PULAU PINANG: 
"Saya istiqamah bersama dengan PAS menerusi kepimpinan ulama," demikian ditegaskan oleh Sasterawan Negara, Prof Emeritus Datuk Shahnon Ahmad dalam ziarah mahabbah Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr. Khairuddin A. Razali ke rumah beliau di Minden, Gelugor, pagi tadi.
Malah, beliau sangat yakin menerusi tahaaluf siyasi (kerjasama politik) yang merupakan persefahaman antara tiga parti iaitu PAS, PKR dan DAP yang insya Allah mampu menumbangkan kerajaan Barisan Nasional dalam PRU13 nanti.

"Saya istiqamah bersama dengan PAS menerusi kepimpinan ulama. Saya sangat yakin, Insya Allah menerusi tahaaluf siyaasi yang merupakan persefahaman bersama antara tiga parti; PAS, PKR dan DAP, kita bakal menumbangkan kerajaan Barisan Nasional yang telah banyak melakukan kezaliman terhadap rakyat, malah tidak yakin dengan penyelesaian al-Quran dan al-Sunnah.

"Umno tak yakin dengan al-Quran dan Sunnah, berbeza dengan PAS yang berpegang teguh dengan al-Quran dan Sunnah. Kerana dasar yang dipegang oleh PAS itulah saya masuk PAS," ujar beliau lagi.

Malah beliau mengajak seluruh rakyat Malaysia merujuk kepada artikel beliau yang menjelaskan kenapa bersama PAS dalam buku tulisan bertajuk "Perjalananku Sejauh Ini: Sebuah Autobiografi" yang dikeluarkan pada tahun 2006 selepas beliau tidak lagi menjadi ahli Parlimen Sik.

Artikel beliau bertajuk "Penglibatan Ku dalam Jema'ah PAS" dalam buku tersebut, menjelaskan secara terperinci sebab beliau bersama dengan PAS, iaitu menegakkan yang maaruf dan mencegah kemungkaran.

Antaranya beliau menulis: "paling pokok yang mendorongku memilih jemaah PAS ialah kepimpinan para ulamanya yang menjadi dasarnya kerana sudah pasti ulama-ulama ini adalah pewaris para Nabi yang pastinya mempunyai sifat-sifat ulama yang tulen dan 'amil dan bukan ulama-ulama "Suk" yang tak boleh diharapkan".

Shahnon turut melahirkan kebimbangan terhadap akhbar dan media perdana yang mempergunakan wawancara dengan beliau untuk menggambarkan seolah-olah beliau tidak lagi bersama dengan PAS.

Selain Dr. Khairuddin, ziarah mahabbah tersebut juga diiringi oleh Ustaz Fauzi Yusof, Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Pulau Pinang merangkap Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pulau Pinang.