Ahad, 25 Mac 2012

Nurul Izzah Anwar

Nurul Izzah Anwar


Politik Dunia Pertama atau Ketiga?

Posted: 25 Mar 2012 01:02 AM PDT

Acap kali kita dihidangkan impian pimpinan kerajaan supaya Malaysia terus berjaya menjadi negara maju, hingga bila kita tiba kepada tahun 2020, sasarannya adalah gaji per kapita (GNI) daripada RM23,700 kepada RM48,000, hampir seperti negara-negara dunia pertama lainnya.

Tetapi kita mesti beringat – sasaran apa pun yang dimahukan, tidak boleh tidak kerajaan wajib membudayakan kepimpinan terpuji dalam membangunkan negara tercinta ini. Bukankah kepimpinan itu menerusi teladan?

Justeru apa kata pimpinan bila berlakunya manipulasi pilihan raya, rasuah dan salah guna kuasa yang berleluasa, peningkatan penggunaan samseng atau pembuli politik dalam mengekang golongan yang dianggap musuh politik kerajaan sedia ada?

Apa kata Perdana Menteri apabila ahli-ahli partinya bertanggungjawab terhadap gangguan ceramah-ceramah pembangkang – dari Himpunan Hijau di Pulau Pinang ke Felda Lepar Hilir 1 di Pahang dan Padang Keluang di Johor dilakukan dengan dukungan ahli-ahli Umno dan kumpulan Perkasa yang sememangnya mendapat sokongan daripada pimpinan Umno.

Apa kata Perdana Menteri seandainya disamakan budaya samseng ini dengan halangan kebebasan demokratik di Congo pada pertengahan 90-an, atau belenggu pelanggaran hak asasi manusia di Zimbabwe ketika itu? Tentunya Perdana Menteri tidak mahu perbandingan dengan rejim komunis di Timur Eropah pada tahun 80-an yang menindas rakyat. Mahu tidak, ekologi budaya politik ketiga ini dipraktis banyak rejim yang takut kehilangan kuasanya.

Sebaliknya, jika Perdana Menteri berani menggandingkan permohonan maaf beliau dengan teguran membina terhadap serangan yang kini kian menggila terhadap semua aktiviti pembangkang, barulah boleh kita melihat pendirian tegas menuju ke arah 'budaya politik dunia pertama.'

Budaya politik dunia pertama akan membahaskan isu-isu penting mengenai ekonomi, kesejahteraan sosial dan tidak menjadikan agama dan bangsa sebagai tebusan retorik politik ketakutan yang hanya memecah-belah masyarakat.

Ekologi budaya politik dunia ketiga berpunca daripada sanubari dan mentaliti politikus yang hanya mahukan kuasa untuk harta dan bukan kuasa untuk rakyat. Masa depan negara terancam apabila kebanyakan negara-negara dunia ketiga sedang menatarkan reformasi politik contohnya di Myanmar baru-baru ini. Rejim junta itu secara menakjubkan memberi ruang liputan di rangkaian televisyen nasional negara kepada semua parti politik termasuk daripada pihak pembangkang! Bayangkan wajah ayu Daw Aung San Suu Kyi yang terpenjara berkali-kali selama 15 tahun lamanya kini dapat ditonton oleh penduduk Myanmar tanpa perlu berjalan jauh untuk bertemu srikandi mereka itu.

Bayangkan sebuah Malaysia yang mengamalkan budaya politik dunia pertama yang dengannya Kuasa Rakyat menjadi asas utama kerajaan, di mana "kuasa datang daripada rakyat untuk rakyat" menjadi tiang seri kenegaraan yang akan terus membangun dan maju, dilengkapi pula dengan keluhuran Perlembagaan Persekutuan sebagai asas pemerintahan yang adil lagi saksama.

Bayangkan pilihan raya umum yang bebas, bersih dan adil menjadi teras mandat sebenar pemilihan kerajaan memerintah. Daftar pengundi akan bersih daripada pengundi hantu, pengundi yang dibeli dengan kewarganegaraan dan pengundi yang berpeluang mengundi berbilang kali. Perhimpunan aman pula dibenarkan tanpa syarat yang membebankan. Waktu kempen pilihan raya yang munasabah dibenarkan sementara akses kepada media massa tidak terhad ataupun jelas berpihak. Politik yang berpandukan wang ringgit mesti diharamkan. Suasana sedemikian layak diberi sijil kerana pilihan rayanya mempamerkan cetusan suara pilihan rakyat yang tulen berasaskan persaingan idea yang sihat.

Bayangkan Parlimen yang berfungsi secara demokratik sehinggakan soalan Parlimen saya kepada Perdana Menteri – agar menyenaraikan projek-projek, termasuk jumlah geran pembiayaan atau pinjaman kerajaan yang melebihi RM5 juta yang diberikan kepada syarikat-syarikat yang dimiliki oleh ahli-ahli keluarga menteri dan timbalan menteri sejak tahun 2004 hingga 2011 – dijawab bukan ditolak.

Bayangkan kedudukan tahap tinggi Malaysia berbanding negara lain, bukan kedudukan rendah Laporan Perkembangan Dunia (UNDP 2010); di mana tahap perkembangan sumber manusia menempatkan Korea Selatan di tangga ke-12, Singapura (27), Brunei (37) dan Malaysia (51). Bila ditambah dengan prestasi pendidikan yang semakin merudum – di mana peratus rakyat Malaysia yang berjaya menamatkan pendidikan menengah pula adalah 68.7 peratus, berbanding Korea Selatan (96.4 peratus), Hong Kong (75.2 peratus) dan Brunei (88.2 peratus) – terus meyakinkan kita bahawa hanya pengamalan budaya politik dunia pertama yang dapat membebaskan rakyat daripada penjara kemunduran ini.

Bayangkan sebuah Malaysia yang lebih terbuka, lebih bersatu, lebih maju dan lebih sejahtera, berdiri sama tinggi, duduk sama rendah sebagai negara dunia pertama dalam semua segi – sosial, politik dan ekonomi – jika budaya politik berjaya ditransformasikan.

Apa kata Perdana Menteri?

(pertama kali disiarkan di Sinar Harian pada 20 Mac 2012)

Tiada ulasan:

Nuffnang