|   Myanmar bebas 114 banduan     Posted: 16 Nov 2012 12:25 AM PST  2 Muharram 1433H. [MOD] -                                  Orang ramai mengerumuni pintu pagar Penjara Insein, Yangon bagi menyambut ahli keluarga mereka yang dibebaskan.                                    YANGON - Myanmar membebaskan seramai 114 banduan, sebelum Presiden  Amerika Syarikat (AS), Barack Obama, mengadakan lawatan bersejarahnya  pada hari ini.
 Bagaimanapun, menurut kumpulan pembangkang, pembebasan lebih 100 banduan, semalam, tidak melibatkan mana-mana tahanan politik.
 
 Sebahagian banduan yang dibebaskan, termasuk bekas tentera yang lari dari tugasan atau melakukan kesalahan ketenteraan.
 
 Sebelum itu, media tempatan melaporkan, lebih 400 banduan bakal  dibebaskan dengan niat membantu memulihkan hubungan dan  kebajikan  rakyat.
 
  Dalam satu kenyataan lain, pemimpin demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi  menyuarakan kekesalannya berikutan pembebasan itu tidak melibatkan ahli  politik. 
  Sehingga kini, kira-kira 800 banduan politik dibebaskan sepanjang  proses pembentukan semula kerajaan sejak tahun lalu dan lebih 100  pengamal politik masih ditahan. - Reuters | 
    |   Imej Bayi Maut Dapat Simpati Dunia      Posted: 16 Nov 2012 12:21 AM PST  2 Muharram 1433H. [MOD] -
          Gaza – Kematian seorang bayi berusia 11 bulan yang juga anak  kepada jurukamera  BBC akibat serangan Israel, telah mencetuskan simpati  orang ramai selepas gambar Jihad Misharawi memangku anaknya sambil  menangis tersebar di internet. 
 Beribu-ribu mesej simpati telah diterima Jihad dalam internet,  termasuk kecaman ke atas BBC yang hanya membuat laporan yang minimum  terhadap pembunuhan berkenaan. "Apabila BBC sendiri tidak mempedulikan nasib anak kepada  jurukameranya, apa lagi harapan untuk Palestin" demikian tulis satu  blogger intifada dalam internet yang melihat BBC langsung tidak  menghiraukan kematian tersebut. 
 Selain itu,  media portal Al-Bawaba turut menghentam keras BBC kerana  melaporkan Israel melakukan serangan itu bagi mensasarkan pengganas di  Gaza. 
 "BBC gagal melaporkan bahawa bayi berusia 11 bulan itu juga merupakan  antara kanak-kanak yang maut dalam serangan berkenaan,'' kata media  tersebut.  Sejurus  menerima kecaman bertali arus itu, BBC telah membuat penerangan bahawa  pada mulanya berita kematian bayi berkenaan tersebar dalam badan  penyiaran berkenaan sahaja.
 Malah editor BBC World, Jon Williams telah menghantar memo mengenai kematian bayi tersebut kepada semua rakan sekerjanya. "Kami bersama dengan Jihad dan seluruh pasukan di Gaza. Ia merupakan satu detik yang amat menyedihkan dan sukar bagi seluruh pasukan di Gaza. 
 Kami bernasib baik kerana mempunyai pasukan yang berani di sama. Ia  merupakan satu peringatan kepada cabaran yang terpaksa dialami oleh  rakan sekerja di sana. 
 Satu artikel dalam laman web BBC juga turut menyiarkan video Jihad  bersama anaknya dengan keterangan `Apa yang anak saya lakukan hingga  menerima nasib sebegini rupa'. 
 Bayi tersebut, Omar, maut selepas bedilan ganas Israel telah terkena rumahnya. Omar merupakan antara 16 penduduk di Gaza yang meninggal dunia, dua hari lalu akibat kekejaman Israel itu. 
 Sejak Rabu juga, zionis terus membedil penduduk di Gaza dengan alasan  memburu pejuang Hamas selepas berjaya membunuh komander Hamas, Ahmed  Jaabari. –  
 | 
    |        Posted: 16 Nov 2012 12:18 AM PST 2 Muharram 1433H. [MOD] - 
  JASON memangku (dari kiri) Sidney, Jenson dan Elliot sambilrhatikan Brittany.   SACRAMENTO: Seorang ibu di California melahirkan tiga bayi lelaki  yang mencatatkan rekod baru sebagai kembar tiga paling berat di dunia.  
 Jason dan Brittany Deen dari Sacramento, California, menyambut kelahiran tiga bayi lelaki mereka pada 8 November lalu. Gabungan  berat ketiga-tiga bayi itu ialah sembilan kilogram  bermakna mereka   mencatat rekod baru dalam Buku Rekod Dunia Guiness, menurut Sacramento  Bee.   Bayi sulong, Sidney adalah seberat 3.5 kilogram dan adiknya,  Elliot seberat 3.3 kilogram, manakala anak bongsu Jenson mencecah 2.5  kilogram.
 
 Pihak hospital telah merekod berat kelahiran kembar tiga itu dan kini  keluarga itu telah menyerahkan dokumen berkenaan kepada Guiness untuk  pengesahan. Rekod sedia ada dipegang sepasang suami isteri  dari Carolina Utara yang mempunyai kembar tiga dengan jumlah berat  keseluruhan ialah 8.2 kilogram pada tahun lalu.
 Brittany, 32,  yang memberi makan bayi itu secara normal menghadiri kelas mingguan di  Sutter Memorial's Moms  untuk mempelajari bagaimana memberikan penjagaan  terbaik bayi baru lahir kepada kembar tiga miliknya.
 
      "Menjadi ibu kepada bayi kembar tiga amat menakutkan," katanya kepada Sacramento Bee. "Anda dengar mengenai kesukaran dan cabarannya.
 
       "Saya harap dengan menyaksikan saya dan mendengar pengalaman positif  yang saya lalui akan memberi inspirasi kepada ibu lain agar tidak berasa  takut dan membantu mereka menyedari bahawa mereka tidak sendirian,"  katanya.  Brittany, seorang jururawat onkologi di Pusat perubatan  Universiti California Davis berazam melanjutkan tempoh kehamilan kembar  tiga itu dengan sempurna. Dia memberi perhatian khas  mempelajari cara pemakanan untuk empat orang yang bermakna mengambil  makanan hingga 6,000 kalori dalam sehari. - DM
 
 
 | 
    |   Adun bebas Perak: Habis madu sepah dibuang     Posted: 16 Nov 2012 12:14 AM PST 2 Muharram 1433H. [MOD] -           IPOH:  Habis madu sepah dibuang. Mungkin peribahasa itu yang sesuai untuk  menceritakan nasib empat Adun Bebas di Perak yang berjaya menumbangkan  kerajaan negeri Pakatan sebelum ini. Kalau sebelum ini jasa mereka sangat diperlukan, Adun yang sudah berpangkat datuk pun tidak mendapat kerusi untuk bertanding. Ekoran  itu, Badan Perhubungan PAS Negeri Perak sudah menjangkakan akan berlaku  pelbagai pergolakan di dalam Komponen Barisan Nasional (BN) Negeri  Perak di ambang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 ini.  Terkini  adalah perkembangan kedudukan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawasan  Jelapang yang disandang oleh Datuk Hee Yit Foong setelah 'melompat'  parti dari DAP menjadi ADUN Bebas pada tahun 2009.  Datuk Hee  yang telah menyuarakan hasratnya mempertahankan kerusi tersebut atas  tiket BN atau MCA telah mendapat bantahan keras dari Datuk Seri Chua Soi  Lek, Presiden MCA yang juga Pengerusi Badan Perhubungan MCA Negeri  Perak. Pengumuman yang dibuat oleh Datuk Hee itu, samada telah  mendapat restu Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abdul Kadir atau tidak,  dengan segera mendapat maklumbalas Datuk Seri Chua yang menafikan  kedudukan kerusi DUN Jelapang yang sebelum ini ditandingi oleh MCA.  Namun sehingga kini Datuk Seri Zambry masih membisu seribu bahasa.  "Persoalannya  apakah kedudukan Datuk Hee pada PRU 13 nanti? Apakah pendirian Datuk  Seri Zambry sebagai Pengerusi BN Perak? Adakah juga Datuk Hee akan  bertanding atas tiket Bebas pada PRU 13 nanti. "Bagaimana pula  tentang kerusi DUN Bebas yang lain di DUN Behrang, Changkat Jering dan  Malim Nawar?" soal Ketua Penerangan PAS Perak, Ahmad Nuri Al-Amin (gambar ). Sehubungan  itu, beliau mewakili PAS Perak mencabar Datuk Seri Zambry menjelaskan  kedudukan ADUN-ADUN Bebas tersebut yang menjadi 'faktor utama' dan  'kuasa ketiga' terhadap rampasan kuasa Negeri Perak yang dipilih rakyat.   "Kami ingin melihat samada Datuk Seri Zambry akan menamakan  mereka untuk bertanding atas tiket BN pada PRU 13 nanti atau pun  bertanding atas tiket Bebas bagi membuktikan mereka masih releven buat  rakyat yang telah memilih mereka.  "Kami merasakan 'ujian besar'  buat Datuk Seri Zambry sama ada 'menerima' atau 'menolak' ADUN-ADUN  Bebas tersebut pada PRU 13 nanti!" katanya. 
 harakah/-  | 
    |   Semua nama calon PAS sudah disahkan     Posted: 16 Nov 2012 12:10 AM PST 2 Muharram 1433H. [MOD] -       (Sidang media selepas majlis perasmian muktamar) 
 PENGKALAN CHEPA: Majlis Syura Ulama PAS sudah meluluskan semua nama calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13
 Presiden  PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, senarai nama tersebut sudah  diteliti dan Majlis Syura Ulama sudah menapis nama-nama yang layak.
 
 "Semua nama calon mesti diluluskan oleh Majlis Syura Ulama.
 
 "Semua  nama sudah diserah kepada pusat dan Majlis Syura sudah luluskan  nama-nama yang layak bertanding, dan yang layak digugurkan," kata beliau  pada sidang media selepas menyampaikan ucapan dasar di Muktamar Tahunan  PAS, di Putik hari ini.
 
 Beliau turut menegaskan, PAS menekankan calon boleh menang, termasuk calon muslimat.
 
 "Semua nama diluluskan Majlis Syura Ulama tapi untuk menentukan dia bertanding, kena lihat kepada akar umbi.
 
 "Kita bukan sahaja nak letak calon tapi mahu calon boleh menang," katanya.
 
 Turut bersama pada sidang media ialah Timbalan Presiden, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali.
 
 Sementara itu, Ustaz Hadi menegaskan calon hanya akan diumumkan selepas tarikh pilihan raya diketahui.
 
 "Kebiasaannya  PAS umum calon bila tahu tarikh pilihan raya, lepas itu kita tetapkan  hari, sehari atau dua hari sebelum penamaan calon.
 
 "Jadi kita minta PM umum awal pilihan raya supaya kita boleh umum calon," katanya.
 
 Muktamar tahunan PAS kali ke-58 ini dihadiri 1116 perwakilan daripada 183 kawasan.
 
 harakah/-  | 
    |   Terbantut curi haiwan     Posted: 16 Nov 2012 12:08 AM PST 2 Muharram 1433H. [MOD] - 
 
  MAHAL...Chung bersama kucing baka benggal yang nyaris dicuri dalam kejadian pecah kedainya.   KESAN PECAH...Chung menunjukkan siling yang ditembusi pencuri untuk melarikan binatang. IPOH: Cubaan tiga lelaki melarikan beberapa ekor kucing, arnab dan  anak beruk dari sebuah kedai menjual haiwan peliharaan di sini, awal  pagi kelmarin, terbantut apabila usaha mereka digagalkan polis.   Dalam kejadian jam 3 pagi itu, tiga lelaki berusia 17 hingga 28  tahun dikesan menceroboh premis berkenaan di Gunung Rapat sebelum  disedari orang ramai. Ketiga-tiga suspek dicekup ketika  membawa bersama masing-masing seekor kucing bengal dan kucing siam  selain beberapa ekor arnab dan seekor anak beruk bernilai lebih RM3,000.
   Polis turut merampas beberapa barangan berharga lain termasuk wang  tunai RM300, sebuah komputer riba, dua tabung duit, dua beg makanan  kucing seberat 1.5 kilogram dan dua sangkar kucing yang dilarikan dari  premis berkenaan. Pemilik premis, Chung Weng Kee, 45, ketika  ditemui berkata, dia menerima maklumat kejadian itu selepas dimaklumkan  rakan yang tinggal berhampiran premisnya.
 Beliau berkata,  sejurus tiba, dia terus menghubungi polis sebelum ketiga-tiga suspek  berjaya diberkas tidak jauh dari premisnya.
        "Sebaik memeriksa di dalam premis, beberapa haiwan didapati hilang  dari sangkar pameran sebelum mendapati siling premis pecah dipercayai  dilakukan suspek untuk menyusup masuk ke premis ini. "Ia kejadian samun pertama di premis ini sejak saya menjalankan perniagaan ini 14 tahun lalu," katanya.
         Menurutnya, seorang suspek pernah datang ke premisnya Isnin lalu sebelum membeli seekor arnab bernilai RM60. Chung berkata, sebelum ini, ada beberapa kes pecah kedai di kawasan  ini namun ia hanya membabitkan kecurian wang tunai namun kali ini   berbeza kerana pencuri mensasarkan haiwan peliharaan yang bernilai  tinggi di pasaran.
 Saksi kejadian, Frankie Chin, 36,  berkata, dia dikejutkan dengan bunyi bising anjingnya yang menyalak kuat  sebelum melihat beberapa suspek memasuki premis menerusi siling.
 "Saya terus menghubungi pemilik premis dan polis bagi memaklumkan kejadian itu," katanya.
 Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Anuar Osman  ketika dihubungi berkata, kejayaan itu hasil kerjasama orang awam yang  melaporkan kepada polis selepas melihat kejadian.
 "Ketiga-tiga suspek berasal dari Ipoh dan mereka akan direman sehingga esok (hari ini)," katanya.
 Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan  yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda, jika  sabit kesalahan.
 
 sinar/-  | 
    |   Hadi: Beri Pakatan mandat, jangan takut untuk berubah     Posted: 16 Nov 2012 12:00 AM PST  2 Muharram 1433H. [MOD] -
  PENGKALAN CHEPA - Sementara negara sudah mula bersiap sedia untuk  melangsungkan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Datuk Seri Abdul Hadi  Awang memberi jaminan Pas bersama rakannya dalam Pakatan Rakyat (PR)  sudah bersedia untuk menggalas amanah yang lebih besar bukan sahaja di  peringkat negeri bahkan pusat - menggantikan Barisan Nasional (BN). 
  Sehubungan itu, Presiden Pas memberi keyakinan bahawa peralihan kuasa akan berjalan dengan lancar sekiranya PR diberi mandat. 
  "Pas percaya dan yakin bahawa peralihan kuasa dari BN ke Pakatan Rakyat  akan berlaku dengan lancar dan aman sekiranya rakyat memberikan  amanahnya kepada kita. 
  "Kepada rakyat keseluruhannya, jangan takut untuk berubah kepada yang lebih baik. 
  "Maka, sekiranya kita gagal melaksanakan amanah itu, rakyat bolehlah  menghukum kami dalam pilihan raya yang seterusnya," kata Abdul Hadi  ketika menyampaikan ucapan dasar presiden bertemakan Negara Berkebajikan  Teras Perpaduan pada Muktamar ke-58 parti itu di sini, hari ini. 
  Ia muktamar terakhir Pas sebelum PRU13 dipanggil. PRU13 disebut-sebut  akan dipanggil bila-bila masa sementara mandat Kerajaan Pusat akan  berakhir secara automatik pada 28 April. 
  Pas bersama DAP dan PKR membentuk PR sejak Mac 2008. Kerjasama  ketiga-tiga parti itu membawa kepada kemenangan di lima negeri selain  penguasaan 84 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum 2008.  Keyakinan itu, menurut Abdul Hadi, tentunya berpaksikan kepada sokongan  rakyat dan keahlian Pas yang merangkumi pelbagai bidang kepakaran,   selain dari kalangan teknokrat yang boleh bekerjasama dengan kerajaan  Pas dan PR. 
  "Sekiranya diberi amanah ini, maka Pas juga akan mengusulkan supaya  dimansuhan akta-akta yang zalim, mengembalikan kewibawaan institusi  penting dalam negara seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia  (SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), institusi pendakwaan dan  kehakiman, Parlimen, pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan  sebagainya. 
  "Perjalanan pilihan raya yang lebih adil dan bebas akan terus  diperjuangkan oleh Pas, walaupun setelah kita sampai ke Putrajaya nanti  kerana inilah ciri sebuah negara demokrasi yang sihat," katanya lagi. 
  Menyedari bahawa tinggal beberapa lama sahaja lagi sebelum Pilihan Raya  Umum ke-13 (PRU13), pimpinan Pas digesa untuk mempertahankan  negeri-negeri yang sudah dimenangi pada pilihan raya lalu dengan penuh  keazaman. 
  "Kita juga menyedari bahawa sudah tentunya tempoh hampir lima tahun ini  tidak mencukupi untuk kita lakukan perubahan yang besar yang kita  citakan di negeri yang kita perintah, kerana dalam masa yang sama kita  berdepan dengan konsep federalisme songsang yang memberikan kuasa negeri  yang terhad. 
  "... campur tangan dan tekanan secara tidak adil oleh Kerajaan Pusat  terhadap pemerintahan kita, tidak sempatnya kita menukar sistem  pentadbiran menyusahkan rakyat yang berakar umbi dari peninggalan  kerajaan BN sejak sekian lama, selain dari beberapa kelemahan kita  sendiri yang perlu dibaiki secara berterusan dengan seni menyelesaikan  masalah secara penuh hikmah," katanya lagi. 
  Abdul Hadi dalam pada itu mengingatkan pimpinan Pas supaya bersiap  sedia ke tahap paling tertinggi untuk menghadapi PRU13 terutama dalam  mendepani mainan nakal serta provokasi media dan seteru politik parti  itu yang akan menggunakan pelbagai cara untuk menggugat hubungan baik  bersama PR. 
  "Jangan mundur, jangan terkeliru. Dengarlah panduan dan kenyataan rasmi  yang diberikan oleh pimpinan tertinggi dari masa ke semasa. 
  "Semua pihak dalam parti perlulah mengelakkan diri dari melakukan kesilapan yang meremehkan kita di hadapan rakyat," katanya. 
  Seluruh pimpinan dan perwakilan kemudiannya diarah oleh Abdul Hadi untuk melaksanakan tugas pilihan raya dengan penuh hikmah. 
  "Bukan musuhi rakyat, bertemu, bercakap dan menulislah dengan bahasa  yang difahami oleh mereka, semuanya dengan penuh keikhlasan dan mendapat  keredhaan ALLAH s.w.t," kata Abdul Hadi. 
 harakah/-                
 | 
    |   Saya puas hati dengan Harakah - Presiden     Posted: 15 Nov 2012 11:26 PM PST 2 Muharram 1433H. [MOD] -       KOTA BHARU: Disebalik kritikan yang dilemparkan kepada  Harakah khususnya oleh Dewan Pemuda PAS dan Dewan Ulamak dalam muktamar  kedua-dua dewan itu semalam, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul  Hadi Awang hari ini turut membuat penjelasan.  Beliau  yang ditanya wartawan berhubung perkara itu berkata, PAS bersedia  menerima segala teguran yang dibuat mana-mana pihak terhadap lidah rasmi  parti itu.
 "Kita orang Islam diajar tiada yang sempurna, yang sempurna Tuhanyang satu. Saya pun tak sempurna orang boleh kritik.
 
 "Dalam masa yang sama kita menerima nasihat dari semua pihak," katanya.
 
 Bagaimanapun  bagi beliau, peranan Harakah membawa suara parti setakat ini boleh  dibanggakan walaupun berdepan tekanan dan kekangan dari pelbagai sudut.
 
 "Sehingga ini saya berpuas hati dengan Harakah dan Harakahdaily.
 
 "Kita  kena faham bahawa Harakah berada dalam persimpangan, untuk ahli parti  dan pada masa yang sama  perlu sebarkan maklumat kepada umum. Jadi  inilah yang menjadi dilema," katanya.
 
 Beliau berkata demikian  sebagai mengulas usul yang dibawa Dewan Pemuda PAS Wilayah semalam yang  mahu PAS membuat rombakan semula sidang editorial lidah rasmi parti itu  kerana didakwa perjuangannya telah terpesong dari matlamat penubuhan  asal.
 
 Dalam usul itu juga, mereka mahu PAS menubuhkan satu  jawatankuasa penapis bagi membuat saringan terhadap berita-berita yang  dilaporkan.
 
 Terdahulu sewaktu menyampaikan Ucapan Dasar Presiden  pagi tadi, Tuan Guru Abdul Hadi berkata, kesemua jentera penarangan PAS  iaitu Harakah, Harakahdaily dan Lajnah Penerangan, perlu terus  diperkasakan dalam usaha menyampaikan maklumat kepada rakyat.
 
 Beliau  juga berbangga dengan wartawan dan petugas penerangan kerana sanggup  dan setia bertugas dengan parti walaupun berpeluang mendapat lebih jika  berkerja dengan organisasi lain.
 
 Ditanya adakah PAS akan membuat  pengstrukturan semula sidang editorial Harakah seperti desakan dalam  usul Dewan Pemuda semalam itu, beliau berkata perkara itu akan dibincang  dahulu secara dalaman.
 
 "Itu masalah dalaman parti, jadi kita akan bincang di peringkat dalaman," katanya.
 
 harakah/-  | 
    |   Siap hadapi 'taufan wang' - Presiden PAS     Posted: 15 Nov 2012 11:20 PM PST  2 Muharram 1433H. [MOD] -      
 (Para tetamu, perwakilan dan pemerhati Muktamar PAS ke 58 di Putik, Pengkalan Chepa, Kelantan) 
 KOTA BHARU: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul  Hadi Awang menggesa ahli parti melakukan tindakan secara terancang bagi  melawan serangan "taufan wang" yang bakal digunakan Umno BN menjelang  Pilihan Raya Umum Ke-13.  Beliau  berkata, PAS akan berdepan dengan ujian getir iaitu rakyat dipujuk  dengan wang, projek dan sebagainya, selain daripada pelbagai cara  penipuan yang menjadi senjata utama Umno BN. "Petugas PAS perlu  banyak bersabar dan kekal bersiap sedia walaupun terganggu oleh strategi  BN melambat-lambatkan PRU, sebab penundaan tarikh-tarikh PRU adalah  sememangnya strategi BN untuk menurunkan moral serta melemahkan  kedudukan kewangan kita,  selain dari mereka juga cuba memancing isu yang  akan memerangkap kita.
 "Sepanjang tempoh ini jugalah, kita akan  berdepan dengan tiupan api perkauman dan ketegangan oleh media arus  perdana yang menjadi perkakas dalam mempertahankan kerakusan kerajaan  Umno BN. Teguhlah dengan jemaah, nescaya kita akan terus selamat dan  mampu menghadapi dengan cabaran ini," katanya.
 
 Beliau berkata  demikian sewaktu menyampaikan Ucapan Dasar Muktamar Tahunan PAS Ke-58  yang bertema 'Negara Berkebajikan Teras Perpaduan' di Putik, dekat sini,  hari ini.
 
 Dewan Putik penuh sesak dengan perwakilan dan  pemerhati yang datang dari seluruh negara untuk mengikut dan menyertai  muktamar terakhir menjelang pilihan raya umum ke 13.
 
 Terdahulu, Ustaz Hadi menerima tabik hormat dari pasukan Unit Amal serta dipersembahkan dengan kawad kaki dari Briged Amal.
 
 
 Persiapan rapi
 
 
 Ustaz  Hadi turut meminta ahli membuat persediaan rapi menjaga Parlimen atau  Dun masing-masing bagi menghadapi musuh yang amat licik.
 
 Tambah  beliau, petugas juga perlu bersedia menangani kedatangan orang-orang  Melayu khususnya golongan muda yang sudah berubah tetapi tidak  menzahirkan sokongan kerana menghormati ibu bapa mereka yang masih  menyokong Umno.
 
 "Sikap orang muda sekarang amat berbeza dengan  generasi terdahulu. Fahamilah, bahawa mereka tidak suka ceramah yang  mencaci-cela orang, mereka menyokong PAS tetapi tidak mahu menjadi ahli,  mereka mahukan pimpinan PAS memperincikan agenda-agenda yang dijanji  dan dan bukan sekadar retorik, mereka cepat cakna perkembangan semasa  kerana sentiasa berkomunikasi antara satu sama lain menerusi facebook,  blog, sms dan lain-lain," katanya.
 
 Kerusi 
 Selain itu katanya, PAS juga harus memenangi sebanyak mungkin kerusi  yang diamanahkan kepada parti itu dengan keutamaan mempertahankan semua  kerusi Parlimen yang telah dimenangi dalam PRU 2008 (24 kerusi).
 "Kerusi  parlimen yang lain akan diberikan suntikan kerja yang tersusun dengan  disokong oleh pimpinan pusat yang diamanahkan tugas tumpuan ini, semua  parlimen yg ditandingi PAS di Sabah dan Sarawak akan juga diberi tumpuan  khusus bagi menjamin kemenangan bersama," katanya lagi.
 
 Justeru  tegasnya,  media parti seperti Harakah dan Harakahdaily bersama-sama  jentera penerangan parti mesti bertindak membentuk fikrah dan  menyampaikan maklumat berdasarkan acuan parti yang telah distrategikan.
 
 "Tempoh  yang ada ini wajar dimanafaatkan sepenuhnya untuk menyampaikan maklumat  pencapaian pemerintahan kerajaan kita kepada ahli-ahli kita, yang  kemudiannya akan menyampaikannya kepada rakyat yang menjadi pengundi  senyap dalam pilihanraya. Konsep mendahulukan kebijaksanaan daripada  kemusnahan atau kemarahan hendaklah diutamakan," katanya.
 
 Memandangkan  pilihan raya kali ini merupakan pilihan raya yang melibatkan perang  siber, persiapannya bukan lagi seperti pilihan raya yang pernah dilalui  sebelum sebelum ini.
 
 Sebaliknya, petugas di semua peringkat mesti  melakukan reformasi cara bekerja dengan menguasai teknologi maklumat  dan komunikasi (ICT) terutamanya dalam menghadapi fenomena perang siber  menerusi media baru ICT sekarang ini.
 
 "Kerjasama penerangan dan  ICT perlu diperkukuhkan segera untuk menghadapi PRU-13 ini dengan  mewujudkan satu urusetia berkaitan media baru sebagaimana yang  diresolusikan dalam Persidangan ICT dan Media Baru 2011 pada tahun  lepas.
 
 "Saya menyeru kepada semua pimpinan PAS terutamanya yang  terlibat dengan Lajnah Penerangan dan Jabatan Pilihanraya disemua  peringkat melihat potensi ICT dan Media Baru ini dimanfaatkan sepenuhnya  untuk tujuan kempen dan dakwah melalui laman sesawang, youtube,  facebook, twitter, webtv, selain dari ceramah dan bahan-bahan media  cetak," katanya
 
 HARAKAH/-  | 
    |   Suami durjana tipu isteri     Posted: 15 Nov 2012 11:18 PM PST 2 Muharram 1433H. [MOD] - 
 JOHOR BAHRU - Detik perkenalan seorang jururawat dan seorang doktor  hingga membawa ke gerbang perkahwinan disangkakan membawa bahagia  berpanjangan tetapi rupa-rupanya mengundang derita berpanjangan.  
 Demikian nasib malang seorang janda kerana dia bukan saja  ditinggalkan suaminya tanpa diberi nafkah malah lelaki yang pernah  bersumpah sehidup semati dengannya itu turut bertindak kejam memalsukan  tandatangannya untuk membuat pinjaman sehingga membuatkan wanita itu  bakal diisytiharkan muflis. 
 Nora Ahmad, 42, yang merupakan jururawat di sebuah pusat hemodialisis  di Senai dekat sini ketika menceritakan kisah perit hidupnya berkata,  kepincangan hidupnya bermula ketika rumah tangga yang dibina oleh  suaminya yang juga merupakan seorang doktor mengalami keretakan sejak  tahun 2005. 
 "Hampir lapan tahun lamanya dia meninggalkan saya dan empat orang  anak tanpa pesan dan rupa-rupanya dalam tempoh itu dia sudah berkahwin  tiga iaitu pada tahun 1998, 2006 dan pada tahun 2009, saya difahamkan  dia melangsungkan perkahwinan di Thailand bersama pasangannya," katanya. 
 Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabat Timbalan Pengerusi  Biro Aduan Awam MCA Cawangan Johor Bahru, Michael Tay Chee Boon di sini  semalam. 
 Pada 12 Jun lalu, ibu tunggal ini dikejutkan dengan surat berdaftar  yang dikirimkan oleh sebuah bank di sini yang menyatakan dia bakal  diisytiharkan muflis dan namanya akan disenaraihitamkan oleh Bank Negara  jika hutang pinjaman tidak dilangsaikan. 
 "Saya tertanya-tanya apa kesalahan saya dan bila semakan dibuat,  rupa-rupanya bekas suami saya telah meletakkan nama saya sebagai  penjamin tanpa pengetahuan saya untuk membeli mesin pengimbas berharga  RM35,000 pada 3 Januari 2007 yang lalu. 
 "Yang lebih membuatkan saya marah, dia telah memalsukan tandatangan  saya. Sekarang, pihak bank terus memburu saya untuk membayar semula  pinjaman itu yang kini sudah mencecah RM58,000," kata jururawat yang  baru saja bercerai dengan suaminya yang berumur 44 tahun yang berasal  dari Pontian pada Februari lalu. 
 Apabila tembelang jahat lelaki beristeri empat itu pecah, Nora  memberitahu, bekas suami yang pernah memiliki dua buah klinik di Senai  terus menyembunyikan diri dan kali terakhir dia sempat bercakap dengan  suaminya ialah pada Jun lalu dengan pelbagai alasan diberi. 
 "Saya sudah tak mampu menanggung bebanan ini, ia bukan masalah saya  tetapi saya telah diperdaya dengan bekas suami dan saya minta dia tampil  selesaikan kemelut ini," rayunya yang telah membuat laporan polis di  Balai Polis Senai di sini. 
 Mengulas lanjut mengenai kemelut ini, Michael berkata, pihaknya akan  membantu Nora untuk mendapatkan peguam bagi memohon agar menangguhkan  seketika prosiding kes yang akan berlangsung pada 19 Disember ini. 
 "Selain menggesa bekas suami Nora supaya tampil, saya ingin meminta  penjelasan pihak bank berkenaan mengapa pihak penjamin tidak dipanggil  bersama ketika surat perjanjian ditandatangani?," soalnya. 
 METRO/-  
 | 
    |   Abby Abadi Saman Utusan Malaysia RM5 Juta     Posted: 15 Nov 2012 11:15 PM PST 2 Muharram 1433H. [MOD] - 
  Baru-baru ini, hasil daripada nasihat  peguam, Fadiah Nadwa, pelakon Abby Abadi  atau nama sebenar Arbaiyah  Abdul Manan akan memfailkan saman dan tuntutan sebanyak RM5 Juta ke atas  akhbar pemegang rekod paling banyak kalah saman di Malaysia kerana  memfitnah, iaitu Utusan Malaysia. Abby turut meluahkan kekecewaannya dan  mendedahkan bahawa akhbar milik Umno itu sering melakukan fitnah ke atas  dirinya meskipun sebelum beliau menyertai Pakatan Rakyat. 
 Menurut peguam, pihak Abby Abadi menuntut RM5 juta dan permohonan maaf  dalam masa tujuh hari yang mesti disiarkan dalam Utusan Malaysia kerana  memfitnah pelakon itu.
 
 | 
    |   Tanah Runtuh: Jalan Ampang-Hulu Langat Ditutup Sementara      Posted: 15 Nov 2012 08:53 PM PST  2 Muharram 1433H. [MOD] -
             KUALA LUMPUR: Jalan Ampang-Hulu Langat ditutup  sementara berikutan tanah runtuh di kawasan berdekatan Menara Tinjau,  Bukit Ampang petang Khamis.
 Ketua Polis Ampang Jaya ACP Amiruddin Jamaludin berkata runtuhan itu  dipercayai berpunca daripada hujan lebat beberapa hari lepas.
 
 "Justeru, orang ramai diminta menggunakan jalan alternatif lain," katanya kepada Bernama malam Khamis.
 
 Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor menyatakan  runtuhan lereng bukit seluas kira-kira 50 meter persegi itu didapati  telah menutupi jalan berkenaan, menyebabkan lalu lintas tergendala.
 
 Dalam sistem pesanan ringkas, jurucakap jabatan itu berkata pihaknya  menerima maklumat mengenai runtuhan itu pada 6.11 petang Khamis.
 
 Beliau berkata Jabatan Kerja Raya juga telah menutup keseluruhan  jalan dan polis peronda berada di lokasi bagi membantu mengawal lalu  lintas.
 
 "Tiada mangsa terlibat dalam kejadian ini," katanya. -BERNAMA
 
 
 | 
    |   Buat perangai lepas popular     Posted: 15 Nov 2012 08:43 PM PST  2 Muharram 1433H. [MOD] -
 KAJANG: Dia digelar ustaz selepas diangkat menerusi sebuah rancangan  realiti TV berkonsepkan agama yang popular di Malaysia dan di peringkat  antarabangsa.  
   Namun perwatakan sebagai suami penyayang dan menantu yang paling  disayangi ibu mentua kini berubah sekelip mata apabila dikatakan  tergamak mengugut mahu melakukan sesuatu yang buruk terhadap ibu mentua  sehingga wanita itu kini bersembunyi di tempat lain. 
   Ustaz yang berjawatan tinggi dalam sebuah syarikat petroleum  terkemuka negara itu dikatakan mengugut isteri dan keluarga mentua  apabila menuntut wang RM140,000 daripada isterinya atas alasan membayar  kembali kos sara hidup dia bersama isterinya, termasuk perbelanjaan  ketika membawa anak saudara keluar bersiar-siar.
 Kemuncak drama  gila lelaki terbabit berlaku apabila dia memberanikan diri pergi ke  rumah ibu mentuanya di Pahang, pada Isnin lalu.
      Dia menunggu di luar rumah untuk menuntut wang berkenaan.
 
 metro/-  
 | 
    |   UMNO Itu Melayu Dan Melayu Itu Islam? Tidak Benar Samasekali!     Posted: 15 Nov 2012 08:38 PM PST 2 Muharram 1433H. [MOD] - 
 Adakah parti UMNO itu khusus untuk Melayu  seperti namanya "Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu?" dan apakah semua  ahli UMNO itu Islam? Sepertimana didakwa oleh ramai pemimpin-pemimpin  dan ahli-ahli UMNO?  TIDAK samasekali. Gambar diselah kiri ini ialah Datuk John Ambrose, ketua UMNO bahagian penampang yang beragama Kristian.  Sekaligus membuktikan bahawa UMNO bukan parti Melayu jauh sekali sebuah parti Islam! 
 Sellain John Ambrose, ramai lagi yang menjadi ahli berdaftar UMNO itu yang bukan Melayu dan bukan Islam.
 
 Sebagai contohnya, Charern Intachat (gambar kanan) Ketua Cawangan UMNO  Kota Giam Sungai Baru Bahagian Kubang Pasu, adalah seorang penganut  Budha.
 
 Bukan dia sorang…. Charem Intrachat ini adalah Pengerusi Persatuan Siam Malaysia. Persatuan ini bernaung di bawah UMNO.
 
 
 | 
    |   Gaza makin meruncing, dua roket melanda Tel Aviv     Posted: 15 Nov 2012 08:36 PM PST  2 Muharram 1433H. [MOD] -       Keadaan semakin tegang di Timur Tengah dengan Israel dan Hamas, terus  berbalas tembakan dalam keganasan terburuk sejak serangan Israel ke  atas wilayah itu hampir empat tahun lalu.
 
 Tiga rakyat Israel meninggal dunia di bandar utara, Kiryat Maleakhi  Khamis lalu selepas roket yang dilancarkan dari Gaza melanda sebuah  bangunan apartmen.
 
 Sumber Israel berkata dua roket dilancarkan ke Tel Aviv - dengan  sebuah peluru berpandu mendarat di laut manakala peluru berpandu lain  melanda kawasan yang tidak didiami , kawasan pusat komersial Israel.
 
 Siren serangan udara menyebabkan penduduk mencari perlindungan di Tel  Aviv, sebuah bandar Mediterranean yang tidak pernah diserang roket  sejak Perang Teluk 1991.
 
 Jihad Islam, satu lagi kumpulan yang berpangkalan di Gaza berkata  mereka telah melancarkan salah satu roket yang menyerang Tel Aviv.
 
 Walaupun kawasan selatan Israel berhampiran Gaza telah lama berhadapa  situasi tersebut, namun serangan ke atas kawasan Tel Aviv menggambarkan  keupayaan Hamas yang telah meningkat.
 
 Pejuang Palestin pernah menyerang Rishon Lezion sebelum ini tetapi  tidak pernah sampai ke Tel Aviv, kira-kira 70 km utara Sttrip Gaza.
 
 Sekurang-kurangnya 16 rakyat Palestin, termasuk dua kanak-kanak,  telah terbunuh dan lebih 150 yang lain cedera Khamis dalam pertempuran  yang bermula dengan serangan udara yang membunuh Ahmad Jabari, komander  tentera Hamas yang dituduh Israel menjadi dalang serangan terhadap orang  awam.
 
 "Ia adalah penting untuk memahami satu perkara yang mudah: tiada  moral yang simetri antara pengganas di Gaza dan Israel," ujar Binyamin  Netanyahu, Perdana Menteri Israel, Khamis lalu.
 
 "Mereka telah melakukan jenayah perang berganda: mereka menyerang  orang awam Israel dan bersembunyi di belakang orang awam Palestin."  (aljazeera.com)
 
 harakah/-
 | 
    |   Manfaatkan muktamar, p'raya sudah dekat     Posted: 15 Nov 2012 08:14 PM PST 2 Muharram 1433H. [MOD] - 
 KOTA BHARU: Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali mengaharapkan  Muktamar Tahunan  PAS kali ke-58 yang berlangsung bermula hari ini  menjadi medan  memperkuatkan parti berdepan Pilihan Raya Umum ke-13  (PRU13) yang akan  datang.
 Berucap memberikan aluan pada muktamar di Pusat Tarbiyah  Islamiyah Kelantan (Putik) pagi ini beliau berkata, para perwakilan  harus menggunakan peluang muktamar ini sebaik mungkin kerana PAS sudah  tidak banyak masa untuk menghadapi PRU13.
 
  Ini  kerana menurutnya, PRU13 mesti diadakan paling lewat pada tarikh 27 Jun  2013 manakala parlimen akan terbubar secara automatik pada tarikh 29  April jika tiada sebarang pembubaran lebih awal dari itu. Justeru katanya, muktamar ini adalah masa paling penting yang ada untuk melakukan penambahbaikan dan persediaan untuk parti. "Muktamar ini mesti digunakan untuk memberi kritikan membina kerana kita sudah tidak banyak masa untuk PRU13," tegasnya. Menurt  beliau lagi, semua pihak meyakini bahawa pilihan raya akan datang ini  adalah paling sengit dalam sejarah politik negara ini. Ianya boleh dilihat dari kenyataan pemimpin-pemimpin Umno BN yang mendakwa pilihan raya kali ini adalah hidup mati bagi mereka. "Sabab itu kita meyakini bahawa Umno BN akan melakukan apa sahaja untuk mengekalkan kuasa mereka," tegasnya lagi. Sehubungan  itu gesanya, semua pihak dalam parti perlu bersiap sedia pada taham  paling tinggi berdepan segala manipulasi yang akan berlaku. Beliau juga memberi peringatan bahawa menawan Putrajaya 'bukan matlamat akhir' PAS dalam menyertai politik negara ini. Namun ujarnya, matlamat lebih besar adalah mengisi kemenangan selepas itu dengan perinsip keadilan Islam dalam pemerintahan. Sementara itu, hampir 5000 perwakilan dan pemerhati hadir pada muktamar PAS kali ini.
 Selain  pemimpin PAS, pimpinan Pakatan Rakyat lain yang hadir termasuklah  Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail dan Timbalan Pengerusi DAP  Tan Seng Giaw.
 
 Wakil-wakil gerakan Islam antarabangsa juga turut  hadir pada muktamar ini dan antaranya Hamas Syria dan gerakan Islam dari  Sri Lanka.
 
 Muktamar kali ini juga turut dihadiri ahli baru PAS  khususnya dari kalangan bekas pegawai kerajaan, seniman dan artis, ahli  kademik dan aktivis masyarakat.
 
 Pada sesi pagi ini akan  berlangsung Ucapan Dasar Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi  Awang yang dijangka memberi fokus khusus kepada beberapa isu termasuk  persiapan PRU13.
 
 harakah/- | 
    |   Pramugari Egypt Air Mula Pakai Hijab     Posted: 15 Nov 2012 08:12 PM PST 2 Muharram 1433H. [MOD] - 
 Kaherah – Semua krew wanita pesawat  Egypt Air memakai hijab buat kali pertama sejak syarikat penerbangan  nasional itu diasaskan pada 1932. Egypt Air berkata, etika pemakaian itu perlu dipatuhi selepas menerima saranan daripada ulama. 
 "Beliau sarankan pemakaian itu dan hukumnya wajib, terutama penerbangan ke Jeddah," katanya.
 
 Ketika pemerintahan Presiden Hosni Mubarak, hijab dianggap janggal,  terutama mereka yang bertugas di stesen televisyen dan syarikat  penerbangan nasional.
 
 Namun, selepas beliau diganti dengan Mohamed Mursi, wanita diberi kelonggaran mengenakan hijab. – AFP
 
 | 
    |   Kehangatan pilihan raya 13 bermula di Putik     Posted: 15 Nov 2012 08:07 PM PST  2 Muharram 1433H. [MOD] -        KOTA BHARU: Debar dan penantian pemerhati politik  untuk melihat sejauh  mana keseriusan PAS dan Pakatan Rakyat menghadapi  piilihan raya umum ke-13, hari ini mulai tertumpu ke Pusat Tarbiah  Islamiah Kelantan (Putik).
 Muktamar kali ke-58 bermula dengan suasana ceria biar pun Kelantan  memasuki musim tengkujuh. Ketibaan Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik  Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang  di celah-celah kehadiran orang ramai kira-kira jam 9 pagi.
 
 Putik yang agak sunyi selepas berlalu muktamar dua tahun lalu, hari  ini kembali menjadi meriah semula dengan agenda muktamar yang akan  berlangsung sehingga Ahad ini.
 
 Sejurus ketibaan, Presiden melakukan pemeriksaan pasukan anggota Unit  Amal dan Nisa'. Paluan kertuk, rebana dan gendang Cina memeriahkan  kelangsungan muktamar.
 
 Muktamar diceriakan lagi dengan kehadiran Presiden PKR, Datuk Dr Wan  Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution  Ismail, Penasihat DAP, Dr Tan Seng Giaw dan Ketua Pemuda DAP, Anthony  Loke.
 
 Turut hadir wakil-wakil gerakan Islam dari luar Negara, antaranya  Hamas diwakili Ibrahim Yussof, Ahmad Kassir, Muslim Abu Omar, manakala  Ikhwan Muslimin Syria diwakili, Dr Mohd Walid, Dr Riduan Alami, Dr  Asalam Alamah.
 
 Selain itu wakil Jemaah Islam Sri Lanka. Tokoh lain termasuk bekas  Pengerusi Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang, Datuk Seri Abdul Rahman  Maidin, bekas anggota Batu Berendam, Datuk Thamrin Ghaffar,  veteran-veteran PAS termasuk Ismail Ahmad dan Ustaz Ahmad Awang.
 
 Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, penantian  untuk  mengikuti muktamar lewat sikit diadakan tahun ini kerana mengambil  faktor pilihan raya yang diuar-uarkan diadakan Jun lalu.
 
 "Ia khabarnya  diadakan pada Jun lalu. PRU ke-13 diadakan tidak lewat  daripada 27 Jun 2013 berikutan tempoh penggal parlimen ke-12 akan  berakhir dengan mengambil kira tarikh 28 April 2008 bermula sidang  pertama parlimen," katanya pada ucapan aluan.
 
 Ekoran itu katanya, perwakilan hendaklah menggunakan medan muktamar  kali ini untuk bermuhasabah dengan memberi teguran bagi kebaikan jemaah.
 
 "Lagi pun kita tidak ada banyak masa sekarang. Kita yakin PRU 13  pertaruhan paling sengit dalam sejarah pilihan raya kita. PRU 13 jadi  penentu kepada hidup atau mati Umno, mereka melakukan apa sahaja bagi  mempertahan kuasa yang ada.
 
 "Oleh itu PAS dan Pakatan siap siaga dengan kekuatan spiritual  diperlukan. Bagaimanapun kejayaan menawan Putrajaya bukan matlamat akhir  bagi PAS," ujarnya.
 
 harakah/-
 
 | 
    |   Kembar hilang di malam hari      Posted: 15 Nov 2012 07:35 PM PST  2 Muharram 1433H. [MOD] -
  POKOK SENA – Penantian lima tahun seorang suami  untuk menimang  cahaya mata  sulung musnah apabila kembar perempuan dalam kandungan  isterinya didakwa hilang secara misteri pada Isnin lalu. 
 Kejadian tidak diduga itu didakwa menimpa Norliana Manaf, 28, semasa  dia bermimpi ketika dia tidur di rumah ibunya, Che Som Endut, 57, di  Kampung Kelut, Jabi di sini malam kelmarin. 
 Lebih mengejutkan, rekod pemeriksaan bulanan kandungannya di Klinik  Kesihatan Bukit Jambul, Pulau Pinang  turut dipercayai hilang pada malam  yang sama. 
 "Pada malam berkenaan, saya bermimpi lima wanita berjubah mendekati  saya sambil membacakan sesuatu sebelum mereka hilang selepas azan Subuh  berkumandang. 
 "Apabila terjaga, saya mendapati perut yang selama ini besar dan berat, tiba-tiba berasa ringan dan kempis.  "Saya mula syak ada benda yang tidak kena berlaku lalu mengejutkan suami saya, Aziz Hussein untuk memberitahu apa yang berlaku. 
 "Apabila saya pergi ke Klinik Kesihatan Pokok Sena untuk tujuan  pemeriksaan pada kira-kira pukul 9 pagi esoknya,  bayi dalam kandungan  saya disahkan sudah hilang. Saya hanya mampu menangis," cerita Norliana  kepada pemberita di sini semalam. 
 Dia yang tinggal di Bukit Jambul, Pulau Pinang, dijadual bersalin pada 3 November lepas. 
 Berikutan itu, dia mengambil keputusan untuk tinggal di rumah ibunya sejak sebulan lalu untuk tujuan bersalin. Menjelaskan lebih lanjut, Norliana berkata, suaminya yang berusia 27  tahun telah membawanya membuat ujian pengimbasan di Klinik Kesihatan  Bukit Jambul sebelum ini yang memaklumkan dia mengandung kembar  perempuan. 
 "Bagaimanapun semasa kakitangan Klinik Kesihatan Pokok Sena  menghubungi Klinik Kesihatan Bukit Jambul untuk mengesahkan dakwaan saya  itu, mereka dimaklumkan bahawa rekod tersebut telah hilang," ujarnya. 
 Norliana turut dibawa menemui pengamal perubatan tradisional oleh  keluarga dua hari lalu untuk mendapat kepastian mengenai kejadian itu. 
 "Mereka memaklumkan perkara sama seperti  doktor iaitu anak saya hilang dalam kandungan," katanya. 
 kosmo/-  | 
    |   Jurujual wanita ditahan kerana sembunyi kelahiran     Posted: 15 Nov 2012 07:23 PM PST  2 Muharram 1433H. [MOD] -Polis  menahan seorang wanita yang disyaki menyembunyikan kelahiran dalam  kejadian di sebuah rumah di Batu 5, Jalan Meru, di Klang semalam.
 Ketua  Polis Daerah Klang Utara ACP Mohd Shukor Sulong berkata kejadian itu  disedari kakak suspek yang tinggal serumah dengan wanita berusia 24  tahun tersebut, selepas curiga dengan tingkah laku adiknya.
 
 "Kakaknya  yang berusia 27 tahun kemudian masuk ke bilik adiknya dan menemui mayat  seorang bayi lelaki yang cukup sifat di atas tilam tengah hari tadi.  Dia kemudian membuat laporan polis," katanya ketika dihubungi di Klang.
 
 Siasatan awal polis mendapati bayi berkenaan lahir mati, katanya.
 
 Menurutnya wanita yang bekerja sebagai jurujual itu dipercayai melahirkan bayi tersebut pukul 4 petang semalam.
 
 "Polis  turut menemui tali pusat bayi itu di dalam sebuah beg plastik dan kita  percaya suspek bertindak memotong sendiri tali pusat itu selepas  melahirkannya," katanya.
 
 Menurut Mohd Shukor, soal siasat  ke atas suspek mendapati bapa bayi itu adalah warga Bangladesh yang  telah pulang ke negara asalnya pada Mac lepas.
 
 "Wanita itu  dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Rahimah untuk menerima rawatan. Dia  akan didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan atas kesalahan  menyembunyikan kelahiran bayi," katanya.
 
 Menurutnya jika sabit kesalahan, wanita itu boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
 
 - Bernama
 
 | 
    |   Pengundi warga asing bakal adili BN     Posted: 15 Nov 2012 07:08 PM PST  2 Muharram 1433H. [MOD] -
  Sejak hari dilaporkan berlakunya kes rogol oleh tiga anggota polis Malaysia terhadap mangsa seorang TKI atau tenaga kerja Indonesia, media di Indonesia selama dua hari berturut-turut mengangkat isu tersebut sebagai isu nasional yang telah mencalarkan maruah mereka.  
 Bahkan turut diungkit tentang isu 'Indonesian Maid For Sale' yang dikatakan masih belum meredakan  panasnya  telinga para TKI. Saluran TV Swasta yang paling hangat membicarakan kes ini sehingga diforumkan adalah TVOne, diikuti MetroTV dan TVInspirasi. 
  Dalam satu wawancara TVInspirasi dengan seorang bekas pembantu rumah TKI di Malaysia, dinyatakan oleh TKI tersebut bahawa selama bekerja di Malaysia, perkara yang dijanjikan tidak pernah dipatuhi. Isu ini sesungguhnya boleh memanaskan kembali hubungan Malaysia-Indonesia yang selama ini panas dingin.  
     Bagi saya sebagai orang awam dan rakyat Malaysia melihat kes ini sesuatu yang sangat memalukan. Suatu jenayah kemanusiaan. Pihak berwajib  sepatutnya melindungi orang ramai bukannya melakukan jenayah terhadap mereka. Menyemak dialog dalam filem Ahmad Albab,  
 Syawal mengingatkan Sarjana, "Ente polisi mesti jaga keamanan, bukan bikin rusuhan".  Kita berharap kerajaan Barisan Nasional mampu menangani masalah ini seadilnya. Syabas diucapkan kepada kerajaan negeri (Pakatan Rakyat) Pulau Pinang yang sangat mengambil berat terhadap mangsa.  
 Apapun kita tahu, rakyat Indonesia mempunyai ikatan kenegaraan yang amat kukuh dalam kalangan mereka. Mungkin mereka yang telah mendapat keistimewaan sebagai pengundi di Malaysia bakal menghukum Barisan Nasional dalam PRU 13 nanti.  
   Oleh Annuar Kamaruddin. |