Khamis, 24 Mac 2011

Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim


Bila Dendam Tidak Dapat Sembunyikan…

Posted: 24 Mar 2011 02:24 AM PDT

Dari Malaysiakini

Dalam tempoh 48 jam, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah mula mengeluarkan kenyataan yang bercanggah bersabit video seks lucah yang kononnya merakamkan Anwar Ibrahim mengadakan hubungan seks dengan seorang pelacur.

Sehubungan itu, dalam sidang media mereka semalam, Tan Sri Rahim Thamby Chik pula tidak dapat meyembunyikan rasa marahnya terhadp Anwar atas peletakan jawatan beliau sebagai Ketua Menteri Melaka pada tahun 1994.

Rahim yang kini Pengerusi Risda, berkata beliau tidak merogol seorang gadis berusia 15 tahun ketika itu.

Semasa menayangkan video itu kepada wartawan Isnin lalu di hotel Carcosa Seri Negara, Eskay berkata beliau membawa keluar perakam video dari hotel dan mendapati ia mengandungi klip 21 minit Anwar mengadakan hubungan seks dengan pelacur.

Namun pada sidang akhbarnya semalam, Eskay mendakwa beliau tidak dapat "membaca" rakaman dalam alat perakam itu sehingga seminggu lalu.
‘Tak boleh baca’

"Hanya minggu lalu, baru kami mendapat rakaman itu sebab mula-mula kita tak boleh "baca’, kemudian baru ada seorang yang berjaya menerbitkannya,’ katanya.

Tidak kurang aneh adalah kenyataannya semalam bahawa beliau menunjukkan video itu kepada wartawan, malah kepada ahli parlimen PKR Johari Abdul sebelum menghantar rakaman itu untuk pemeriksaan forensik.

"Saya mahukan media membuat keputusan..untuk anda melihat kebenaran sebelum saya menyerahkannya untuk pemeriksaan forensik," kata Eskay pada sidang media itu.

Ketika diminta sekali lagi untuk menjelaskan bagaimana video itu diperolehi, Eskay dan Rahim enggan memberi butiran lanjut dengan alasan ia kini menjadi siasatan polis.

Sukar untuk dipercayai bahawa walaupun Eskay memiliki video lucah terhadap musuh politik utama Umno dan kerajaan BN, beliau berasa curiga untuk mendapatkan perlindungan polis atau meminta bantuan dari Rahim untuk menguruskannya.

Eskay – seorang jutawan yang disifatkan sekutu rapat Tun Dr Mahathir Mohamad – telah ditanya bagaimana Rahim boleh terbabit dalam video berkenaan.

Katanya, beliau menghubungi bekas ketua menteri Melaka itu kerana mahu mendapatkan sebuah hotel yang mempunyai kawalan keselamatan yang baik dengan alasan beliau tidak mahu "membabitkan polis".

Malah, ahli perniagaan itu menghubungi Rahim untuk mencari hotel sedemikian kerana beliau sendiri "bukan orang KL" tetapi dari Kedah.

Kenyataan itu juga aneh kerana Eskay diketahui menghabiskan banyak masanya di Kuala Lumpur malah selesa mengenali wartawan-wartawan dari media asing.

Eskay dan Rahim semalam berulang kali menegaskan mereka tidak ada motif selain mahu menegakkan kebenaran dengan mendedahkan rakaman itu.

Rogol gadis sekolah

Di sebalik sifat "patriotiknya" itu Rahim bagaimanapun meluangkan masa yang agak panjang untuk mengimbas peletakkan jawatan beliau sebagai ketua menteri Melaka pada tahun 1994.

Beliau mendakwa peletakan jawatan itu didalangi oleh Anwar "walaupun saya dibebaskan oleh mahkamah" atas tuduhan merogol seorang gadis sekolah.

Bagaimanapun Rahim tidak menyatakan beberapa fakta "kecil" seperti bukan mahkamah yang membebaskan beliau. Sebaliknya tidak ada pun perbicaraan diadakan untuk mendengar keterangan gadis itu dan anggota keluarganya.

Peguam Negara Allahyarham Tan Sri Mohtar Abdullah (kanan) ketika itu memutuskan "tidak cukup bukti" untuk mensabitkan Rahim, justeru tuduhan itu digugurkan.

Justeru perisytiharan Rahim ketika itu bahawa mahkamah telah membersihkan namanya "dari hujung rambut hingga ke hujung kaki" amat mencurigakan, seperti video lucah yang cuba dibawakan oleh beliau dan Eskay.

Seperkara lagi, pada sidang media semalam, Rahim dan Eskay mendakwa, orang ketiga yang melengkapkan gandingan mendedahkan video itu adalah bendahari PERKASA, Datuk Shuib Lazim.

Namun Shuib tidak hadir pada sidang media berkenaan dan tidak ada pun penjelasan daripada Rahim mahupun Eskay .

Juga, rasanya tidak perlu mengulas cadangan Rahim supaya Suruhanjaya Diraja ditubuhkan dengan ahli-ahli panel merangkumi perwakilan daripada PERKASA serta Presiden KITA, Datuk Zaid Ibrahim.

Eskay – sahabat Anwar?

Persoalan adalah kenapa tergesa-gesa menubuhkan Suruhanjaya Diraja – adakah ia untuk memberikan juak-juak Umno satu lagi pusingan untuk mengaibkan Anwar dengan tuduhan dan fitnah?

Persoalan juga timbul kenapa Eskay yang mengaku dirinya sebagai sahabat Anwar tidak sudi menghantar satu salinan kepada ketua pembangkang itu atau Datuk Dr Wan Azizah untuk diperakui sebelum menunjukkannya kepada media?

Jika Anwar menafikan beliau orang dalam video itu, sudah tentu Eskay tidak perlu merahsiakan video itu dan terus boleh menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan dan memberikan salinan kepada media, malah memuatkannya di Youtube.

Tetapi tidak. Beliau dan Rahim (kiri) didakwa mengambil keputusan menggunakan khidmat seorang wartawan untuk memanggil wartawan kanan bagi menghebahkan kandungan video itu.

Tindakan ini diambil walaupun, menurut Eskay, rakaman itu belum dihantar untuk ujian forensik.

Jika ujian forensik dilakukan atas kenyataan Rahim dan Eskay semalam , tentunya ia akan mendedahkan sebuah skrip yang terpaksa diolah dan dirombak oleh mereka selaku dalang fitnah video seks setelah Anwar membuat laporan polis dan enggan tunduk kepada ugutan Eskay dan Rahim.

UMNO Terbabit Dengan Video Seks, Kata Anwar

Posted: 24 Mar 2011 02:13 AM PDT

Dari Malaysiakini

Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa pengakuan bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik sebagai bertanggungjawab di sebalik video seks yang cuba memalitkannya itu adalah bukti pembabitan Umno.

Katanya, Rahim seolah-olah cuba membalas dendam terhadap pengundurannya dari politik pada 1994.

“Ini menunjukkan konspirasi peringkat tertinggi membabitkan Umno dalam perkara ini," kata Anwar kepada wartawan di perkarangan komplek mahkamah, Jalan Duta, kuala Lumpur, hari ini.

“Saya tidak tahu bagaimana menteri dalam negeri boleh menafikan ini… Seorang daripada ahli (parti) mereka terbabit, begitu juga dengan PERKASA," katanya.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengugut untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Anwar kerana mendakwa dirinya dan pihak polis terbabit dengan pita video seks itu.

Anwar berkata komennya itu dibuat berdasarkan hakikat mereka yang mengeluarkan video berkenaan – Rahim, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan bendahari PERKASA Datuk Shuib Lazim, yang dikenali sebagai ‘Datuk T’ – masih bebas.

“Malah, saya diberitahu mereka kini dilindungi (oleh pihak berkuasa atau polis cawangan khas).
Kes rogol, rasuah…

“Sekarang ini orang yang terlibat termasuk Tan Sri Rahim Tamby Chik yang dulu dikaitkan dengan kes rogol di Melaka. Walaupun tidak didakwa, kertas pendakwaan telah ditandangani sendiri oleh Tan Sri Ghani Patail (ketua pendakwaraya ketika itu).

"Walaupun tidak didakwa, kes rasuahnya melibatkan puluhan juta, tetapi sekarang dia menjadi seorang tokoh moral baru, tetapi dia melakukan kesilapan kerana dia mendedahkan satu video yang direkayasa sebegitu rupa dan kemudian cubaan untuk mengaibkan orang semata-mata untuk membalas dendam," kata Anwar.

Menurutnya, pembabitan Rahim yang diangkat menjadi pengerusi Risda dua tahun lalu oleh Datuk Seri Najib Razak hanya menzahirkan penglibatkan Umno dan perdana menteri sendiri.

“Ini bagi saya memperkuatkan hujah kita dari peringkat awal, Umno memberi tahu mereka tidak terlibat. Sekarang Umno secara langsung terlibat.

Dr Mahathir mudah lupa

"Ahli parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul malah menyebut bahawa kesediaan Rahim Tamby Chik bawa dia untuk menemui Datuk Seri Najib. Ini menunjukkan konspirasi peringkat tertinggi membabitkan Umno," katanya.

Dalam pada itu, Anwar juga menafikan beliau memainkan sebarang peranan sehingga memaksa Rahim berundur dari politik.

“Itu dendam dia (Rahim). Saya pada masa itu timbalan presiden Umno dan timbalan perdana menteri. Saya tidak ada kuasa untuk mengugurkan dia sebagai ketua menteri. Itu kuasa presiden Umno dan perdana menteri. Saya diarah untuk menyampaikan pandangan Dr Mahathir. Tentu Dr Mahathir kata dia lupa kerana dia menghidapi amnesia atau peringatan terpilih” katanya.

Rahim terpaksa berundur daripada politik berikutan dakwaan dia melakukan hubungan seks dengan gadis bawah umur pada 1994.

"Saya tidak merasa kesal atau salah kerana meminta beliau meletakkan jawatan walaupun saya tahu bidang kuasa saya tidak sehingga boleh minta mana-mana menteri atau ketua menteri untuk meletak jawatan. Ini semua orang tahu. Anda tanya Mahathir tentu dia tidak ingat," kata Anwar.

“Saya cuma menyampaikan pembabitan Dr Mahathir (Mohamad). Saya tidak tahu jika Mahathir mempunyai amnesia terpilih,” katanya.

Wan Azizah: Saya Tahu Video Itu Palsu Dan Fitnah

Posted: 24 Mar 2011 02:02 AM PDT

Dari KeadilanDaily

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menyatakan beliau tidak berminat untuk duduk dalam apa-apa jawatankuasa untuk menyiasat kesahihan video seks yang cuba memfitnah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga suaminya.

"Sebagai Muslim, saya tidak tonton video sebegitu. Saya tak minat tengok video itu, haram dan berdosa," kata Wan Azizah.

Beliau membuat kenyataan tersebut di luar mahkamah sewaktu mengulas sidang akhbar dibuat trio 'Datuk T' yang mengaku menjadi petualang di sebalik rakaman video yang kononnya memaparkan aksi seks Anwar.

Trio 'Datuk T' terdiri daripada bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik, Bekas konsul Besar Thailand di Malaysia, Datuk Shazryl Eskay Abdullah, dan Bendahari Agung Perkasa, Datuk Shuaib Lazim.

Wan Azizah juga percaya dan yakin video itu palsu dan semua kenyataan Abdul Rahim dan Shazryl dalam sidang akhbar mereka semalam bohong semata-mata.

"Saya nafikan sekeras-kerasnya semua kenyataan Eskay. Kenyataan beliau bahawa saya ada menghantar wakil atau SMS berkenaan video itu (kepadanya) tidak benar.

"Dari awal lagi saya tahu ia palsu jadi tiada sebab untuk saya tonton video itu" kata Wan Azizah.

Tiada ulasan:

Nuffnang