Isnin, 25 Julai 2011

.

.


Kenapa Saya Menyokong BERSIH 2.0 [8 Tuntutan]

Posted: 24 Jul 2011 09:57 AM PDT

1. BERSIH 2.0 bukan sebuah pertubuhan sebagaimana yang didakwa oleh pihak UMNO dan BN kononnya BERSIH adalah sebuah pertubuhan haram yang tidak berdaftar dengan R.O.S, sebaliknya BERSIH 2.0 adalah satu kempen yang digerakkan oleh sekurang - kurangnya 62 Ngo yang bergabung untuk menuntut pemulihan sistem demokrasi dan pengurusan pilihanraya yang adil dan telus.

2. Kempen ini berpaksi kepada 8 tuntutan yang telah dikemukakan kepada pihak berkenaan samaada kerajaan mahupun pihak SPR. Apa yang lebih penting juga ialah 8 tuntutan mesti difahami dan diperjuangkan oleh rakyat demi masa depan negara dan kepimpinannya. 8 tuntutan itu ialah :

Bersihkan Senarai undi
Mereformasikan undi pos
Penggunaan Dakwat Kekal
Masa kempen minima 21 hari
Akses media yang bebas dan adil
Kukuhkan Institusi awam
Hentikan rasuah
Hentikan politik kotor

3. Namun jelas tindakan pihak UMNO dan BN cuba untuk mengelirukan rakyat dengan pelbagai fitnah dan tohmahan yang akhirnya menenggelamkan isu sebenar dari kempen BERSIH 2.0. Cubaan mengaitkan kempen BERSIH 2.0 dengan perjuangan komunis dan pula mendapat pembiayaan dari pihak asing adalah satu percubaan jahat dan tidak berasas. Masakan komunis menyokong perjuangan pemulihan demokrasi yang digerakkan oleh BERSIH 2.0 dan apalah pula kos BERSIH 2.0 kecuali duit minyak dan tambang rakyat untuk sampai ke lokasi perhimpunan serta kos membeli baju BERSIH 2.0 dengan pembiayaan sendiri.

4. Mereka menuduh tanpa bukti. Pastinya mereka sedang panik menyaksikan kebangkitan rakyat biarpun secara aman justeru rakyat menolak ketidakadilan mereka, rakyat membantah cara mereka memerintah. Biarpun tidak keseluruhan rakyat, namun mereka tahu, jumlah rakyat yang bangkit menolak dan membantah mereka adalah jumlah yang membuatkan kuasa pemerintahan mereka tergugat andainya mereka mendepa tangan untuk dihitung nilai secara saksama oleh rakyat.

5. Mereka tahu, bahawa mereka terpaksa monopoli penguasaan media untuk menidakkan suara parti lawan mereka. mereka terpaksa mengekalkan undi pos sebagai tali hayat untuk mereka kekal memerintah. Mereka tahu, keupayaan mereka sangat terhad untuk memerangi rasuah yang telah membarah dalam parti mereka. Mereka juga tahu bahawa politik kotor, politik lucah dan politik kekerasan adalah senjata sulit mereka untuk memastikan mereka mampu menghadapi lawan.

6. Tuntutan 8 perkara yang dibawa oleh BERSIH 2.0 akan terus menghantui mereka. Menjadikan mereka hilang rasional lantas mereka menggunakan pihak keselamatan untuk tradisi membelasah rakyat sendiri. Menangkap individu yang memakai baju kuning bertulis BERSIH 2.0 dengan tertera pula 8 tuntutan. UMNO dan BN bagai dirasuk. Mengaku kuat dan handal tetapi mengalami xnthophobia yang parah.

7. Tuntutan 8 perkara ini akan terus diratib oleh rakyat sehinggalah kerajaan dan seluruh agensinya yang berkenaan akur dan bersedia untuk pilihanraya yang adil, telus dan saksama. Kita masih komited dengan kaedah "muwajahah silmiah" iaitu persaingan secara aman tanpa kekerasan dan senjata. Namun padang mestilah sama rata dan peraturan pula adil dan telus.

8. BERSIH 2.0 tidak digerakkan untuk menjatuhkan kerajaan UMNO dan BN dengan kekerasan sebagaimana apa yang mereka lakukan oleh mereka ke atas rakyat. BERSIH 2.0 tidak digembeleng untuk meruntuhkan kerajaan UMNO dan BN dengan rampasan kuasa secara undemocratic sebagaimana apa yang mereka lakukan oleh mereka ke atas kerajaan Pakatan Rakyat di Perak. BERSIH 2.0 tidak dicetuskan untuk mengguling kerajaan UMNO dan BN dengan menimbulkan huru hara dan kacau bilau yang menggugat keamanan serta ketenteraman awam sebagaimana apa yang dilakukan oleh mereka ke atas peserta himpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011 tempohari.

9. BERSIH 2.0 hanya menuntut pemulihan sistem demokrasi dan pengurusan pilihanraya yang bersih. Kita bersedia untuk bersaing dengan UMNO dan BN dalam sistem yang adil, telus dan saksama. Tiada lagi penafian hak bersuara dengan memastikan akses media yang adil dan bebas serta tiada lagi pelanggaran hak memilih dengan mereformasikan undi pos.

10. Jika UMNO dan BN mengapong diri dengan kempen 1 Malaysia, Pakatan Rakyat memobilisasi rakyat dengan BERSIH 2.0 yang akan terus kekal momentumnya biarpun berdepan dengan pelbagai tindakan yang tidak bertamadun dan undemocratic. Kini rakyat berani. Bukan sekadar berani melepasi sekatan FRU dan bedilan gas pemedih mata, tetapi apa yang paling bermakna ialah rakyat kini berani membuang sikap berdiam diri untuk bangkit menunjukkan perasaan mereka yang diselubungi derita sejak sekian lama angkara demokrasi ala Barisan Nasional. Saya sokong orang berani dan saya sokong BERSIH 2.0

Nasrudin bin Hassan at Tantawi
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Tiada ulasan:

Nuffnang