. |
Penyenaraian FGVH: Berapa jumlah durian runtuhnya? Posted: 15 Feb 2012 07:56 PM PST Peneroka di 317 rancangan Felda di seluruh negara – 112,635 orang kesemuanya – dan ahli keluarga mereka – 1.6 juta orang kesemuanya - bakal dibayar durian runtuh – bukan kecil tetapi besar jumlahnya dan bukan sekali tetapi dua kali – berikutan penyenaraian FGVHB pada Mei ini. Kerana jumlah durian runtuh itu kononnya amat besar, ianya menjadi hak istimewa Perdana Menteri untuk mengumumkannya, mungkin dalam bulan Februari 2012 ini juga. Belum diumumkan jumlah unit saham FGVHB yang akan diapungkan dan nilai tawaran awam permulaan (IPO price) tetapi 37% daripada jumlah saham FGVHB bakal dipegang oleh KPF. Di samping KPF, peneroka, pelabur institusi seperti PNB, KWSP, KWAP dan Tabung Haji bakal memiliki saham FGVHB. Juga, bakal diberi hak istimewa untuk memegang kepentingan dalam FGVHB termasuklah kakitangan Felda, kerajaan negeri, rakyat Malaysia terpilih dan pelabur asing. Lumrahnya, pelabur yang telah dinamakan ini akan menerima peruntukan saham masing-masing melalui borang merah jambu. Mereka tidak perlu berebut-rebut untuk membeli melalui borang putih – yang belum pasti dapat kerana melalui pengundian - bersama-sama orang awam. Peneroka bolehlah sediakan wang dari sekarang bagi membeli saham melalui borang merah jambu itu kerana ia pasti dapat. Ada dakwaan bahawa setiap peneroka akan diperuntukkan 15 lot (15,000 unit) saham setiap seorang. Kalau harga IPO RM2.00 se saham, maka peneroka kena bayar RM30,000 bagi membeli kesemua saham yang diperuntukkan. Kalau tidak ada wang, tidak boleh belilah saham ini. Meloponglah tengok orang lain beli. Kalau saham ini sudah dibeli, janganlah jual serta merta. Tunggulah nilainya naik 7 kali ganda, baru untung besar. FGVHB dijangka disenaraikan pada 10 Mei 2012. Urusan rasmi penyenaraian telah 90% selesai. Datang hujan atau panas, ada penentangan atau tidak ada penentangan, saham FGVHB tetap akan diapungkan. Tan Sri Isa Samad, Pengerusi Felda (dan Pengerusi "tidak sah" KPF) dan pasukan beliau sedang bekerja keras siang dan malam bagi menjamin cadangan penyenarai direstui peneroka. Pada 13 Februari 2012, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah memberi taklimat mengenai penyenaraian FGVHB kepada 3,000 orang ketua peneroka dari 317 rancangan Felda dan 1,300 orang kakitangan Felda. Mereka dikehendaki mengundi "ya" kepada pemindahan 51% saham KPF dalam FHB kepada FGVHB pada mesyuarat khas KPF dijadualkan pada 22 Februari 2012. Pastinya, ANAK akan memfailkan injunksi lagi. Tetapi kalau hakim tidak membenarkan injunksi dan perwakilan mengundi "ya," maka jalan ke penyenaraian bertambah lapang. Pengapungan FGVHB adalah yang terbesar di Malaysia dengan market capitalisation dijangka mencecah RM21 bilion, 7 kali ganda nilai bersih aset tangibel (NTA) syarikat itu sekarang. FGVHB bakal menjadi syarikat perladangan tersenarai yang terbesar di Malaysia dan di dunia. Penyenaraian ini bakal menjemput pelabur-pelabur asing dan juga tempatan kembali masuk beraksi di bursa Malaysia, merancakkan pasaran dan memacu harga naik. Pelabur dikatakan amat dahagakan terbitan baru bertaraf "blue chip." Soalan: "Rakyat Malaysia terpilih" yang bakal mendapat peruntukan saham melalui borang merah jambu itu siapa? Mungkin sahaja – ini spekulasi penganalisis - mereka ini penama-penama yang mewakili sebuah parti politik. Pastinya, pada peringkat pra-penyenaraian (primary issues), mereka ini diperuntukkan beratus-ratus juta saham. Mereka ini tidak berniat untuk pegang lama. Saham-saham yang mereka perolehi secara istimewa ini akan segera dijual secara borong pada harga yang tinggi kepada badan-badan kumpulan dana kaya tunai yang telah dikenal pasti, mungkin juga pelabur asing yang bakal menjadi "strategic partner" kepada FGVHB. Dilaporkan Felda sedang berunding dengan dua rakan kongsi antarabangsa berpotensi yang bakal diberi, menurut sumber terpercaya, 20% milikan dalam FGVHB. Penama-penama mengaut untung segera dalam jumlah yang pastinya mencecah ratusan juta, mungkin juga bilion. Wang ini akhirnya akan masuk ke "warchest" parti berkenaan bagi dibelanjakan dalam PRU 13 yang diramal akan diadakan dalam bulan Jun 2012 ini. Inilah sebabnya Felda beria-ia sangat hendak menyenaraikan FGVHB dan dengan cepat, sebelum Jun 2012. Tentunya peneroka berdebar-debar menunggu tawaran durian runtuh yang bakal diperolehi. Durian runtuh ini tentulah diberi percuma. Takkan kena bayar pula. Berapa besar jumlahnya? Bila hendak dibayar? Dibayar semuanya dalam bentuk tunai atau semuanya dalam bentuk saham atau sebahagian dalam bentuk saham dan sebahagian lagi tunai? Dengan andaian ia akan dibayar tunai, penganalisis cuba meneka jumlahnya. Khabarnya, durian runtuh akan dibayar dua kali. Sekali sebelum penyenaraian dan sekali lagi selepas penyenaraian. Wang untuk pembayaran sebelum penyenaraian tentunya dari sumber dalaman, wang Felda atau wang KPF. Kalau dari sumber KPF, maka itu wang peneroka yang menjadi ahli keporasi. Jadi, peneroka mendapat duit mereka sendiri. Bayaran kedua mungkin datang dari wang yang dijana dari penjualan saham FGVHB kepada orang ramai, dianggarkan berjumlah sekitar RM6 bilion. Tetapi wang ini telah ditanda untuk membiayai pengembangan perniagaan FGVHB ke peringkat antarabangsa. Bonus raya tahun lalu (2011) ialah RM400 seorang (bagi peneroka yang bersama Felda) dan RM200 seorang (bagi peneroka yang tidak bersama Felda). Jumlah bonus raya yang dibayar kepada peneroka berjumlah RM42.6 juta. Bonus insentif yang dibayar dalam tahun 2011 ialah antara RM400-1200 tetapi peneroka yang usahakan ladang sendiri tidak lansung dibayar bonus insentif. Jumlahnya ialah RM102.584 juta. Jadi, jumlah duit raya dan bonus insentif yang diagihkan dalam tahun 2011 berjumlah RM145.184 juta. Katalah jumlah yang akan dibayar kepada peneroka juga 7 kali ganda (sama dengan kenaikan nilai saham FGVHB selepas penyenaraian), maka durian runtuk bakal berjumlah RM1,016,288,000 juta, bermakna, setiap peneroka bakal menerima sekitar RM9,000 se orang. Ada ramalan bahawa setiap peneroka (tidak termasuk ahli keluarga) akan di bayar RM20,000 tunai setiap seorang. Ini nampaknya satu jumlah yang munasabah kerana sebarang jumlah yang lebih kecil tidak layak dipanggil durian runtuh. Dengan andai semua peneroka akan dapat, maka jumlah durian runtuh yang bakal dibayar kepada 112,635 orang peneroka mencapai RM2,252,700,000. Ini satu jumlah yang besar, kira-kira 38% dari dana RM6 bilion yang bakal dijana dari pengapongan. Felda memang mampu membayarnya tetapi rizab tunainya akan merosot banyak. Atas alasan ini penganalisis tidak yakin durian runtuh akan mencecah RM20,000. Ini akan mengeringkan rizab tunai Felda. Apatah lagi kalau 1.6 juta hali keluarga peneroka juga dibayar RM20,000 seorang. Jumlahnya diluar jangkauan. Kalau Felda ada sumber dana lain, penganalisis tidaklah tahu. Timbalan Menteri memberitahu, bukan sahaja 112,635 orang peneroka yang akan menerima durian runtuh tetapi juga 1.6 juta ahli keluarga mereka (lihat tajuk kecil di dalam akhbar New Straits Times, Selasa, 14 Februari 2011 yang berbunyi "Big Gains: Settlers and family members to receive windfall before and after listing"). Berapa pula yang akan dibayar kepada setiap ahli keluarga peneroka? Tidak mungkin satu jumlah yang lumayan kerana bilangan mereka besar. Kalau mereka juga dibayar sekitar RM9,000 sepertimana peneroka, maka jumlahnya mencapai RM14.4 bilion. Angka RM500 seorang lebih munasabah. Itupun akan melibatkan jumlah yang besar sekitar RM800 juta. Oleh itu, penganalis menjangkakan bahawa jumlah durian runtuh untuk peneroka adalah sekitar RM10,000 se orang dan ahli keluarga peneroka RM500 se orang. Kurang mungkin tetapi lebih tidak berani nak ramal. Angka makronya memang besar, berbilion-bilion ringgit. Tetapi bila diagihkan kepada peneroka, jumlah yang peneroka dapat amat kecil, tidak berbaloi langsung dengan risiko bahawa pemilikan tanah seluas 360,067 hektar dan pelbagai anak syarikat yang lain akan berpindah kepada pelabur bukan peneroka yang memang sudah sedia kaya raya. Pastinya "Rakyat Malaysia terpilih" akan mengaut untuk segera beratus-ratus juta ringgit dari eksersais pengapongan ini. *(Penulis adalah bekas Pemangku Timbalan Pengurus di Bank Negara Malaysia dan Ahli Ekonomi kepada ANAK). Source: http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/8109-penyenaraian-fgvh-berapa-jumlah-durian-runtuhnya- | ||
Relaks Kejap- Jangan Tension - Azerbaijan Tower - bakal jadi bangunan tertinggi dunia Posted: 15 Feb 2012 03:13 PM PST |
You are subscribed to email updates from Ustaz Yusof Embong (UYE) To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan