Isnin, 31 Oktober 2011

DUN PENGKALAN KUNDOR

DUN PENGKALAN KUNDOR


Isu tanah di Padang Terap: ‘Jika tiada pertindihan, geran tanah akan dipertimbang segera’

Posted: 31 Oct 2011 02:05 AM PDT


ALOR SETAR - Semua permohonan tanah oleh peneroka di kawasan Kuala Nerang akan diproses mengikut prosedur ditetapkan sekiranya tidak timbul masalah pertindihan hak milik tanah atau kawasan hutan.


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, YB. Dato' Ir. Phahrolrazi Haji Zawawi berkata, pihaknya telah berbincang dengan Pegawai Daerah dan Pegawai Tadbir Tanah Kuala Nerang untuk meneliti setiap permohonan yang layak, 19 Oktober 2011.


"Kita sedang teliti semula permohonan sama ada dalam proses atau belum diambil tindakan," katanya.


Setelah disemak, ujarnya, terdapat segelintir permohonan tidak jelas dan perlukan penelitian serta maklumat tambahan daripada pemohon.


Menurutnya, mana-mana permohonan yang lengkap dan layak akan dipertimbangkan untuk diluluskan.


"Jawatankuasa Tanah di peringkat daerah yang ditubuhkan pada tahun 2010 akan cadangkan kepada Kerajaan Negeri keluasan tanah yang akan diberikan kepada peneroka, selepas semua permohonan diteliti. Yang mana tiada masalah akan diproses segera untuk pertimbangan," katanya.


Phahrolrazi memberitahu, antara permohonan yang tertangguh adalah disebabkan berlakunya pertindihan hak milik tanah yang dimohon dengan tanah yang diusahakan oleh sebuah syarikat ladang di kawasan itu.


"Terdapat kes berlaku pertindihan dan saya harap wakil penduduk dapat berbincang dengan saya secara terperinci pertengahan November 2011, selepas saya pulang menunaikan ibadah Haji," jelasnya.


Mengulas mengenai permohonan peneroka di kawasan itu, Phahrolrazi berkata, berlaku sedikit kelewatan sebelum ini berikutan jumlah permohonan yang banyak selain membabitkan tiga kawasan utama iaitu Kah Eng, Sebapin dan Bukit Damar.


"Permohonan di Bukit Damar tiada masalah, Cuma di Kah Eng ianya membabitkan kawasan hutan dan kita perlu membuat semakan dengan Jabatan Perhutanan Negeri kerana tidak boleh meneroka kawasan hutan sesuka hati," ujarnya.


Manakala permohonan di Sebapin, katanya, berlaku sedikit pertindihan kawasan membabitkan tanah ladang dan perlu dibuat lebih penelitian.


"Jika ianya tanah milik kerajaan, kita boleh pertimbangkan untuk kelulusan. Kita akan pastikan pemohon tempatan yang belum memiliki tanah dan memerlukan diberi keutamaan," katanya.


Pada 30 September 2011, seramai 80 penduduk di kawasan Sebapin, Jalan Padang Sanai, Kuala Nerang yang menjadi peneroka sejak 1983, mendakwa Kerajaan Negeri gagal memenuhi janji yang dibuat pada Pilihan Raya Umum 2008, iaitu untuk membantu menyelesaikan isu membabitkan 80 hektar tanah di kawasan terbabit.-WD

Tiada ulasan:

Nuffnang