:: cina islam | 2011 :: |
- Selamat Tahun Baru Cina.
- Sejarah Tahun Baharu Cina Bermula Lebih 4000 Tahun
- Nik Aziz sedia isytihar harta kepada SPRM
- Parti Islam kuasai dua pertiga Parlimen Mesir
- Rosmah, Najib dicabar saman akhbar Australia
- SPRM didesak siasat 'belanja mewah' Rosmah di Australia
- 14 terbunuh trak polis bawa banduan diserang di Lubnan
- Gempa bumi 6.2 magnitud gegar Mexico
- Mayat mangsa ke-12 kapal persiaran karam ditemui di Itali
- Trafik lancar, jumlah kenderaan mula meningkat di beberapa tempat
- Nahdlatul Ulama, Indonesia cadang fail semakan undang-undang terhadap tembakau
- Kapal karam.
- - Lelaki tidak sedar paku dalam kepala
- Bayi sebesar tapak tangan keluar hospital dibenarkan pulang
- 9 penumpang termasuk 2 kanak-kanak mati lemas
- 143 terbunuh serangan berpunca daripada Boko Haram
Posted: 22 Jan 2012 03:59 AM PST 29 Safar 1433H. [MOD] - Bila malam Hari Raya Cina saya sering terkenangkan kisah silam betapa kemeriahan menyambut datangnya Tahun Baru dengan pelbagai juadah yang telah tersedia disamping perbagai persiapan lain yang telah dibuat sejak dari awal. Ayah cuma memberi peluang untuk kami anak-anaknya untuk membeli kasut baru setiap tahun untuk Hari Raya berupa kasut sekolah jenama "Bata" sekaligus untuk sekolah dan untuk sambut Hari Raya. Demikianlah kami sekeluarga berjimat, dan itulah sikap Ayah yang menjadi kenangan hidup kami sekeluarga. Sikap berjimat sebegitu adalah satu pendidikan keluarga bagi keluarga Cina. Malam ini kami berkumpul untuk sama-sama "makan besar", dan tradisi itu saya teruskan selepas memeluk Islam. Demikianlah terasa kemeriahan Tahun Baru Cina yang disambut saban tahun sehingga berumur 22 tahun pada tahun 1985 saya mengucap dua kalimah syahadah dengan Hidayah dari Allah Jua. Kerana itu segalanya saya teruskan dengan menyambut Tahun Baru Cina setiap tahun. malam ini kami sekeluarga di Perak akan "makan besar" sekali lagi. Seadanya persiapan dibuat untuk menyambut kedatangan Tahun Baru Cina esok Hari. Masa terasa begitu cepat berlalu dan sudahpun 25 tahun saya memeluk agama Islam, selama itu juga saya masih merasakan kemeriah sambutan Tahun baru Cina bersama Isteri dan anak-anak. Malah saya yakin dengan hak saya seorang Cina Islam untuk saban tahun merayakan perayaan tradisi nenek moyang kami yang dikatakan sudah lebih 4000 tahun telah dirayakan. Kerana ini bila sesiapa mendengar ucapan saya mengenai"masuk Islam atau masuk Melayu" dengan nada keras saya katakan mustahil menukar bangsa sendiri, dan saya cuma masuk Islam bukannya masuk Melayu. Kerana itu harapan besar diri yang kedil ini dengan wadah Pakatan Rakyat yang baru berusia sekitar 4 tahun, tidak lain untuk melihat Malaysia terus aman dan makmur dengan semangat toleransi yang dipacu dengan haluan yang benar sejak tsunami politik 2008. Sungguh jauh bezanya UMNO berada dalam BN yang tidak mampu memperkenalkan sosok sebenar Islam kepada non muslim. Sedangkan dalam tempoh umur PR setahun jagung PAS telah mampu meleraikan sikap prajudis non muslim kepada Islam yang hakikatnya nya datang dari sikap pemimpin UMNO yang terus menerus menyerang PAS untuk menggambarkan Islam yang kami perjuangkan tidak benar. Oleh itu Tahun Baru Cina pada tahun ini berkebetulan Tahun Naga dan tahun kelahiran peribadi 1964 adalah tahun naga, saya berdoakan kepada Allah semuga Islam terus dapat diperjelaskan kepada bagsa saya yang mengikut sejarahnya lebih dahulu memeluk Islam. Tidak ada alasan yang kukuh kenapa bagsa Cina perlu takut kepada Islam sedangkan nenek moyang kami lebih dahulu memeluk Islam. Hairannya bila mereka sampai ke Malaysia mereka ditakutkan oleh orang melayu yang tidak bertanggung jawab. Adalah sesuatu yang silap kalau masih ada orang melayu atau pemimpin cina MCA , kerana ingin mempertahankan kuasa yang sedang berada dihujung tanduk, lalu masih memukul gendang lama untuk menyerang sosok Islam yang kami perjuangkan dalam PAS. Selamat Tahun Baru Cina, Gong Xo Fa Chai, Xin Nian Kuai Le...... DRS. KHALIL IDHAM LIM PARIT BUNTAR, 22 Januari 2012. |
Sejarah Tahun Baharu Cina Bermula Lebih 4000 Tahun Posted: 22 Jan 2012 03:13 AM PST 28 Safar 1433H. [MOD] - Bila sebenarnya perayaan Tahun Baharu Cina bermula? Menurut pakar astronomi dari Akademi Sains China, Wang Sichao, perayaan itu mempunyai sejarah lebih 4000 tahun. Jelasnya, Tahun Baharu Cina biasanya disebut sebagai "Guo Nian". Pelbagai andaian dibuat mengenai asal usulnya. Namun yang diterima umum ialah mengenai Maharaja Shun yang naik takhta lebih 2000 tahun lalu. Maharaja Shun dikatakan telah mengetuai upacara pemujaan langit dan bumi yang kemudiannya menjadi ikutan pegawai dan rakyat China. Sejak itu, hari itu diterima sebagai hari pertama imlek Tahun Baharu Cina yang kemudiannya disebut juga sebagai "Pesta Musim Bunga". Menurut Wang Sichao lagi, sebagai perayaan tradisional yang paling penting dan meriah di China, sambutannya telah menjadi salah satu ciri utama dalam kebudayaan bangsa China. Pelbagai cara sambutannya, terrmasuk membeli barangan baharu khusus untuk tahun baharu, melekatkan kuplet di pintu masuk kediaman, bermain mercun, mengucapkan Selamat Tahun Baharu antara satu sama lain, memberikan angpau dan sebagainya. CRI/- |
Nik Aziz sedia isytihar harta kepada SPRM Posted: 22 Jan 2012 02:23 AM PST 28 Safar 1433H. [MOD] - KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersedia mengisytiharkan hartanya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika peraturan memintanya berbuat demikian. Beliau yang juga Mursyidul Am PAS berkata, isu pengisytiharan harta oleh semua penjawat awam, termasuk pemimpin kerajaan adalah isu lama. "Saya dan semua Exco Kerajaan Negeri boleh mengisytiharkan harta, jika peraturan mahu berbuat demikian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyampaian watikah pelantikan Penghulu dan Majlis Penghulu Mukim di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan di sini, hari ini. Nik Abdul Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Naib Presiden Pertubuhan Angkatan Generasi Muda Melayu Kelantan (AGENDA), Arif Hakimi Zulkifli yang mendesak beliau dan keluarganya mengisytiharkan aset mereka kepada SPRM bagi memastikan mereka benar-benar telus dan bersih daripada kegiatan rasuah. Menteri Besar itu berkata, sebelum ini, beliau pernah membuka pintu siasatan seluas-luasnya kepada SPRM untuk menyiasat beliau. "Soal mengisytiharkan harta semua pihak...memang boleh isytihar, cuma pokok pangkalnya terletak atas ketakwaan seseorang kepada Allah, kerana taqwa adalah kunci segala perkara, termasuk ketelusan dalam pentadbiran," kata Nik Aziz. Mengenai pelantikan penghulu di Kelantan, beliau berkata, kerajaan negeri tidak memberi jaminan untuk menaikkan elaun 787 penghulu yang kini menerima elaun RM700 sebulan. "Kita hanya mampu membayar elaun mengikut kemampuan yang ada, cuma kalau ada rezeki berlebihan melalui wang bayaran royalti minyak kelak, kita mungkin boleh pertimbangkan," katanya.BERNAMA |
Parti Islam kuasai dua pertiga Parlimen Mesir Posted: 22 Jan 2012 02:18 AM PST 28 Safar 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR, 22 Jan: Keputusan pilihanraya Parlimen Mesir menepati ramalan pelbagai pihak dengan parti-parti beraliran Islam mencatat kemenangan dan menguasai dua pertiga kerusi Parlimen di negara itu. Keputusan akhir pemilihan Parlimen pertama Mesir setelah jatuhnya Presiden Hosni Mubarak turut menepati ramalan beberapa pihak apabila parti politik milik Ikhwanul Muslimin, Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) mencapai kemenangan besar dengan meraih 47.18 peratus undi. Dengan perolehan yang turut mengejutkan sesetengah pihak itu, Suruhanjaya Pilihanraya Mesir semalam mengumumkan, FJP akan menguasai 235 kerusi di Majlis Rakyat. Tempat kedua diduduki oleh kubu konservatif, Parti Salafi al Nur dengan 25 peratus undi atau 121 kerusi, sementara parti beraliran liberal, Parti Wafd meraih 36 kerusi dan parti sekular, Koalisi Mesir memiliki 33 kerusi. Semasa pemerintahan Presiden Hosni Mubarak, Ikhwanul Muslimin merupakan organisasi yang dilarang bergiat dalam politik dan dengan keputusan tersebut, parti-parti Islam kini telah berjaya menguasai dua pertiga kerusi Parlimen di Mesir. Dengan keputusan itu juga, FJP kini sudah memutuskan untuk melantik seorang ahli politik kanannya, Saad al-Katatni sebagai ketua (speaker) Majlis Rakyat. Wartawan BBC di Kairo, Jon Leyne dalam laporan terkininya berkata, Presiden Mesir yang akan dipilih nanti bagaimanapun bukan parti pemenang pilihanraya itu. Sebaliknya, pemilihan presiden akan dilangsungkan pada bulan Jun nanti, setelah segala proses lain yang berkaitan dengannya diselesaikan. Berdasarkan sistem pemilihan Mesir, warganegara itu akan memilih dua pertiga anggota Parlimen berdasarkan parti yang memiliki daftar calon masing-masing dan hanya sepertiga calon individu yang dipilih secara langsung. Pemilihan Majlis Tertinggi Parlimen akan diadakan pada bulan Februari nanti dan selepas itu akan dipilih 100 anggota dari Majlis Tertinggi dan Majlis Rendah yang ditugaskan untuk menyusun perlembagaan baru Mesir. Pilihanraya Parlimen Mesir itu diadakan setelah kebangkitan rakyat yang turun ke jalan-jalan raya di negara itu sehingga berhasil menjatuhkan Presiden Mubarak pada bulan Februari 2011 lalu. Warga Mesir memberikan suara dalam tiga tahap pilihanraya yang berlangsung selama enam minggu untuk memilih 498 anggota Majlis Rakyat (Parlimen), sementara 10 anggotanya diperuntukkan untuk Dewan Tertinggi Tentera yang kini memerintah negara itu untuk sementara waktu. Sementara itu, Agensi pula melaporkan, keputusan rasmi pusingan pertama pilihan raya Mesir menunjukkan parti Islam mencapai kemenangan besar, termasuk kumpulan Salafi yang terkenal kerana bersifat radikal. Kumpulan Ikhwanul Muslimin yang berfahaman sederhana memenangi 36.62 peratus diikuti oleh Parti An-nur yang mewakili kumpulan Salafi, 24.36 peratus sementara Al Wasat, sebuah lagi parti Islam berfahaman sederhana meraih 4.2 peratus undi, berdasarkan carta yang disediakan oleh Setiausaha Agung Jawatankuasa Pilihan Raya, Yusri Abdel Karim. Menurut carta itu, Parti Kebebasan dan Keadilan (AJP) yang mewakili Ikhwan, memenangi 3.56 juta daripada 9.73 undi, An-Nur, 2.37 juta dan Al-Wasat, 415,590. Keputusan itu adalah untuk kawasan yang mengundi pada Isnin dan Selasa lalu dan ia mengesahkan ramalan awal bahawa parti berhaluan Islam akan memenangi sekurang-kurangnya dua pertiga undi. Satu-satunya parti sekular yang mencatatkan kemenangan besar ialah Blok Rakyat Mesir yang memperoleh 13.35 peratus undi. Jurucakap Ikhwan seperti yang dilaporkan oleh Agensi berkata, "Rakyat memilih calon yang mewakili identiti Islam dan dipercayai pengundi." Beliau menegaskan, FJP jauh berbeza dengan kumpulan Salafi yang menurutnya mencapai kemenangan memeranjatkan dalam pilihan raya itu. "Kami berharap orang ramai akan dapat membezakan antara pergerakan yang berbeza dan tidak menganggap semua aktivis Islam berada dalam satu 'kapal'," katanya. Harakahdaily/- |
Rosmah, Najib dicabar saman akhbar Australia Posted: 21 Jan 2012 11:58 PM PST 28 Safar 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR, 22 Jan: Rakyat sedang menunggu apakah penjelasan Datin Seri Rosmah Mansor dan juga suaminya Datuk Seri Najib Razak terhadap laporan akhbar Australia semalam. Semalam, akhbar Sydney Morning Herald (SMH) melaporkan isteri Perdana Menteri itu berbelanja sehingga A$100,000 (RM325,000) di sebuah butik di Sydney dua minggu lalu. Menurut Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar, jika sekali lagi akhbar Australia membuat laporan tidak benar mengenai tabiat berbelanja mewah Datin Seri Rosmah Mansor, maka satu tindakan undang-undang perlu diambil terhadap akhbar dan sumber berita akhbar tersebut. "Jika Rosmah dan Najib enggan berbuat demikian, ia memberikan gambaran kepada rakyat bahawa apa yang dilaporkan itu betul seperti yang berlaku apabila Najib enggan mengambil tindakan undang-undang terhadap begitu banyak akhbar di serata dunia yang pernah mendakwa tentang kaitan beliau dengan kes Altantuya Shaariibuu. "Kalau banyak kali sangat dilihat takut mengambil apa-apa tindakan undang-undang, rakyat akan percaya apa yang dilaporkan mengenai Najib dan keluarganya itu benar," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu. Sebelum ini, akhbar Australia yang lain membuat laporan yang didakwa tidak benar mengenai tabiat berbelanja Rosmah tetapi Najib dan keluarganya tidak pula mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap akhbar itu. "Rakyat yang berfikiran waras sudah tidak tahan lagi melihat wujudnya watak seperti itu di negara ini yang mengingatkan mereka kepada Laila Trabelsi, wanita yang mengambil kesempatan atas kedudukannya sebagai isteri Presiden Tunisia," kata Mahfuz lagi merujuk kepada isteri Zine El Abidine Ben Ali yang dihambat dari kekuasaannya oleh kebangkitan rakyat tahun lalu. Perlu disiasat Bagaimanapun, kata Mahfuz, jika laporan akhbar Australia itu memang benar berlaku dan bukan rekaan semata-mata, satu siasatan terperinci tentang kehidupan mewah isteri Perdana Menteri itu mesti dijalankan segera. "Mesti disiasat dari mana sumber kewangannya sehingga Rosmah dilaporkan begitu bermewah-mewah dalam kehidupannya sehingga dilihat melebihi dari kemampuan isteri seorang Perdana Menteri," kata beliau sambil membangkitkan Bernama sebelum ini pernah melaporkan Rosmah menderma RM1.5 juta kepada Tabung Gaza. Apa yang berlaku itu, kata Mahfuz, memperlihatkan Rosmah mempunyai kekayaan yang sangat luar biasa yang menimbulkan pelbagai tanda tanya. Beliau juga menggesa supaya Najib dan Rosmah serta anggota kerajaan dan keluarga masing-masing segera mengisytiharkan harta mereka. "Jangan lagi membuat pelbagai alasan yang menipu rakyat untuk mengelakkan harta mereka diisytiharkan," katanya |
SPRM didesak siasat 'belanja mewah' Rosmah di Australia Posted: 21 Jan 2012 11:53 PM PST 28 Safar 1433H. [MOD] - Harakahdaily, KUALA LUMPUR, 22 Jan: Jingga 13 mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dari manakah wang yang digunakan oleh iateri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor ketika 'berbelanja mewah' di Australia. Ianya merujuk kepada laporan dalam seksyen 'Private Sydney' yang disiarkan akhbar Australia Sydney Morning Herald semalam, di mana kolumnis Andrew Horney memetik kenyataan pereka fesyen, Carl Kapp mengenai Rosmah yang dikatakan membelanjakan A$100,000 (RM325,000) di butik milik beliau di Sydney. Ketua Koordinatornya, Fariz Musa berkata, jumlah yang dilapor akhbar itu tidak termasuk berapa malam Rosmah dan Datuk Seri Najib Razak menginap di Hotel Darling , Sydney yang berharga RM65,100 semalam dan bayaran untuk parkir khas untuk limosin beliau. "Di saat seluruh rakyat Malaysia berdepan dengan kenaikan harga barang makanan dan keperluan hidup , dalam keadaan rakyat berpendapatan rendah dan golongan miskin menderita untuk terus hidup , isteri Perdana Menteri membeli belah ratusan ribu ringgit. "Dari manakah wang yang diperolehi oleh beliau boleh untuk berbelanja mewah sehingga di gelar 'FIRST LADY OF SHOPPING'," katanya yang menunutut siasatan segera SPRM. Menurut Fariz, beliau hairan kenapa sehingga sekarang tiada sebarang tindakan oleh SPRM terhadap pelbagai laporan yang dibuat terhadap tabiat isteri Perdana Menteri Malaysia itu. Lalu beliau mempersoal, adakah SPRM hanya khusus untuk menyiasat dan mendakwa rakyat biasa dan tidak kepada isteri Perdana Menteri dan pimpinan Umno. "Jingga 13 meminta seluruh rakyat Malaysia membuka minda dan hati agar bangkit mempersoalkan dari manakah wang yang Rosmah Mansor perolehi sehingga berbelanja mewah yang mungkin sudah jutaan ringgit daripada keseluruhan melibatkan barang kemas, pakaian,beg tangan Birkin dan sebagainya termasuklah perbelanjaan pengangkutan dan penginapan mewah di luar negara. "SPRM harus bertindak adil dan profesional dan bukan bertindak dwi-standard," katanya. |
14 terbunuh trak polis bawa banduan diserang di Lubnan Posted: 21 Jan 2012 08:39 PM PST 28 afar 1433H. [MOD] - BEIRUT: Sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh selepas trak polis yang mengangkut banduan di kawasan bergolak, barat laut Syria di serang hendap, semalam. Tentera kerajaan juga bertempur dengan pemberontak di utara wilayah berkenaan yang mengakibatkan 10 orang maut. Agensi Berita Rasmi SANA berkata, serangan hendap terhadap trak polis itu berlaku di Lebuh raya Idlib-Ariha, kawasan berdekatan sempadan Turki dan menyaksikan pertempuran sengit dengan mereka yang berpaling tadah. Empat bom meletup dua kali dan terkena trak polis dan pemberontak bertindak menyerang ambulans yang tiba untuk membantu mangsa yang tercedera. Enam Anggota polis yang mengiringi banduan juga cedera parah, sebahagian daripada mereka dilaporkan berada dalam keadaan kritikal. - AP |
Gempa bumi 6.2 magnitud gegar Mexico Posted: 21 Jan 2012 08:33 PM PST 28 Safar 1433H. [MOD] - MEXICO CITY: Gempa bumi berukuran 6.2 magnitud menggegarkan pantai selatan wilayah Chiapas, Mexico malam tadi dan kesannya dapat dirasai sehingga ke El Salvador tetapi tiada laporan mengenai kerosakan atau kecederaan. Gempa bumi pada kira-kira jam 12:47 malam waktu tempatan melanda ibu negeri Chiapas, Tuxtla Gutierrez dan menggemparkan penduduk di jalan raya di beberapa bandar. Kesan gegaran dapat dirasai dari wilayah, Veracruz sehingga ke Guatemala dan El Salvador. - AP |
Mayat mangsa ke-12 kapal persiaran karam ditemui di Itali Posted: 21 Jan 2012 08:30 PM PST 28 Safar 1433H. [MOD] - GIGLIO: Penyelam yang meneruskan kerja mencari dalam kapal persiaran Costa Concordia menemui mayat mangsa ke-12 iaitu seorang wanita memakai jaket keselamatan. Dalam pada itu, pasukan penyelam polis berjaya mengelaurkan dokumen milik kapten yang meninggalkan kapal berkenaan selepas ia terlanggar terumbu karang di pantai Tuscan. Sambil mengharapkan keajaiban atau sekurang-lurangnya menemui mayat mangsa dari kapal berkenaan yang tenggelam di dasar laut, ahli keluarga kira-kira 20 mangsa yang masih hilang mengharapkan ada yang masih hidup. - AP |
Trafik lancar, jumlah kenderaan mula meningkat di beberapa tempat Posted: 21 Jan 2012 08:27 PM PST 28 Safar 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Keadaan trafik di lebuh raya utama negara lancar, meskipun jumlah kenderaan yang bergerak meninggalkan ibu kota mula bertambah di beberapa tempat sehingga jam 10.30 pagi tadi. Menurut laman Twitter Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), bilangan kenderaan semakin meningkat dan bergerak perlahan dari Slim River ke Sungkai dan dari persimpangan Nilai ke Seremban. PLUS juga melaporkan terdapat kemalangan di KM425.4 Bukit Tagar ke Bukit Beruntung menyebabkan trafik bergerak perlahan namun tiada penutupan lorong. Sementara itu, laman Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melaporkan terdapat kemalangan antara Nilai ke Putra Mahkota menyebabkan trafik bergerak perlahan di kedua-dua arah. PLUS dan LLM menasihatkan pengguna lebuh raya supaya merancang perjalanan mereka dengan bijak bagi mengurangkan risiko kemalangan dan kesesakan pada musim perayaan ini. - BERNAMA |
Nahdlatul Ulama, Indonesia cadang fail semakan undang-undang terhadap tembakau Posted: 21 Jan 2012 08:25 PM PST 28 Safar 1433H. [MOD] - JAKARTA: Nahdlatul Ulama (NU), pertubuhan Islam terbesar di Indonesia bercadang memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Perlembagaan Indonesia berhubung satu undang-undang yang kini menimbulkan kegelisahan dan rasa was-was sebilangan petani tembakau di republik itu. Pertubuhan itu mahu mahkamah menyemak Fasal 113 Undang-Undang Kesihatan yang menyebut bahawa tembakau adalah komoditi yang mengandungi zat adiktif (ketagihan), yang menurut pendapat seorang pemimpin NU adalah ungkapan yang secara tidak langsung meletakkan tembakau sejajar dengan daun ganja. Fasal undang-undang itu menjadikan sebilangan petani tembakau berasa takut untuk menanam tembakau kerana undang-undang secara jelas melarang pengedaran ganja. Setiausaha Lembaga Pengembangan Pertanian (LPP) NU, Imam Pituduh, berkata langkah yang diambil oleh NU itu bertujuan menjadikan kehidupan petani tembakau kembali normal. Selain mencabar undang-undang itu di mahkamah, NU juga akan memperjuangkan nasib petani tembakau dari peringkat Kementerian Pertanian hingga ke peringkat Ketua Negara berhubung dasar dan peraturan yang boleh merugikan mereka. Sebilangan petani tembakau dari beberapa kawasan seperti Temanggung, Madura dan Nusa Tenggara Barat mengadu kepada NU bahawa mereka sejak kebelakangan ini menjadi gelisah dengan fasal berkenaan undang-undang kesihatan itu, sedangkan sebelum ini mereka sejak turun temurun menanam tembakau dengan rasa tenang. Petani tembakau di Madura saja menghasilkan kira-kira 18,000 tan tembakau setahun. - BERNAMA |
Posted: 21 Jan 2012 08:23 PM PST 28 Safar 1433H. [MOD] - SEBUAH kapal pengawal pantai Itali mendekati kapal persiaran Costa Concordia yang karam di Pulau Giglio. Laporan menyebut operasi mencari di dasar laut diteruskan dan penyelam bercadang menggunakan bahan letupan untuk membuat tiga lubang di dek lima dipercayai mereka yang masih hilang berada. Lebih 20 daripada 4,000 penumpang masih hilang. Jumlah kematian rasmi setakat ini ialah 11 orang. - Foto EPA |
- Lelaki tidak sedar paku dalam kepala Posted: 21 Jan 2012 03:33 PM PST 28 Safar 1433H. [MOD] - ORLAND PARK, Amerika Syarikat (AS) - Seorang lelaki pada mulanya menyangka sebatang paku yang keluar daripada penembak paku yang dia guna- kan untuk bertukang, sipi melepasi kepalanya. Namun, paku tersebut sebenarnya tertusuk ke dalam kepala lelaki berkenaan, Dante Autullo yang menetap di sini, negeri Illinois. Beberapa anggota keluarganya memberitahu, paku sepanjang 8.8 sentimeter itu terbenam di otak Autullo lebih sehari sebelum ia dikeluarkan Khamis lalu. Lelaki berusia 32 tahun itu sedang bertukang di kediamannya Selasa lepas apabila dia tertembak paku tersebut. Dia melihat terdapat kesan luka kecil di kepalanya tetapi tidak menyangka bahawa dia tertusuk paku. Dia hanya pergi ke hospital lewat keesokan harinya selepas mengalami mual dan sakit kepala. Autullo terkejut selepas pemeriksaan imbasan sinar-X mendapati terdapat sebatang paku yang menembusi otaknya. Dia kini semakin pulih selepas menjalani pembedahan selama empat jam bagi mengeluarkan paku tersebut.- AP |
Bayi sebesar tapak tangan keluar hospital dibenarkan pulang Posted: 21 Jan 2012 03:19 PM PST HAYDEE IBARRA (kiri) bersama anak perempuannya, Melinda Star Guido sebelum mereka meninggalkan Pusat Rawatan Daerah Los Angeles-USC di Los Angeles kelmarin. 28 Safar 1433H. [MOD] - LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Seorang bayi antara terkecil di dunia dibenarkan keluar dari sebuah hospital yang menjadi tempat tinggalnya selama hampir lima bulan. Memakai topi merah jambu dan dibaluti selimut yang juga berwarna merah jambu, Melinda Star Guido menjadi tumpuan lensa kamera televisyen dan jurugambar akhbar di luar Pusat Rawatan USC di sini kelmarin. "Saya gembira kerana anak saya sihat," kata ibunya yang berusia 22 tahun, Haydee Ibarra. "Saya juga gembira kerana akhirnya saya dapat membawanya pulang," tambah Ibarra. Melinda dilahirkan pada 30 Ogos tahun lalu dengan berat cuma 269 gram atau lebih ringan daripada setin air minuman berkarbonat. Bayi itu amat kecil sehinggakan dia muat dalam tapak tangan doktor yang merawatnya. Melinda dipercayai bayi terselamat ketiga terkecil di dunia dan kedua terkecil di AS. Kini seberat 2.04 kilogram dan masih bernafas melalui tiub oksigen sebagai langkah berjaga-jaga, beberapa doktor memberitahu bahawa Melinda cukup sihat untuk pulang selepas hampir lima bulan berada dalam inkubator hospital berkenaan. Ibunya melahirkan Melinda melalui pembedahan caesarean pada minggu ke-24 selepas dia didapati mengalami penyakit darah tinggi semasa hamil. - Agensi |
9 penumpang termasuk 2 kanak-kanak mati lemas Posted: 21 Jan 2012 03:06 PM PST 28 Safar 1433H. [MOD] JAKARTA 22 Jan. - Sembilan penumpang termasuk dua kanak-kanak dikhuatiri lemas selepas bot laju yang mereka naiki karam ketika menempuh laut bergelora di perairan timur Indonesia, petang ini. Kejadian itu berlaku kira-kira lapan kilometer dari pelabuhan Tulehu, wilayah Maluku, menyebabkan bot yang membawa 20 penumpang sepanjang lapan meter itu karam dipukul ombak kuat dan angin kencang. "Sebelas penumpang berjaya diselamatkan namun sembilan lagi masih hilang," kata ketua pasukan penyelamat wilayah, Amin Tongke. Operasi menyelamat akan diteruskan esok. - AFP |
143 terbunuh serangan berpunca daripada Boko Haram Posted: 21 Jan 2012 02:50 PM PST 28 Safar 1433H. [MOD] - LAGOS 22 Jan. - Sekurang-kurangnya 143 terbunuh di utara Nigeria berikutan serangan yang dikatakan berpunca daripada kumpulan radikal Islam Boko Haram. Pihak berkuasa sebuah hospital di sini berkata, jumlah itu berdasarkan jumlah mayat yang berada di hospital terbesar di Kano termasuk yang sudah dituntut ahli keluarga. Serangan itu dikatakan bermula kelmarin, di bandar dengan jumlah penduduk melebihi sembilan juta orang. - AGENSI |
You are subscribed to email updates from :: cina islam | 2011 :: To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan