Jumaat, 22 Julai 2011

N50 Dun Sri Muda

N50 Dun Sri Muda


Posted: 21 Jul 2011 06:52 PM PDT

21 Julai, 2011 18:51 PM

Pendengaran Permohonan Adun Sri Muda Ketepikan Dakwaan Menghasut Ditunda 11 Ogos

SHAH ALAM, 21 Julai (Bernama) -- Pendengaran permohonan Anggota Dewan Undangan Negeri Sri Muda Shuhaimi Shafiei di Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk mengenepikan pertuduhan ke atasnya di bawah Akta Hasutan 1948 ditunda kepada 11 Ogos ini.

Hakim Nor Azian Shaari menangguhkan pendengaran yang sepatutnya bermula hari ini dan meminta pihak pemohon supaya memperkemaskan notis usul permohonan mereka sebelum pendengaran diteruskan.

Pada prosiding hari ini peguam pemohon, Edmund Bon berkata anak guamnya memohon supaya Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 diisytiharkan sebagai tidak selari dengan Artikel 10 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan bercakap dan bersuara kepada warganegara.

Selain daripada itu Shuhaimi memohon supaya pertuduhan ke atasnya mengikut Akta Hasutan itu digugurkan.

Nor Azian berkata:"Kamu boleh memfailkannya tapi adakah ia wajar, kamu memohon untuk mengisytiharkan sesetengah undang-undang itu sebagai tidak sah."



Permohonan sedemikian seharusnya meletakkan permohonan pemohon untuk menggugurkan dakwaan ke atasnya yang difailkan pada 1 April lepas sebagai teras permohonannya dan diikuti dengan fakta sokongan yang berkaitan Seksyen 4 Akta Hasutan dan Artikel 10 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan, kata Nor Azian.

Pada 7 Februari lepas, Shuhaimi mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan menerbitkan artikel bertajuk "Pandangan saya berasaskan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959" yang dikatakan mengandungi ayat-ayat menghasut di laman web http://srimuda.blogspot.com di Pusat Khidmat Rakyat, 6/2, Jalan Anggerik Vanilla R 31/R, Kota Kemuning di sini, 30 Disember lepas.

Shuhaimi didakwa mengikut Seksyen 4 (1)(c) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Cabang PKR Kota Raja mencetuskan kontroversi berikutan kenyataan di blognya yang dikatakan mempertikai keputusan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenan pelantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Selangor (SUK) yang baru.

Pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwaraya Mohd Hanafiah Zakaria dan Ishak Mohd Yusoff.

Bercakap kepada pemberita selepas prosiding itu, Ishak berkata penangguhan pendengaran itu bagi memberikan masa kepada pemohon untuk meminda notis usulnya.

-- BERNAMA

Posted: 21 Jul 2011 06:57 AM PDT

Video: Gas pemedih mata dilepaskan tepat ke arah peserta Bersih

Rakaman menunjukkan tembakan gas pemedih mata yang dilepaskan di laluan bawah KL Sentral

(Oleh: Ahmad Fadli)

KUALA LUMPUR: Meskipun berulangkali menafikan, terdapat bukti jelas menunjukkan Polis di Raja Malaysia melepaskan tembakan gas pemedih mata secara tepat ke arah peserta Himpunan Bersih 2.0, 9 Julai lalu.

Rakaman menunjukkan tembakan gas yang dilepaskan tepat ke arah peserta Bersih di laluan bawah KL Sentral

Tembakan tersebut yang dilakukan secara mendatar ke arah orang ramai, menyalahi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dibenarkan.

Beberapa rakaman yang disiarkan di internet terutama menerusi laman Youtube membuktikan perkara itu. Salah satunya rakaman video oleh sebuah portal berita.

Video berdurasi kira-kira 14 minit itu menunjukkan tembakan dilepaskan di dua tempat berasingan bermula di KL Sentral dan Dataran Merdeka.

Bermula minit ke 7:48, rakaman itu menunjukkan Polis Simpanan Persekutuan (FRU), menghalakan penembak gas tepat ke arah peserta yang berkumpul antara jarak 20 hingga 30 meter di KL Sentral.

FRU turut melepaskan tembakan secara mendatar di Dataran Merdeka

Mengikut pemerhatian dalam rakaman berkenaan, polis tidak mensasarkan tembakan pada paras 45 darjah ke udara seperti sepatutnya dilakukan, sebaliknya disasarkan pada paras hidung.

Sekurang-kurangnya tiga das pertama tembakan dilepaskan ke arah peserta himpunan dengan muncung senapang dihalakan terus ke arah mereka.

Bermula minit ke-8 pula, tujuh lagi das tembakan dilepaskan mengakibatkan orang ramai terperangkap di laluan bawah KL Sentral. Keadilandaily difahamkan dua arah laluan berkenaan pada masa itu telah pun dikepung pasukan FRU.

Visual polis menembak terus ke arah ratusan peserta himpunan berhampiran Dataran Merdeka pula ditunjukkan bermula pada minit ke-12.

Polis tanpa teragak-agak turut melepaskan tembakan kanister termasuk ke arah seorang orang kelainan upaya (OKU) bertongkat yang turut sama berhimpun di situ.

orang ramai yang terperangkap di laluan bawah KL Sentral akibat serangan gas pemedih mata FRU

Cara polis melepaskan tembakan gas pemedih mata sebelum ini menjadi isu kerana kanister yang dilepaskan secara mendatar menyebabkan kecederaan teruk kepada orang awam.

Ia bertentangan sekali dengan arahan atau kaedah penggunaan yang tertera pada Kanister gas tersebut yang menyebut 'Do Not Fire Directly At Persons' atau 'Jangan tembak ke arah orang ramai'.

Kanister yang bergerak pada halaju tinggi itu juga menyebabkan kecederaan parah pengawal peribadi Anwar, Fayyadh Al-Bakqry menyebabkan pipinya remuk dan terpaksa menjalani pembedahan.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad pula menerima enam jahitan di kepalanya akibat terkena tembakan kanister gas pemedih mata itu.

KeadilanDaily sebelum ini mendedahkan kanister yang digunakan polis adalah dari jenis sama yang digunakan tentera Israel dalam memerangi rakyat Palestin.

Video tembakan itu boleh didapati di sini (http://www.youtube.com/watch?v=nYPlTFwQfUY)

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=17234

Posted: 19 Jul 2011 06:52 PM PDT

19 Julai, 2011 17:11 PM

Kes Hasutan ADUN Sri Muda Disebut Semula 8 Ogos

SHAH ALAM, 19 Julai (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 8 Ogos depan untuk sebutan semula kes Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Sri Muda, Shuhaimi Shafiei yang didakwa menerbitkan artikel mengandungi ayat-ayat menghasut membabitkan Sultan Selangor di laman blognya pada 30 Dis tahun lepas.

Hakim Slamat Yahya pada Selasa menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan peguam V. Jeya Kumar yang mewakili Shuhaimi, 43.

Timbalan Pendakwa Raya Dalira Din mewakili pihak pendakwaan sementara Amalina Abdul Rashid hadir sebagai peguam pemerhati bagi pihak Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Terdahulu, Jeya Kumar memohon kes itu ditangguhkan sementara menunggu keputusan permohonan Shuhaimi untuk menggugurkan pertuduhan ke atasnya di Mahkamah Tinggi di sini.

"Sepatutnya pendengaran kes di Mahkamah Tinggi telah ditetapkan pada 13 Julai lepas tetapi tarikh itu telah dilapangkan oleh Mahkamah Tinggi dan tarikh baru untuk pendengaran permohonan ditetapkan pada 21 Julai ini (Khamis).

Justeru kami pohon supaya kes ini ditangguh untuk tunggu keputusan permohonan di Mahkamah Tinggi, katanya.

Dalira pula berkata pihaknya mendapat arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya yang mengendalikan kes itu, Ishak Mohd Yusoff supaya mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula pada dua atau tiga minggu selepas 21 Julai.

Slamat kemudian menetapkan 8 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Pada 7 Feb lepas, Shuhaimi mengaku tidak bersalah atas tuduhan menerbitkan artikel bertajuk 'pandangan saya berasaskan undang-undang tubuh kerajaan negeri Selangor 1959' di laman blognya http://srimuda.blogspot.com yang didakwa mengandungi ayat-ayat yang menghasut.

Adun dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Pusat Khidmat Rakyat, 6/2, Jalan Anggerik Vanilla R 31/R, Kota Kemuning di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Pada 1 April lepas, Shuhaimi memfailkan notis usul di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini bagi mengenepikan pertuduhan terhadapnya atas alasan Akta Hasutan 1948 adalah tidak sah kerana bercanggah dengan Fasal 10 Perlembagaan Persekutuan.

Adun itu yang juga Timbalan Ketua Cabang PKR Kota Raja mencetuskan kontroversi berikutan kenyataan di blognya yang didakwa telah mempertikai keputusan Sultan Selangor memperkenan pelantikan Datuk Mohamad Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Selangor (SUK) yang baru.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Nuffnang