Isnin, 22 Julai 2013

N50 Dun Sri Muda

N50 Dun Sri Muda


Malaysia Mampu Maju Tanpa TPPA

Posted: 21 Jul 2013 10:34 PM PDT



SHAH ALAM – Jika Malaysia menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), natijahnya negara akan 'terjerat' dan hak untuk mengekang kemasukan syarikat asing seperti Lynas tidak dapat dilakukan, menurut kajian Institut Rakyat.

Menurutnya, perjanjian TPP akan menyebabkan syarikat asing bakal memperoleh peluang yang saksama dan mungkin lebih berbanding syarikat tempatan.

Meskipun senario itu akan memaksa syarikat tempatan untuk meningkatkan daya saing agar kekal teguh, sekali gus merangsang persaingan sihat dalam pasaran tempatan, namun campur tangan asing itu bukanlah jawapan terbaik untuk menyelesaikan masalah di Malaysia.

"Memberikan terlalu banyak hak kepada syarikat gergasi asing bakal merencatkan pembangunan usahawan tempatan seperti kepincangan sistem kroni.

"Sekiranya para perunding tidak berhati-hati, perjanjian TPP bakal mengakibatkan kegagalan ekonomi yang lebih dahsyat daripada sistem kroni kerana ruang dan fleksibiliti bagi para penggubal dasar dalam membentuk hala tuju ekonomi Malaysia berlandaskan kepentingan rakyat kemungkinan besar akan mengecil dengan drastik sekali," kata badan bebas itu yang dipetik dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut badan itu lagi, perjanjian TPP juga dilihat sebagai cubaan Amerika Syarikat untuk mengekang pengaruh negara China, yang tidak terlibat dalam rundingan itu di rantau Asia-Pasifik.

Menurutnya, sepanjang lima bulan pertama 2013, China merupakan rakan perdagangan terbesar Malaysia (14.3 peratus), manakala Amerika Syarikat pula (8.1 peratus) berada di tangga kelima.

"Institut Rakyat berpendapat bahawa Malaysia harus berwaspada dalam setiap tindakan yang diambil supaya Malaysia tidak menjadi pelanduk yang tersepit mati di tengah-tengah apabila dua gajah sama berjuang.

"Para pemerhati yang arif bersetuju bahawa pendekatan Amerika Syarikat bagi sebarang FTA lebih didorong oleh cita-cita geopolitik mereka berbanding kepentingan ekonomi.

"Para pengkritik dasar Barisan Nasional yang menggalakkan kontrak kroni dan kedudukan dominan GLCs mungkin melihat TPP sebagai suatu cara untuk menstruktur semula ekonomi di Malaysia," katanya.

Sehubungan itu, Institut Rakyat mendesak kerajaan supaya mendedahkan analisis kos-faedah yang dibuat sebelum menyertai rundingan perjanjian TPP.

Walaupun Kementerian Industri dan Perdagangan Antarabangsa (Miti) berjanji untuk menyerahkan laporan penilaian TPP yang diselaraskan oleh United Nations Development Programme (UNDP) dalam masa dua minggu selepas mesyuarat di antara wakil Miti, ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan Institut Rakyat diadakan pada pertengahan Jun 2013,  namun sehingga kini, tiada sebarang maklumat yang telah diterima.

"Malaysia perlu menimbang tara di antara peluang dan kos dari sudut ekonomi dan politik sebelum menandatangani sebarang perjanjian.

"Kerajaan Malaysia yang begitu berbangga dengan sistem demokrasi perwakilannya harus telus dengan rakyat mengenai TPP memandangkan perjanjian tersebut akan memberi impak terhadap masa depan Malaysia di rantau Asia-Pasifik," katanya.

sinarharian

Syarikat Pengendali AES Dirundung Masalah Bank

Posted: 21 Jul 2013 10:22 PM PDT

PETALING JAYA: Ketika mana pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) masih berdepan dengan pelbagai masalah dan rintangan, bank-bank sedang mengejar dua syarikat pengendali, Beta Tegap Sdn Bhd dan Automated Traffic Enforcement System (ATES) Sdn Bhd.
Kedua-dua syarikat ini dikejar oleh bank-bank kerana gagal membuat bayaran balik pinjaman mengikut jadual akibat ditimpa masalah aliran tunai berjumlah jutaan ringgit, lapor The Edge.
Mengikut kontrak yang ditandatangani dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kedua-dua syarikat ini harus menyediakan perkhidmatan kepada unit penguatkuasaan JPJ secara berterusan, tanpa gangguan.
Mereka sepatutnya menyediakan perkhidmatan itu kepada JPJ sejak bulan September lalu sehingga tamat tempoh lima tahun kontrak di mana penyerahan peralatan akan dilakukan.
Menurut sumber, sebuah bank komersial terkemuka, mengambil tindakan membeku akaun salah sebuah syarikat itu apabila gagal membuat bayaran balik pinjaman.
Beta Tegah dan ATES telah berusaha untuk mengadakan rundingan dengan Kementerian Pengangkutan dan JPJ tentang masa depan projek itu berikutan masalah kekangan aliran tunai.
Carian di laman sesawang Suruhanjaya Syarikat Malaysia mendapati Beta Tegap sedang menanggung kerugian terkumpul sebanyak RM7.62 juta pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2012.
Jumlah saham modal yang dikeluarkan Beta Tegap ialah sebanyak RM19 juta.  Empat pemegang saham syarikat ini terdiri daripada Tan Sri Nik Ismail Nik Mohamed, Yap Kim See@Yap Ai Lin, Rozana Redzuan dan Adreas Teoh.
Rozana ialah pemegang saham terbesar dan beliau adalah anak kepada seorang tokoh Umno dari negeri Johor.
Sementara kedudukan kewangan ATES tidak diketahui kerana syarikat itu hanya menghantar akaun sehingga Mei tahun lalu. Para pemegang sahamnya ialah pengarah syarikat Chee Chwee Cheong dan A.T.E.S. Sdn Bhd.
Selain dari Chee, pengarah lain ATES ialah Lawrence Foong, yang merupakan bapa mertua Chee. Chee adalah pengasas syarikat perunding Etos Consulting, di mana Omar Mustapha adalah rakan kongsinya. Omar pula ada hubungan rapat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dari segi pembahagian kawasan operasi, perkhidmatan Beta Tegap meliputi Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Terengganu.
Sementara kawasan operasi ATES pula meliputi negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Sarawak, Sabah dan Labuan.

fmt

AES Menghasilkan Lebih RM20 Juta Kompaun Setakat Ini

Posted: 17 Jul 2013 10:14 PM PDT



KUALA LUMPUR 18 JULAI: Kerajaan berkongsi keuntungan hasil pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) bersama kroni dengan cara membebankan rakyat, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar, Azan Ismail.
Beliau mengulas jawapan bertulis Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Dewan Rakyat semalam bahawa kerajaan berjaya mengutip sebanyak RM20,020,500 juta kompaun hasil AES bermula 11 Jun 2013 hingga 23 September 2012 dengan kutipan lebih kurang 10 peratus.
AESDinyatakan juga dalam tempoh yang sama, sebanyak 673,339 saman kesalahan AES dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
"Kerajaan masih belum merubah sikap suka memberi keuntungan kepada kroni dengan mengambil wang rakyat," kata Azan mengulas perkara itu.
Menurutnya, kerajaan sebelum ini menyatakan dalam Parlimen segala kos penyelenggaraan dan pemasangan AES akan ditanggung syarikat swasta dan kerajaan akan menerima sebahagian dari bayaran kompaun.
"Maknanya, sah kewujudan AES itu bermotifkan keuntungan berbanding keselamatan pengguna jalan raya. Sebab itulah kerajaan bersungguh mahu laksanakan sistem ini," jelasnya kepadaKeadilan Daily.
Beliau turut mempersoal keterlibatan agensi penguatkuasaan seperti JPJ dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dalam melaksanakan AES.
"AES dikawal oleh syarikat swasta tetapi menggunakan agensi kerajaan, bermakna mereka menggunakan khidmat pegawai kerajaan secara percuma. Hasil kutipan pula diambil bulat-bulat tanpa mengira gaji atau elaun pekerja yang terlibat," katanya.
"Sebab itu kita kata kerajaan dan kroni berkongsi keuntungan, rakyat pula dibebankan, syarikat kroni seolah-olah mendapat keuntungan atas angin. Produk tiada tetapi dapat wang berjuta-juta," jelas Azan.
Perkhidmatan AES dikendalikan syarikat Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd. Sebanyak 14 kamera AES telah beroperasi di seluruh negara.

keadilandaily

Tiada ulasan:

Nuffnang