. |
Perjanjian bank-peneroka lebih teruk dari Perjanjian Israel-Palestin Posted: 04 May 2012 11:14 PM PDT Borang pinjaman itu gagal menyatakan jumlah unit saham FGVHB dan jumlah pinjaman yang sepatutnya ditawarkan kepada peneroka. KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) mendakwa perjanjian pinjaman pembelian saham Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVHB) antara peneroka dengan bank melanggari etika pinjaman apabila beberapa perkara penting diabaikan.Penasihat ekonomi Anak Dr Rosli Yaakop berkata borang pinjaman itu gagal menyatakan jumlah unit saham FGVHB dan jumlah pinjaman yang sepatutnya ditawarkan kepada peneroka, sekaligus menjadikan peneroka seperti menandatangani 'borang kosong'. Malah, peneroka dipaksa menandatanganinya pada satu tempat yang ditetapkan dan tidak dibenarkan membawa balik borang tersebut untuk rujukan termasuk mendapatkan khidmat peguam walaupun didalamnya menasihati supaya peneroka berbuat demikian. "Peneroka sepatutnya boleh bawa balik borang untuk dapatkan nasihat tetapi di sini tak diberi peluang," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PAS hari ini. Katanya, 90 peratus peneroka Felda seluruh negara telah menandatanganinya sejak borang itu mula diedarkan minggu lalu dan tarikh tutupnya pada 4 Mei depan. Sementara itu, Pengerusi Anak Mazlan Aliman mendedahkan Surat Tanggung Kerugian bank yang juga perlu ditandatangani seperti menjerat peneroka apabila wujud klausa berbunyi: "Saya pada bila-bila masa bertanggungjawab sepenuhnya dan bersedia menanggung segala kerugian dan bersedia menanggung kerugian terhadap semua kerugian dan sentiasa bersedia menanggung kerugian terhadap semua tindakan, guaman, prosiding, tuntutan, permintaan, kerugian, caj, penalti, fee, denda, kos yuran undang-undang (atas dasar indemniti penuh) dan apa jua perbelanjaan yang dibuat, diambil, dibawa, dikenakan, dialami, ditanggung, didakwa atau kena bayar dalam apa jua keadaan terhadap saya atau mana-mana orang perseorangan yang berbangkit atau bersangkutan atau berhubung dengan surat ini." "Ayat ini lebih teruk daripada perjanjian Israel dengan Palestin. "Bagaimana peneroka boleh terlepas dengan beban sebegini," soalnya. Perjanjian pinjaman itu disediakan tujuh bank komersial berlainan iaitu CIMB, Maybank, Ambank, OCBC Bank, Bank Muamalat, Bank Islam, dan Affin Bank dengan mengenakan kadar faedah 6.5 peratus. Sembilan dokumen Didalamnya mengandungi sembilan jenis dokumen iaitu borang Permohonan Pinjaman Saham Terbitan Awam Permulaan (IPO) FGVHB, Akaun Berkanun, Surat Kebenaran Debit Margin Akaun, dan Notis Pengeluaran Pinjaman dan Surat Akujanji Untuk FGVHB. Selain itu, Surat Tawaran Pembiayaan IPO: FGVHB, Memorandum Gadaian Saham Islam, Perjanjian Pembelian Saham, dan Perjanjian Penjualan Saham. Mengulas mengenainya, Mazlan berkata perjanjian ini tidak adil kerana peneroka akan menanggung sepenuhnya kerugian jika harga pasaran saham jatuh. "Mereka (Felda) yakin peneroka adalah masyarakat yang lebih mudah kena tipu. Setakat ini strategi mereka menjadi," katanya sambil menyifatkan perkara ini sebagai nasib malang buat peneroka. Selain itu, beliau turut mempersoalkan kelonggaran syarat yang diberikan bank kepada peneroka yang rata-ratanya berumur 60 tahun keatas, sedangkan kebiasaannya had umur seseorang pemohon yang dibenarkan tidak boleh melebihi 65 tahun. Source: http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2012/05/02/perjanjian-bank-peneroka-lebih-teruk-dari-perjanjian-israel-palestin/ |
PM tolak pinda perlembagaan jadikan Islam 'addin' Posted: 04 May 2012 11:14 PM PDT PM tolak pinda perlembagaan jadikan Islam 'addin' Datuk Seri Najib Razak menyifatkan kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa pakatan pembangkang akan meminda Perlembagaan Persekutuan yang ketika ini meletakkan Islam sebagai agama rasmi kepada Islam sebagai addin, hanyalah cakap politik semata-mata. Perdana menteri berkata Abdul Hadi hendak menjadikan Islam sebagai "way of life" (satu cara hidup) tetapi "way of life" sahaja tidak boleh menjadi undang-undang. "(Dalam perlembagaan negara) Islam adalah agama persekutuan. Daripada situ kita boleh bangunkan Islam melalui dasar dan institusi yang kita wujudkan supaya Islam jadi addin atau sebagai cara hidup. Jadi tak perlu pinda perlembagaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Komuniti 1Malaysia Negeri Kelantan di Padang Pusat Sivik di Gua Musang, hari ini. Baru-baru ini, Abdul Hadi dilaporkan sebagai berkata pakatan pembangkang akan meminda perlembagaan negara yang ketika ini meletakkan Islam sebagai agama rasmi kepada Islam sebagai addin, iaitu yang merangkumi seluruh kehidupan manusia, jika dipilih menjadi kerajaan pada pilihan raya umum akan datang. Beliau berkata Perlembagaan Persekutuan yang diguna pakai di negara ini tidak menggunakan Islam sebagai addin atau cara hidup, malah ia dirangka oleh orang bukan Islam yang mempunyai ideologi dan teori manusia yang tidak adil kepada umat Islam. Najib berkata kenyataan Abdul Hadi itu adalah perkara baharu setelah PAS membuat pelbagai perubahan dalam dasar mereka. "Mula-mula nak negara Islam. Atas desakan DAP tukar negara kebajikan, lepas tu timbul balik hukum hudud. Kini timbul pula nak pinda perlembagaan nak jadikan addin. Ini dah dapat tentangan DAP sekarang. Perlembagaan sekarang dah cantik... tak boleh nak pinda sewenang-wenangnya," katanya. Menyentuh isu lain, perdana menteri melahirkan rasa gembiranya kerana kanak-kanak warga Belanda, Nayati Shamelin Moodliar, yang dilapor hilang minggu lepas dipercayai diculik, ditemui dalam keadaan selamat di Rawang semalam. Najib berkata sebelum kanak-kanak itu dibebaskan beliau telah menelefon bapa kanak-kanak itu dan memberi jaminan bahawa kerajaan akan memberikan kerjasama sepenuhnya. "Saya dah tugaskan seorang pegawai di pejabat saya untuk menjadi perantara antara kerajaan, polis dan keluarga itu. Kini kanak-kanak itu selamat dan pulang ke pangkuan keluarga. Saya rasa lega dan syukur," katanya. Nayati, 12, ditemui selamat di kawasan rehat dan rawat (R&R) Sungai Buloh, Lebuhraya Utara Selatan (Plus) di Selangor pada pukul 7.55 pagi oleh orang awam yang kemudian memaklumkannya kepada polis. Nayati dilapor dilarikan dua lelaki berhampiran Sekolah Antarabangsa Mont' Kiara ketika berjalan berseorangan ke sekolahnya Jumaat lepas. - Bernama Source: http://malaysiakini.com/news/196985 |
You are subscribed to email updates from Ustaz Yusof Embong (UYE) To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan