Ahad, 18 Mac 2012

i n t a n h i j a u

i n t a n h i j a u


DATO' TUAN IBRAHIM MENYAMPAIKAN KULIAH MAGHRIB PERDANA DI TELUK INTAN

Posted: 17 Mar 2012 07:35 PM PDT


TELUK INTAN, 17 Mac - Bersempena Konvoi Penerangan PAS Pusat ke Perak, satu Kuliah Maghrib Perdana telah diadakan di Markaz PAS Kawasan Teluk Intan di Kg. Padang Tembak dekat sini. Ia telah disampaikan sendiri oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man.
Keadaan dalam dewan sesak.

Kuliah Maghrib Perdana tersebut telah menarik orang ramai memenuhi ruang dewan markaz kawasan sehingga sebahagiannya terpaksa mendengarnya dari luar dewan markaz. Pelbagai perkara telah disampaikan oleh Dato' Tuan Ibrahim antaranya menyentuh isu negara berkebajikan, kepimpinan serta isu-isu semasa.

Dato' Tuan Ibrahim juga sempat menyatakan hakikat perjuangan perlu mencapai kemenangan. Antaranya, apabila kemenangan telah dicapai supaya Allah mengampunkan dosa kita yang lalu serta dosa kemudian daripadanya. Kemenangan juga memberi peluang rakyat merasai kesempurnaan nikmat Islam seperti nikmat keamanan, nikmat perpaduan dan sebagainya.

"Mungkin selama ini kita telah merasai nikmat-nikmat tersebut. Tetapi ia berbeza apabila sesudah kita mencapai kemenangan kerana nikmat tersebut akan lebih menyeluruh ke atas seluruh rakyat yang akhirnya Allah akan meredhai kita serta memberikan keampunan," kata beliau.

Akhir sekali, Ketua Penerangan PAS Pusat itu sempat menasihati para pimpinan parti agar memperuntukkan masa dengan Allah. Jangan akibat kesibukan dalam perjuangan sehingga ada yang tiada masa langsung dengan Allah.

"Antaranya, jangan ada pimpinan parti yang lebih tiga hari tidak membaca al qur'an. Begitu juga dengan amalan-amalan sunat lain seperti tahajud dan sebagainya," tambah beliau.
Ustaz Tuan Ibrahim membimbing Sdr. Yong melafazkan kalimah syahadah.

Menadah tangan berdoa tanda bersyukur.
Sdr. Yong menerima ucapan tahniah ...

Selepas solat Isya', Dato' Tuan Ibrahim telah diberi penghormatan mengislamkan seorang saudara baru berbangsa Cina. Dato' Tuan Ibrahim telah mengajar Sdr. Yong Yuk Thien, 26, berasal dari Sabah melafazkan kalimah syahadah. Kini Sdr. Yong tinggal bersama kakak dan abang ipar beliau di Kg. Padang Tembak.

Selepas selesai mengucap dua kalimah syahadah, Dato' Tuan Ibrahim telah memberikan penerangan berkenaan tanggungjawab seorang muslim. Antaranya, seorang saudara baru masih boleh lagi berhubungan dengan ahli keluarga terutamanya kedua-dua ibu bapa, menghadiri perayaan yang bukan bersifat keagamaan seperti Tahun Baru Cina, majlis perkahwinan dan sebagainya.
Para hadirin tidak melepaskan peluang bersalaman dengan Ketua Penerangan PAS Pusat.

Bergambar kenangan.

Dato' Tuan Ibrahim juga berharap, pihak PAS Kawasan Teluk Intan dapat mengambil tanggungjawab memastikan Sdr. Yong mendalami ilmu agama serta mengambil tahu sebarang perkara berkaitan beliau.

Menurut Sdr. Yong, beliau banyak membaca buku tentang agama Islam. Selain itu, kakak dan bapa saudara beliau sendiri telah memeluk Islam. Beliau yang bakal melanjutkan pelajar ke sebuah kolej di Kuala Lumpur pada Mei depan berharap akan menjadi seorang muslim yang baik kelak.

intanhijau.blogspot.com

Tiada ulasan:

Nuffnang