Dr Siti Mariah Mahmud |
Kesan Bersih 3.0 : Transformasi & imbuhan ekonomi UBN terhakis Posted: 01 May 2012 07:01 AM PDT Gelombang 'perang' berbalas komen dan reaksi melibatkan pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) nampaknya berterusan! Ruang siber dan tradisional digunakan sepenuhnya sepanjang 24 jam lalu - membincangkan kewajaran perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara semalam dan siapa yang sepatutnya dipersalahkan ke atas insiden sejam terakhir. Bersih 3.0 membuat rancangan untuk mengadakan perhimpunan antara jam 2 dan 4 petang. Keadaan bertambah kecoh dan bertukar ganas selepas jam 3 petang. Dalam mesej Twitter pagi ini, pemimpin dari Pemuda Umno, Lokman Adam menulis: "Nasib baik kalian duduk di Malaysia, kalau kat tempat lain, seorang demi seorang akan hilang tanpa kesan kalau..." Dalam ruang masa yang sama, Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin menjawab satu komen dengan menulis: "Stadium tempat tengok bola bukan tempat protes." Shamsul Iskandar menjawab komen @ahmadilatif yang berkata, "Sam, kalau dari awal buat kat stadium kan senang. Ke, kau takut orang tak datang?" Bersih 3.0 sudah berlalu. Apa kesannya ke atas arena politik negara? Bersih I diadakan beberapa bulan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) 2008. Bersih II pada 9 Julai lalu, ketika ramai menyebut PRU13 akan diadakan dalam waktu terdekat, susulan pilihan raya negeri Sarawak. Bersih 3.0 semalam diadakan di tengah-tengah spekulasi mengatakan PRU13 akan diadakan bila-bila masa. Beberapa minggu lalu, di sebalik program turun padang Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri, Presiden Umno dan Pengerusi BN, yang begitu kerap diadakan, pemimpin-pemimpin perikatan itu telah menasihatkan parti komponen agar memasukkan 'gear lima' bagi memastikan pergerakan memecut. Beberapa hari menjelang perhimpunan Bersih 3.0, penganalisis dan pemerhati politik membuat penilaian bahawa kebanjiran peserta di ibu negara juga akan menjadi faktor yang menentukan sama ada PRU13 yang disebut-sebut akan diadakan Jun ini atau minggu pertama Julai akan menjadi kenyataan. Bagaimanapun, berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, tarikh pilihan raya Parlimen menjadi hak mutlak Perdana Menteri untuk menentukan. Malam ini, Umno mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT). Difahamkan, mesyuarat MT lazimnya akan diadakan Jumaat terakhir setiap bulan, tetapi ditangguhkan sehingga ke malam ini ekoran jadual ketat Najib. Berkongsi maklumat, Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian tidak menolak impak dalam menentukan tarikh PRU13 yang sesuai. "Saya ada turun dan melihat apa yang berlaku di Kuala Lumpur semalam, melihat gelombang manusia, penyertaan dalam Bersih 3.0. Jumlah kehadiran adalah cukup besar," kata beliau yang turut melihat bahawa kepimpinan akan mengambil kira kesan dan impaknya dalam menghadapi PRU dalam waktu terdekat. "Jadi, saya tidak terkejut jika PRU13 dilewatkan berbanding ramalan banyak pihak kebelakangan ini," katanya. Seorang pensyarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia berpendapat bahawa Najib tiada banyak dalam memanggil PRU13. Mandat semasa Kerajaan Pusat akan berakhir April 2013. Aspek yang menarik perhatian, menurut Ibrahim, ialah kehadiran golongan muda dalam perhimpunan semalam. "Ini satu lagi aspek yang perlu diberi perhatian oleh BN," katanya lagi. Berdasarkan laporan Bernama semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, sudah sampai masa golongan majoriti senyap melahirkan perasaan tidak senang hati mereka terhadap perbuatan menimbulkan huru-hara dan menzahirkan perasaan jijik mereka dengan perbuatan yang melanggar peraturan. "Kita tak mahu perkara huru-hara, tidak ikut peraturan ini terus menjadi budaya minoriti yang vokal yang diketuai dan didalangi pembangkang." katanya yang juga Ketua Penerangan Umno. Datuk Saifuddin Abdullah, pemimpin Umno yang dilihat moderat mengakui bilangan yang menyertai perhimpunan semalam agak besar berbanding perhimpunan Bersih sebelum ini. Belum ada angka rasmi mengenai kehadiran. "Selain jumlah yang agar ramai, kehadiran juga bercirikan pelbagai kaum dan lebih ramai kaum Cina mengambil bahagian... perkara ini perlu diteliti," katanya yang sealiran dengan pandangan Ibrahim kepada Sinar Harian Online. Timbalan Menteri Pengajian Tinggi ini seterusnya berkongsi pandangan bahawa kehadiran semalam juga menggambarkan pendirian merentasi ideologi politik. Walaupun ada pihak yang mendakwa pemimpin-pemimpin PR 'mencuri' tumpuan, tetapi ramai datang bukan disebabkan ideologi politik pembangkang. Persepsi kebanyakan pihak peserta mahu menyampaikan mesej kepada pihak berkuasa. "Saya rasa merentasi ideologi politik. Kita perlu menangani situasi ini dengan berhati-hati," kata beliau, yang juga anggota MT Umno, mengulas impaknya menjelang PRU13. Penganalisis politik Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian tidak menolak perhimpunan semalam akan ada kesan dalam keputusan Najib memanggil PRU13. "Sudah tentu, sudah tentu," katanya ketika dihubungi. Pun begitu katanya, berdasarkan apa yang berlaku semalam, khususnya elemen keganasan, ia akan memberi kelebihan dari segi impak kepada BN. "Bagi saya dari segi impak, kali ini lebih memihak kepada BN berbanding PR (Pakatan Rakyat)," katanya lagi. Seorang penganalisis veteran yang enggan namanya dipetik berkata, jikapun Najib memutuskan untuk menangguhkan tarikh PRU13, ia tidak akan dikaitkan dengan impak perhimpunan Bersih 3.0. "Jika mereka (BN) memutuskan untuk menangguhkan hanya kerana Bersih 3.0, ia akan memberi kesan psikologi di kalangan pengundi. Ia akan membawa isyarat negatif ke atas BN. "Tetapi, pokoknya kita kena memberi perhatian bahawa jentera Umno dan komponen BN sebenarnya belum bersedia sepenuhnya. Ya, jentera memang sudah digerakkan, tetapi pergerakan jentera belum lancar dan halus lagi," katanya yang meramalkan September atau November 2012 kemungkinan menjadi pilihan Najib. "Jadi, saya tidak akan terkejut jika PRU13 hanya akan berlangsung selepas sambutan Aidilfitri," katanya. Seorang pegawai kanan misi diplomat asing di ibu negara juga mengakui ada kesannya. "Segala apa yang dilakukan oleh Najib sejak lima bulan yang lalu, tranformasi politik dan imbuhan ekonomi kepada rakyat, nampak sudah terhakis kesan Bersih 3.0 dan cara ia ditangani. "Awalnya, semua bergerak dengan baik. Saya rasa seolah-olah ada unsur sabotaj ke atas usaha Najib... ini jangkaan saya," katanya merujuk kepada 'mood' orang ramai sejak kebelakangan ini. "Jadi, saya rasa Najib kena kembali kepada pusingan kedua membetulkan keadaan. Najib ada masa? Ini persoalan sekarang," katanya. Bersetuju dengan pandangan itu, penganalisis veteran yang dihubungi Sinar Harian Online juga berkata, Najib perlu menggerakkan gelombang kedua usaha dan inisiatif untuk memperbaiki persekitaran yang sudah tercalar dan tercemar. "Kita kena melakukan. Laporan PSC (Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen) sudah dibentangkan. Nampaknya mereka tidak kisah. "Elemen marah juga ada, pada pandangan saya elemen marah ini tidak patut berlaku. Apa pun kita kena cari jalan untuk mengatasinya. Kita perlu teliti dan berhati-hati," kata Saifuddin. |
Memorundum kepada Pengerusi SPR Posted: 30 Apr 2012 08:37 PM PDT Putrajaya 30.4.2012 : Bertempat di Pejabat Suruhanjaya Pilihanraya semalam berlangsung majlis penyerahan Memorundum oleh PAS Pusat bersama PAS Selangor yang turut dihadiri oleh Timbalan Presiden PAS Tuan Hj Mohamad Sabu, Ketua dan Timbalan Dewan Muslimat PAS Pusat serta Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Selangor bersama ahli jawatankuasa mendesak Pengerusi SPR meletak jawatan atas isu-isu yang dibangkitkan kebelakangan ini. PAS mendesak Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar meletak jawatan segera jika tidak berdepan Bersih 4.0. Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu sewaktu pada penyerahan memorandum kepada SPR petang tadi menyatakan tempoh diberikan selam tiga puluh hari untuk mereka meletakkan jawatan. "Kita mendesak agar kedua-dua mereka meletak jawatan segera, tempoh tiga puluh hari diberikan kepada mereka jika tidak kemungkinan Bersih 4.0 akan diadakan," jelasnya di lobi Pejabat SPR, petang tadi. Tambahnya, segala keputusan akan dilakukan oleh pihak Jawatankuasa Pemandu Bersih dan setiap apa yang diputuskan, PAS akan menyokong sepenuhnya. Menurutnya lagi, sistem pilihan raya adalah mekanisme yang utama untuk merealisasikan demokrasi di negara kita, ia merupakan asas kepada pemilihan dan penubuhan kerajaan. "SPR perlu menjalankan tugas dan memantau pilihan rara secara tidak berpihak dan neutral, adalah amat penting bagi SPR menjadi bebas dan tidak berpihak supaya SPR dapat memenangi keyakinan orang awam terhadap peranan dan fungsinya. "Malangnya walaupun selepas lebih lima dekad negara kita merdeka, perjalanan dan sistem pilihan raya di negara kita terus berjalan dengan tempang, tidak telus dan penuh keyakinan," katanya. Malah lebih parah lagi, katanya kedua-duanya yang berada dalam SPR dilihat telah memihak dan menjadi alat serta 'kuda tunggangan' Umno-Barisan Nasional. "SPR juga dilihat terus gagal menasihati kerajaan Umno-Barisan Nasional bagi mengemukakan penambahan kerusi Parlimen di negeri-negeri majoriti Melayu seperti di Terengganu, Kelantan dan Kedah. "Begitu juga dengan persoalan akses media yang bebas dan adil, apabila melihat saban hari media milik kerajaan seperti RTM dan Bernama tidak langsung memberi liputan positif dan ruang kepada pemimpin pembangkang di negara ini," sambung beliau lagi. Beliau yang juga Pengerusi Badan Penggerak Mobilisasi Demokrasi (PAS) menegaskan bahawa berpegang kepada prinsip kepercayaan awam adalah syarat tonggak dalam kriteria perlantikan anggota SPR supaya bebas dan tidak memihak kepada sesiapa. "Badan Pengerak Mobilisasi Demokrasi dengan ini menuntut dan mendesak kedua-dua mereka segera meletakkan jawatan secara bermaruah agar kita dapat mengembalikan kepercayaan rakyat Malaysia terhadap kewibawaan peranan dan fungsi intitusi SPR itu sendiri. "Langkah ini adalah jalan terbaik untuk mereka menyelamatkan demokrasi di negara kita lebih-lebih lagi pada ketika Malaysia akan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang," tambah beliau lagi. Sementara itu, memorandum yang diserahkan beliau diterima oleh Pegawai Perhubungan Awam SPR, Sabri Said. Turut hadir waktu penyerahan memorandum tersebut adalah Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Muhd Yusoff, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud dan Mohd Sany Hamzan dari Dewan Pemuda PAS Malaysia. |
You are subscribed to email updates from Dr Siti Mariah Mahmud To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan