Khamis, 12 Januari 2012

Mohamad Taufek Abd Ghani

Mohamad Taufek Abd Ghani


HiTea dgn Nurul Izzah 15 Jan 2012 di Rembau

Posted: 11 Jan 2012 09:52 PM PST



MINUM PETANG & CERAMAH
Bersama YB Nurul Izzah, YB Taufek & CheguBard
Tarikh : 15 Jan 2012, Ahad
Masa : 4.45 ptg
Tempat : Simpang 3,Kg Batu, Rembau
Sempena Pelancaran Bilik Gerakan PR DUN Kota

Semua dijemput hadir

Pelatih PLKN yang kegemukan perlu modul khas

Posted: 11 Jan 2012 05:41 PM PST



Sebelum ini dilaporkan 8 peratus pelatih PLKN terdiri daripada mereka yang buta huruf. Kini terdapat pula pelatih-pelatih PLKN yang menghadapi masalah obesiti atau kegemukan sehinggakan perlu diadakan modul khas untuk pelatih PLKN yang mempunyai masalah kegemukan serta modul khas lain pula untuk pelatih PLKN yang buta huruf.

Bukankah ini semua akan membantutkan usaha untuk mencapai objektif PLKN yang hanya diberi masa 3 bulan untuk latihan PLKN? Kenapa tidak diadakan tapisan atau ujian kecerdasan otak, ujian membaca dan menulis serta ujian fizikal sebelum para pelatih PLKN ini tersenarai secara rawak sebagai pelatih PLKN?

*************
Pelatih PLKN obes bakal terima latihan fizikal khas
Harian Metro 12 Jan 2012

KUALA LUMPUR: Pelatih Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang mengalami masalah obesiti hingga tidak mampu mengikuti program fizikal diberikan bakal diasingkan dengan pelatih lain dan diberikan latihan khas dalam modul latihan fizikal baru.

Modul baru berkenaan dihasilkan Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu dijangka membabitkan pelatih PLKN Kumpulan Dua dan Tiga yang akan melapor diri pada Mei dan September depan.

Dekan FSSK, Dr Mohd Sani Madon berkata, modul berkenaan adalah kandungan baru dalam Manual Fizikal PLKN yang dijangka siap sepenuhnya April depan bagi kegunaan jurulatih PLKN.

"Modul ini yang dihasilkan oleh beberapa tenaga pakar dari FSSK akan mengenal pasti aktiviti fizikal yang bersesuaian dengan golongan berkenaan.

"Namun, mereka hanya akan diasingkan dalam aktiviti fizikal saja. Bagi aktiviti lain yang tidak membabitkan fizikal, mereka akan bersama-sama dengan pelatih lain. "Latihan yang diberikan berbeza dan bersesuaian dengan kemampuan mereka. Aspek keselamatan juga diutamakan dengan risiko kecederaan yang lebih rendah," katanya.

Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam akhbar kelmarin mengenai Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) yang melantik UPSI bagi membuat kajian terhadap penambahbaikan modul sedia ada.

Dr Mohd Sani berkata, dalam modul sebelum ini, pelatih obes yang tidak berkemampuan melakukan aktiviti fizikal tertentu akan dikecualikan. Namun, dengan modul baru ini mereka dikehendaki mengikuti latihan fizikal diberikan, tetapi bersesuaian kemampuan mereka.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PelatihPLKNobesbakalterimalatihanfizikalkhas/Article/index_html

Penduduk Kg. Melekai kecewa jalan tak berturap

Posted: 11 Jan 2012 05:40 PM PST



MOHD. Hidir Osman menunjukkan keadaan jalan yang perlu diturap bagi memberi keselesaan kepada penduduk di Kampung Melekai, baru-baru ini.

KUALA PILAH 11 Jan. 2012 - Penduduk di Kampung Melekai, dekat sini melahirkan rasa kecewa dengan keadaan jalan di kampung itu yang masih belum berturap seperti yang dinikmati di banyak kampung tradisional yang lain.

Mereka meminta jasa baik kerajaan membina jalan berturap memandangkan ia adalah jalan utama untuk kampung berkenaan.

Penduduk, Mohd. Hidir Osman, 43, berkata, setiap kali hujan, beliau sekeluarga tidak dapat menggunakan jalan itu untuk ke rumah mereka yang terletak di atas bukit akibat lumpur dan takungan air.

"Jalan ini merupakan penghubung utama untuk ke rumah dan jalan keluar ke bandar," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Jaafar Daud, 42, berkata, penduduk berharap masalah itu tidak dipandang remeh kerana jalan yang licin dan berlumpur semasa hujan menyukarkan orang ramai untuk bergerak.

Ahmad Zailani, 37, berkata, jalan yang tidak sempurna itu juga tidak mempunyai sistem perparitan yang teratur.

"Keadaan bertambah buruk apabila takungan air yang kotor melimpah sehingga menyebabkan jalan menjadi licin dan menyukarkan laluan orang ramai untuk ke rumah masing-masing," katanya.

Raja Azman Raja Ibrahim, 40, memberitahu, permohonan menurap jalan telah diajukan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) tetapi masih tiada jawapan dan tindakan sehingga kini.

Beliau berharap tindakan secepat mungkin dapat dilaksanakan untuk keselesaan penduduk kerana ia adalah jalan penghubung utama penduduk.

Isha Susah, 47, berkata, beliau tidak mahu sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku yang berpunca daripada air yang bertakung.

"Saya juga berharap agar permohonan jalan ini diluluskan secepat mungkin agar kemudahan bersama dapat digunakan," ujarnya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_03.htm

Koyak poster, dakwa semarak Rapat Rakyat N9

Posted: 11 Jan 2012 05:40 PM PST



Koyak poster, dakwa semarak Rapat Rakyat N9
Harakahdaily

SEREMBAN, 11 Jan 2012 : Pakatan Rakyat Negeri Sembilan berazam untuk menjadikan kawasan Gemas yang menjadi tapak projek Pusat Fedlot Kebangsaan (NFC) sebagai tapak pelancaran kebangkitan rakyat negeri ini.

Pesuruhjaya PAS negeri, Taufek Abdul Ghani berkata, atas dasar itulah, Pakatan akan melancarkan Rapat Rakyat N9 Ahad ini di Dataran Rakyat Gemas.

"Walaupun tiga ahli PAS akan didakwa esok ekoran program ini, kita akan jadikannya pembakar semangat," kata beliau kepada Harakahdaily.

Dalam pilihan raya umum 2008 lalu, calon PAS bertanding di Parlimen Tampin, Dun Gemas dan Gemencheh manakala DAP bertanding di Dun Repah. Namun, Harakahdaily difahamkan, selepas ini akan ada perubahan pembahagian kerusi kawasan ini.

9 Januari lepas, tiga ahli PAS ditahan polis ketika mereka datang ke Balai Polis Tampin untuk membuat laporan ekoran satu kejadian pertengkaran mereka dengan beberapa orang yang tidak dikenali.

Sekitar jam 10 malam, lima petugas PAS dengan diketuai Zanil Subuh, Ketua Penerangan PAS Tampin menampal poster rapat ini di sekitar pekan Gemencheh.

Namun, apabila mereka pusing balik ke tempat poster itu ditampal, mereka mendapati poster-poster yang dipasang mereka telah dikoyak.

Setelah disiasat mereka menjumpai sekumpulan orang sedang mengoyak poster itu. Apabila ditanya, mereka menjawab, mendapat arahan untuk membuang poster itu.

Ekoran itu, berlaku pertengkaran antara mereka kerana para petugas PAS ini beranggapan mereka dari parti lawan yang cuba merosakkan majlis mereka kerana mereka tidak memperkenalkan diri atau berpakaian seragam.

Selepas itu, satu laporan polis dibuat. Para petugas PAS ini pula ke balai polis Tampin jam 2 pagi hari yang sama untuk membuat laporan polis juga ekoran pertengkaran itu.

Namun, tiga orang termasuk Zanil telah ditahan polis atas dakwaan menghalang tugas pejawat awam iaitu petugas Majlis Daerah Tampin yang membuang poster itu.

"Kami telah menziarahi mereka di lokap dan kita juga telah memaklumkan hal ini kepada keluarga masing-masing. Kita juga telah siapkan peguam untuk mereka kerana kita dimaklumkan oleh pegawai penyiasat kes ini ketiga-tiga mereka akan didakwa di Mahkamah Majistret Tampin esok," kata Taufek yang juga Adun Paroi itu.

Ahad ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberikan ucapannya yang pertama di Negeri Sembilan selepas dibebaskan dari pertuduhan liwat 9 Januari lepas. Beliau akan disertai oleh timbalan presiden PAS, Haji Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Perhimpunan di pekan Gemas Ahad ini adalah yang pertama selepas Konvensyen Pakatan Rakyat ke 3 yang akan diadakan di Alor Setar 14 Januari ini.

"Sehingga kini, 80 peratus persiapan sudah siap. Kita jangkakan lebih 20,000 rakyat negeri ini akan hadir majlis ini," kata Taufek kepada Harakahdaiily.

http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/7513-koyak-poster-dakwa-semarak-rapat-rakyat-n9

Tiada ulasan:

Nuffnang