang ditolak oleh rakyat ialah penipuan dalam pilihan raya. Justeru, jika kali ini United Malaya National Organsiation melalui SPR menjalankan penipuan dalam PRU13 - maka rakyat Malaysia tidak ada pilihan melainkan turun ke jalan raya. Sama seperti yang berlaku di Indonesia, Filipina dan Mesir - sesudah rejim lama dihumbankan maka satu SPR baru ditubuhkan. SPR yang baru inilah yang akan mengendalikan satu pilihan raya yang adil dan bersih. Ini bukan satu angan-angan. Ini satu janji. |
You are subscribed to email updates from N45 Dr Halimah Ali To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan