Rabu, 18 April 2012

:: cina islam | 2011 ::

:: cina islam | 2011 ::


BN resah pemimpin utama Pakatan tanding di Johor

Posted: 18 Apr 2012 01:21 AM PDT

26 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 18 April: Walaupun masih di peringkat khabar angin, Barisan Nasional (BN) terutama MCA sudah menggeletar apabila pemimpin popular PAS dan DAP akan bertanding di Johor pada pilihan raya umum akan datang.

Sebelum ini, PAS mengumumkan naib presidennya, Salahudin Ayub akan bertanding di Johor, kini akhbar Cina mula memainkan isu pemimpin kanan DAP pula akan bertanding di Johor.

Akhbar Sin Chew pada 16 April melaporkan bahawa terdapat desas-desus penasihat DAP yang juga ahli parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang akan bertanding di Johor sebagai langkah strategik untuk menumbangkan kubu kuat Barisan Nasional di negeri selatan itu.

Selain itu, laman web The Malaysian Times turut melaporkan perkara yang sama bahawa Lim kemungkinan besar bertanding di Kulai atau Labis, kedua-dua kerusi MCA yang kini disandang bekas presiden MCA Ong Ka Ting dan anak presiden kepada presiden MCA kini, Chua Tee Yong.

Bukan itu sahaja, ahli parlimen Batu Gajah Fong Po Kuan yang digeruni di parlimen dan ahli parlimen Serdang Teo Nie Ching turut dikatakan akan bertanding di Johor atas faktor keluarga. Suami Fong adalah setiausaha DAP Johor, Tan Chen Choon manakala Teo sememangnya berasal dari Batu Pahat.

Perkembangan ini telah menakutkan MCA dan sebagai langkah awal, MCA Perak telah mengganggap khabar angin itu seolah-olah betul dan mengeluarkan kenyataan mengecam hasrat para pemimpin DAP terbabit walaupun tiada kenyataan rasmi daripada mereka untuk mengesahkan bahawa mereka akan bertanding di Johor.

"Laporan di Sin Chew Daily (16 Apr 2012) bahawa pemimpin DAP Lim Kit Siang telah berkata bahawa beliau akan bertanding kerusi di Johor pada pilihan raya umum yang akan datang dan DAP secara semula jadinya mempunyai sokongan berterusan daripada rakyat tanpa mengira keadaan adalah bukti keangkuhan mereka.

"Mereka telah mengambil ringan sokongan pengundi dan menganggap pemikiran rakyat sebagai permainan kanak-kanak. Ia adalah jelas bahawa DAP merasakan bahawa rakyat berkewajipan untuk menyokong mereka dalam mana-mana bahagian yang mereka bertanding dalam pilihan raya umum," kata Setiausaha MCA Perak Datuk Tan Chin Meng dalam satu kenyataan.

Tan turut menyelar DAP, yang dikatakan lupa diri selepas kejayaan pada pilihanraya umum ke-12, dan mula menunjukkan belang dengan menganggap diri mereka boleh menang mudah di mana-mana kerusi yang mereka ingin bertanding.

Tan berkata pemimpin DAP yang digembar-gemburkan ingin bertanding di Johor tidak pernah menyumbangkan apa-apa di negeri itu tidak layak bertanding di Johor.

"Saya berharap rakyat Johor akan berfikir tentang ini dengan sebaiknya. Pengundi hari ini lebih bijak. Rakyat akan memberikan sokongan kepada mereka yang pernah berkhidmat pada negeri dan bukannya kepada selebriti ahli politik yang hanya bertindak apabila ada isu hangat," kata beliau.

Para penganalisa politik Harakahdaily berpendapat langkah yang diambil DAP itu adalah amat wajar diteliti kerana Umno Johor mula goyah dengan kepulangan naib presiden PAS Salahuddin Ayub, yang mengesahkan akan bertanding di Johor kali ini.

"Jika ada dua tiga lagi jeneral perang daripada PAS dan PKR turut mengikuti jejak DAP untuk bertarung di Johor, BN akan terasa betul-betul terancam pada PRU13 kerana sekiranya Johor jatuh ke tangan Pakatan Rakyat, kemungkinan besar Putrajaya juga akan terlepas daripada tangan Umno," kata mereka.

Harakah Daily

Dua van bertembung, lelaki warga Pakistan maut

Posted: 18 Apr 2012 01:08 AM PDT

26 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

MUAR – Seorang lelaki warga Pakistan maut selepas terbabit dalam kemalangan di persimpangan Parit Bakar berhampiran Kampung Seri Tanjung, Bakri dekat sini, kelmarin.

Mangsa dikenali Said Kalam Shah, 42, mengalami kecederaan parah di kepala serta anggota badan lain.

Said Kalam disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hopsital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), iaitu kira-kira satu jam selepas terbabit kemalangan tersebut.

Kejadian kira-kira jam 4.20 petang itu, melibatkan tiga kenderaan iaitu dua van dan sebuah lori.

Mangsa memandu van bersendirian dalam perjalanan pulang selepas menghantar barang-barang ke rumah pelanggan di kawasan berhampiran.

Bagaimanapun, setibanya di tempat kejadian, mangsa dipercayai cuba memotong sebuah lori yang sarat membawa muatan benih tanaman.

Malangnya, dia gagal memotong dan menyebabkannya merempuh sebuah van di laluan bertentangan.

Akibat rempuhan itu, van yang dipandu mangsa hilang kawalan dan terbalik sehingga menyebabkan Said Kalam tersepit di tempat duduk pemandu.

Difahamkan, mangsa sudah 10 tahun bermastautin di negera ini dan menjalankan perniagaan menjual karpet serta perabot di sini.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan bedah siasat dilakukan di HPSF sebelum dituntut keluarganya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sinar Harian

Buang muatan elak dicekup JPJ

Posted: 18 Apr 2012 01:06 AM PDT

26 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

IPOH - Gara-gara membawa terlebih muatan, seorang pemandu lori nekad melarikan diri selepas menyedari kenderaannya dikejar Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejauh empat kilometer di Jalan Kuala Kangsar, semalam.

Bukan sahaja berjaya melarikan diri, malah pemandu berkenaan juga sempat membuang muatan tanah merah bercampur batu yang dibawanya di tepi jalan sehingga menyebabkan keadaan lalu lintas sesak selama setengah jam.

Ketua Unit Operasi JPJ Negeri, Hashim Mat Ali berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, sepasukan anggota JPJ sedang menjalankan operasi rondaan rutin sebelum mengesan sebuah lori terlebih muatan di Lebuhraya Utara Selatan yang sedang menuju ke arah selatan.

Menurutnya, pemandu lori tersebut yang menyedari diekori bertindak cuba melarikan diri namun gagal apabila kenderaannya dihalang ketika tiba di satu simpang jalan oleh kenderaan pelbagai guna (MPV) JPJ kira-kira setengah jam kemudian.

"Pemandu lori berkenaan sempat melarikan diri namun meninggalkan kenderaannya selepas melanggar MPV kami sehingga menyebabkan bahagian belakang rosak," katanya di sini, semalam.

Katanya sebanyak lima MPV dengan lebih 20 anggota termasuk pegawai JPJ berada di tempat kejadian dan dibantu anggota polis bersama kenderaan masing-masing.

Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Ipoh, Deputi Superintenden Wan Shahruddin Wan Omar berkata, pihaknya masih meneruskan siasatan bagi menjejaki pemandu lori berusia 20 tahun itu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu lori tersebut tidak mempunyai lesen memandu malah cukai jalan kenderaan didapati sudah tamat tempoh.

"Kami akan akan mengambil tindakan ke atas pemilik lori berkenaan jika didapati mereka bersalah dalam kes berkenaan," katanya.

Lori berkenaan dibawa JPJ Ipoh untuk siasatan lanjut sementara Kerja-kerja pembersihan terhadap muatan tanah merah selesai kira-kira jam 1.45 petang, semalam.

Sinar Harian

Penjual telefon bimbit dibelasah tiga lelaki

Posted: 18 Apr 2012 12:57 AM PDT

26 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

IPOH - Seorang penjual telefon bimbit mendakwa dibelasah tiga lelaki dalam kejadian samun di Taman Pakatan, Pengkalan pada Khamis lalu.

Sewaktu kejadian, mangsa, Lam Kok Leong, 37, sedang menuju ke bank untuk menyimpan wang hasil jualan telefon bimbitnya kira-kira jam 10.20 malam pada hari tersebut.

Malangnya, dia didatangi lelaki yang tiba-tiba memukulnya di kepala, kemudian kaki dan tangan sehingga dia rebah dan tidak mampu berbuat apa-apa.

Selepas itu mangsa didatangi dua lelaki lain yang turut membelasahnya lalu merampas beg yang mengandungi wang tunai hampir RM7,000 kemudian melarikan diri.

Mangsa kemudian menelefon Ketua Persatuan Keselamatan Bandar Baru Pengkalan, Liew Hong Meng untuk mendapatkan bantuan.

Hong Meng ketika ditemui semalam berkata, mangsa menelefonnya untuk mendapatkan bantuan dan dia bersama beberapa anggota lain bergegas ke tempat kejadian.

"Apabila tiba mangsa sudah terbaring dengan kepala, kaki dan tangannya cedera parah. Kami segera menelefon ambulans untuk membawa mangsa ke hospital," katanya.

Menurutnya, mangsa mendakwa ketika kejadian terdapat orang ramai lalu di sekitar kawasan tersebut namun tidak mengendahkannya yang sedang dibelasah kumpulan lelaki berkenaan.

"Sepatutnya, orang ramai yang nampak harus menelefon polis untuk membantu mangsa namun mereka lebih pentingkan diri sendiri agar terselamat daripada ancaman penjenayah terbabit," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Azisman Alias mengesahkan ada menerima laporan berhubung kes berkenaan di Balai Polis Pasir Putih dan akan siasatan akan dijalankan sehingga tertangkapnya suspek berkenaan.

Sinar Harian

Cubaan curi motosikal gagal

Posted: 18 Apr 2012 12:52 AM PDT

26 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KULIM - Dua remaja berusia 18 tahun terpaksa berputih mata apabila cubaan melarikan sebuah motosikal jenis Honda EX5 berjaya dipatahkan oleh Polis Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Kulim yang sedang membuat rondaan kira-kia jam 1.30 pagi semalam.

Kejadian berlaku di persimpangan Taman Cendana bila suspek dilihat sedang menunda motosikal dalam keadaan mencurigakan.

Jurucakap polis berkata, polis mengarahkan suspek memberhentikan kenderaan tetapi mereka enggan berbuat demikian, memaksa polis memintas motosikal suspek untuk mengelakkan mereka melarikan diri.

Menurutnya, kerana takut dicekup, suspek yang menunggang motosikal jenis SYM bertindak agresif dengan memecut motosikalnya ke arah pekan Kulim manakala seorang lagi mencampakkan motosikal yang dicuri sebelum melarikan diri ke dalam semak berhampiran.

"Siasatan awal mendapati motosikal itu dicuri di hadapan sebuah pasar raya di Kulim. Polis kemudiannya menerima panggilan di mana seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di sini kehilangan motosikal.

"Mangsa kemudiannya dibawa ke tempat kejadian untuk membuat pengecaman dan mengesahkan motosikal yang ditemui adalah miliknya," katanya.

Menurut pelajar IPTA itu, dia meletakkan motosikal di hadapan sebuah restoran makanan ringan sebelum masuk ke dalam pasar raya untuk berjumpa seorang rakan.

"Apabila keluar saya dapati motosikal saya sudah tiada. Saya kemudiannya memaklumkan kepada pengawal keselamatan bertugas dan meminta bantuan polis untuk mengesan motosikal saya.

"Beberapa minit kemudian, seorang anggota polis berpangkat koperal berjumpa saya dan meminta saya membuat pengecaman terhadap sebuah motosikal dan saya mengesahkan ia milik saya," katanya.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, permasalahan kehilangan motosikal selalunya berpunca daripada kelalaian pemilik ketika meletakkan motosikal mereka.

Menurutnya, sehingga kini kadar kehilangan motosikal semakin menurun dan kebanyakan suspek yang terlibat berjaya ditahan.

"Saya nasihatkan pengguna jangan meletakkan motosikal mereka dalam keadaan berisiko di mana ia boleh dicuri. Gunakan kunci tambahan dan letak motosikal di tempat terang supaya senang dilihat oleh orang ramai," katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati kebanyakan kes kecurian motosikal melibatkan suspek yang tinggal di luar Kulim.

"Selain itu sindiket pengedaran dadah juga terlibat dalam kehilangan motosikal. Pengedar dadah sekarang ini menggunakan taktik baru di mana penagih hanya perlu mencagarkan motosikal mereka untuk mendapatkan bekalan.

Ini mengakibatkan penagih yang tidak mempunyai motosikal mengambil jalan mudah dengan mencuri motosikal," katanya.

Sinar Harian

Remaja nyaris maut bertembung kereta

Posted: 18 Apr 2012 12:50 AM PDT

26 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KULIM - Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun nyaris maut apabila motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Waja di Jalan Air Merah kira-kira jam 5 petang semalam.

Menurut mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas, dia datang dari arah pekan Kulim menuju ke lampu isyarat jalan yang sama.

Mangsa berkata, tiba di selekoh Taman Desa Impian kereta Proton Waja keluar dari selekoh untuk menyeberangi jalan sebelum bertembung dengan mangsa.

"Saya dalam perjalanan menuju ke Taman Selasih. Tiba di selekoh Taman Desa Impian kereta Proton Waja itu muncul menyebabkan saya tidak sempat membrek dan bertembung.

"Akibat rempuhan kuat, motosikal saya mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan," katanya.

Mangsa berkata, dia tercampak ke jalan bertentangan bagaimanapun bersyukur kerana hanya mengalami kecederaan ringan.

Ketua Trafik Kulim, Asisten Superintendan Ismail Ayop menasihatkan penunggang motosikal supaya tidak menunggang motosikal mereka dengan laju terutama di jalan lurus di sekitar pekan Kulim kerana ia boleh mengakibatkan kemalangan sekiranya terdapat kenderaan melintas atau keluar selekoh.

"Sehingga kini kebanyakan kemalangan yang berlaku berpunca dari kecuaian kedua-dua pihak. Pemandu dan penunggang motosikal seharusnya bersikap sabar ketika memandu kenderaan mereka," katanya.

Menurutnya, kemalangan berlaku apabila mangsa terlibat cuai dan tidak bersikap peka apabila memandu.

"Selain terlibat dalam kemalangan, kecuaian juga boleh mengakibatkan pengguna jalan raya lain terbunuh.

"Sehingga kini kebanyakan kemalangan maut melibatkan penunggang motosikal. Ini adalah kerana penunggang motosikal terdedah kepada pelbagai kecederaan apabila terlibat dalam kemalangan," katanya.

Sinar Harian

Selangor hantar 50,000 ke Bersih 3.0

Posted: 18 Apr 2012 12:42 AM PDT

26 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 18 April: PAS Selangor hari ini menyokong penuh himpunan 'Duduk Bantah' Bersih 3.0 pada 28 April nanti dan akan menghantar 50,000 peserta.

Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dr Ab Rani Osman menjelaskan PAS Selangor telah menerima arahan daripada PAS Pusat agar menggerakkan 50,000 ahli dan penyokong PAS dari Negeri Selangor untuk menyertai himpunan tersebut.

"Seperti mana yang diarahkan oleh PAS Pusat, kita akan menggerakkan 50,000 ahli dan penyokong untuk sertai himpunan Bersih pada 28 April nanti.

"PAS Selangor akan menggerakkan sekurang-kurangnya 2,500 ahli dan penyokong dari setiap PAS Kawasan yang mana terdapat 22 PAS Kawasan di seluruh Negeri Selangor," jelasnya pada sidang media di Shah Alam.

Tambahnya lagi, sebagai usaha memobilisasi ahli dan penyokong, beberapa program pelancaran mobilisasi himpunan Bersih 3.0 juga akan diadakan di beberapa kawasan.

"Antara program yang akan diadakan adalah PAS Kawasan Gombak pada 18 April, PAS Kawasan Sabak Bernam 23 April dan PAS Kawasan Kuala Langat pula pada 25 April.

"Dalam pada itu PAS Pusat juga telah mengarahkan PAS Negeri Selangor untuk menyediakan petugas-petugas Unit Amal pada hari himpunan tersebut," sambungnya lagi.

Menurutnya lagi, usaha-usaha untuk memobilisasi 50,000 ahli dan penyokong PAS dari seluruh Selangor akan diketui oleh Mohd Sany Hamzan selaku Pengerusi Lajnah Penggerak Demokrasi dan Mobilisasi PAS.

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad memberitahu agar ahli dan penyokong PAS hadir dengan tangan kosong tanpa apa-apa senjata kerana himpunan ini adalah aman.

"Himpunan ini dilakukan secara aman dan kepada mereka yang hadir jangan sesekali membawa apa-apa senjata.

"Rakyat yang hadir himpunan ini adalah untuk menzahirkan agar pilihanraya perlu dijalankan secara adil dan telus," katanya.

Tambah Khalid lagi, apa yang dilakukan ini bukannya untuk mengecam sesiapa pun walaupun Perlembagaan Persekutuan termasuk Institusi Di Raja.

"Apa yang kita minta ini bukannya bermaksud untuk mengecam sesiapa termasuk intitusi di raja, Pakatan Rakyat akan memelihara kesemuanya malah mendokong Perlembagaan Persekutuan.

"Yang kita tuntut pilihanraya bersih dan adil adalah ingin memastikan Umno-Barisan Nasional tidak lagi memerintah negara ini, kita tahu pilihanraya yang kotor hanyalah bertujuan untuk memastikan kemenangan mereka sahaja," sambung beliau lagi.

Kerajaan Selangor jumpa SPR

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri Selangor akan mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 19 April nanti bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan dengan daftar pemilih.

Pertemuan itu akan disertai exco-exco kerajaan negeri termasuk Menteri Besar dan juga Speaker Dewan Negeri Selangor.

Harakah Daily

Rasa sedih dan ingin menangis bila melihat gambar ini...

Posted: 18 Apr 2012 12:38 AM PDT

26 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

Gambar ini adalah Gambar Khalifah terakhir kita Sultan Abdul Hamed II meninggalkan istana atas arahan Presiden Turki pertama Mustafa Kamal Atartuk pada 3 Mac 1922.

Memperingati 90 tahun sejarah hitam SISTEM PEMERINTAHAN ISLAM.

KEMBALIKAN PEMERINTAHAN KHALIFAH!!!!!
...
Khalifah terakhir Sultan Abdul Hamed II meninggalkan istana atas arahan Presiden Turki pertama Mustafa Kamal Atartuk pada 3 Mac 1922.

Hari ini 3hb Mac 2012 adalah bertepatan dengan 90 tahun sejarah hitam bagi umat Islam di seluruh dunia.

Dengan sokongan dan kekuatan dari British dan Zionis, Mustafa Kamal Atarturk telah mengumumkan penghapusan Khilafah dan pemisahan agama Islam daripada negara tepat pada pagi 3 Mac 1924.

Kamal telah memerintah supaya Khalifah terakhir, Sultan Abdul Majid II supaya meninggalkan Turki sebelum subuh pada hari yang sama. Polis dan tentera dikerah berhimpun di istana Khalifah dan memaksa Khalifah memasuki kereta dan seterusnya membawanya ke Switzerland.

Atartuk kemudiannya telah mengumpulkan semua waris Khalifah dan mengusir mereka keluar daripada Turki. Kesemua aktiviti keagamaan dimansuhkan, semua sekolah agama ditukar kepada sekolah sekular, mahkamah Islam dimansuhkan, azan diluangkan dalam bahasa Turki dan undang-undang sekular dilaksanakan sepenuhnya.

Akhirnya impian British dan Zionis untuk meruntuhkan Khilafah Uthmaniyah sebagai Daulah Islam yang terakhir telah tercapai, melalui tangan anak didik mereka iaitu Mustafa Kamal laknatullah.

Setelah jatuhnya khilafah, maka satu demi satu wilayah umat Islam jatuh ke tangan musuh termasuklah bumi Palestin yang diidam-idamkan oleh Zionis dan pihak barat.

Kini, telah 90 tahun umat Islam kehilangan tempat berpaut untuk naungan dan pimpinan khalifah.

Bagaimana keadaan umat Islam kini di Palestin, Iraq, Libya, Syria, Kashmir, Pattani, Selatan Filipina dan negara-negara yang lain di seluruh dunia termasuk di negara tercinta Malaysia.

Rata-rata umat Islam hidup terkontang-kanting tanpa pimpinan dan hala-tuju perjuangan walau pun jumlah meraka kini telah melebihi seperempat daripada penduduk dunia (1.7 bilion daripada total 7 bilion).

Persoalannya: Apakah sumbangan kita ke arah mengembalikan kedaulatan dan kepimpinan Islam yang sangat diperlukan oleh umat dan dunia antarabangsa pada ketika ini?

Harakah Daily

Zuriat Wali Songo kunjungi Nik Aziz

Posted: 18 Apr 2012 12:37 AM PDT

26 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

PENGKALAN CHEPA, 18 April: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menerima rombongan Pertubuhan Zuriat Wali Songo Se Indonesia malam tadi di rumahnya Pulau Melaka.

Seramai 23 anggota rombongan yang diketuai pengetuanya, Dr Dhiyauddin mengambil kesempatan bertemu Tuan Guru sempena lawatannya selama dua hari di Kelantan.

Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa dan Pengetua Penalti Nasab Wali Songo, Kiyai Ali Badri.

Dhiya ketika ditemui melahirkan rasa syukur kerana dapat bertemu seorang ulama yang telah lama dirindui beliau sebelum ini.

Katanya, hasrat untuk bertemu dengan Tuan Guru telah lama disimpan, bagaimanapun baru kini berkesempatan bertemu.

"Saya begitu tertarik dengan perwatakannya yang lembut, sederhana sekali kehidupannya yang begitu menyentuh perasaan saya.

"Beruntung rakyat Kelantan kerana dapat pemimpin yang wara' sepertinya, subhanallah saya cukup terpegun,"ujarnya.

Rombongan ini juga seakan tidak percaya apabila Tuan Guru menatang sendiri juadah untuk mereka malam tadi.

Ali pula berkata, pihaknya telah menjelajah beberapa negara di nusantara ini untuk menjejaki keturunan Wali Songo.

"Alhamdulillah syukur, di Kelantan juga kami telah bertemu beberapa orang dalam pencarian kami,"ujarnya.

Harakah Daily

MB lain punyai pembantu rumah, MB ini layan sendiri tetamu

Posted: 18 Apr 2012 12:34 AM PDT

26 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

TGNA sewaktu melayan tetamu dari Indonesia, malam ni di rumahnya.

Sabda Nabi Muhammad S.A.W bermaksud: Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya. (Sebahagian daripada hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah)


Harakah Daily

Sebelum ini punca masalah, kini bakal pengundi

Posted: 18 Apr 2012 12:29 AM PDT

26 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU, 18 April: Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata negara akan menghadapi masaalah sosial yang tegang dan dalam keadaan bahaya sekiranya kerajaan BN menggunakan rakyat luar sebagai 'pengundi hantu' untuk menghadapi PRU-13 ini.

Katanya, tindakan itu juga akan merugikan rakyat dan masa depan negara apabila golongan berkenaan juga turut mempunyai hak terhadap negara ini melalui cara yang terancang untuk mendapat memberi kemenangan kepada pihak tertentu.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup Ijtima' Almala' di sini semalam.

Hampir 800 peserta menghadiri majlis keraian untuk mereka itu.

Turut berucap pada majlis itu Adun Perupok, Datuk Omar Mohamed dan Pegawai Fatwa Jabatan Mufti Kelantan Ustaz Saibon.

Kata Menteri Besar Kelantan itu lagi, kerana ingin mengekalkan kuasa Umno dan BN sanggup berbuat apa sahaja walaupun ianya membahayakan negara, asalkan mereka kekal berkuasa.

"Kerajaanpun tahu masaalah sosial yang berlaku dalam negara ini sekarang sama ada bunuh, rogol, rompak dan berbagai lagi sebahagiannya dilakukan oleh rakyat negara asing.

"Sekiranya menjadikan mereka sebagai alat untuk kemenangan, padah yang akan menerima negara pada masa akan datang,"ujarnya lagi.

Tuan Guru seterusnya berkata Umno semakin hilang pegangan apabila terpaksa membuat pelbagai cara untuk mengekalkan pemerintah seperti mewujudkan pengundi hantu.

"Di Parlimen Kota Raja, bayangkan bagaimana pertambahan undi berlaku mendadak sampai 30,000 lebih. Takkan lah dalam tempoh hampir empat tahun masing-masing bersalin lepas tu boleh mengundi terus pulak,"ujarnya sambil menyindir.

Sehubungan itu beliau menyeru rakyat seluruh negara bukan hanya berhati-hati dengan permainan BN, sebaliknya memahami isu-isu semasa yang kini semakin kronik melanda negara khususnya berhubung rasuah.

Harakah Daily

Pelajar kolej maut nahas

Posted: 18 Apr 2012 12:26 AM PDT

26 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

BANDAR BENTONG – Seorang pelajar kolej maut ­dalam kemalangan di Kilometer 48.1 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, dekat sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mangsa dikenali sebagai Muhammad Amirul Syafiq Zainudin, 20, beralamat di Taman Puchong Permai, Selangor.

Menurutnya, mangsa menunggang motosikal ­jenis Yamaha Lagenda bersama pembonceng dikenali ­sebagai Safiah Hashim, 19, dalam ­perjalanan dari arah Kuala Lumpur ke Karak.

"Setibanya di tempat ­kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai terlanggar bahagian belakang treler yang dalam perjalanan dari arah sama.

"Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Safiah cedera parah dan masih dirawat di Hospital Bentong," ­katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Yusri berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Bentong untuk bedah siasat.

Menurutnya, ­pemandu ­treler berusia 36 tahun ­tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kejadian berlaku selepas hujan dan siasatan lanjut akan diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Susulan kejadian ini, saya mengingatkan ­pengguna j­alan supaya berhati-hati ketika ­memandu dengan ­mengamalkan sikap peka terhadap persekitaran," katanya.

Sinar Harian

Golongan remaja terlibat kes ragut

Posted: 18 Apr 2012 12:22 AM PDT

26 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUANTAN – Polis berjaya menangkap dua suspek terlibat beberapa kes ragut sekitar bandar Kuantan, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, masalah ragut merupakan kes terpencil, namun dengan penangkapan suspek tersebut dapat membantu pihak polis meneruskan siasatan dan mendapatkan maklumat.

"Penangkapan suspek tersebut yang merupakan golongan remaja menunjukkan golongan ini yang sering terlibat.

"Dengan penangkapan itu dapat membantu polis membanteras masalah ragut dalam tempoh terdekat ini.

"Kebanyakan mereka terlibat bergerak secara berpasangan bagi melaksanakan aktiviti tersebut terutama bagi mereka yang menggunakan motosikal," katanya kepada media selepas Majlis Penyampaian Cenderahati kepada pesakit Hospital Tengku Ampuan Afzan, di sini, semalam.

Katanya, pihak polis semakin giat melakukan rondaan di kawasan sunyi dan mempunyai potensi berlaku kes tersebut.

"Kawasan rondaan meliputi kawasan kediaman yang turut menjadi kawasan baru bagi peragut, lorong sunyi dan kawasan dikenal pasti pihak polis.

"Jadi jika berlaku kejadian tersebut, mangsa sedikit sebanyak perlu mengecam peragut dan segera melaporkan kepada pihak polis.

"Polis memerlukan maklumat dan gambaran jelas terutama ketinggian, rupa paras, nombor motosikal, jenis kenderaan dan sebagainya yang membolehkan penangkapan dilakukan secepat mungkin," katanya.

Tambahnya, orang awam dinasihatkan supaya tidak mengenakan sebarang perhiasan yang mampu menarik perhatian peragut.

"Suri rumah tidak perlu memakai barang kemas semata-mata untuk membuang sampah atau sekadar berada di luar rumah.

"Selain itu, orang ramai perlu mengelakkan diri mereka untuk berjalan kaki di tempat sunyi atau secara berseorang.

"Langkah pencegahan perlu dilakukan bagi mengelakkan perkara ini terjadi kepada diri sendiri selain bantuan daripada tindakan polis," katanya.

Sementara itu, warga polis Kuantan diketuai Jasmani melawat 42 pesakit lelaki dan 16 pesakit wanita di wad Kiambang, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Jasmani berkata, lawatan tersebut dilakukan tanda keprihatinan pihak polis terhadap pesakit yang masih dirawat sekali gus sempena sambutan Hari Polis ke-205.

"Wad ortopedik dipilih pada sesi lawatan kali ini memandangkan ia relevan dengan pasukan polis.

"Ada sesetengah daripada mereka terlibat dalam kemalangan dan sebagainya jadi kesempatan ini kami dapat bertanya khabar serta memberikan sedikit sebanyak nasihat yang dapat memberikan kebaikan kepada semua pihak," katanya.

Sinar Harian

Lelaki ditemui mati tergantung

Posted: 18 Apr 2012 12:21 AM PDT

26 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

TAMAN MEDAN INDAH - Seorang lelaki tidak dapat menanggung tekanan apabila dibebani hutang yang banyak sehingga nekad menamatkan riwayatnya, malam kelmarin.

Pengerusi Yayasan Pembangunan Belia India Malaysia (MIYDF) Pahang, K Tamil Selvam berkata, difahamkan si mati mengalami masalah kewangan yang agak kritikal.

Menurutnya, ketika kejadian kira-kira jam 9 malam, si mati yang hanya bekerja kontrak di kilang papan berhampiran, tinggal sendirian di rumah sementara isteri dan anak-anak berada di rumah mentuanya.

"Saya dapat tahu daripada abang iparnya, dia tertekan akibat menanggung hutang terutama selepas mendapat tahu rumah yang dibeli akan di­lelong tidak lama lagi.

"Tetapi dia tidak menunjukkan tanda-tanda tertekan seperti murung atau sebarang tanda negatif sehinggalah di­temui tergantung di ruang ­dapur rumahnya," katanya.

Tamil Selvam berkata, pada sebelah siang, si mati ada berjumpa dengannya dan berbual seperti biasa, namun tidak ada langsung menyentuh perkara berkaitan masalah kewangan yang dihadapinya.

Katanya, tidak lama selepas itu, dia mendapat tahu daripada beberapa rakan, si mati sedang berusaha mendapatkan pinjaman kewangan.

"Dia berjumpa beberapa rakan untuk mendapatkan wang tunai lebih kurang RM5,000, namun semua usahanya buntu.

"Ketika semua ahli keluarga tidak berada di rumah, dia bertindak nekad menamatkan riwayat hidupnya di bahagian dapur dan hanya disedari sebaik sahaja isterinya pulang ke rumah pada sebelah malam," katanya.

Sementara itu, polis Raub mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut kerana berdasarkan bedah siasat tidak menunjukkan sebarang tanda perbuatan jenayah.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, lelaki berkenaan adalah penduduk tempatan dan sudah pun meninggal dunia ketika ditemui ahli keluarganya di bahagian dapur rumah dekat Taman Medan Indah.

"Hasil bedah siasat mendapati tiada kesan kecederaan lain dan si mati meninggalkan seorang balu yang tidak bekerja serta dua anak berusia 19 dan 5 tahun," katanya.

Sinar Harian

Ugut bapa kerana tidak dapat duit yang diminta

Posted: 18 Apr 2012 12:19 AM PDT

26 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Hanya kerana permintaannya untuk mendapatkan sejumlah wang tidak diendahkan, seorang buruh tergamak mengugut ayah kandungnya sendiri dengan sebilah pisau.

Kejadian berlaku di kediaman mereka di Kampung Batin, Seberang Takir, di sini, Jumaat baru-baru ini.

Bagaimanapun, perbuatan Mohamd Roziemy Ismail, 32, menerima pembalasan setelah dijatuhi hukuman penjara 15 bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi selepas tertuduh mengaku bersalah dengan sengaja mengamuk dan melakukan ugutan jenayah untuk mendatangkan kecederaan kepada bapanya, Ismail Abdullah @ Abd Ghani Abdullah, 65, di rumah mereka pada 13 April lalu kira-kira jam 9 pagi.

Dia mengaku melakukan kesalahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor L Rathna manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, semasa kejadian, bapa malang itu sedang berada di rumah dan secara tiba-tiba tertuduh mengamuk dengan mengacukan pisau ke arah bapanya, kerana bengang permintaannya untuk mendapatkan wang tidak diendahkan.

Tidak puas dengan itu, tertuduh turut bertindak ganas dengan merosakkan barang-barang di dalam rumah mereka.

Bimbang perkara tidak diingini berlaku, mangsa membuat laporan polis dan tertuduh ditangkap pada 16 April lalu kira-kira jam 5 petang.

Sinar Harian

Si tua mengaku tidak bersalah mencabul

Posted: 18 Apr 2012 12:18 AM PDT

26 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Seorang warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas dakwaan mencabul pelajar tahun tiga di dalam kedai runcit miliknya di Lorong Surau Baru, Pasir Panjang, di sini, Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh yang juga berstatus duda itu, 66, dari Jalan Pasir Panjang, di sini, mengaku tidak bersalah atas dakwaan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan itu.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh pada 14 Disember 2011, kira-kira jam 12 tengah hari sehingga jam 8 malam di sebuah kedai miliknya telah menggunakan kekerasan jenayah kepada mangsa, dengan niat untuk mencabul kehormatan mangsa.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun atau denda, atau sebat atau mana-mana daripada kedua-dua hukuman.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor L.Rathna di hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, Rozianti membenarkan tertuduh dijamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sinar Harian

Wanita tersepit hutang 16 ah long

Posted: 18 Apr 2012 12:06 AM PDT

26 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU – Gali lubang tutup lubang. Itulah situasi dihadapi seorang peniaga wanita apabila terpaksa membuat pinjaman kepada 16 ah long untuk digunakan sebagai modal berniaga.

Menurut Dila (bukan nama sebenar), pada mulanya dia membuat pinjaman sebanyak RM1,000 daripada seorang ah long, namun disebabkan gagal melunaskan bunga sebanyak RM200 seminggu, dia terpaksa pinjam kepada ah long lain sehingga pinjaman mencecah RM15,600.

Dia tiada pilihan selain membuat pinjaman melalui ah long untuk mendapatkan modal perniagaan pada Februari lalu apabila dia mula mengambil alih warung milik rakannya di sebuah taman perumahan di Skudai, di sini, selepas namanya disenarai hitam.

"Sebelum ini, saya tiada masalah dengan pihak bank sehinggalah pada tahun 1998, rakan membuat pinjaman membeli kereta menggunakan nama saya. Malangnya dia gagal bayar balik sehingga kereta itu ditarik balik, sekali gus nama saya disenarai hitam.

"Oleh kerana terlalu buntu dan yakin untuk berniaga, saya tidak berfikir panjang dan mengambil keputusan membuat pinjaman dengan ah long selepas usaha mendapatkan pinjaman daripada pihak tertentu termasuk ahli keluarga gagal," katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, semalam.

Katanya, dia berani mengambil risiko selain yakin mampu untuk membuat pembayaran balik kerana jumlah pinjamannya hanyalah RM1,000, namun tidak menyangka apabila bunga yang perlu dibayar tiap minggu melebihi jumlah pokok iaitu RM1,900 seminggu.

Paling membuatkan dia tertekan apabila sering diburu ah long berkenaan sekiranya gagal menjelaskan bunga setiap minggu, sehinggakan dia tidak berani untuk membuka warung kerana bimbangkan keselamatannya.

Satu laporan polis dibuat mangsa di Balai Polis Johor Bahru Central Jumaat lalu.

"Saya terpaksa menggunakan hasil perniagaan sebanyak RM3,000 sebulan, selain gaji kerja sambilan sebanyak RM800 untuk melangsaikan hutang, namun hanya hutang dengan lima daripada 16 ah long berjaya saya langsaikan dan masih ada baki pinjaman sebanyak RM8,950." katanya.


Agency

Sime Darby belum puas!

Posted: 18 Apr 2012 12:03 AM PDT

26 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

SELEPAS berjaya mengesahkan slot ke separuh akhir Piala FA, Sime Darby mengukuhkan cengkaman mereka di Liga Perdana apabila membelasah Harimau Muda B,
3-0 kelmarin.

Kekal di tangga ketiga liga, jurulatih, Ismail Zakaria menyifatkan anak buahnya mengekalkan rentak permainan dengan baik meskipun terpaksa bermain dalam kea­daan padang yang becak.

"Mereka mempunyai motivasi yang tinggi walaupun berdepan hujan lebat dan berjaya meraih tiga mata di laman lawan.

"Apa pun, kita perlu bekerja lebih keras bagi memantapkan pasukan sekali gus sasaran untuk ke saingan Liga Super musim depan dapat direalisasikan," katanya yang enggan pasukan berpesta terlalu awal kerana siri perlawanan yang masih panjang.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan pemain import baru dari Brazil, Liandro Santos Pinto bakal menggantikan pemain importnya, Sengbah Kennedy untuk mengisi posisi pertahanan.

"Kita berharap kehadirannya dapat membantu pasukan terutama dalam memburu slot ke saingan akhir Piala FA menentang Terengganu," katanya yang turut memuji aksi Patrick Ronaldinho yang menjaringkan gol pada minit ke-46 dan 74 selain turut dibantu Zamri Hassan pada minit ke-90.

Enggan menekan butang panik terlalu awal, be­liau mengakui anak buah Mat Zan Mat Aris antara pasukan paling konsisten di Liga Super dalam perlawanan separuh akhir di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu yang berlangsung Sabtu ini.

"Kita akan buat persiapan sebaik mungkin dan mungkin akan berlaku satu keputusan yang mengejutkan nanti," katanya yang tetap meletakkan Ronaldinho untuk bergandingan dengan Mohd Irme Mat di jentera serangan.

Sinar Harian

Dollah gesa pemain kekal disiplin

Posted: 17 Apr 2012 11:35 PM PDT

26 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

BERKONGSI mata dengan pendahulu liga, Pahang mahu membuktikan pasukannya layak berada di senarai teratas liga dengan perbezaan mata melalui kemenangan dalam perlawanan dan bukan disebabkan jurang jaringan.

Pengendali pasukan, Dollah Salleh berkata, untuk kekal di senarai teratas, setiap perlawanan perlu menang bagi memastikan jurang mata yang lebih besar dengan pendahulu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Setakat ini, saya berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan mereka terutama kesefahaman dan kerjasama yang dicapai sebagai sebuah pasukan.

"Mereka begitu bersungguh-sungguh dan nampak lebih matang daripada sebelum ini meskipun berdepan dengan pemain import dari pasukan lain," katanya.

Berjaya membelasah MBJB FC, 5-0 kelmarin, beliau turut yakin kesebelasan utama yang ditampilkan sudah cukup cemerlang meskipun tanpa pemain import.

"Saya harap semua pemain mengekalkan komitmen dan disiplin jika mahu meletakkan Pahang pada kedudukan terbaik," katanya.

Sinar Harian

Pemandu bas dituduh miliki barangan curi

Posted: 17 Apr 2012 08:23 PM PDT

26 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU – Seorang pemandu bas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan memiliki barangan komputer yang disyaki dicuri yang disimpan di rumahnya di sini, 14 April lalu.

Tuduhan terhadap Mohd Shatawee Yaacob, 42, dibuat mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil setelah gagal memberi keterangan atas pemilikan barangan tersebut.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Harian, Taman Desa Rahmat, Kubang Kerian di sini, pada jam 1.30 pagi, 14 April lalu.

Dalam serbuan itu, anggota polis menjumpai tiga unit pengecas komputer riba, 16 pengecas telefon bimbit, 10 pendrive, kamera digital, broadband dan dua telefon bimbit.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad di hadapan Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly.

Bagaimanapun, pengakuan salah tertuduh ditolak mahkamah selepas mendapati ada percanggahan antara pengakuan itu dengan rayuan mitigasi yang dibuat Peguam bela, Mohd Ilyas Mohd Nor.

Mohd Fazaly Ali dalam penolakan itu berkata, mahkamah mendapati pengakuan tertuduh dibuat dengan syarat, sehubungan itu, mahkamah menetapkan tarikh sebutan kes ini pada 16 Mei depan.

Selepas kedua-dua pihak menyatakan persetujuan, Mohd Fazaly Ali kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin.

Sinar Harian

Dihukum denda kerana miliki barangan ragut

Posted: 17 Apr 2012 08:20 PM PDT

26 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU – Seorang penghantar gas dikenakan hukuman denda RM7,000 atau lapan bulan penjara selepas mengaku bersalah memiliki barangan yang dilaporkan hilang dalam kejadian ragut di sini, Januari lalu.

Hukuman terhadap Wan Mohd Syazwan Wan Abdullah, 19, dibuat mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana dengan niat memiliki harta curi iaitu kad pengenalan, Wan Rohayati Wan Hussin, Nur Farhana Mohamad Suhaimi dan pelbagai kad ATM serta lesen memandu milik mangsa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Flat Bandar Baru Kubang Kerian di sini, pada jam 5.30 pagi, 17 Januari lalu.

Pada prosiding semalam, Wan Mohd Syazwan berdepan tuduhan asal meragut mangsa di Jalan Telipot di sini, pada jam 11.30 pagi, sehari sebelum barang kes ditemui bersama tertuduh.

Dia bagaimanapun menafikan tuduhan itu sebaliknya mengaku pada pertuduhan pilihan yang ditawarkan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana Mohamad.

Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly sebelum menjatuhkan hukuman, menasihati tertuduh agar insaf atas perbuatannya itu serta tidak mengulangi jenayah sama pada masa hadapan.

"Saya berharap kamu insaf. Perjalanan hidup kamu masih panjang. Kamu mesti ingat, apa yang berlaku menyebabkan banyak air mata yang mengalir, ada yang mengalami fobia untuk menaiki motosikal sebab terjatuh dan tercedera kesan daripada kejadian ini," katanya.

Sinar Harian

Kes simbah asid jadi kes bunuh

Posted: 17 Apr 2012 08:16 PM PDT

26 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM - Polis menukar kertas siasatan kes mangsa samun dan simbah asid, S Rani, 46, kepada kes bunuh selepas wanita itu maut di Hospital Selayang, kelmarin.

Mangsa, seorang guru, mati akibat melecur teruk di muka, badan dan tangan.

Sejak kejadian pada 27 Mac lalu, dia dilaporkan kritikal dan ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dengan niat.

Beliau berkata, sebelum ini dua suspek lelaki, berumur 30-an, ditahan di Rawang dan Kuala Kubu Baharu.

"Suspek yang ditahan di Kuala Kubu Baharu masih direman manakala rakannya itu dibebaskan dengan jaminan polis," katanya ketika dihubungi, semalam.

Abdul Rahim berkata, siasatan kes masih diteruskan dan polis sedang mengumpul bukti kejadian.

Semalam, Sinar Harian melaporkan, Rani maut, kira-kira jam 2 petang, selepas menderita 22 hari.

Insiden simbah asid itu berlaku di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Sun Yook, Batu 17, Rawang.

Kejadian itu turut membabitkan tiga pelajar ketika mereka sedang menunggu bas, kira-kira jam 7 pagi.

Dua lelaki tidak dikenali menghampiri Rani dan meragutnya sebelum dia disimbah asid.

Pelajar terbabit hanya cedera ringan akibat terkena percikan simbahan asid selepas berlaku pergelutan antara Rani dan suspek.

Sinar Harian

Identiti mangsa bakar masih misteri

Posted: 17 Apr 2012 08:13 PM PDT

26 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KULIM - Identiti mayat wanita mangsa bunuh dan bakar di kawasan semak di Padang Serai, masih menjadi misteri kerana belum ada pihak tampil memberi maklumat atau mengecamnya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Kedah, Asisten Komisioner Mohd Zakaria Ahmad berkata: "Saya minta sesiapa yang ada maklumat, kehilangan anggota keluarga atau mahu membuat pengecaman­ mayat agar segera hubungi polis."

Mereka boleh hubungi balai polis berhampiran atau Ketua Polis Daerah Kulim menerusi talian 04-4906222.

Sinar Harian kelmarin melaporkan penduduk di Taman Desa, Padang Serai, di sini gempar apabila polis menemui mayat seorang wanita, dipercayai berusia dalam lingkungan 20-an, yang masih terbakar di dalam parit tidak jauh dari kawasan perumahan.

Mohd Zakaria juga meminta dua pemikat burung yang menghubungi polis untuk melaporkan tentang penemuan mayat tersebut supaya tampil membantu siasatan.

Sinar Harian

Bayi buang tumor di usia 10 hari

Posted: 17 Apr 2012 07:52 PM PDT

26 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

PULAI INDAH – Baru ­berusia 10 hari, seorang bayi ­lelaki dekat sini sudah menjalani pembedahan membuang ­tumor dan air di kepalanya yang mengembang akibat penyakit 'hydrocephaalus' atau kepala besar yang dihidapinya.

Ibu bayi berkenaan, Safiah Md Nasir, 30, dan suaminya, Jalalludin Omar, 36, redha ­dengan ketentuan apabila anak bongsunya dari lima beradik, Muhammad Akid Hazimi Jamaluddin lahir tidak seperti kanak-kanak lain.

Safiah berkata, bayinya yang baru berusia 10 hari itu sudah menjalani pembedahan membuang tumor dan air di kepalanya yang semakin mengembang di Hospital Kuala Lumpur pada 27 Februari lalu.

Menurutnya, kepala anak­nya itu membesar sehingga berukuran lilit 46 sentimeter semasa dilahirkan, berbeza dengan bayi normal lain yang hanya bersaiz ukur lilit sekitar 35 sentimeter.

"Sebelum ini doktor ada memaklumkan yang anak saya tidak boleh hidup lama dan hanya boleh bertahan ­sekitar dua jam selepas dilahirkan ­berikutan tisu otaknya ­dipenuhi air.

"Namun kami hanya berserah kepada ALLAH SWT dan berdoa semoga anak kami sihat," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Pulai Indah, semalam.

Safiah berkata, dalam keadaan anaknya yang sakit, dia dan suami terpaksa berulang alik ke Hospital Kuala Lumpur memandangkan setakat ini tiada sebarang ubat yang dibekalkan pihak hospital dan perlu menjalani rawatan secara berjadual termasuk di Hospital Melaka.

"Biarpun suami hanya bekerja sendiri dengan meng­usahakan bengkel kereta secara kecil-kecilan, namun kami tetap berusaha mengubati Muhammad Akid meskipun peluang melihat dia membesar dengan normal tipis.

"Alhamdulillah tidak ­sukar untuk menjaganya kerana dia tidak banyak menangis dan berharap orang ramai dapat mendoakan anak saya sembuh," katanya.

Katanya, doktor juga memaklumkan selepas ini anak mereka akan melalui beberapa lagi pembedahan ekoran terpaksa bergantung kepada tiub yang diletakkan di kepalanya.

Orang ramai yang ber­simpati terhadap nasib yang ­menimpa pasangan suami isteri dan berhasrat menghulurkan sumbangan boleh dilakukan melalui akaun Maybank ke­luarga terbabit, 154026378067 atau hubungi Jalalludin menerusi talian 017-2266813.

Sinar Harian

Lima dicekup ceroboh hutan

Posted: 17 Apr 2012 07:50 PM PDT

26 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

PUCHONG – Gara-gara menjalankan kerja tanah di Hutan Simpan Ayer Hitam (HSAH) Puchong tanpa kebenaran Jabatan Perhutanan Selangor, lima pekerja syarikat kontraktor yang dilantik pemaju dicekup manakala empat jentera digunakan dirampas pihak berkuasa itu.

Difahamkan, kerja dijalankan pihak kontraktor dilantik pemaju itu bagi membuat lencongan arah aliran air dari HSAH supaya tidak mengalir ke kawasan perumahan di Bandar Puteri 9 yang sebelum ini pernah dilaporkan berlakunya kejadian tanah runtuh.

Sinar Harian turut dimaklumkan kontraktor yang menjalankan kerja itu mendapat kelulusan daripada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) namun tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa Negeri.

Penolong Pengarah Kanan Penguatkuasaan Hutan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (Selangor), Mohd Yussainy Md Yusop berkata, kontraktor pemaju terbabit didapati menceroboh kawasan hutan tanpa kebenaran.

Menurutnya, ketika pihaknya tiba di lokasi kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam, kontraktor pemaju didapati melakukan kerja tanah tanpa pengetahuan pihak jabatan.

"Mereka sudah menolak tanah dan menebang pokok dengan jarak 50 meter malah difahamkan sudah menanam culvert di bawah tanah.

"Kita arahkan kerja dihentikan serta-merta manakala semua mesin dan jentera digunakan disita," katanya pihaknya kesal kerana pelaksanaan perkara itu tidak dimaklumkan kepada Jabatan Perhutanan yang menguruskan hutan simpan.

Beliau berkata, tindakan diambil dan disiasat di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 kerana pihak berkenaan didapati melakukan beberapa kesalahan.

Antara kesalahan dilakukan katanya, termasuk di bawah Seksyen 47 (1) Akta Perhutanan Negara kerana memasuki hutan simpan tanpa kebenaran dan Seksyen 81 kerana menolak dan membersihkan kawasan tanpa kebenaran.

"Jika sabit kesalahan, pemaju berdepan tindakan denda sehingga RM500,000 atau penjara satu hingga 20 tahun. Semua yang ditahan hari ini (semalam) akan ditahan dan diambil keterangan.

"Saya sudah maklumkan kepada MPSJ tindakan diambil berdasarkan prosedur di bawah Akta Hutan Negara dan pihak kami akan membuat kertas makluman kepada Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) untuk tindakan lanjut," katanya.

Mohd Yussainy berkata, Jabatan Perhutanan kesal kerana hutan simpan menjadi mangsa untuk menyelesaikan masalah teknikal tanah yang timbul akibat pembangunan pesat.

Isu berkenaan katanya banyak berlaku di tempat lain dan ia juga berikutan ada kawasan tidak sewajarnya diluluskan dalam Pelan Kebenaran Merancang oleh majlis tetapi diluluskan sehingga akhirnya menyebabkannya masalah di kemudian hari.

"Apabila timbul isu, aliran air bawah tanah dan sungai dialihkan pula, perkara ini dipandang serius kerana kita tidak mahu hutan jadi mangsa keadaan," katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan:

Nuffnang