Rabu, 20 April 2011

DUN BUKIT PAYONG

DUN BUKIT PAYONG


Bahasa Melayu Mempunyai Hubungan Akrab Dengan Bangsa Melayu

Posted: 19 Apr 2011 07:09 PM PDT


Dipetik daripada The Malaysian Insider
Oleh Syed Mu'az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 20 April — Pakar bahasa Prof Dr Teo Kok Seong menegaskan Kamus Dewan harus dilihat dari sudut perspektif orang Melayu kerana ia melambangkan budaya dan pandangan kaum terbesar itu.
Pandangan Teo itu, selari dengan pendirian Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) dan Persatuan Penulis Nasional (Pena) yang mengatakan Kamus Dewan harus dilihat dari pandangan orang Melayu dan bukan dari kaca mata kaum-kaum lain.
Ini kerana, jelas kedua-dua badan-badan penulis Melayu, Kamus Dewan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) adalah hasil dari himpunan perkataan yang digunakan orang Melayu selain telah diwarisi sejak turun-temurun.
Gapena dan Pena masing-masing menegaskan kandungan perkataan dalam Kamus Dewan tidak perlu dipertikaikan oleh mana-mana pihak termasuk Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan), pertubuhan mewakili penulis kaum India.
Kata Teo, perkataan-perkataan yang terdapat dalam Kamus Dewan melambangkan bahasa dan budaya orang Melayu.
"Saya boleh bersetuju dengan kenyataan Pena dan Gepena sebab bahasa mana-mana pun ada kaitan yang cukup akrab dengan dengan sesuatu kaum.
"Jadi dalam keadaan ini bahasa mempunyai hubungan akrab dengan sesuatu budaya maka ia betul, apa-apa perkataan dalam Kamus Dewan itu perlu lihat dari sudut pandangan orang Melayu atau secara global," katanya kepada The Malaysian Insider.
Justeru tegas Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Kamus Dewan tidak perlu dipertikaikan oleh sesiapapun.
"Tidak perlu dipertikaikan (Kamus Dewan) apabila kita memahami tentang bahasa Melayu, maka ia ada kaitan dengan budaya orang Melayu.
"Jadi bahasa Melayu mempunyai hubungan yang akrab dengan bangsa Melayu dan setiap perkataan mempunyai makna yang akrab dengan orang Melayu... jadi ia tidak perlu dipertikaikan," katanya.
Selain itu, tegas Teo, sekiranya Kavyan atau akhbar Makkal Osai mendakwa bahawa ada perkataan dalam Kamus Dewan menyinggung kaum India maka ia perlu dibuktikan dengan jelas.
"Sepatutnya kena bagi contoh perkataan yang menyinggung perasana kaum lain terutamanya India... berikan contoh-contoh perkataan yang menyinggung perasaan itu.
"Apa yang dipertikaikan? Perkataan apa? Kalau perkataan bersifat rasis apa bukti contoh perkataan rasis itu jadi lebih baik diberikan contoh supaya boleh berikan pandangan yang ilmiah," katanya.
Sebelum ini Kavyan mendakwa Kementerian Pelajaran menafikan hak bukan Melayu terhadap Bahasa Malaysia ekoran kenyataannya bahawa Kamus Dewan terbitan DBP hanya milik orang Melayu dan tidak boleh dipersoalkan oleh kaum lain.
Presidennya Uthaya Sankar SB berkata, jawapan Kementerian Pelajaran berhubung isu semasa — dakwaan yang Kamus Dewan mempunyai banyak kata-kata menyinggung perasaan kaum India — ternyata cuba menafikan kedudukan Bahasa Malaysia sebagai bahasa milik seluruh bangsa Malaysia.
Kenyataan kementerian itu menyebut bahawa Kamus Dewan disusun berasaskan perkataan-perkataan yang digunakan oleh pengguna Bahasa Melayu, termasuklah perkataan-perkataan yang bersumberkan bahasa-bahasa lain seperti bahasa "sukuan atau etnik, bahasa Inggeris, China, Sanskrit, Tamil, Belanda, Arab dan sebagainya".
Kementerian Pelajaran dalam kenyataannya mengatakan bahawa "perkataan-perkataan dalam Bahasa Melayu yang terdapat dalam kamus-kamus Bahasa Melayu terbitan DBP, ia hendaklah dilihat dari kaca mata bangsa Melayu dan bukan dari kaca mata bangsa lain."
Katanya, setiap bangsa di Malaysia mesti menerima hakikat bahawa kamus bahasa Melayu mencerminkan bahasa, adat dan budaya Melayu.
Kementerian itu mengatakan demikian dalam reaksi kepada laporan Makkal Osai bertarikh 31 Mac lalu bahawa Kamus Dewan  mengandungi perkataan yang menyinggung perasaan kaum India.

Tiada ulasan:

Nuffnang