Rabu, 3 Oktober 2012

Suara Sri Andalas

Suara Sri Andalas


Tidak Pertahankan Hak Wanita, Najib Perlu Lepas Jawatan

Posted: 02 Oct 2012 07:50 PM PDT

SHAH ALAM 3 OKT : Datuk Seri Najib Razak disaran melepaskan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kerana gagal memberi kesaksamaan terhadap hak wanita di negara ini.

Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong dalam satu kenyataan berkata Najib tidak memahami perjuangan wanita berkenaan kesaksamaan gender terutama dalam usaha menempatkan diri di perkhidmatan awam dan sektor korporat.

Menurutnya, wanita di Malaysia masih ketinggalan jauh baik dari sudut pembangunan mahupun pentadbiran di mana dianggarkan kurang 10 peratus daripada mereka terlibat dalam sektor politik (Parlimen dan Dewan Undangan Negeri).

"Tidak cuba memahami kehendak wanita di negara ini, Najib sebaliknya membandingkan kebebasan hak wanita di Malaysia dengan sebuah kelab elit di Amerika Syarikat yang terhad untuk kaum hawa," katanya.

Elizabeth berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan Najib yang menolak penubuhan pergerakan menuntut hak wanita kerana dakwanya kesaksamaan itu telah diberikan sejak awal lagi.

Najib dalam ucapannya ketika sambutan Hari Wanita Kebangsaan ke-50 hari ini turut berkata, Malaysia lebih ke hadapan berbanding negara membangun lain dengan memberi contoh kepada keahlian kelab di Amerika Syarikat.

Tambah Elizabeth, pengurangan peruntukan kepada Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat melalui pengumuman Bajet 2013 baru-baru ini juga membuktikan Najib tidak prihatin terhadap golongan itu.

Berbeza dengan Pakatan Rakyat (PR), Elizabeth berkata sejumlah RM4.5 bilion diperuntukkan melalui bajet alternatif sekiranya PR berjaya menawan Putrajaya kelak.

"Pada tahun 2010, Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM2.4 bilion dalam peruntukan bajet yang kemudiannya dikurangkan kepada RM2 bilion, sebelum diturunkan lagi kepada RM1.9 bilion pada 2012.

Bagi Bajet 2013, hanya RM1.8 bilion diperuntukkan untuk pembangunan wanita. Ini jelas membuktikan bahawa Perdana Menteri tidak peka terhadap soal wanita. Sebab itu beliau perlu melepaskan jawatannya," katanya lagi.

Sumber: Selangorku

PATI Yang Guna Mykad Palsu Adalah Pemilih Sah SPR

Posted: 02 Oct 2012 07:30 PM PDT

KUALA LUMPUR, 3 OKT: Dua pendatang asing tanpa izin yang dijatuhkan hukuman oleh mahkamah kerana menggunakan MyKad palsu sebelum ini, didapati diberikan hak mengundi.

Seorang daripada mereka, warga Filipina Salleh Bin Samsul didapati memegang Mykad palsu bernombor 670110-12-5035.

Beliau dijatuhkan hukuman penjara setahun oleh Majistret Cindy McJuce Balitus dalam perbicaraan di Kota Kinabalu pada 20 Sept 2010.

Demikian menurut MP Kuantan, Fuziah Salleh dalam satu sidang media yang diadakan di lobi Parlimen hari ini.

Bagaimanapun, semakan TVSelangor pada daftar pemilih di laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mendapati Salleh merupakan pengundi sah di DUN Kempas dalam Parlimen Pasir Gudang, Johor.

Fuziah berkata dalam satu kes berasingan, seorang lagi warga Filipina, Hassanuddin Bin Manna juga didapati bersalah atas tuduhan membeli MyKad palsu dengan harga RM 1,000.

"Hassanuddin mengaku beli MyKad dengan harga RM 1,000 dan dia juga dijatuhkan hukuman penjara setahun," kata Fuziah.

Dalam perbicaraan tersebut, Hasanuddin mengaku beliau memperolehi MyKad palsu bernombor 741029-12-5463 dari seorang rakannya.

Menurut satu salinan daftar pemilih, Hassanuddin juga merupakan seorang pengundi sah di DUN Karambunai di kawasan Parlimen Sepanggar, Sabah.

Kedua-dua perbicaraan tersebut turut dilaporkan dalam beberapa laporan akhbar tempatan di Sabah termasuk Harian Ekspress dan Daily Exspress.

Selain akhbar tempatan, Fuziah memberitahu, ianya turut dilaporkan dalam laman web Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sendiri.

"Ini membahayakan keselamatan negara, kerakyatan negara boleh dibeli dengan harga RM1,000 sahaja dan diberi hak menentukan kerajaan.

"Kalau saya sendiri dapat kesan dua kes, sudah tentu ada banyak lagi pendatang asing lain yang memiliki MyKad dan boleh mengundi dalam pilihan raya.

"Saya cuba tanya di Dewan Rakyat, tetapi tidak dibenarkan oleh Yang Dipertua," kata Fuziah.

Sumber: Selangorku

MB : Tiada Masalah SPRM Siasat Pembelian Kompaktor

Posted: 02 Oct 2012 02:15 AM PDT

SHAH ALAM 2 OKT : Kerajaan Selangor menyambut dengan terbuka tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pembelian kompaktor sampah oleh Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata sikap terbuka ini merupakan sebahagian daripada amalan pentadbiran korporat Kerajaan Negeri.

"Kita terima kenyataan bahawa dalam usaha memastikan negara dan negeri bebas daripada sebarang penyelewengan, kita perlu diaudit dan dinilai.

"Saya sendiri perlu diperiksa dari segi saya bayar cukai atau tidak, kereta apa saya pakai kerana saya adalah harta awam sebagai seorang Menteri Besar," jelas beliau selepas Majlis Perasmian Kolokium Penyelidikan Unisel 2012 di sini pagi tadi.

Kerajaan Negeri sebelum ini membeli 50 kompaktor sampah melalui KDEB dengan harga mencecah RM 14.5 juta.

Namun ada pihak yang mempertikaikan pembelian tersebut dengan mendakwa kompaktor tersebut berharga kurang RM 240,000 sebuah.

"Kita sememangnya bersedia sebab itu kita menyimpan dua fail dengan rekod yang sama, satu untuk simpanan SPRM dan satu lagi untuk kita bagi memudahkan kerja," tambah Abdul Khalid sinis.

Mengulas permintaan 350 penduduk miskin yang memohon agar Kerajaan Negeri mengarahkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melupuskan hutang rumah mereka, beliau berkata Kerajaan Negeri akan meneliti perkara tersebut.

"Bagaimanapun, kita tidak boleh berbuat begitu (melupuskan hutang), jika tidak semua orang akan mengaku fakir dan miskin.

"PKNS juga tidak melangsaikan atau menghapuskan hutang Talam (Corporation) sebagaimana diminta mereka, itu tidak benar," jelas beliau.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar masyarakat tidak dijadikan alat untuk menjayakan propaganda pihak-pihak tertentu.

"Saya harap masyarakat tidak dimainkan dan jika benar mereka memerlukan, kita akan tolong," ujarnya ringkas.

Sumber: Selangorku

Duduk Di Rumah Tetapi Bil Air Umpama Perniagaan

Posted: 02 Oct 2012 01:30 AM PDT

AMPANG 01 OKT : Seramai 26 penduduk pangsapuri di Pandan Jaya membantah tindakan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) yang didakwa bertindak menukar status meter air mereka daripada "kediaman" kepada "perniagaan".

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Samad berkata mengikut laporan penduduk, perkara itu berlaku sejak tahun lalu. Kes terbaru berlaku dua bulan kebelakangan ini.

Katanya, penukaran itu menyebabkan penduduk terpaksa membayar bil air empat kali ganda berbanding sebelum ini.

Mereka juga tidak mendapat air percuma 20 meter padu yang diberikan oleh Kerajaan Selangor.

Iskandar berkata penduduk turut mempertikaikan mengapa Syabas bertindak demikian sedangkan mereka sudah menetap di kawasan itu sejak 20 tahun.

"Jika sebelum ini mereka membayar minimum RM0.57 sahaja, kini dinaikkan kepada minimum RM2.07. Jumlah itu menjadikan bil mereka dicaj sehingga RM80 hingga lebih RM100 sebulan.

"Setakat ini, kita baru menerima laporan 26 penduduk ini, namun kita percaya perkara sedemikian mungkin berlaku dibeberapa kawasan lain di sekitar negeri," katanya dalam sidang media di Pandan Jaya, hari ini.

Jelasnya, dalam perbincangan dengan pihak Syabas baru-baru ini, Syabas meminta penduduk yang mahu menukar kembali ke meter asal untuk memohon pengesahan dari pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

"Mereka turut memberikan alasan yang saya tidak terima. Dakwa mereka (Syabas) menukar meter itu berdasarkan status tanah, bagaimanapun terdapat juga sebaliknya," katanya.

Sehubungan itu, pihaknya meminta kerjasama daripada penduduk supaya membuat aduan kepada Adun atau Ahli Majlis di kawasan masing-masing supaya memudahkan urusan menghantar senarai nama kepada MPAJ.

Katanya, pihaknya turut mendesak Syabas supaya membayar rebet kepada penduduk selepas meter itu ditukarkan kepada asal.

"Ini kerana ada yang terlibat sudah hampir setahun, ia merugikan penduduk. Jika Syabas tidak boleh mengembalikan rebet, kita meminta Syabas memotong bayaran pada bil mereka yang akan datang ini.

"Perkara ini melibatkan ribuan penduduk dan melibatkan banyak kediaman daripada perniagaan. Saya harap kerjasama daripada penduduk supaya mereka dikenakan caj yang betul (kediaman) bukannya perniagaan.

"Perkara ini seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena, kita tidak mahu pihak Syabas berterusan mempolitikkan isu air ini," katanya.

Sumber: Selangorku

Wan Azizah: Belanjawan PR Untuk Wanita 10 Kali Lebih Banyak Dari BN

Posted: 01 Oct 2012 01:45 PM PDT

PETALING JAYA, 2 OKT : Belanjawan 2013 Pakatan Rakyat (PR) untuk membela dan memartabatkan Wanita berbeza sepuluh kali berbanding belanjawan yang di bentangkan oleh kerajaan Umno-BN.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dalam sidang media di sini hari ini berkata, peruntukan RM 4.5 bilion menerusi Agenda Wanita Malaysia (AWM) berbanding RM450 Juta oleh BN membuktikan ketidakperihatinan kerajaan terhadap sumbangan kaum wanita di negara ini.

Menurutnya, dari segi perbandingaan peratusan hanya 0.2 peratus daripada belanjawan Umno-BN diperuntukan kepada wanita.

Belanjawan 2013 dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Kewangan dengan jumlah RM251.6 bilion biarpun tinggi tetapi mengalami pengurangan enam peratus atau RM115 juta untuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Penurunan bersifat konsisten bermula 2010 sebanyak RM2.4 bilion, 2011 (RM2 bilion), 2012 (RM1.9 bilion) serta 2013 (RM1.8 bilion).

Beliau Wan Azizah, AWM dirangka PR jelas membela nasib dan masa depan wanita khususnya suri rumah yang walaupun tidak bekerja tetapi memperuntukan masa mereka membela dan mendidik anak-anak ke arah masa depan lebih baik.

Katanya, Caruman Wanita Nasional dan Elaun Penjagaan Anak menerusi AWM adalah perbandingan nyata di mana PR begitu menitikberatkan pembelaaan terhadap golongan wanita.

"Caruman Wanita Nasional adalah satu skim keselamatan sosial bagi wanita suri rumah yang mana sekiranya suami meninggal dunia, menjadi kurang upaya atau menceraikan isteri, suri rumah akan mempunyai simpanan wang untuk menangani sebarang kemungkinan yang boleh terjadi.

"Kerajaan PR bercadang memberikan caruman sebanyak RM600 setahun kepasa setiap suri rumah dan akan menggalakkan suami menyumbang sejumlah wang sebanyak RM120 ke RM1,200 setahun kepadaa caruman itu. Sasaran skim ini bagi memastikan seorang suri rumah mempunyai sekurang-kurangnya simpanan RM30,000 ketika berusia 50 tahun," katanya.

Dr Wan Azizah berkata, skim ini dijangkakan akan memberi faedah kepada lima juta suri rumah dan melibatkan peruntukan RM3 bilion setahun.

Menurutnya, skim Elaun Penjagaan Anak pula melibatkan perbelanjaan kira-kira RM940 juta bagi membantu wanita miskin yang bekerja di mana pendapatan isi rumah kurang dari RM1,000 sebulan.

"Bagi setiap kanak-kanak di bawah 12 tahun, kita akan menyediakan dana jagaan kanak-kanak sokongan sebanyak RM1,000 sebulan iaitu berhasrat membantu ibu yang bekerja bagi membayar yuran pengasuh ketika ibu bekerja.

"Kini terdapat lebih kurang 470,000 isu rumah miskin yang layak bagi skim ini pada kadar purata dua orang kanak-kanak di bawah 12 tahun," ujarnya.

Beliau menambah, kedua-dua projek memberdayakan wanita akan menelan belanja RM3.94 bilion setahun di mana pada keseluruhan PR berhasrat untuk membelanjakan sehingga RM4.5 bilion dalam tempoh setahun untuk semua program melibatkan wanita.

Jelas beliau tujuh teras komprehensif di garis untuk meningkatkan dan memberdayakan wanita, dasar pendidikan lebih baik, kelangsungan kesihatan dan kualiti hidup, penglibatan dan peluang ekonomi, kesejahteraan sosial, pendemokrasian politik, penguatkuasaan undang-undang daripada diskriminasi serta memupuk agenda wanita muda.

Turut hadir, Exco Kerajaan Selangor, Rodziah Ismail serta Pengerusi Biro Pelaburan dan Perdagangan PKR, Wong Chen.

Sumber: Selangorku

Kurang 30 Peratus Rakyat Miskin Terima Bantuan Kerajaan

Posted: 01 Oct 2012 02:00 AM PDT

KUALA LUMPUR, 1 OKT : Hanya 27 peratus dari golongan 10 peratus termiskin negara menerima  bantuan Kerajaan, walaupun Umno-BN mendakwa kononnya pelbagai program kebajikan telah diadakan untuk rakyat.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peratusan itu diperolehi dari Kajiselidik Isirumah yang dibuat pada tahun 2009 dan dilaporkan di dalam Malaysia Economic Monitor April 2012.

Beliau berkata, hakikat bahawa hanya 27 peratus dari golongan yang wajar dibantu dan termiskin mendapat manfaat dari program kerajaan mencerminkan ketirisan yang berterusan.

"Hubungan rapat di antara kroni, golongan mahakaya dan berkepentingan dengan kerajaan menyebabkan hanya mereka diberi peluang untuk memainkan peranan besar," katanya semasa sesi perbahasan Bajet 2013 di Dewan Rakyat, hari ini.

"Pembolotan ekonomi seperti ini memberi impak buruk kepada percambahan usahawan baru yang tawar hati dan tidak mungkin dapat bersaing dengan syarikat-syarikat besar yang mempunyai talian terus kepada pimpinan tertinggi negara."

Katanya, kewujudan konsesi dan perjanjian berat sebelah telah menindas rakyat dan menyebabkan mereka terpaksa menanggung kos berganda.

Jelasnya, ketirisan yang terus berlaku menyebabkan bantuan atau insentif yang sepatutnya sampai kepada golongan atau kumpulan sasaran ini dicuri di tengah jalan.

"Mulanya, rakyat terpaksa menanggung kos sara hidup yang melambung kerana konsesi-konsesi ini berbentuk monopoli dan mengherot harga sebenar di dalam pasaran.

"Kemudian, rakyat juga terpaksa menanggung kos yang dibayar kerajaan yang memberi pelbagai bantuan kepada konsesi yang dianugerahkan kepada kroni dan golongan mahakaya ini, termasuklah pampasan, subsidi korporat dan lain-lain," katanya lagi.

Sumber: Selangorku

Sikap Kedekut Dan Cermat Telah Berjaya Di Selangor

Posted: 01 Oct 2012 01:30 AM PDT

KLANG 01 OKT : Sikap "tidak memilih bulu" Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah meningkatkan rizab simpanan negeri dan mengutip kembali hutang syarikat Talam kepada Kerajaan Selangor yang bernilai RM392 juta.

Dalam memuji kepimpinan Abdul Khalid, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sikapnya yang cermat dan tegas telah meningkatkan prestasi kewangan Kerajaan Negeri.

"Tan Sri ini kedekut dan cermat kena pada tempatnya. Tengoklah beliau berani memanggil semua tauke-tauke besar untuk meminta balik bayaran premium tanah yang dibagi percuma semasa pentadbiran Umno-BN sebelum ini.

"Kalau pemimpin Umno-BN mesti masuk kocek dulu, tapi beliau tidak," katanya dihadapan kira-kira 1,000 penonton program Jelajah Merdeka Rakyat, di Bandar Putera, di sini, semalam.

Bulan lepas, syarikat audit KPMG Transaction & Restructuring Sdn Bhd (KPMG) berkata usaha mengutip hutang Talam berjumlah RM 392 bilion kepada kerajaan negeri adalah satu keputusan komersial yang munasabah dan bijak.

Anwar juga berkata kes saman penduduk terhadap kerajaan negeri kerana tidak mendapat air percuma merupakan contoh Umno-BN memperbesarkan isu.

"Umno-BN ini cepat riuh, orang bagi air percuma nak sibuk apa, yang tidak dapat tidak ikut syarat," katanya.

Hadir sama program tersebut, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ; Exco Kerajaan Negeri, Dr Xavier Jayakumar, Ronnie Liu, Elizabeth Wong ; Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahmud, Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafei.

Turut hadir, Timbalan Speaker Dun, Haniza Mohamed Talha ; Ketua AMK negeri, Azmizam Zaman Huri ; Adun Meru, Dr Rani Othman ; Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian.

Sumber: Selangorku

Tiada ulasan:

Nuffnang