Khamis, 24 Mac 2011

Direct Free Kick

Direct Free Kick

Direct Free Kick


KENYATAAN AKHBAR YB ISKANDAR A. SAMAD :
PENJELASAN ISU RUMAH PANJANG PJS1, PETALING JAYA.

Posted: 24 Mar 2011 05:04 AM PDT

Nasib penduduk rumah panjang PJS1, Petaling Jaya telah mendapat perhatian media akhir-akhir ini.

Rumah panjang tersebut merupakan penempatan transit bagi 29 keluarga peneroka bandar sehingga rumah kos rendah mereka disiapkan.

Rumah kos rendah mereka telah mula dibina dalam tahun 2004 pada satu tapak berdekatan tetapi telah mendapat bantahan dari penduduk tempatan yang telah mengambil tindakan mahkamah untuk memberhentikan projek tersebut.

Walau bagaimanapun pada tahun 2009, Kerajaaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor telah berjaya mendapatkan persetujuan pemaju untuk membina rumah kos rendah ini di tapak alternatif yang bertentangan dengan rumah panjang tersebut.

Sebagai sebahagian dari penyelesaian bagi penduduk rumah panjang itu, setiap keluarga telah pada 4 Mac 2010 ditawarkan RM 10,000 untuk bantuan sewa dan perpindahan ke rumah transit yang lain sehingga rumah kekal mereka siap.

Bantuan sewa dan perpindahan ini akan ditanggung bersama oleh Kerajaan Negeri, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan pemaju di mana ia akan dibayar secara sekaligus.

Kerajaan Negeri mahu penduduk rumah panjang itu berpindah keluar agar mereka dapat tinggal di dalam keadaan yang lebih sempurna.

Tambahan pula, tapak tersebut diperlukan untuk membina sebuah sekolah kebangsaan.

Walau bagaimanapun tawaran Kerajaan Negeri ini telah ditolak oleh penduduk pada 2 Mei 2010.

Memandangkan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor merupakan kerajaan yang prihatin, bantuan sewa dan perpindahan ini telah ditambah. Maka pada 12 Mei 2010 setiap keluarga telah ditawarkan RM14, 285.

Walau bagaimanapun tawaran ini hanya diterima oleh 9 buah keluarga.

Akibat dari keengganan penduduk untuk berpindah maka Kerajaan Persekutuan pada 11 Ogos 2010 telah menangguhkan pembinaan sekolah kebangsaan itu.

Kerajaan Negeri telah berusaha bersungguh-sungguh membantu penduduk rumah panjang PJS1.

Adalah tidak benar tuduhan yang mengatakan Kerajaan Negeri tidak memperdulikan nasib mereka.

Kerajaan Negeri telah berjaya mendapatkan persetujuan pemaju supaya membina rumah kos rendah mereka di tapak yang baru. Kerajaan Negeri Barisan Nasional telah gagal melakukannya.

Kerajaan Negeri juga telah menawarkan bantuan sewa dan perpindahan kepada penduduk sehingga rumah kos rendah itu siap. Kerajaan Negeri Barisan Nasional telah gagal menawarkannya.

Terdapat maklumat bahawa ada parti Barisan Nasional yang cuba menjadi juara di dalam isu ini. Walau bagaimanapun rakyat tahu Barisan Nasional telah gagal membantu penduduk ketika mereka mentadbir Selangor. Mereka hanya pandai berkokok setelah kehilangan kuasa.

Penyelesaian terbaik bagi penduduk rumah panjang PJS1 adalah dengan menerima bantuan kewangan yang ditawarkan dan berpindah keluar sehingga rumah kekal mereka siap dibina.
Rumah panjang mereka adalah terlalu dhaif untuk dibaikpulih.

Dengan penyelesaian ini, penduduk akan dapat menikmati kediaman yang lebih sempurna dan sebuah sekolah akan dapat dibina untuk ribuan pelajar-pelajar di PJS1.

Hasutan pihak-pihak tidak bertanggung jawab yang hanya memikirkan kepentingan politik dan bukan kepentingan penduduk rumah panjang atau kepentingan seluruh penduduk PJS1 hendaklah diabaikan sama sekali.

Iskandar Abdul Samad
Pengerusi Jawatankuasa Tetap / Exco
Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan
Negeri Selangor
24 Mac 2011

Tiada ulasan:

Nuffnang