Selasa, 9 Julai 2013

Nurul Izzah Anwar

Nurul Izzah Anwar


Penglibatan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dalam Jawatankuasa Pantauan KLIA2 dan Audit Bebas dalam Memastikan Kepentingan Rakyat Terjaga

Posted: 08 Jul 2013 09:06 PM PDT

KENYATAAN MEDIA
9 JULAI 2013
UNTUK SEBARAN SEGERA

Pada 26 Jun 2013, saya telah mendapat jawapan bagi pertanyaan jawab lisan seperti berikut berkenaan projek KLIA2:

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN DEWAN RAKYAT
PERTANYAAN : BAGI JAWAB LISAN
DARIPADA : Puan Nurul Izzah binti Anwar
[ Lembah Pantai ]
TARIKH : 26 Jun 2013 (Rabu)
SOALAN : 38

Puan Nurul Izzah binti Anwar [ Lembah Pantai ] minta MENTERI PENGANGKUTAN menyatakan :-
(a) tarikh sebenar pembukaan KLIA 2 dan nama kontraktor yang mengakibatkan kelewatan; dan
(b) kesan kelewatan ini terhadap keuntungan MAHB serta jumlah keseluruhan sebenar pembinaan KLIA 2 dan bila audit bebas akan mula dijalankan ke atas keseluruhan projek KLIA 2

JAWAPAN
Tuan Yang Dipertua,
a) Tarikh pembukaan KLIA2 adalah pada 02 Mei 2014 dan syarikat yang mengakibatkan kelewatan membina KLIA2 ialah UEMC-Bina Puri JV.
b) Setakat ini, kelewatan KLIA2 tidak menjejaskan keuntungan MAHB kerana ianya tidak ada kesan pada urusan perniagaan syarikat MAHB. Kelewatan tersebut juga tidak menjejaskan operasi di mana syarikat masih mengekalkan 'Triple A' rating. Ini bermakna syarikat ini masih
berada di kedudukan kewangan yang baik oleh agensi penarafan 'RAM Rating Services Sdn Bhd’.

Walaupun MAHB menyatakan kelewatan pembukaan KLIA2 tidak menjejaskan keuntungan MAHB dan tidak memberi kesan kepada urusan perniagaan syarikat MAHB, namun kenyataan-kenyataan oleh para penganalisa pasaran menunjukkan kesan kepada perbelanjaan akhir KLIA2 yang bakal ditanggung mengguna wang rakyat:

1) penganalisa RHB Research Ahmad Maghfur Osman, menyatakan anggaran mereka bahawa MAHB akan membelanjakan RM500 juta perbelanjaan tambahan untuk projek KLIA2, justeru RHB menurunkan nilaian terhadap saham MAHB dari RM6.86 dari RM7.23.

2) Badan Kajian MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF Research) juga menyatakan di dalam laporan mereka – bahawa MAHB mungkin terpaksa membayar tuntutan sebanyak RM250 juta daripada para kontraktor atas sebab perubahan permintaan skop kerja-kerja (Variation Order) KLIA2.

Perubahan termasuklah pemanjangan Landasan Kapal Terbang 3, perubahan aras tanah (earthworks) dan peningkatan am infrastruktur awam. Tuntutan sebegini merupakan tambahan kepada permintaan UBPJV yang meminta sebanyak RM300 juta daripada MAHB untuk pembesaran tingkat bawah terminal utama dan bangunan satelit untuk memenuhi permintaan daripada pelbagai agensi kerajaan termasuklah syarikat penerbangan Malindo Air.

Jawatankuasa khas dibentuk untuk memantau perkembangan projek KLIA2 dan memastikan tiadanya penundaan tarikh pembukaan – diketuai oleh Datuk Abdul Aziz Kaprawi, Timbalan Menteri Pengangkutan.

MAHB masih bertegas menyatakan walau dengan VO yang sedemikian, kos KLIA2 masih RM 4 bilion. Namun, MAHB juga satu ketika dahulu berkeras bahawa KLIA2 akan siap menjelang Jun 28, 2013. Kini, selepas ditekan dan didesak oleh pihak kami, barulah diakui kelewatan pelaksanaan projek dengan tarikh baru yang diberi ialah April 30, 2014.

Demi manfaat rakyat terbanyak, dan memandangkan perbelanjaan asal KLIA2 yang naik dari RM1.9 bilion hingga RM4.0 bilion sehingga hari ini – kami minta supaya diberi laluan menyertai Jawatankuasa Pantauan di bawah Kementerian Pengangkutan, yang diwujudkan pada 8 Julai 2013. Kami juga minta audit bebas diadakan oleh pihak kementerian untuk mengenal pasti sebab kelewatan; termasuklah dari pihak konsultan KLIA Consultancy Services Sdn Bhd. Konsultan ini telah ditamatkan kontrak pada 2011, dan merupakan syarikat milikan kementerian kewangan (30%) yang menerima kritikan terdahulu tidak begitu tegas dalam memantau dan mengekang sebarang VO.

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Merangkap Naib Presiden KEADILAN

‘Masalah dalaman Umno menyekat pemansuhan Akta Hasutan’

Posted: 08 Jul 2013 04:33 PM PDT

Alyaa Azhar
Free Malaysia Today
July 8, 2013

Perbezaan pendapat ahli-ahli Umno mengenai pemansuhan Akta Hasutan menyekat pemansuhan Akta Hasutan, kata ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar.

KUALA LUMPUR: Percanggahan pendapat ahli-ahli Umno menyekat pelunasan janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memansuhkan Akta Hasutan, kata ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar hari ini.

Katanya, ini berdasarkan dolak dalih pendirian Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyelar semua yang ingin memansuhkan Akta Hasutan ini termasuk Datuk Seri Nazri Aziz serta Datuk Seri Nancy Shukri.

Najib baru-baru ini di London telah mengulangi komitmennya untuk memansuhkan Akta Hasutan.

Akta Hasutan 1948 diwujudkan oleh kuasa kolonial British dan mempunyai peruntukan yang menyekat hak perlembagaan dan kebebasan bersuara rakyat Malaysia.

"Pengalaman lampau dan terkini pimpinan Pakatan Rakyat serta aktivis tempatan membuktikan bagaimana Akta ini disalahguna demi menghukum individu yang tidak bersetuju atau menyokong Barisan Nasional," kata Nurul Izzah.

Tambahnya, kenyataan Ahmad Zahid bahawa sekiranya Akta Hasutan dimansuhkan tidak akan ada undang-undang yang boleh menjamin masyarakat selamat dari tindakan mereka yang cuba menghasut adalah salah.

"Pakatan Keadilan Rakyat (PKR) berpendirian bahawa undang-undang sedia ada mencukupi. Sebagai contoh, Seksyen 505 Kanun Keseksaan (Akta 574) mampu menangani kenyataan-kenyataan yang mungkin mengakibatkan ketakutan atau kegusaran di kalangan masyarakat," katanya.

Beliau menambah bahawa kerajaan seharusnya mengambil kira kehendak rakyat majoriti dengan kehendak politik untuk memulihkan demokrasi termasuk melaksanakan tugas sebuah kerajaan agar menyelesaikan sebab sebenar mengapa hasutan mahupun jenayah berganda dan bukan mencari jalan mudah dengan menggunakan "akta-akta lapuk dan anti-demokratik untuk menutup krisis perpecahan perpaduan serta keadaan jenayah yang meruncing."

"Adalah jelas akta-akta ini menjadi senjata politik dan bukan alat untuk mempertahankan hak rakyat hidup bersatu dengan semangat muhibah dan selamat di negara ini," katanya.

Beliau juga menggesa agar Najib menyatakan pendirian muktamad mengenai janji memansuhkan Akta Hasutan.

"Sekiranya tidak, integriti serta kredibiliti kerajaan Najib akan terus dipersoal oleh rakyat apabila janji demi janji yang dibuat tidak pernah ditepati," katanya.

Sumber
http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2013/07/08/masalah-dalaman-umno-menyekat-pemansuhan-akta-hasutan/

Tiada ulasan:

Nuffnang