Sabtu, 10 Mac 2012

Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim


PM Perlu Dedah Kerugian SBPA – Aziz Bari

Posted: 10 Mar 2012 06:30 AM PST

Harakah

KUALA LUMPUR, 10 Mac: Bekas Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Prof Dr. Abdul Aziz Bari berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu mendedahkan kepada rakyat berapa jumlah wang yang telah dibazirkan kerajaan untuk skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

“Tindakan pemansuhan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) tidak hanya terhenti sekatan itu sahaja tetapi ia perlu didedahkan juga berapa kos perbelanjaan yang telah dikeluarkan bagi urusan tersebut.

“Najib tidak boleh berdiam diri selepas pemansuhan tetapi beliau perlu dedahkan segala kerugian akibat pemansuhan tersebut,” katanya kepada harakahdaily.

Tambahnya lagi, Najib perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas pembaziran yang berlaku sebelum SBPA dimansuhkan.

Menurutnya lagi, beliau pasti kos yang dikeluarkan bagi kajian SBPA itu adalah satu jumlah yang besar kerana ia melibatkan satu sektor yang besar.

“Saya yakin kerajaan telah mengeluarkan kos yang besar untuk kajian SBPA ini kerana ia semestinya meliputi kajian disemua peringkat dasar serta perlaksanaan.

“Kakitangan yang digunakan juga merupakan satu jumlah yang ramai, semua ini melibatkan kos,” tegasnya

Abdul Aziz berkata, rakyat berhak mendesak Najib menyenaraikan segala kos yang dikeluarkan bagi SBPA kerana itu adalah duit rakyat, malah jika tiada desakan dilakukan kerajaan akan mudah melakukan pembaziran wang rakyat.

Beliau juga mencadangkan pihak audit memainkan peranan bagi menilai kerugian yang berlaku.

“Kita tidak mahu amalan umum dan batal ini menjadi kegemaran kerajaan di bawah Najib, kerana tindakan tersebut menyebabkan pembaziran berlaku.

“Kerajaan perlu bertanggungjawab dalam soal ini, bukannya lepas tangan malah pihak audit perlu pastikan serta bertindak atas kerugian disebabkan kegagalan Najib memastikan SBPA ini benar-benar berkesan sebelum membuat pengumuman perlaksanaan pada tahun lepas,” sambung beliau lagi.

Jelas Abdul Aziz lagi, ini adalah gambaran jelas dalam kegagalan Najib mentadbir kerajaan yang mana setiap tindakan yang diumumkan hanyalah untuk menunjukkan kehebatannya tetapi sebaliknya adalah kegagalan.

Biaya Majlis Pertunangan: Penafian Tidak Cukup,Najib Perlu Buktikan

Posted: 09 Mar 2012 11:27 PM PST

The Malaysian Insider

KUALA LUMPUR, 10 Mac — Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli menyambut baik penafian Pejabat Perdana Menteri berhubung dakwaan Putrajaya menanggung perbelanjaan majlis pertunangan anak perempuannya  namun menegaskan mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjawab bersama bukti-bukti yang sewajarnya.

Dalam kenyataan media hari ini, Rafizi menuntut Najib mengemukakan bukti bagi lapan persoalan berhubung dakwaan itu untuk meyakinan penafian.

Justeru Rafizi berkata persoalan untuk beliau memohon maaf tidak timbul kerana kenyataan dua perenggan itu hanyalah satu penafian tanpa ada sebarang bukti atau fakta yang boleh menafikan kesahihan dokumen atau tuduhan yang dibawa terhadap Najib.

“Saya menyambut baik kenyataan rasmi yang pantas dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri menafikan bahawa perbelanjaan majlis pertunangan anak Datuk Seri Najib pada 17 Jun 2011 lalu dibiayai oleh wang rakyat melalui Pejabat Perdana Menteri, walaupun dokumen dari Hotel Shangri-la, yang mengendalikan majlis secara jelas menunjukkan semua urusan tempahan dan bayaran dibuat melalui Pejabat Perdana Menteri,” kata Rafizi.

Tambah beliau: “Dalam suasana kepercayaan rakyat terhadap iltizam Barisan Nasional (BN) memerangi rasuah adalah sangat rendah, penafian semata-mata tidaklah mencukupi. Apatah lagi apabila dokumen yang dibawa menjadi bukti kukuh bahawa Pejabat Perdana Menteri mengendalikan urusan tempahan dan bayaran bagi majlis itu.”

Oleh demikian, kata Rafizi, jalan terbaik untuk Najib membersihkan nama beliau daripada tuduhan itu adalah dengan mengemukakan bukti perbelanjaan termasuk bukti pembayaran.

Katanya, jika Najib dapat mengemukakan lapan bukti itu barulah rakyat akan berpuas hati.

“Jika tidak, beliau akan berdepan dengan persepsi rakyat bahawa beliau pun tidak ubah seperti menteri-menteri lain di dalam kabinetnya yang menggunakan wang rakyat dengan sewenang-wenangnya untuk bermewah bagi tujuan peribadi,” katanya.

Pada sidang media semalam, Rafizi mendakwa Najib  telah menggunakan hampir setengah juta ringgit wang rakyat bagi menanggung kos majlis pertunangan anak perempuannya di Seri Perdana tahun lalu.

Rafizi berkata majlis pertunangan anak Najib dengan pasangan dari Kazakhstan telah menelan belanja RM409,767 ditanggung rakyat berdasarkan dokumen pembayaran yang dikeluarkan pihak katering majlis tersebut dibayar oleh Pejabat Perdana Menteri.

Bagaimanapun, Pejabat Perdana Menteri menerusi Twitter menafikan majlis pertunangan anak perempuan Najib, Nooryana Najwa pada Jun lalu, diadakan menggunakan duit kerajaan.

“Perbelanjaan pertunangan anak perempuan PM, Nooryana Najwa, tidak ditanggung oleh Pejabat Perdana Menteri sebagaimana didakwa oleh sesetengah pihak,” kata mesej itu.

Mesej susulan pula menyebut, “Pejabat Perdana Menteri akan mengeluarkan satu kenyataan berkenaan dakwaan dalam waktu terdekat.”

Lapan bukti yang dituntut Rafizi daripada Najib adalah:

-Pengesahan sama ada perbelanjaan yang tertera seperti dokumen Hotel Shangrila pada 17 Jun 2011 adalah perbelanjaan majlis pertunangan anak Najib.

-Pengesahan sama ada dokumen Banquet Event Order (BEO) yang dikemukakan oleh Rafizi adalah dokumen yang sah dan bukannya palsu.

-Najib perlu mengarahkan Pejabat Perdana Menteri mengemukakan kepada rakyat salinan Purchase Order (dokumen tempahan) yang dihantar kepada Hotel Shangrila untuk menentukan pihak manakah sebenarnya yang bertanggungjawab membuat tempahan tersebut.

-Najib perlu mengarahkan Pejabat Perdana Menteri mengemukakan rekod perakaunan dari sistem perakaunan Kerajaan Malaysia yang merekodkan Purchase Order tersebut, bagi menentukan sama ada tempahan direkodkan sebagai tanggungan Kerajaan Malaysia.

-Najib perlu mengarahkan Pejabat Perdana Menteri mengemukakan kepada rakyat salinan invois yang dihantar oleh Hotel Shangrila kerana ia boleh menjadi bukti bahawa ia dicaj kepada Perdana Menteri atas kapasiti peribadi beliau ataupun ditanggung oleh Kerajaan Malaysia.

-Najib perlu mengarahkan Pejabat Perdana Menteri mengemukakan rekod perakauan dari sistem perakaunan Kerajaan Malaysia yang merekodkan invois tersebut, bagi menentukan sama ada bayaran akan dibuat oleh Kerajaan Malaysia.

-Najib perlu mengarahkan Pejabat Perdana Menteri mengemukakan baucer bayaran yang dibuat kepada Hotel Shangrila untuk menentukan siapakah yang mula-mula sekali menyelesaikan tanggungan belanja majlis tersebut.

-Najib  perlu mengemukakan bukti bayaran yang dibuat oleh beliau dan keluarga beliau untuk menanggung perbelanjaan tersebut; termasuklah salinan cek, penyata bank atau dokumen-dokumen lain dari akaun bank peribadi beliau.

 

 

Tiada ulasan:

Nuffnang