Sabtu, 25 Ogos 2012

Dr Siti Mariah Mahmud

Dr Siti Mariah Mahmud


1Malaysia yang gagal : Sogok wang tunai untuk 1 kan rakyat di Putrajaya

Posted: 24 Aug 2012 11:11 PM PDT


Pemberian wang tunai untuk meramaikan sambutan Hari Kebangsaan minggu hadapan membuktikan kegagalan polisi 1Malaysia perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, untuk menyatukan rakyat Malaysia, kata ahli parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang, hari ini.
Penasihat DAP itu melabel tindakan ini dengan apa yang beliau istilahkan sebagai "menyewa hadirin" untuk dua acara ambang Merdeka dengan menyatakan ini adalah kebiasaan Barisan Nasional (BN), menggunakan wang agar majlis mereka dilihat ramai hadirin.
"Acara Hari Kebangsaan ini… sepatutnya berlaku secara spontan," kata Lim ketika dihubungi oleh The Malaysian Insider. "Apabila ia menjadi terlalu tiruan, ia kehilangan maknanya."
Lim menambah, keperluan untuk membayar hadirin untuk datang ke acara tersebut adalah refleksi jelas percubaan perdana menteri untuk membangunkan negara bangsa gagal untuk menyatukan rakyat Malaysia walaupun dengan konsep 1Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.
Menurut Lim, konsep 1Malaysia yang sering dipromosi seharusnya telah berjaya membawa rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum dan agama bersama lebih-lebih lagi dalam sambutan Hari Merdeka — seharusnya membangkitkan semangat patriotisme mereka.
"Ini adalah refleksi menyedihkan kegagalan 1Malaysia untuk membawa rakyat Malaysia bersama menjadi satu, terutamanya dalam perayaan hari kebangsaan seperti ini," katanya.
Kata Lim lagi, kerajaan BN menguruskan sambutan hari kebangsaan tahun ini dengan cara salah, menjadikan contoh kekecohan sebelum ini dalam penggunaan "Janji Ditepati" sebagai tema Hari Merdeka.
"Ia memecahbelahkan. Sepatutnya ia menyatukan, sebaliknya yang berlaku," katanya.
The Malaysian Insider melaporkan pagi ini bahawa Putrajaya menawarkan wang tunai dan cendrahati kepada 1000 orang pelajar universiti untuk menyertai perayaan Hari Kebangsaan.
Logo Hari Kebangsaan Putrajaya
Dalam sebuah e-mel dari jabatan Perpaduan Negara dan unit Integrasi yang dilihat oleh The Malaysian Insider semalam, pelajar dijangka mengibarkan bendera atau "melakukan beberapa pembentukan bendera mudah" apabila lagu kebangsaan "Negaraku" atau lagu 1Malaysia yang dimainkan semasa dua peristiwa diambang Merdeka — satu di Dataran Merdeka pada waktu pagi dan kedua di Stadium Bukit Jalil pada waktu petang.
"T-shirt disediakan pada waktu pagi dan wang tunai sebagai penghargaan akan diberikan kepada setiap peserta," kata seorang pegawai dalam satu kiriman e-mel kepada sebuah universiti.
"Untuk waktu petang, tiada T-shirt disediakan."
Ketika dihubungi, pegawai itu memberitahu The Malaysian Insider bahawa peserta dijangka menghadiri raptai selama lima hari daripada hari ini, akan dibayar RM20 dan makan tengah hari disediakan untuk setiap hari.
"Jadi, untuk lima hari setiap peserta akan dibayar RM100," kata pegawai tersebut.
Pegawai tersebut menambah, jabatan berharap untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 1,000 orang peserta berumur dari 18 hingga 35 tahun dari beberapa universiti sepanjang bandar ini.
Sejumlah 25 buah bas akan disediakan untuk membawa peserta dari beberapa checkpoint sepanjang bandar ke dua tempat acara itu.
Logo Hari Kebangsaan Pakatan Rakyat
E-mel dari pegawai itu juga secara spesifik menyebut hanya Cina dan India yang diperlukan untuk acara tersebut.
Apabila ditanya mengapa, pegawai tersebut mengatakan bahawa beliau tidak tahu apakah sebabnya.
"Mungkin mereka (jabatan) sudah mempunyai bilangan orang Melayu yang mencukupi," kata beliau.
Kabinet Najib telah memilih "55 tahun kemerdekaan, Janji Ditepati" sebagai tema Hari Merdeka yang telah mendapat tentangan oleh kerana pengkritik mengatakan tema tidak sesuai oleh kerana ianya lebih kepada agenda politik BN.
Logo "Janji Ditepati" dan lagu tema telah mendapat reaksi hebat oleh kerana terdapat dakwaan bahawa lagu tersebut ditiru daripada lagu gospel Indonesia.
Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat (PR) telah menuduh kerajaan BN merampas perayaan hari kebangsaan demi mengetengahkan agenda politik dan menyalahgunakan sumber kerajaan untuk tujuan berkempen.
Sebagai tindak balas, pakatan pembangkang PKR, DAP dan PAS mengumumkan tema alternatif sendiri pada hari Rabu — "Sebangsa, Senegara, Sejiwa" — cadangan diterima daripada orang ramai awal bulan ini.

Ku Li nafi jejaskan Umno Kelantan

Posted: 24 Aug 2012 06:17 PM PDT


Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menafikan tanggapan bahawa tindakan beliau membantu berhubung tuntutan royalti minyak Kerajaan Pas Kelantan sebelum ini telah menjejaskan perjuangan Umno dan Barisan Nasional (BN).
Sebaliknya, kata beliau, semua kenyataan yang dikeluarkan itu bagi mengembalikan keyakinan rakyat khususnya pengundi Kelantan terhadap Umno dan BN terutama bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) akan datang.
"Lagi pun apa yang saya perkatakan dalam beberapa kenyataan sebelum ini membabitkan desakan ke atas Petronas sahaja dan tidak ada kena mengena dengan Kerajaan Persekutuan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno bahagian Gua Musang di Bukit Chekati di sini, hari ini.
Tengku Razaleigh yang juga Ketua Umno bahagian Gua Musang berkata beliau bukan hendak membela kerajaan negeri pimpinan Pas itu, tetapi apa yang diperkatakan adalah bagi menjelaskan perkara sebenar yang terkandung dalam perjanjian antara Petronas dengan kerajaan negeri terbabit.

Katanya, beliau berhak menjelaskan perkara itu supaya rakyat lebih yakin dengan perjuangan Umno dan BN walaupun masalah itu menjadi tanggungjawab Petronas untuk menyelesaikannya.
"Sumber sebenar hasil itu (petroleum) diperoleh Petronas dan Petronaslah yang harus bertanggungjawab membayar semua tuntutan kerajaan negeri terbabit seperti yang terkandung dalam perjanjian yang saya lakukan kerana ketika itu saya menjadi Pengerusi Petronas.
"Memanglah ramai yang membuat tafsiran salah berhubung kenyataan saya itu hingga ada yang menuduh lebih memihak kepada pembangkang dan saya ingin jelaskan kenyataan itu adalah hakikat yang patut kita sama-sama selesaikan," katanya.
Beliau berkata segala perjanjian yang dibuat antara kerajaan negeri dengan Petronas ketika itu juga mendapat persetujuan Perdana Menteri ketika itu Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan semuanya terkandung dengan jelas dalam akta petroleum berkenaan.
"Saya bukan nak berada di sebelah mana-mana pihak berhubung tuntutan berkenaan dan apa yang saya lakukan itu untuk memberi faedah bersama termasuk rakyat. Jika rakyat mendapat manfaat sudah tentu akan menyokong kita pada PRU-13 tidak lama lagi," katanya.
Mengenai persiapan menghadapi pilihan raya umum, Tengku Razaleigh berkata, persiapannya sudah diatur dengan baik khususnya di bahagian Gua Musang bagi mengekalkan kubu kuat Umno di Kelantan itu yang tidak pernah tewas kepada pembangkang.
"Saya mempunyai strategi sendiri bagi mengekalkan kemenangan itu, tetapi pada PRU-13 nanti terpulanglah kepada rakyat untuk membuat penilaian terbaik, tetapi saya harap sokongan mereka tidak berubah dan memberi kemenangan kepada BN," katanya. — Bernama

Tiada ulasan:

Nuffnang