Isnin, 26 Disember 2011

.

.


Negara Berkebajikan mengukuhkan identiti PAS

Posted: 25 Dec 2011 07:50 PM PST

Negara Berkebajikan mengukuhkan identiti PAS | |
Nasrudin Hassan at-Tantawi

1. Parti Islam Se-Malaysia (PAS) didakwa mengalami krisis identiti oleh Ustaz Abdullah Zaik selaku Presiden Isma berasaskan kenyataan beberapa individu lalu menyifatkan PAS tidak konsisten dan mengalami kekeliruan terhadap hala tuju partinya. Asas dakwaan ini tidak valid.

2. Pertama: Saya ucapkan terima kasih atas perhatian yang diberikan oleh Presiden Isma terhadap PAS sekaligus menarik perhatian umum khasnya anggota Isma sendiri kepada PAS untuk mengenalinya dengan lebih dekat dan biasanya apabila dicetuskan sesuatu polemik, maka ia akan menarik perhatian serta perasaan ingin tahu terhadap perkara tersebut. Dalam kes ini, PAS menjadi subjek polemik yang dicetuskan oleh Presiden Isma, sekaligus memberikan publisiti kepada PAS.

3. Kedua: Identiti ialah pengenalan dan jati diri. Apabila kita bercakap soal identiti PAS, ertinya kita bercakap mengenai pengenalan dan jati diri PAS. Kepada siapa yang belum mengenali PAS atau buat-buat tidak kenal, maka izinkan saya memperkenalkan buat kesekian kalinya setelah PAS ditubuhkan sejak 1951 berasaskan undang-undang tubuhnya.

Inilah Pengenalan dan Jati diri PAS:

a] Fasal 3 . Perlembagaan PAS: Dasar PAS ialah Islam

b] Fasal 4 . Perlembagaan PAS: Seruan PAS ialah Allahu Akbar.

c] Fasal 5 . Perlembagaan PAS: Tujuan PAS ialah:

~ Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah .

~ Mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan Negara .

d] Fasal 6 . Perlembagaan PAS: Usaha-usaha:

~ Menyeru ummat Manusia kepada syariat Allah dan Sunnah RasulNya melalui dakwah secara lisan, tulisan dan amalan.

~ Memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syariah serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai keislaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan disegenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan social serta pelajaran dan pendidikan.

4. Isu Negara Berkebajikan sering dijadikan turning point untuk menyerang PAS kononnya PAS telah tersasar dari landasan perjuangan asal iaitu Negara Islam, lalu mereka mendesak supaya PAS kembali menggunakan istilah Negara Islam bukannya Negara Berkebajikan.

5. Lebih menarik, Umno juga menyatakan demikian sedang Umnolah antara yang paling kuat menentang hasrat PAS sewaktu PAS menggunakan istilah Negara Islam sebelum ini. Sekarang apabila PAS menggunakan istilah Negara Berkebajikan, mereka sibuk pula mendesak supaya PAS tukar kembali kepada istilah Negara Islam. Mengada-ngada betullah mereka ni!

6. Suka saya jelaskan di sini bahawa langkah dan usaha PAS Membangun Negara Berkebajikan adalah merupakan Fasa 2 pembinaan Negara Islam. Setelah PAS menerbitkan dokumen Negara Islam tempoh lalu, maka ia seperti plan induk bagi PAS menjayakan hasrat mendaulatkan Syariat Allah swt. Itulah Fasa 1 projek PAS.

7. Fasa ke 2, PAS bergerak dengan lebih praktikal. Bukan sahaja membentang plan induk (Fasa 1) yang lengkap dengan teorinya, kini PAS tampil dengan Negara Berkebajikan sebagai subtance kepada Negara Islam. Ia adalah pengisian dan perlaksanaan. Sekaligus menjawab pelbagai tohmahan kononnya Negara Islam adalah negara hukum semata-mata atau juga di tohmah sebagai negara mullah.

8. Negara Islam ialah negara yang dibina berasaskan bimbingan syariat Islam. Sementara elemen utama dalam Syariat Islam ialah adil, telus, integriti dan amanah selain ubudiyyah (pengabdian diri kepada Allah). Ia menepati pembentukan Good Governence yang menjadi sendi utama bagi Negara Berkebajikan yang mahu dibangunkan oleh PAS.

9. Menganggap PAS telah tersasar dari landasan asal perjuangannya adalah berpunca dari salah faham atau buat-buat tidak faham terhadap matlamat dan objektif perjuangan PAS. Selayaknya mereka terlebih dahulu membuka dan melihat Plan Lengkap Projek PAS bagi memahami keseluruhan Fasa yang akan dibina oleh arkitek PAS.

10. Negara Berkebajikan bukan krisis identiti tetapi ia adalah Pengukuhan Identiti. Justeru ia memantapkan lagi pengenalan dan jati diri PAS dengan usaha bina dan tawaran yang lebih praktikal, mudah dan boleh laksana.


Source: http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/ketua-pemuda-pas/7211-negara-berkebajikan-mengukuhkan-identiti-pas

Selamatkan Felda, PM perlu bertanggungjawab

Posted: 25 Dec 2011 02:47 PM PST

Selamatkan Felda, PM perlu bertanggungjawab


Written by Eikhwan Ali

Memikirkan nasib 112,635 orang peneroka seluruh negara di 317 Skim Penempatan Felda dengan keluasan 905,448 hektar, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) mendesak supaya YAB Perdana Menteri membatalkan penyenaraian Felda Global Ventures Holding Snd. Bhd. (FGVH) di Bursa Malaysia.

GAMIS berpendirian tindakan tersebut adalah suatu tindakan yang sangat merugikan. Hal ini bakal berlaku melalui perjanjian pajakan 99 tahun antara Felda Holding Berhad (FHB) dan FGVHB kerana FHB telah bersedia untuk memajak tanahnya seluas 360,000 hektar kepada FGVHB sedangkan syarikat itu tiada hak ke atas tanah tersebut dan 500,000 hektar tanah yang dimiliki oleh peneroka.

Dalam rekod, FGVH hanya memiliki 42 ribu hektar tanah dan penyenaraian ini akan menyaksikan penyusutan saham Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Berhad (KPF) dalam anak-anak syarikat FHB susut kepada 30% sahaja dan baki 70% lagi akan didagangkan kepada pelabur luar. Di samping itu, ahli-ahli KPF bakal kehilangan majoriti 55% dalam saham FHB selain pendapatan RM 2 billion FELDA bakal menjunam kepada RM508 juta.

GAMIS membantah penyenaraian tersebut kerana :

FGVH yang mempunyai rekod prestasi buruk (mengalami kerugian dan menanggung hutang) sudah pasti tidak mampu memberikan pulangan yang lebih baik kepada peneroka.

Penyenaraian tersebut yang akan membuka ruang kepada orang luar (bukan bumiputera) menjadi pemegang saham akan menjejaskan kepentingan hak Melayu ke atas Felda.

GAMIS juga berpandangan, penyenaraian di Bursa Malaysia yang kononya bertujuan untuk menarik pelabur bagi menambah modal adalah tidak tepat pada keadaan ekonomi sekarang yang berkemungkinan besar akan mengorbankan kepentingan peneroka. 'Durian runtuh' yang ditawarkan kepada peneroka adalah keuntungan yang bersifat jangka pendek. Isu jangka panjang yang lebih besar ialah kemampuan FGVH untuk bersaing dengan syarikat gergasi yang lebih senior di peringkat global.

Berkenaan dengan isu yang melanda KPF pula, GAMIS menuntut daripada Perdana Menteri atau Menteri Di Jabatan Perdana Menteri beberapa penjelasan berikut :

KENAPA Tan Sri Isa Samad yang bukan peneroka FELDA atau keluarga peneroka atau kakitangan FELDA dan juga belum genap dua (2) tahun menjadi ahli KPF dilantik sebagi Pengerusi KPF sedangkan ia bertentangan dengan Undang-Undang Kecil KPF dan Seksyen 43 Akta Koperasi 1993.

KENAPA Mesyuarat Khas Lembaga Pengarah FELDA untuk membincangkan perlantikan Tan Sri Isa Samad diadakan pada (25 Ogos 2011) ketika ketiadaan Dato' Zulkifli Abd. Wahab yang sedang menunaikan umrah.

KENAPA Dato' Zulkifli Abd. Wahab disingkirkan sebagai Pengerusi KPF sedangkan beliau dilantik secara sah melalui Mesyuarat Agung KPF 2011.

KENAPA Dato' Zulkifli Abd. Wahab diarah bercuti dalam tempoh 6 hingga 9 bulan bermula 25 November 2011 yang lalu.

KENAPA Perdana Menteri campur tangan dalam hal ehwal dalam KPF yang mempunyai undang-undangnya sendiri dan tertakluk kepada Akta Koperasi dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

Persoalan-persoalan di atas memperlihatkan seolah-olah terdapat konspirasi tertentu yang dirancang oleh pihak-pihak tertentu. Keadaan ini sekiranya tiada penjelasan dan tidak diselesaikan segera akan menyebabkan keadaan bertambah buruk jika penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia diteruskan.

GAMIS menuntut supaya :

Mahkamah menghalang Mesyuarat Agong Khas KPF yang dijadualkan akan berlangsung pada 5 Januari 2012 daripada diadakan bagi menyekat pelupusan pegangan saham ahli KPF kepada FGVH dilakukan.

YAB Perdana Menteri membatalkan penyenaraian FGVH di Bursa Malaysia.

Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menentukan status sebenar Tan Sri Isa Samad dalam KPF.

Sekiranya tiada penjelasan diberikan dan tuntutan tidak dilayan, GAMIS akan menggerakan mahasiswa, khususnya dikalangan anak-anak FELDA, untuk bertindak sebagai third force dengan menterjemahkan bantahan dan kekecewaan mereka terhadap kerajaan melalui kertas undi dalam Piliharaya Umum yang akan datang.

Eikhwan Ali
Naib Presiden GAMIS
Bahagian Koporat dan Antarabangsa


Source: http://bm.harakahdaily.net/index.php/letter/7206-selamatkan-felda-pm-perlu-bertanggungjawab?device=xhtml&utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook&utm_campaign=harakahdaily

Tiada ulasan:

Nuffnang