Rabu, 14 September 2011

www.telokkemang.blogspot.com/

www.telokkemang.blogspot.com/


KENYATAAN MEDIA AHLI PARLIMEN TELOK KEMANG

Posted: 14 Sep 2011 07:42 AM PDT


14 SEPTEMBER 2011

MEMERANGI PENGKHIANAT MASA KINI

Ketirisan sebanyak RM 28 bilion setahun menurut Laporan Audit Negara jelas menunjukkan bahawa pengurusan negara berada dalam bahaya dan membimbangkan. Dalam kita asyik membincangkan kemelut Parti Komunis Malaya (PKM) kita lupa tentang persoalan ini.
Signifikan persoalan rasuah yang mahu kita bincangkan dengan perbandingan isu komunisme ialah perkara yang merupakan persoalan masa depan negara dan rakyat keseluruhannya. Sejarah boleh dibincangkan secara ilmiah dan intelektual, namun kekolotan pergolakan yang berlaku dalam isu ini tidak akan membawa kepada kesudahan dalam masa yang singkat.
Atas kesedaran itu, saya menegaskan bahawa kepentingan masa depan rakyat dan negara adalah berkaitan dengan isu sistem urustadbir yang baik yang perlu diberikan perhatian dan keutamaan oleh kita. Kegagalan kerajaan menangani isu ini dengan penuh bijaksana dan bertanggungjawab mencerminkan ketidakupayaan mereka dalam mentadbir negara. Jika isu sejarah pun gagal diuruskan dengan baik oleh kerajaan sudah pasti ini menjadi satu lagi bukti bahawa pimpinan UMNO/BN sudah tidak relevan untuk diberikan mandat sekali lagi oleh rakyat.
Sejarah yang benar dan tepat amat penting buat negara dan rakyat. Namun isu sejarah ini tidak seharusnya mengalihkan tumpuan kita daripada isu sebenar rakyat. Isu ini sengaja diperpanjangkan untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap isu sebenar masalah negara demi menyelamatkan kekuasaan mereka.

Umpamanya isu-isu kemelut rasuah, kelemahan pentadbiran Perdana Menteri dan salah urustadbir negara yang parah seperti yang dibuktikan oleh Laporan Audit Negara sehingga negara kerugian berbilion ringgit adalah isu utama masalah negara. Ini tidak termasuk oleh pinjaman FELDA sebanyak RM 6 bilion daripada KWSP yang boleh dipersoalkan kewajarannya. Hutang kerajaan Malaysia bagi tahun 2009 juga telah meningkat kepada RM362.39 billion atau 53.7% dari KDNK. Hutang tambahan bernilai RM58.1 bilion juga telah kerajaan bebankan ke atas rakyat dengan melancarkan 19 program jualan bon pada tahun 2010.
Justeru, saya melihat bahawa perasuah dan pembuat hutang negara yang telah menggelapkan wang rakyat secara haram dan jijik termasuk oleh pimpinan UMNO/BN haruslah ditentang oleh rakyat habis-habisan. Inilah perjuangan rakyat masa kini dalam menentang pengkhianat moden yang berselindung di sebalik dinding kekuasaan di Putrajaya. Masa depan negara terletak ditangan rakyat untuk membuat keputusan secara serius menolak dan memerangi pengkhianat moden negara.

YB Dato' Kamarul Baharin Abbas
Ahli Parlimen Telok Kemang

Tiada ulasan:

Nuffnang