Rabu, 9 Januari 2013

Khalid Samad

Khalid Samad


Kalimah Allah: Dari Sudut Dakwah

Posted: 08 Jan 2013 06:13 PM PST

Walaupun saya telah baharu sahaja menulis mengenai persoalan ini yang selari dengan kenyataan Presiden PAS semalam, saya ingin mengemukakan pandangan saya dari sudut yang lain yang mungkin kurang dibincangkan sebelum ini, iaitu dari sudut dakwah. Dalam mengupas isu ini dari sudut dakwah, saya merujuk kembali kepada ayat 64 dari Surah Al-Imran yang bermaksud:
Katakan (Wahai Muhammad): "Wahai Ahlul Kitab, marilah kita bersama atas kalimat yang serupa, di antara kami dan di antara kamu, iaitu kita sembah hanya Allah dan tidak menyekutukanNya dengan sesuatu dan jangan kita lantik dari kalangan kita tuhan-tuhan atau penguasa-penguasa selain Allah". Tetapi sekiranya mereka berpaling maka katakan (kepada mereka): "Jadilah kamu saksi bahawa kami adalah orang Islam (yang menyerah diri pada Allah)".

KAEDAH DAKWAH DENGAN AHLUL-KITAB

Jika kita lihat pada ayat di atas, amat jelas bahawa kaedah dakwah yang diajar oleh Al-Quran ialah untuk menyeru Ahlul-kitab, iaitu Yahudi dan Nasara, untuk datang kepada kalimat atau prinsip dan ajaran yang sama, iaitu untuk hanya menyembah Allah dan tidak mensyirikkanNya. Ini adalah kaedah dan pendekatan yang diperintahkan Allah kepada Rasulullah (SAW) untuk diamalkan. Kaedah ini diabadikan dalam Al-Quran sebagai panduan untuk ummat Islam sepanjang zaman hingga ke hari qiamat.

Terkandung dalam seruan ini adalah juga peringatan supaya tidak diambil dari kalangan sesama manusia untuk dijadikan 'arbaaban' (jama' atau plural bagi perkataan rabb) yang diterjemahkan sebagai tuhan-tuhan atau penguasa-penguasa, selain Allah.

Seruan ini sebenarnya menangani perbezaan, yang telah sedia wujud sejak zaman Rasulullah (SAW) lagi, di antara Islam dan Ahlul-Kitab. Perbezaan ini ialah golongan Ahlul Kitab telah mensyirikkan Allah dan melantik manusia sebagai tuhan atau penguasa ke atas diri mereka selain Allah. Maka kaedah yang digunakan ialah kaedah menyeru atas persamaan dan peringatan untuk menolak yang sudah tersimpang dan berbeza.

Dan inilah yang perlu kita lakukan sekarang juga. Sambil menyeru mereka untuk menyembah hanya Allah, kita perlu mengingatkan mereka supaya tidak mensyirikkanNya dan tidak melantik dari kalangan manusia 'arbaaban' selain Allah, bukan melarang mereka menggunakan kalimah 'Allah'.

HALANGAN PENGGUNAAN KALIMAH 'ALLAH' BAGI BUKAN ISLAM

Sepanjang pengajian saya terhadap Al-Quran, tidak pernah saya menemui larangan terhadap orang bukan Islam menggunakan kalimah 'Allah'. Yang ada ialah peringatan dan teguran terhadap amalan mensyirikkan Allah dan memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang tidak benar. Peringatan dan teguran ini adalah sebahagian dari usaha dakwah Islamiah supaya yang bukan Islam akan mengenali Allah sepertimana orang Islam mengenaliNya. Namun larangan terhadap penggunaan kalimah 'Allah' itu langsung tidak timbul sama-sekali.

Kalau adalah di mana-mana ayat yang mendesak supaya kita sebagai ummat islam melarang golongan bukan Islam dari menyebut "Allah", sila kemukakan kepada saya. Saya tidak jumpa. Yang saya jumpa hanya yang mengarah kita untuk menyeru manusia kepada Allah dan membetulkan silap tanggap mereka terhadapNya.
Surah Al-Ikhlas adalah juga contoh dalam persoalan ini. Ianya diwahyukan oleh Allah untuk menegaskan keEsaan Allah dan menolak sangkaan dan tanggapan yang sedia wujud di kalangan masyarakat Jahiliyyah pada ketika itu. Masyarakat jahiliyyah menganggap Allah ada sekutu dan ada anak dan Surah Al-Ikhlas merupakan penegasan sebaliknya.

AAPA PERLU DIBUAT SEKIRANYA YANG BUKAN ISLAM TERUS INGKAR?

Sekiranya kita kembali kepada ayat 64 Surah Al-Imran tadi, Allah meneruskan perintahNya kepada Rasulullah (SAW) dengan firmanNya yang bermaksud: "Tetapi sekiranya mereka berpaling maka katakan (kepada mereka): "Jadilah kamu saksi bahawa kami adalah orang Islam (yang menyerah diri pada Allah)".

Ini bermakna bahawa sekiranya mereka terus dengan pendirian mereka maka Allah ingin kita tanganinya dengan cara tertentu. Bukan melarang mereka dari menyebut namaNya tetapi menjadikan mereka sebagai saksi kepada hakikat bahawa ummat Islam tidak melakukan perkara yang mereka lakukan, iaitu syirik dan menjadikan sesama manusia sebagai 'arbaaban'. Dan pendirian dan sikap kita ini hendaklah ditonjolkan setiap masa, sepanjang zaman, sebagai perkara yang membezakan Islam dan bukan Islam. Perbezaannya bukan terhadap penggunaan kalimah 'Allah' tetapi dengan tidak mensyirikkan Allah.

AGAMA SELAIN AHLUL-KITAB

Prinsip yang sama berhubung penggunaan kalimah 'Allah' boleh juga digunakan kepada kumpulan bukan Islam yang lain di mana kefahaman mereka terhadap 'Allah' perlu diperjelaskan. Sebagai contoh boleh dirujuk kepada ayat 63 Surah Al-Ankabut yang bermaksud:-
"Dan sekiranya kamu bertanya kepada mereka (orang kafir), siapa yang menurunkan hujan dari langit dan menghidupkan dengannya bumi setelah ia mati, semestinya mereka akan menjawab "Allah". Katakan: Alhamdulillah (Segala puji bagi Allah!). Akan tetapi ramai dari mereka tidak memahami."

Respon kepada ummat Islam apabila dijawab "Allah" ialah "Alhamdulillah" bukan "tidak boleh sebut Allah"! Pada masa yang sama, ketidak fahaman mereka terhadap Allah, diperakui. Kewujudan Allah telah disematkan dalam jiwa setiap manusia, tetapi kefahaman terhadap Zat dan SifatNya adalah apa yang kita perlu perjelaskan kepada manusia berdasarkan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah (SAW).

PENJELASAN BERHUBUNG PERLANTIKAN 'ARBAABAN'

Dalam soal melantik sesama manusia menjadi 'arbaaban', kisah dialog diantara Adi Bin Hatim dengan Rasulullah (SAW) menerangkan dengan jelas maksudnya. Adi Bin Hatim, yang pada masa itu masih beragama Nasrani, telah menegur Rasulullah (SAW) bahawa dakwaan Al-Quran (ayat 31 Surah At-Tauba) adalah sesuatu yang tidak benar. Adi berkata bahawa orang Nasrani tidak mengambil rahib-rahib dan paderi-paderi mereka sebagai 'arbaaban' selain Allah. Rasulullah (SAW) menjawab yang bermaksud, "mereka menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal dan kamu patuh pada mereka. Maka kamu mengambil mereka sebagai tuhan selain Allah".

Ini juga merujuk kepada amalan Theokrasi di mana 'rijal addiin' atau 'orang agama' sahaja yang berhak memberikan tafsiran kepada persoalan kehidupan dan tafsiran ini tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa. Kedudukan kuasa mutlak sebegitu bagaikan memberikan 'hak ketuhanan' kepada mereka dan Islam menolak amalan sebegini. Islam inginkan setiap isu diputuskan berdasarkan dalil dan nas atau mengikut kekuatan hujjah sekiranya tiada. Dalam persoalan ini tiada pihak yang mempunyai monopoli dan berhak untuk menuntut ketaatan mutlak.

Prinsip ini boleh juga diguna-pakai terhadap menyerahkan kuasa mutlak itu kepada pembesar dan penguasa sehingga segala halal dan haram diserahkan kepada mereka secara mutlak.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Al-Kisah Deepak, Roopiah, Altantuya, Bala, Zaid Hamidi, LTAT dan Wang Berjuta!

Posted: 08 Jan 2013 04:36 PM PST

Maka tersebutlah al-kisah pendedahan satu lagi kes pengkhianatan serta penipuan dan rompakan tanah Negara oleh pimpinan UMNO/BN. Tanah seluas 200 ekar yang bernilai lebih 300 juta yang difaraidkan di antara pimpinan dan kroni. Terkaitlah juga kisah pemberian barang kemas yang bernilai RM 13 Juta kepada kelompok manusia yang tidak mengenali makna puas dan mempunyai nafsu yang begitu rakus dalam budaya politik yang kotor dan ganas. Serta timbul kembali segala najis dan kekotoran yang selama ini ditanam dan disembunyikan dari pandangan umum berhubung pembunuhan Altantuya, kenyataan bersumpah PI Balasubramaniam dan sebagainya.

Menurut Deepak pula dialah yang memujuk PI Balasubramaniam menarik balik kenyataan bersumpah pertamanya. Menurutnya lagi dia sanggup melakukan kerja kotor itu sebagai 'khidmat' untuk pimpinan Negara dan sekarang beliau ingin mendedahkan semua kerana marah ditipu oleh Roopiah. Dan melalui pendedahan ini akan timbul kembali segala najis yang telah selama ini cuba ditenggelamkan.

Tuduhan yang serius seperti ini mencemar imej pimpinan Negara tetapi mereka mendiamkan diri tidak memberi sebarang respon, kecuali membeli saham syarikat Deepak dengan mengguna duit Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT)! Zaid oh Zaid, sanggup diperkudakan Angkatan Tentera untuk menutup najis ini?

Sekali lagi terbukti, jika rakyat inginkan kebenaran dan tahu kisah sebenar, perlu dilakukan satu perubahan pemerintahan sehingga semua institusi keadilan akan dibebaskan dari cengkaman golongan yang berkuasa. Perkara sebenar yang berlaku tidak akan diketahui secara yakin dan muktamad, sehingga kerajaan BN ditukar dengan PR!

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Tiada ulasan:

Nuffnang