Rabu, 16 Mei 2012

:: cina islam | 2011 ::

:: cina islam | 2011 ::


Lelaki Berjubah Putih Mengangkat Pemuda Syahid Dengan Sebelah Tangan

Posted: 16 May 2012 02:00 AM PDT

24 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

Ketika askar upahan rejim Basyar Al-Assad sedang menggila membunuh penunjuk perasaan, tiba-tiba keluar sosok tubuh seorang lelaki berjubah putih dari arah sebelah tentera Basyar Al-Assad.

Lelaki itu mengangkat mangsa yang syahid dibunuh askar upahan Basyar Al-Assad dengan tenang sedangkan dibelakangnya ada tentera bersenjata.
Kelihatan lelaki berjubah putih itu tenang mengangkat pemuda yang telah mati syahid itu dengan sebelah tangan sahaja.

Siapakah lelaki berjubah putih itu? Masih menjadi persoalan. Tengok video di bawah ini, mungkin kurang jelas tapi video yang kedua di penghujungnya mungkin anda dapat amati betul-betul.. Wallahu a'lam

Kerusi bergerak ciptaan Honda

Posted: 16 May 2012 01:30 AM PDT

24 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

BEKAS angkasawan Jepun, Mamoru Mori menguji sebuah kerusi bergerak keluaran syarikat Honda Motor di Tokyo semalam.

TOKYO - Syarikat Honda Motor mencipta kerusi bergerak dengan menggunakan teknologi robotik yang dikenali sebagai Uni-Cub.

Kerusi itu mempunyai sebuah roda utama di bahagian depan dan roda kecil di bahagian belakang yang membantu ia berpusing.

Para pengguna perlu menyengetkan badan mereka ke kiri jika mahu ia bergerak mengikut arah tersebut.

Jika mahu ke kanan, pengguna perlu melakukan pergerakan yang sama dengan menyengetkan badan ke arah itu.

Setakat ini syarikat itu tidak mempunyai rancangan untuk menjual kerusi tersebut. - AGENSI

Mogok lapar Palestin berakhir

Posted: 16 May 2012 01:00 AM PDT

24 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

RAMALLAH: Beribu-ribu penduduk Palestin di Tebing Barat dan Gaza semalam keluar menyambut meriah langkah Israel memberi layanan lebih baik membolehkan tahanan Palestin sekali gus menamatkan mogok lapar mereka selain mengingati 'malapetaka' apabila Israel diasaskan pada 1948 atau 'Nakba'.

Israel kini bersetuju membenarkan anggota keluarga melawat tahanan Palestin dan cuba mengelak menahan penduduk tanpa didakwa. Sebagai tukaran, kumpulan pejuang Palestin memberhentikan serangan.
Nasib tahanan itu adalah satu perkara sensitif kepada penduduk Palestin kerana hampir semua mereka mengenali jiran atau saudara yang pernah dipenjara Israel. Beratus-ratus warga Palestin keluar di dua kota utama itu sambil membawa gambar anggota keluarga yang ditahan Israel.

Beribu-ribu lagi melakukan tunjuk perasaan di bandaraya selatan Hebron yang bertukar menjadi laut merah, putih, hitam dan hijau dengan bendera Palestin dengan mereka meraikan kejayaan menamatkan mogok lapar.

Di Gaza, penduduk Palestin menjerit 'Allahu Akbar' dan 'Alhamdulillah' menggunakan pembesar suara ketika menyambut persetujuan antara tahanan dan pihak berkuasa penjara Israel.

Selain mengibar bendera, mereka juga mengedarkan manisan dan ada yang melakukan sujud syukur.
Perjanjian itu menamarkan salah satu bantahan terbesar tahanan Palestin apabila dua lelaki memulakan mogok lapar pada 28 Februari lalu dan tidak makan selama 77 hari, mogok lapar paling lama.

Selain itu, 1,600 tahanan Palestin lain, lebih sepertiga daripada bilangan tahanan dan menyertai mogok itu pada 17 April lalu yang berlangsung selama 27 hari.

"Tahanan membuktikan kepada dunia bahawa perut kosong adalah lebih kuat daripada mana-mana pemerintah atau penindas," kata jurucakap kerajaan Gaza, Fawzi Barhoum.

Kemeriahan juga dibantu sambutan 'Nakba'. Tarikh 15 Mei adalah detik penduduk Palestin mengingati 'malapetaka' apabila beratus ribu lari atau diusir dari kediaman oleh pengganas Israel.

Siren kuat dibunyikan di seluruh bandaraya Ramallah pada waktu tengahari menandakan ulang tahun di mana penduduk meraikannya dengan senyap selama satu minit menjelang perarakan besar di 'Clock Square.'

Di seluruh bandar itu, kereta mengibarkan bendera hitam membawa gambar satu kunci dan perkataan 'kembali' dalam bahasa Inggeris dan Arab untuk mengingati rumah yang ditinggalkan mereka atau dipaksa ditinggalkan dan kini menjadi sebahagian Israel.– AFP

Maut jatuh pangsapuri

Posted: 16 May 2012 12:59 AM PDT

24 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun, meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat empat rumahnya di Pangsapuri Villa Angkasa dekat Sentul di sini, malam kelmarin.

Kanak-kanak terbabit ditemui terbaring di kawasan letak kereta pangsapuri itu jam 9.45 malam oleh seorang penduduk sebelum dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan kecemasan.

Bagaimanapun, mangsa yang parah di kepala dan badan disahkan meninggal dunia selepas empat jam diberikan rawatan di hospital.

Difahamkan, ketika kejadian, ibu kanak-kanak itu sedang mandi, manakala mangsa bermain bersama adik bongsunya berusia tujuh tahun dalam sebuah bilik.

Sumber berkata, kanak-kanak itu memanjat tingkap di bilik berkenaan sebelum tergelincir dan terjatuh ke tempat letak kereta pangsapuri terbabit.

Katanya, sejurus kejadian itu, seorang lelaki yang juga jiran mangsa terdengar bunyi dentuman kuat di kawasan letak kereta sebelum bergegas melihat apa yang berlaku.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Beliau berkata, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

berita harian/-

20 jam meringkuk dalam bonet

Posted: 16 May 2012 12:52 AM PDT

24 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KEADAAN pendatang asing tanpa izin ketika dia ditemui pegawai imigresen Itali di Bari, semalam.
ROME: Pendatang tanpa izin memang diketahui sanggup melakukan apa saja asalkan dapat menyusup masuk ke Itali, tetapi penemuan terbaru semalam dianggap begitu luar biasa.

Seorang pemuda Afghanistan sanggup bersembunyi dalam bonet kereta dengan posisi mengerekot selama 20 jam.

Menurut polis, pemuda berusia 18 tahun dan tidak didedahkan identitinya itu berharap dapat masuk ke Itali melalui Bari dengan cara begitu.

Bagaimanapun, kata sumber, usahanya gagal apabila pegawai imigresen melakukan pemeriksaan mengejut dan menemuinya dalam bonet kereta Nissan berkenaan.

"Ketika ditemui, pemuda itu bersembunyi di celah enjin kereta dengan berbekalkan sebotol air dan sehelai selimut," katanya.

Jurucakap imigresen Bari berkata, mereka menahan kereta berkenaan selepas mendapati pemandu dan penumpangnya - kedua-duanya warga Bulgaria - dalam keadaan cemas.

Katanya, kereta itu baru saja tiba di Bari menaiki feri dari Greece.

Jurucakap itu berkata, pemandu terbabit dikenali sebagai Kaloyanov Ivaylo, 24, manakala temannya Georgieva Stanislava, 39.

"Kedua-dua mereka ditahan, manakala pendatang tanpa izin itu terpaksa dibantu keluar dari bonet berkenaan kerana berada dalam keadaan separuh sedar," katanya.

Pemuda Afghanistan itu kemudian dikejarkan ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Feri berkenaan berlepas dari Patras pada pagi Ahad sebelum singgah di Igoumenitsa dan menyambung perjalanan ke Bari.

Laluan itu memang popular di kalangan penyeludup manusia yang mengenakan caj minimum 5,000 euro (RM19,664) untuk masuk ke Itali. - DM

Ketua balai disyaki miliki dadah

Posted: 16 May 2012 12:11 AM PDT

24 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

IPOH - Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor yang bertugas sebagai Ketua Balai di salah sebuah daerah di negeri ini ditahan kerana disyaki memiliki dan mengambil dadah di pejabatnya, 24 April lalu.

Sebelum ini, pegawai polis berkenaan pernah berkhidmat sebagai Ketua Balai di negeri lain, tetapi dipindahkan ke negeri ini selepas mempunyai salah laku dalam tugasnya.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahalan berkata, Inspektor berusia dalam lingkungan 30-an itu ditahan selepas pihaknya menemui peket kecil berisi dadah dipercayai jenis ketamin di balai berkenaan.

Menurutnya, pegawai yang sudah berkhidmat 15 tahun dalam polis itu turut didapati positif dadah jenis yang sama ketika melakukan ujian air kencing pada hari yang sama dia ditahan.

"Penangkapan pegawai tersebut membuktikan polis tidak melindungi anggota mereka yang didapati terbabit dengan jenayah.

"Sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang ini sama ada anggota polis atau siapa sahaja, tindakan tegas akan diambil ke atas mereka," katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, semalam.

Mohd Shukri berkata, pegawai berkenaan kini dipindahkan ke bahagian pentadbiran buat sementara waktu bagi pihaknya menjalankan siasatan lanjut.

Sinar Harian

Tiada penggempur berbisa beri kesan Sime Darby FC

Posted: 16 May 2012 12:09 AM PDT

24 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KETIADAAN aksi penyerang prolifik, Patrick Ronaldinho yang digantung satu perlawanan selepas mendapat layangan­ kad merah dalam perlawanan­ menentang Pahang Jumaat lalu, nyata memberi kesan terhadap Sime Darby FC apabila tewas 1-2 kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam saingan­ Liga Perdana malam kelmarin, lapor SUBKHI SUDARJI.

Meskipun barisan penyerang tempatan gagal memanfaatkan sepenuhnya beberapa peluang yang terhidang pada separuh masa pertama, ia sedikitpun tidak menggusarkan jurulatihnya, Ismail Zakaria.

"Saya kecewa apabila dua peluang terhidang pada separuh masa pertama terlepas begitu sahaja, namun saya tetap optimis pemain mampu bangkit mencatat tiga mata penuh dalam baki lapan saingan akan datang," katanya yang mengakui faktor keletihan turut menyumbang kepada dua kekalahan sebelum ini.

Berdepan jadual perlawanan yang padat dalam saingan Piala FA menentang pasukan hebat sebelum ini nyata memberi kesan kepada anak didik Ismail.

"Pemain kita agak keletihan dan mengalami sedikit kecederaan serta beberapa pertukaran pemain perlu dilakukan bagi memastikan pemain yang bakal diturunkan menjelang aksi Final Piala FA Sabtu ini dapat beraksi," katanya.

Sinar Harian

Mayat dengan kesan tikaman ditemui di Rembau

Posted: 16 May 2012 12:07 AM PDT

24 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

REMBAU - Mayat seorang lelaki dengan kesan tikaman ditemui di tepi jalan utama Linggi-Lubuk Cina dekat sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Rembau DSP Mizan Md Dom berkata mayat itu ditemui oleh orang awam yang melalui kawasan itu pada kira-kira pukul 6 petang sebelum menghubungi pihak polis.

"Mangsa dipercayai berbangsa Melayu, berumur sekitar 40-an dan setakat ini identitinya belum dikenal pasti kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui.

Mangsa yang tidak berbaju dan hanya memakai kain ditemui terlentang berlumuran darah.

"Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dibunuh dalam tempoh tidak sampai 24 jam. Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu atau kehilangan rakan atau anggota keluarga diminta tampil menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau di talian 06-6852222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.- Bernama

Sinar Harian

Wan Jamak: Tekanan punca kekalahan Kedah

Posted: 16 May 2012 12:06 AM PDT

24 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

ALOR SETAR - Jurulatih pasukan bola sepak Kedah Wan Jamak Wan Hassan berkata kekalahan pasukannya di tempat sendiri adalah disebabkan pemain beraksi dalam keadaan tertekan di hadapan penyokong.

Wan Jamak berkata anak buahnya yang tertekan terpaksa bermain bersungguh-sungguh bagi memenuhi hasrat penonton yang hadir di Stadium Darul Aman (SDA)untuk mendapatkan keputusan yang terbaik.

Katanya perkara ini amat membimbangkannya kerana pemain tidak beraksi dengan baik di tempat sendiri berbanding bermain di tempat luar yang mana mereka seolah-olah tiada tekanan dan boleh beraksi dengan baik.

"Saya juga amat kecewa dengan sikap segelintir penyokong yang tidak mengahargai usaha yang dilakukan pemain-pemain sepanjang 90 minit perlawanan untuk menghasilkan gol," katanya kepada pemberita selepas perlawanan di SDA di sini, malam tadi.

Katanya beliau juga tidak takut kepada pasukan lawan tetapi takut kepada pemainnya sendiri kerana mereka gagal berfungsi sebagai satu pasukan tetapi bermain secara individu.

Wan Jamak berkata pasukannya mempunyai pemain yang ternama seperti Badrol Bakhtiar dan Mohd Khyril Muhymeen Zambri yang tidak berfungsi sebagai satu pasukan dan ini mengundang kepada kekalahan di gelanggang sendiri.

Pada saingan Liga Super malam tadi, Kedah gagal mengutip tiga mata penuh setelah tewas 1-3 kepada PKNS Selangor menerusi jaringan gol Helmi Loussaief dan Mohd Nizaruddin Yusof pada minit ke-45 dan ke-51.

Penyerang import Kedah dari Croatia, Vedran Gerc merapatkan kedudukan menerusi jaringan pada minit ke-58 menerusi penalti sebelum Rudie Ramli melengkapkan kemenangan PKNS dengan menjaringkan gol ketiga pelawat pada minit ke-79.

"Saya akui ada pemain yang tidak menunjukkan prestasi baik dan kesilapan yang dilakukan oleh pertahanan menyebabkan terpaksa membuat rombakan terhadap pertahanan disebabkan dua pemain utama iaitu Azmizi Azmi dan Khairul Helmi Johari digantung perlawanan.

"Saya terpaksa meletakkan pemain muda di bahagian pertahanan walaupun bukan posisi asal mereka. Beberapa kesilapan dan salah faham antara pemain menyebabkan pasukan lawan dapat membolos gawang pasukan," jelas Wan Jamak. - Bernama

Sinar Harian

Chong Wei nekad berjuang habis-habisan

Posted: 16 May 2012 12:05 AM PDT

24 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SEPANG - Pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei meminta peminat badminton negara tidak menaruh harapan tinggi pada skuad Piala Thomas negara kali ini namun tetap bertekad akan berjuang habis-habisan di kejohanan di Wuhan, China hujung minggu ini.

Chong Wei yang juga ketua pasukan Piala Thomas negara berharap skuad tersebut mampu melakukan kejutan dan menunjukkan peningkatan seperti yang dilakukan di peringkat kelayakan Piala Thomas di Macau Febuari lepas.

"Memang bukan sasaran utama kita di Piala Thomas, tapi saya harap pasukan akan buat yang terbaik, masa kelayakan di Macau sebelum ini, ramai yang bercakap pasukan kita tidak boleh layak tapi akhirnya kita berjaya membuktikan kemampuan kita.

"Kali ini kita sasar mara ke separuh akhir. Saya akan jalani latihan bersama pasukan di Guangzhou sebelum bertolak ke Wuhan. Pasukan akan beri yang terbaik tidak kira bertemu siapa terutamanya ketika bertemu Denmark nanti," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Chong Wei berlepas ke Guangzhou bersama jurulatih perseorangan negara Tey Seu Bock. Turut sama hadir mengiringi beliau ialah Pengurus Besar Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Kenny Goh dan Pengarah Prestasi Tinggi BAM Datuk James Selvaraj.

Chong Wei berkata beliau tidak dapat berlepas bersama rakan sepasukan yang lain Ahad lepas kerana mengalami demam yang teruk dan khuatir akan menjangkiti rakan-rakan seperjuangan yang lain.

"Walaupun tidak dapat berlatih bersama-sama mereka di sana, saya tetap menjalani latihan seperti biasa," katanya.

Selain Chong Wei, pemain perseorangan dibarisi oleh Muhammad Hafiz Hashim, Liew Daren dan Chong Wei Feng sementara pasukan beregu diwakili Koo Kien Kiat/Tan Boon Heong, Goh Wei Shem/Lim Khim Wah dan Hoon Thien How/Tan Wee Kiong.

Di Wuhan, Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama naib juara lapan kali, Denmark dan Afrika Selatan.

Kali terakhir skuad negara memenangi Piala Thomas ialah pada 1992 di Stadium Negara selepas menumpaskan Indonesia 3-2 pada perlawanan akhir. - Bernama.

Sinar Harian

Mohd Nizam Abd Manaf dikehendaki bantu siasatan kes samun

Posted: 16 May 2012 12:03 AM PDT

24 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

BACHOK - Polis sedang mengesan seorang lelaki warga tempatan bagi membantu siasatan kes samun secara berkumpulan di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Bachok DSP Ab Rahim Che Ghani berkata Mohd Nizam Abd Manaf, 32, berasal dari Kampung Nakhoda Saamah di sini, menggunakan kad pengenalan bernombor 800827035283.

Kumpulan terbabit yang dianggotai tiga hingga empat lelaki, dipercayai terlibat dalam 12 kes samun sejak November tahun lepas, dengan sasarannya golongan suri rumah, katanya kepada pemberita di pejabatnya semalam.

Ab Rahim berkata modus operandi kumpulan itu ialah datang ke rumah mangsa dan berpura-pura menanyakan nama jalan atau orang, sebelum meragut dan melarikan barangan berharga, pada waktu siang.

Dalam kejadian tiga hari lepas, seorang suri rumah di Kampung Kandis di sini, kerugian kira-kira RM10,000 apabila barang kemas, telefon bimbit dan wang tunai disamun dipercayai dilakukan kumpulan terbabit.

Beliau berkata kumpulan terbabit menggunakan pelbagai jenis kenderaan, termasuk kereta yang dipercayai disewa dan menggunakan nombor pendaftaran kenderaan palsu, bagi mengelak dikenali mangsa.

Katanya polis kini berusaha menjejaki kumpulan samun berkenaan dengan menampal poster suspek di kawasan tumpuan umum di seluruh daerah ini bagi membantu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi Insp Yusli Zainal di talian 013-9239319.

Sementara itu, Polis Daerah Kota Baharu sedang mengesan dua lelaki yang dipercayai mencabul dan merogol dua wanita pelancong warga asing pada Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Baharu ACP Azham Othman berkata sebelum ini, polis berjaya menahan reman seorang pelajar berusia 18 tahun dari sebuah institusi pengajian tinggi awam, bagi membantu siasatan kes tersebut.

Kejadian itu berlaku selepas pelancong terbabit mengikuti seorang lelaki yang berpura-pura hendak membantu menghantar mereka ke sebuah pejabat agensi pelancongan selepas menyelesaikan urusan mendapatkan visa di Konsul Thailand, di Jalan Padang Bongor, di sini.

Kedua-dua pelancong terbabit sebelum itu baru menghabiskan cuti di Pulau Perhentian, Terengganu. - Bernama.

Sinar Harian

Safee nasihat Nazmi 'kerja keras' di Portugal

Posted: 16 May 2012 12:02 AM PDT

24 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Penyerang sensasi Pelita Jaya, Safee Sali menasihatkan pemain Harimau Muda, Muhammad Nazmi Faiz Mansor supaya bekerja lebih keras jika berhasrat untuk beraksi di pentas Eropah.

Begitupun, bekas pemain Selangor itu yakin dengan kemampuan Nazmi yang menjalani ujian pemilihan pemain bersama kelab Portugal, Biera-Mar dalam melakar sejarah baru bola sepak tempatan.

Safee selaku duta snek Mister Potato berkata demikian pada majlis penajaan tiga pemain kebangsaan termasuk penjaga gawang Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat dan Nazmi bersama snek terkenal negara tersebut di Giant Stadium Shah Alam.

Nazmi tidak hadir majlis hari ini kerana menjalani ujian pemilihan di Portugal.

Sukan

Bekas penyelia dihukum penjara dan denda kerana rasuah

Posted: 16 May 2012 12:00 AM PDT

24 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHARU - Seorang bekas penyelia hari ini dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM10,000 selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan menerima rasuah daripada seorang pemilik nurseri, tahun lepas.

Hakim Mohd Nasir Nordin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan tanpa keraguan munasabah kes tertuduh, Fadzly Ahmad, 33.

Fadzly, bekas pekerja Ranhill Water Services Sdn Bhd Cawangan Kluang, dituduh menerima RM2,000 daripada pemilik nurseri Simple Farm Sdn Bhd, Tam Chee Ming.

Suapan itu sebagai dorongan untuk tidak melaporkan kepada pihak Syarikat Air Johor kerana nurseri yang diurus oleh Simple Farm Sdn Bhd terbabit dikatakan melakukan kesalahan dengan menggunakan sistem paip air yang disambung dari bangunan persendirian.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di nombor 11, tingkat 1, Jalan Intan 7/1, Taman Intan, Kluang, kira-kira pukul 5.40 petang, 2 April 2011.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum menurut Seksyen 24 akta yang sama, yang boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda suapan mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Fadzly boleh dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan hari ini kerana mahkamah hanya membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara terhadapnya selepas peguam Ramesh Vasan dan Abraham Mathew yang mewakilinya memohon penangguhan pelaksanaan hukuman terbabit.

Mohd Nasir memerintahkan rayuan pelaksanaan penangguhan hukuman penjara itu difailkan ke Mahkamah Tinggi dalam tempoh seminggu dan menetapkan wang jaminan RM5,000 sementara menunggu keputusan rayuan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ridzuan Abd Malik memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh memandangkan kesnya melibatkan kepentingan awam selain mencemarkan nama syarikat. - Bernama.

Sinar Harian

Bersih 3: Maklum peguam, keluarga jika ditahan

Posted: 15 May 2012 11:58 PM PDT

24 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Mana-mana peserta Bersih 3.0 yang diburu polis diingatkan agar memaklumkan ahli keluarga, rakan ataupun peguam sekiranya ditahan polis.

Mereka juga diingatkan agar memberikan kerjasama sebaiknya kepada pihak polis apabila ditahan bagi mengelakkan sebarang masalah lain.

Demikian ditegaskan Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham), Ahmad Zamri As'ad Khuzaimi (gambar) kepada Harakahdaily, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan pihak polis yang akan terus memburu 121 peserta Bersih 3.0 hingga ke pintu rumah, jika tidak menyerah diri.

Zamri juga berkata Juham yang bernaung di bawah Dewan Pemuda PAS Malaysia itu bersedia mewakili mereka yang ditahan, khususnya di kalangan ahli PAS.

Dalam pada itu, Juham juga mengingatkan pihak polis agar memburu anggota polis yang didakwa terlibat dengan kekasaran ke atas peserta himpunan.

Kata Zamri, pelaksanaan undang-undang di negara ini perlu dikenakan secara adil ke atas pihak yang terbabit, tanpa mengira sesiapa, biarpun ia membabitkan anggota polis.

"Pelaksanaan undang-undang perlu adil. Dalam mereka memburu peserta Bersih, bagaimana dengan anggota polis yang bertindak mengasari peserta? Adakah mereka dikecualikan?" soal beliau.

Zamri juga turut mengingatkan pihak polis agar memberikan jaminan bahawa pihak polis tidak akan mengapa-apakan mereka yang ditahan.

Bagaimanapun, beliau masih menyuarakan kebimbangan berhubung perkara tersebut memandangkan terdapat kes peserta yang ditahan sebelum ini didakwa dikasari pihak polis.

Beliau mendakwa perkara itu berlaku terhadap seorang peserta Bersih, Mohd Safwan dari Terengganu yang dikatakan dipukul dan dilibas dengan getah paip ketika ditahan polis.

"Kita minta jaminan pihak polis untuk tidak mengapa-apakan mereka. Siasatan boleh dilakukan, tetapi tidak perlu menggunakan kekerasan ke atas mereka," tegas beliau.

Ekoran perhimpunan aman Bersih 3.0, 28 April lalu, pihak polis memburu 121 peserta himpunan yang dikatakan melakukan kekecohan pada perhimpunan tersebut dengan menyiarkan gambar mereka di media-media utama.

Harakah Daily

Akademi Undang-undang 'sabotaj' demokrasi

Posted: 15 May 2012 11:57 PM PDT

24 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Cadangan Kerajaan menghidupkan kembali Malaysian Academy of Law Bill sebagai organisasi baru selain Majlis Peguam untuk mewakili golongan itu dilihat cubaan mensabotaj demokrasi.

Bagi Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad (gambar), beliau melihat cadangan itu tidak ubah seperti penubuhan Jawatankuasa Kemajuan & Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) oleh pusat, di negeri yang dimenangi Pakatan Rakyat selepas PRU 2008 lalu.

Menurut Dzulkefly, biarpun diperingkat negeri sudah ada Jawatankuasa Kemajuan & Keselamatan Kampung (JKKK), namun kerajaan tetap juga mewujudkan JKKKP yang dilihat cuba 'mengambil kuasa' JKKK yang dilantik kerajaan negeri.

"Begitulah cara Umno, bila ada benda yang dikeluarkan tak sebulu dengan dia, dia buat yang lain. Ia sama dengan tindakan tubuh JKKKP bila BN kalah di negeri ditawan Pakatan.

"Ini ialah tabiat jelek untuk lakukan 'subversion' atau 'sabotaj' demokrasi dan institusinya," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz kelmarin yang bersetuju jika agensi baru seperti Akademi Undang-undang ditubuhkan selain Majlis Peguam sedia ada.

Cadanagn Nazri itu dipercayai dibuat ekoran 12 usul tergempar yang diluluskan pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) Majlis Peguam pada 11 Mei lalu berhubung himpunan Bersih 3.0.

Antara lain, usul itu mengutuk tindakan polis menggunakan meriam air dan gas pemedih terhadap peserta.

Selain itu mereka juga menyalahkan polis kerana tidak memberikan masa yang secukup untuk perserta bersurai secara teratur dan selamat dengan mendakwa ia kemudian mendorong kepada penahanan yang tidak wajar.

Mengulas lanjut Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, cadangan Nazri itu berbaur politik dan cuba untuk 'undermine' wibawa Majlis Peguam.

Sedangkan katanya Majlis Peguam ditubuhkan secara sah di bawah Akta Profesion Guaman 1976 bagi mengawal amalan, standard, etik dan lesen amalan peguam.

"Usaha ini telah dua kali mereka lakukan dahulu tetapi terpaksa dihentikan.

"Tindakan kerajaan untuk menghidupkan kembali cadangan akademi ini dilihat umum sebagai langkah memadamkan suara perbezaan 'legitimate dissent' yang menyemak imbang suara eksekutif," katanya.

Harakah Daily

Senaman punggung hasil tarbiah Umno

Posted: 15 May 2012 11:56 PM PDT

24 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 16 Mei: Tindakan sekumpulan bekas tentera mengadakan 'senaman punggung' depan rumah Pengerusi Bersih 3.0 Datuk S. Ambiga, bukanlah perkara yang menghairankan.

Ini kerana, menurut Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abd Samad, tindakan itu telah menzahirkan sikap mereka yang selari dengan pendirian Umno BN.

Katanya, apa yang ditunjukkan oleh sekumpulan bekas tentera itu merupakan tarbiyyah Umno BN selama 55 tahun memerintah negara ini.

"Inilah tarbiyah Umno selama 55 tahun, tidak hormat perbezaan pendapat kaum dan agama lain," katanya.

Katanya, Umno BN sepatutnya tunjukkan kebaikan Islam tetapi lebih suka menunjukkan keburukan orang Melayu.

Beliau cukup kesal, selepas 55 tahun memerintah negara ini, orang Islam masih tidak dapat melihat keadilan Islam sebenar dari acuan Umno BN sendiri.

Khalid juga menyifatkan 'senaman punggung' yang dilakukan oleh mereka akhirnya telah menunjukkan kebodohan mereka sendiri.

"Kalau tidak setuju dengan Ambiga, ajak dia berdebat tetapi Umno tidak sanggup. Kalau betul Ambiga lakukan, dedahkan penipuannya dalam televisyen selepas Bersih 3.0. Panggil dia. Tetapi Umno BN pula lebih berani, tetapi berani buat tindakan yang kurang bijak," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau percaya, kerana berpaksikan tindakan perkauman dan fahaman Islam yang sempit Ambiga menjadi sasaran.

"Kenapa Sasterawan Negara A.Samad Said tidak pula diganggu. Inilah unsur-unsur perkauman bukan Islam akan membenci Islam yang dibawa oleh Umno BN," katanya.

Justeru katanya, tekanan yang diberikan kepada Ambiga merupakan cara yang tidak munasabah dan menjadi bahan ketawa orang ramai.

"Orang ramai sudah mula menggeleng kepala melihat terdesaknya puak-puak Umno BN yang pendek akal dalam menyatakan ketidakpuasan hati mereka. Jual burger sekadar nak tunjukkan kebodohan mereka," katanya.

Semalam, Senaman anjuran Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM) bertujuan membantah penganjuran perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Kumpulan 15 orang aktivis PVTM itu melakukan gimik demonstrasi dengan membongkok dan menggoyang-goyangkan punggung mereka ke arah rumah Ambiga.

Harakah Daily

Tiada Bersih 4.0, Bersih 2.0 umum 2 langkah wajib

Posted: 15 May 2012 11:54 PM PDT

24 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 16 Mei: Bersih 2.0 tidak merancang untuk mengadakan Bersih 4.0 sebaliknya mensasarkan dua langkah penting yang wajib dilaksanakan rakyat Malaysia menjelang pilihan raya umum ke-13.

Dua langkah tersebut ialah memastikan rakyat keluar mengundi dan menjadi 'mata-mata' mengesan penipuan dalam pilihan raya.

Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk A. Samad Said berkata, rakyat yang merupakan pengundi berdaftar harus menjadikan undi mereka sebagai benteng untuk melawan penipuan.

Ini kerana katanya, perjuangan menuntut pilihan raya adil dan bersih belum selesai walaupun rakyat berjaya menunjukkan kekuatan mereka pada perhimpunan Bersih 3.0, 28 April lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan katanya tidak berniat pun untuk membaiki dan mereformasi sistem pilihan raya.

"Langkah pertama yang wajib kita lakukan ialah keluar mengundi - lawan penipuan.

"Kami menyeru rakyat Malaysia yang terdiri daripada semua bangsa untuk beramai-ramai bertekad keluar mengundi. Marilah kita keluar beramai-ramai mengundi dengan jumlah yang belum pernah terjadi di Malaysia," kata beliau pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor, dekat sini, hari ini.

Sasterawan Negara itu juga berkata, Bersih 2.0 sedang bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) Tindak Malaysia dan Jom Pantau! untuk melatih sukarelawan sebagai pemantau, pegawai pilihan raya, pengira undi dan ejen pengundi pos.

"Kita wajib memerhati dengan mata yang tajam jika berlaku penipuan.

"Laporkan, hebohkan dan lawan penipuan ini. Kita memerhati ketika masa berkempen dan di hari membuang undi.

"Kami menyeru semua penyokong Bersih untuk sama-sama melawan penipuan dengan menjadi pemantau, pengira undi dan ejen pengundi," katanya.

Lapor penipuan kepada Jom Pantau!

Tindak Malaysia telah menjalankan banyak latihan di seluruh negara untuk melatih ejen pengundi, pengira undi dan ejen barung (Pacaba).

Sukarelawan untuk Pacaba ialah petugas yang paling pentimg kerana mereka adalah di barisan hadapan yang akan mengesan penipuan.

Manakala Jom Pantau pula diketuai Komas yang bekerjasama dengan Malaysian Observes Network (MEO-Net), Southeast Asian Center for e-Media (SEACAM) dan National Institute for Democracy Electoral Iintegrity (NIEI).

Rakyat boleh mengambil bahagian dalam pemantau pilihan raya dengan cara membuat laporan jika ternampak penipuan, penyalahgunaan kuasa atau tindakan SPR atau parti yang tidak mengikut peraturan.

Perkara tersebut boleh dilaporkan kepada umum di www.pru13.info.

Turut bersama pada sidang media ialah Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah dan Hishamudin Rais.

Harakah Daily

Tarik RUU p'raya, bila Najib nak berhenti 'flip-flop'

Posted: 15 May 2012 11:52 PM PDT

24 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Keputusan menarik balik cadangan pindaan kepada Rang Undang-undang (RUU) Kesalahan Pilihan Raya 2012 minggu lalu menyerlahkan sikap 'tidak teliti' kerajaan yang diteraju Datuk Seri Najib Razak dalam membuat sesuatu keputusan.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Dr Mohd Hatta Ramli (gambar) berkata, akibat ketidaktelitian itu itu menyebabkan kerajaan terpaksa mengambil tindakan yang sangat memalukan.

"Kita lihat SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) tidak teliti dalam mengemukakan RUU ini.

"Yang kita peliknya, waktu dibentang tempoh hari, ahli parlimen BN sokong habis, mati-matian sokong," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai ketika dihubungi Harakahdaily.

Sebelum ini RUU Kesalahan Pilihan Raya (Pindaan) 2012 itu diluluskan secara tergesa-gesa pada 19 April lalu iaitu hari terakhir persidangan Parlimen untuk kali kelima bagi penggal ke-12.

Hatta yang juga anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya berkata, banyak hal dalam pentadbiran Najib yang dibuat 'separuh masak' sehingga ianya kemudian terpaksa ditarik balik.

Sebagai contoh, skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), penggabungan Syarikat Penerbangan Malaysia Berhad (MAS) dengan AirAsia dan beberapa projek lain yang kemudian ditarik balik.

Kerajaan pada 10 Mei lalu mengumumkan menarik balik cadangan pindaan kepada Rang Undang-undang Kesalahan Pilihan Raya (Pindaan) 2012 di Dewan Negara.

Keputusan itu dibuat jemaah menteri selepas mengambilk kira maklum balas dan bantahan dari pelbagai pihak terhadap rang undang-undang itu.

Keputusan itu juga turut dipersetujui Pakatan Rakyat yang dari awal mempersoal beberapa perkara dalam pindaan tersebut.

Harakah Daily

Politik songsang Umno Kelantan

Posted: 15 May 2012 11:47 PM PDT

24 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

Bagaimana bapak begitulah anak. Kata orang kalau bapak borek tentulah anak rintik. Apabila Najib Razak mempermain-mainkan rakyat untuk membawa air bersih dan membina lebih raya di Kelantan, maka begitu jugalah dengan timbalan ketua Umno Kelantan Awang Adek Hussein dalam seloka dan sepak terajang politiknya.

Awang seolah-olah turut sama mempermain dan mempersendakan rakyat Kelantan dengan menjanjikan untuk memansuhkan yuran pengajian sekolah agama rakyat dan pertingkatkan taraf sekolah agama rakyat sekiranya berjaya merampas Kelantan.

Awang Adek juga mengulangi kesediaan Najib untuk membina lebuh raya di Kelantan dengan berkata akan menjadikan Jalan Kuala Krai – Gua Musang-Bentong akan dijadikan lebuh raya sekiranya BN berjaya merampas Kelantan.

Mungkin bagi Awang Adek dengan memperolok-olokkan rakyat Kelantan itu satu taktik yang baik dikira menguntungkan Umno?

Apa yang dilakukan Najib itulah cara Umno berpolitik sejak berpuluh tahun lalu mendera rakyat Kelantan kerana tidak menyokong UBN. Cara demikian yang diterus oleh Awang Adek menunjukkan setakat itu saja kemampuan dan kapasiti Awang Adek dalam berpolitik.

Saya bersetuju dengan kenyataan Ketua Penerangan Pas Kelantan Dr Mohamed Fadzli Hasan sekiranya BN ikhlas hendak bantu Kelantan kenapa perlu mengenakan syarat seperti itu. Beliau menyifatkan cara Umno itu sebagai politik songsang Umno Kelantan.

Kata Fadzli betapa Umno berjanji demikian rakyat tetap ingat bahawa Umnolah yang memusuhi sekolah agama rakyat dan menuduhnya ia menjadi pusat latih penjenayah tidak lama dulu.

"Berapa pun janji itu katanya masih ingat Umnolah yang memusuhi sekolah agama dengan mengatakan pusat melatih pengganas. Umnolah juga yang telah menarik bantuan perkapita kepada sekolah agama rakyat," ujarnya.

Menurut Fadzli rakyat tidak lupa kezaliman Umno terhadap sekolah agama ini justeru jangan hendak bermuka muka dan berlagak baik semata-mata nak pilihanraya, ujarnya menerusi satu kenyataan di Fb sebagai merujuk tawaran Awang Adek.

Mengenai pembinaan lebuh rakyat bagi kemudahan rakyat, Fadzli berkata kerajaan Kelantan serius akan membina lebuh rakyat setelah kerajaan Pusat enggan membinanya walaupun sudah pun dimasukkan pembinaan lebuh raya itu dalam RMK5 dan RMK9, yang kemudian ditiadakan dalam RMK-10.

Tindakan pembuangan perancangan membina lebuh raya itu dilihat satu lagi politik tidak bertanggungjawab Umno Kelantan. Adalah malang sekali kalau pembuang projek pembinaan lebuh raya itu ianuya dibuat atas pengsyoran para pemimpin Umno Kelantan termasuk Awang Adek sebagai timbalan menteri kewangan.

Apapun kerajaan Kelantan seperti mana dijelaskan Fadzli tetap bertanggungjawab dan akan membina lebuh raya seperti dirancangkan itu atas usaha dan peruntukan sendiri. Iltizam kerajaan untuk membina lebuh raya inilah dilihat sebagai usaha bersungguh kerajaan untuk kepentingan rakyat dan bukan bertujuan politik.

Harakah Daily

Anak buah Dollah kenduri gol, belasah Singa Utara

Posted: 15 May 2012 08:51 PM PDT

24 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

TEMERLOH – Skuad Tok Gajah naik minyak malam kelmarin dengan membelasah Perlis 7-2 di gelanggang sendiri Stadium Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) disaksikan kira-kira 5,000 penonton.

Pemilihan import Brazil Maycon Calvalho Inez nyata memberi kepuasan berganda kepada pengurusan Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) dan juga peminat setia.

Enam gol daripada tiga penampilan sebenarnya satu rekod yang perlu diberi perhatian serius pasukan-pasukan lain ketika gandingan import ini dengan penyerang tempatan semakin menjadi.

Pengurus Pasukan Pahang Datuk Che Nasir Salleh percaya gandingan Maycon, Azzmudin Mohd Akil (Alex) dan Mohd Fauzi Rozlan semakin menjadi asalkan mereka bermain secara berpasukan.

"Saya puas hati dengan penampilan mereka, namun semua ini tidak akan berhasil jika bahagian-bahagian lain khususnya di bahagian tengah tidak memainkan peranan.

"Lorongan bola cantik dari bahagian tengah dalam beberapa aksi sebelum ini berjaya disudahkan dengan baik gandingan penyerang kita," katanya.

Dalam aksi menentang Perlis di sini malam kelmarin, Maycon menjaringkan hatrik selain berjaya menjaringkan gol pertama pada aksi sulung menentang Harimau Muda B dan dua jaringan dihasilkan ketika menentang Sime Darby minggu lalu.

Dalam aksi dengan Singa Utara kelmarin, Maycon meledak tiga gol pada minit ke-15, 59 dan 62 manakala Azzamudin meledak dua gol pada minit ke-19 dan 82 selain sentuhan pemusnah Mohd Fauzi Rozlan dan Boris Kochkin menambah derita lawan dengan jaringan masing-masing pada minit ke-63 dan 90.

Perlis mendapat gol menerusi penyerang mereka Mohamad Rizal pada minit ke 65 dan 79.

Begitupun, Che Nasir sedikit kecewa dengan barisan pertahanan yang kerap kali leka sehingga membolehkan lawan menghasilkan gol walaupun Pahang mendominasi permainan.

"Saya akan meminta Ketua Jurulatih, Dollah Salleh memperkemaskan benteng pertahanan kita supaya dapat mengelakkan gol-gol mudah pihak lawan," katanya.

Beliau berkata, pemain-pemain Pahang akan berehat sebulan selepas ini dan sebaik jadual bermula Pahang akan berhadapan dengan ujian sebenar menentang ATM.

Menurutnya, pemain-pemain diharap sentiasa menjaga kecergasan sepanjang berehat dalam tempoh yang lama untuk berhadapan dengan lawan sebenar nanti.

"Perlawanan pertama kita selepas rehat ialah dengan menentang ATM jadi sudah tentu satu perlawanan penting untuk menentukan siapa juara Liga Perdana musim ini.

"Pemain-pemain juga diingatkan tidak memandang mudah keupayaan pasukan lain selepas perlawanan menentang ATM itu nanti," katanya.

Sementara itu Naib Presiden PBNP Datuk Akbar VV Abu berterima kasih kepada penyokong setia Pahang khususnya Ultras Pahang dan Brigade Patin yang memberi sokongan padu selain berjaya mengawal tingkah laku mereka.

Sinar Harian

Gempa 6.0 magnitud gegar Papua New Guinea

Posted: 15 May 2012 08:40 PM PDT

24 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -


SYDNEY: Satu gempa bumi berukuran 6.0 pada skala Ritcher menggegarkan Papua New Guinea hari ini, lapor Agensi Penyelidikan Geologikal Amerika Syarikat (USGS).

Bagaimanapun, tiada amaran tsunami dikeluarkan.
Gempa melanda kawasan pedalaman wilayah New Britain pada kedalaman 154 kilometer (km), kira-kira 512km ke timur laut ibu negara Port Moresby. - AFP

Along lontar bom tangan

Posted: 15 May 2012 08:30 PM PDT

24 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

LOKASI...rumah mangsa yang dilontar bom tangan oleh empat lelaki, semalam.
IPOH: Berpantang maut sebelum ajal. Itu gambaran paling sesuai untuk seorang lelaki yang terselamat daripada maut apabila sebutir bom tangan yang dilemparkan ke arah keretanya tidak meletup.

Kejadian berlaku depan rumah mangsa, seorang lelaki berusia 40-an, di Taman Bemban Jaya, Batu Gajah, dekat sini, jam 11.30 pagi semalam.

Sumber polis berkata, sebelum kejadian itu, kumpulan empat lelaki dipercayai anggota kumpulan ceti haram atau along pergi ke rumah mangsa dan mengugut mangsa membayar hutang lama berjumlah RM30,000.

Menurutnya, mangsa yang tidak mampu membayar hutang itu bertengkar dengan suspek yang enggan beredar dari pekarangan rumahnya.

"Kumpulan suspek yang berang tiba-tiba mengeluarkan sebutir bom tangan dan melontar bahan letupan itu ke bawah kereta mangsa sebelum melarikan diri. Namun, mangsa bernasib baik kerana bom itu tidak meledak," katanya.

metro/-

Guru Bangkit Memimpin Perubahan

Posted: 15 May 2012 08:28 PM PDT

24 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

Sempena sambutan Hari Guru pada tanggal 16 Mei 2012, Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (PENDIDIK) ingin mengucapkan " SELAMAT MENYAMBUT HARI GURU" kepada warga pendidik di seluruh Malaysia.

Warga pendidik yang dihormati.

Sejarah telah membuktikan bahawa peranan guru dan pendidik amat besar dalam mengubah lanskap politik negara sejak sebelum merdeka lagi yang membabitkan kelompok guru-guru pondok, guru-guru agama, guru-guru sekolah kebangsan Melayu dan sebagainya. Gerakan mereka berjaya memimpin massa menuntut kemerdekaan dan seterusnya mencorakkan masa depan pendidikan negara hingga sekarang.

Namun kealpaan, kecuaian, pengabaian, campur tangan politik yang berlebihan sama ada dilakukan sengaja atau tidak sengaja, kelemahan perancangan dengan tendensi melakukan perubahan demi perubahan pendidikan kononnya atas tiket mengangkat pendidikan negara bertaraf dunia telah menjadikan sistem pendidikan negara menjadi caca marba. Hal ini berasas kerana polisi trial and error dan project based yang diamalkan oleh pemerintah tidak kira berjaya atau sebaliknya sesuatu dasar itu dijalankan telah meninggalkan 'luka' di hati masyarakat pendidik, ibu-bapa dan rakyat Malaysia umumnya. Antaranya isu PTPTN, PPSMI, Perubahan Status Sekolah Bestari yang akhirnya dijadikan sebagai Pembestarian Sekolah, Pengenalan Semula Dasar Memartabatkan Bahasa Kebangsaan, Penarikan balik buku teks kajian Komponen Sastera iaitu Novel Interlok Sasterawan Negara Abdullah Hussain kononnya mencemar nama baik sesuatu kaum, dan yang terbaharu pembatalan SBPA sebagai skim gaji baru penjawat awam telah melibatkan kerugian kos berjuta-juta ringgit kerana sikap terburu-buru dalam merancang dan membuat keputusan tentang masa depan pendidikan negara.

Kini, peluang untuk membetulkan keadaan ini telah dirintis menerusi penubuhan Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidikan Kebangsaan (PENDIDIK) yang diharap mampu menggerakkan momentum memimpin masyarakat guru dan massa untuk mengubah landskap pendidikan tanah air. Pelancaran NGO PENDIDIK yang telah melakar sejarah dalam persada pendidikan negara ini telah disempurnakan perasmiannya oleh Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang Presiden PAS di Dewan Putra, Kolej Integrasi Tahfiz Tunas Ilmuwan Selangor pada 12 Februari 2012 yang lalu.

Warga pendidik yang dihormati,

Sudah tiba masanya kita hentikan kezaliman ini dan tidak akan membiarkan minda dan jiwa guru dikongkong dengan 'penjajahan alaf baru' yang tidak bertamadun dan menzalimi pendidik yang berjiwa mulia serta ikhlas mendidik anak bangsa selama ini.

Justeru, satu wahana dan platform untuk para pendidik di seantero Malaysia telah diwujudkan untuk menyalurkan aduan, pandangan serta luahan demi memperkasakan pendidikan tanah air di samping tidak meminggirkan hak dan kebajikan para pendidik dalam memacu halatuju pendidikan negara. Sudah pasti NGO PENDIDIK ini berfungsi sebagai entiti yang menggalas tugas profesional dalam kerjaya pendidikan akan berkhidmat berteraskan prinsip takwa, iman dan ihsan selain konsisten dalam memperjuangkan keadilan sejagat, kebajikan, maruah guru dan maruah profesion pendidikan negara.

Semoga Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (PENDIDIK) akan menjadi wadah yang tersohor, dan karismatik dalam memperjuangkan martabat, nasib, dan dinamika profesion keguruan agar terus dihormati dan menjadi ikon kebanggaan masyarakat pendidik".

Sekretariat Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (PENDIDIK) mengharapkan agar semua para pendidik yang pernah menjadi mangsa 'tekanan politik' atau 'mangsa pertukaran akibat dendam politik' mengikut prosedur yang tidak betul sangat dialu—alukan untuk menyalurkan aduan ke alamat email ; _ HYPERLINK "mailto: aduanpendidik@gmail.com.Semoga" _aduanpendidik@gmail.com._

Platform ini akan memberikan sesuatu yang bermakna kepada perkembangan dan kemajuan pendidikan negara di samping meramaikan kelompok profesional yang bakal mewarnai persada pendidikan negara ke arah menyediakan pendidikan yang lebih berkualiti demi melahirkan modal insan yang memiliki akhlak yang terpuji.

Mutakhir ini masih ada lagi warga pendidik yang pernah menjadi mangsa kezaliman akibat ditukarkan ke sekolah lain sepanjang perkhidmatan tanpa mengikut prosedur yang betul dan bukan 'atas keperluan perkhidmatan'. Apa yang berlaku sebaliknya adalah ramai di kalangan warga pendidik telah ditukarkan hanya kerana 'dendam politik ' dan 'tekanan politik' dari pimpinan Umno Barisan Nasional.

NGO PENDIDIK mengharapkan agar semua warga pendidik di seluruh Malaysia tampil untuk menyuarakan pandangan dan berkongsi pengalaman tentang kezaliman yang telah dilakukan sejak 54 tahun oleh UMNO Barisan Nasional sehinggalah kini. Jadi sudah tiba masanya kita hentikan kezaliman ini dan tidak akan membiarkan minda dan jiwa guru dikongkong dengan 'penjajahan alaf baru' yang tidak bertamadun dan menzalimi pendidik yang berjiwa mulia serta ikhlas mendidik anak bangsa selama ini.

Dalam waktu terdekat,'Roadshow NGO PENDIDIK ' akan dilaksanakan akan diadakan di lokasi yang sesuai untuk menggerakkan kebangkitan guru di seluruh Malaysia. Diharapkan dengan sokongan dan kerjasama semua para pendidik , NGO PENDIDIK berharap akan dapat menangani isu-isu pendidikan negara dengan cara yang profesional dan bijaksana di samping memaksimumkan penerangan, perkhidmatan dan latihan menerusi peranan setiap sekretariat yang telah diwujudkan. Ia juga diharapkan dapat menjadi medan dan wasilah warga pendidik dan guru menyuarakan pandangan, pendapat, dan idea untuk membangunkan kecemerlangan pendidikan nasional dalam persada pendidikan negara.

Akhir kata , Selamat Menyambut Hari Guru 2012 dengan tema yang dipilih oleh NGO PENDIDIK pada tahun ini "BANGKIT GURU MEMIMPIN PERUBAHAN"

Normala Sudirman (Cikgu Mala) ialah Presiden Persatuan Gerakan Pendidik Kebangsaan (PENDIDIK).

Harakah Daily

Terkejut dengar bunyi kuat

Posted: 15 May 2012 08:25 PM PDT

24 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

KUANTAN - Suasana santai bersama keluarga terganggu apabila ribut melanda enam keluarga di Kampung Peramu, di sini.

Dalam kejadian malam Isnin lalu, Nora Abu Bakar, 37, bersama tiga anaknya beristirahat diruang tamu sambil menonton televisyen.

Namun, angin kencang dan hujan lebat menerbangkan atap zink di bahagian dapur rumahnya.

"Kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 malam ketika saya bersama anak-anak leka menonton televisyen.

"Kejadian berlaku dengan tiba-tiba dan saya hanya mampu melihat atap tercabut membuatkan sebahagian dapur basah," katanya ketika ditemui pada Lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Lumpur, Datuk Wan Adnan Wan Mamat, di sini.

Nora berkata, sebaik kejadian itu, dia terus menghubungi suaminya, Zulkifli Osman, 48, yang masih di tempat kerja.

Zulkifli berkata, dia bergegas pulang ke rumah untuk melihat keadaan rumahnya yang mengalami beberapa kerosakan.

"Terdapat kayu terperosok di bahagian atas atap menyebabkan kerosakan agak teruk. Buat masa ini saya terpaksa menggunakan khemah untuk menadah air sebelum kerosakan dibaiki.

"Nasib baik isteri dan anak-anak tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Bagi ibu tunggal, Gayah Abdul Rahman, 69, pula memberitahu, dia tidak menyangka ribut kencang yang melanda menyebabkan beberapa bumbung rumahnya rosak.

Katanya, pada malam kejadian, tidurnya bersama tiga anaknya terganggu kerana ruang tamu dibasahi hujan.

"Sejak di sini kira-kira 11 tahun lalu, inilah kejadian ribut pertama yang menimpa keluarga kami.

"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana semuanya selamat dan ada pihak yang prihatin memberi bantuan," katanya.

Sementara itu, Wan Adnan berkata, nasib enam keluarga yang dilanda ribut itu akan diberi perhatian oleh kerajaan negeri melalui bantuan bencana bernilai RM1,000.

Bagaimanapun, bantuan segera diberikan terlebih dahulu bagi meringankan beban mangsa ribut untuk membaiki kerosakan yang berlaku.

"Kita bersimpati dengan kejadian yang melanda dan kerajaan sentiasa prihatin dan memberi bantuan sewajarnya untuk membantu meringankan beban," katanya.

sinar harian/-

Warga emas kaki auta diburu

Posted: 15 May 2012 08:24 PM PDT

24 Jamadil Akhir 1433H. [MOD] -

BATU PAHAT – Dengan hanya bermodalkan barangan elektrik yang dipercayai dilelong pihak kastam, seorang lelaki warga emas mampu memperdayakan mangsanya untuk membeli barangan itu dengan harga yang murah.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, helah licik warga emas yang dikenali sebagai 'Shaik', itu terbongkar apabila mangsanya, seorang pengawal keselamatan telah membuat laporan polis berhubung kes itu pada 10 Mei lalu.

Menurutnya, warga emas terbabit menawarkan beberapa barangan elektrik kepada mangsa dengan harga yang begitu murah dan membawa mangsa melihat sendiri barangan itu di keretanya.

"Mangsa yang tertarik dengan tawaran yang diberikan suspek bersetuju untuk membeli barangan elektrik terbabit dengan memberikan wang cagaran sebanyak RM500," katanya.

Suspek yang berjanji akan datang semula dengan membawa barangan elektrik itu pada jam 4 petang pada hari yang sama, kemudiannya tidak muncul.

"Mangsa yang tidak berpuas hati kerana rasa dirinya telah ditipu membuat laporan polis dengan membawa salinan kad pengenalan suspek yang diperolehnya sewaktu mereka menjalankan urusan jual-beli terbabit," katanya dalam sidang media, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, semalam.

Tambahnya, suspek yang berasal dari Pulau Pinang mempunyai 17 rekod kesalahan lampau dalam kes penipuan selain mempunyai tiga waran.

"Suspek juga dipercayai aktif menjalankan kegiatan berkenaan di seluruh negara, berdasarkan rekod yang dimilikinya dan kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Pihak kami sedang memburu suspek dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi balai polis yang berhampiran," katanya.

Din menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati untuk berurusan dengan mana-mana pihak sekiranya mereka ditawarkan dengan barangan harga yang murah kerana dikhuatiri ia satu penipuan.

"Begitu juga dengan barangan yang dikatakan dilelong pihak kastam, orang ramai perlu mendapatkan maklumat yang selengkapnya sebelum membeli barangan terbabit," katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan dua daripada empat suspek samun yang memecah masuk rumah seorang wanita di Jalan Gambir, Kangkar Senangar, Parit Sulong, 5 Mei lalu berjaya diberkas.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, suspek mengacukan parang ke arah mangsa dan menyebabkannya dan suami serta dan anak tergamam dan tidak mampu melawan, kemudiannya mereka diikat dengan tali dan kain tudung.

Dua suspek yang diberkas adalah warga Indonesia berusia 23 dan 27 tahun bekerja di ladang sawit berhampiran, kedua-duanya dicam mangsa kerana kerap kali ditemui di sekitar kawasan rumahnya.

Suspek berjaya melarikan beberapa barangan berharga milik mangsa termasuk komputer riba dan wang tunai berjumlah RM1,200.

"Bagaimanapun, semasa tangkapan dua suspek terbabit, komputer riba dan wang tunai milik mangsa tiada bersama kerana dipercayai wang itu telah digunakan manakala komputer riba telah dijual," katanya.

Polis sedang memburu dua lagi suspek yang masih bebas dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes itu diminta tampil menghubungi balai polis berdekatan.

"Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan kedua-dua suspek kini ditahan reman sehingga 18 Mei ini," katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan:

Nuffnang